+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, August 18, 2011

Bila Ramadhan Sekadar Bulan Puasa



“Mak Ngah suka tak bulan puasa?” Suatu hari, Ashraf bertanya kepada saya. Dia terbaring lemah. Petang-petang begini, selalunya dia tidak bermaya. Tapi setidak-tidaknya, dia tahun ini lebih baik dari tahun yang lepas. Jika tahun lepas, dia ebih banyak merengek sementara menanti waktu berbuka puasa. Laparlah. Hauslah. Penatlah. Al-maklumlah, sekarang Ashraf sudah 7 tahun. Namun, dikelilingi kawan sekelas yang tidak berpuasa, pernah juga Ashraf ‘tewas’ sekali, makan dan minum di kantin sekolah ketika bulan Ramadhan. Budak-budak, apa nak di kata?

“Mestilah Mak Ngah suka bulan puasa, bulan ramadhan,” Saya menjawab soalan Ashraf.

“Kenapa?” Ashraf kehairanan agaknya, lalu bertanya.

“Ya lah, sebab bulan Ramadhan ni, kita dapat banyak pahala, berganda-ganda,” Saya menjawab kemudian bertanya kepada Ashraf.

“Ashraf suka tak bulan puasa?” Saya bertanya.

“Adik (masih membahasakan dirinya adik walaupun dah ada adik, huhu) tak suka, sebab tak boleh makan, tak boleh minum. Adik haus, lapar, penat.. ” Begitu Ashraf menjawab. Jawapan bagi orang yang menganggap bahawa Ramadhan sekadar bulan puasa, bulan tak boleh makan dan minum.

Sahabat yang dirahmati Allah.

Apakah pengertian Ramadhan bagi kita? Apakah masih sama seperti Ashraf yang baru berusia 7 tahun? Yang masih beranggapan bahawa bulan puasa ini adalah bulan yang menyusahkan, membebankan, serba tidak indah dah sebagainya?? Jika masih begitu, insaflah, bangkitlah, muhasabah diri kita sendiri.

Sebagaimana yang kita tahu, berpuasa sebulan di bulan Ramadhan adalah rukun Islam yang ke-tiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat 5 waktu sehari semalam. Berpuasa bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum, tapi juga perkara-perkara lain yang boleh membatalkannya seperti berjimak, memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh dan sebagainya, sejak terbit matahari sehingga terbenamnya matahari.

Puasa ini diwajibkan kepada seluruh umat Islam sebagaimana ianya diwajibkan ke atas umat-umat yang terdahulu, seperti firman Allah, dalam surah AL-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atasmu berpuasa sepertimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Mungkin sebelum ini, kita sudah banyak mendengar dan membaca tentang hikmah-hikmah, atau ibrah-ibrah yang boleh kita manfaati daripada ibadat puasa. Benarlah Allah Yang Maha Mencipta juga Maha Mengetahui, dan setiap segala suruhan dan larangan-Nya tentu ada kebaikannya untuk hamba-hamba-Nya itu sendiri.

Mari kita dalami ayat yang ke-183 dalam surah al-baqarah itu – Kita diwajibkan berpuasa sepertimana ianya diwajibkan atas orang-orang sebelum kita, kenapa? Jawapannya ada di situ yakni, agar kita bertakwa.

Maha Suci Allah.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, “Semua amalan anak-anak Adam untuknya kecuali puasa. Kerana puasa itu untukKu dan Aku akan membalasnya. Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kita sedang berpuasa janganlah berkata keji dan berteriak-teriak, jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, maka ucapkanlah, ‘Aku sedang berpuasa’. Demi dzat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada wangian kasturi, orang yang puasa mempunyai dua kegembiraan, jika berbuka mereka gembira, jika bertemu TuhanNya mereka gembira kerana puasa yang dilakukannya.” (Bukhari 4/88, Muslim no. 1151, Lafadz ini milik Bukhari).

Maha Suci Allah.

Bulan Ramadhan adalah bulan penuh keberkatan, bulan yang dinanti-nantikan, bulan yang dirindui oleh mereka yang mengetahui kelebihan-kelebihan bulan yang istimewa ini. 

Kita bagaimana?

“Alamak! Bulan puasa dah dekat. Lepas ni tak boleh makan tengah hari lagi. Penatlah. Mengantuklah!”

Jom kita insaf. Bergembiralah menyambut dan meraikan bulan penuh rahmat, bulan penuh berkat, bulan keampunan. Bulan Ramadhan. Bersyukurlah kerana Allah mengizinkan kita untuk bertemu dengan Ramadhan bulan keampunan.

Bulan di mana AL-Quran yang suci diturunkan buat pertama kalinya, dimulai dengan kalimah keramat, Iqra’, yakni bacalah!

Ya. Bacalah… Kerana dengan membaca, dapat menambahkan ilmu pengetahuan, dapat mengubah cara pemikiran dan sudut pandangan seseorang, dapat menginsafkan dan memuhasabahkan diri, dapat meningkatkan lagi keimanan, mengeluarkan seseorang dari kegelapan menuju cahaya. Membaca juga dapat membuatkan kita tahu akan kelebihan dan ganjaran yang Allah kurniakan kepada mereka yang berpuasa dan beribadat di sepanjang bulan ramadhan.

Beza orang yang berilmu di sisi Allah adalah lebih tinggi beberapa darjat jika dibandingkan dengan orang yang tidak berilmu. Dan sesungguhnya, beramal tanpa berilmu adakalanya tidak mendatangkan apa-apa faedah malah tidak mustahil, boleh memudaratkan, merosakkan akidah. Naauzubillah.

Bacalah. Baca sejarah nabi dan para sahabat. Bulan ramadhan bukan menjadi alasan untuk mereka bersifat lemah. Bulan ramadhan bukan bulan untuk tidur. Banyak peristiwa-peristiwa penting, peperangan dan pembebasan berlaku di bulan Ramadhan. Antaranya adalah Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan (yang juga disebut hari Furqan dalam Surah AlAnfal, ayat yang ke 41), pembebasan Kota Mekah dari kaum kafir musyrik, penaklukan Salahudin Al Ayubi dan banyak lagi. Semuanya itu berlaku di bulan Ramadhan dan alhamdulillah, Allah mengizinkan kemenangan di pihak muslimin.

Jangan kerana sikap kita yang lemah dan tidak produktif menjadi fitnah kepada puasa itu sendiri sebagaimana yang telah terjadi di Tunisia suatu ketika dulu. Menurut Ustaz Hasrizal, Presiden Tunisia waktu itu, yakni Habib Borgiba, telah mengeluarkan arahan, melarang penduduk Tunisia terutama penjawat awam daripada berpuasa. Kerana menurutnya, berpuasa menyebabkan seseorang tidak produktif dan akan merugikan Negara! Bagi menunjukkan kesungguhannnya, beliau bersiaran secara lansung di kaca TV bersama beberapa orang penyokongnya, makan tengah hari ketika di bulan Ramadhan.

Bagaimana seorang yang beragama Islam tergamak berfikiran begitu? Renung-renungkan. Mungkin kita berasa marah dengan tindakan Habib Borgiba tapi, Tanya diri kita sendiri, bagaimana kita ketika di bulan Ramadhan? Adakah kita kekal bertenaga, bersemangat dan produktif atau sebaliknya? Muhasabah diri kita sendiri.

Apakah bagi kita, Ramadhan sekadar bulan puasa, bulan di mana kita tidak boleh makan dan tidak boleh minum?

Jika benarlah begitu, maka tentunya pada kita, Ramadhan hanyalah bulan yang menyusahkan dan membebankan. Kasihanlah kita! Sedang Allah menunjukkan bukti kasih dan sayangnya melalui bulan Ramadhan, kita telah mensia-siakannya dan merugikan diri kita sendiri begitu sahaja. Kasihanlah kita… Allah telah memberi ruang dan peluang untuk kita menambah pahala, merebut rahmat –Nya dan keampunan-Nya sepanjang bulan Ramadhan, tapi kita sombong dan angkuh. Bersikap tidak peduli. Kerana kita tidak tahu. Kasihanlah kita.. Bukankah Ramadhan tahun hadapan, belum tentu lagi kita bernafas di muka bumi ini? Mungkin, ini Ramadhan yang terakhir buat kita, siapa tahu kecuali Allah?

Hari ini, 17 Ramadhan. Jika dua malam yang sudah, saya bersama Ashraf menatap bulan bulat penuh, hari ini bulan kian mengecil. Tandanya Ramadhan tidak lama lagi akan meninggalkan kita semua. Ramadhan yang dirindui akan berlalu pergi bila tiba masanya dan kita tiada kuasa untuk menahannya. Bayangkan andai insane yang kita cintai, sangat kita cintai, akan pergi buat selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi, adakah kita akan membiarkannya begitu sahaja tanpa memanfaatkan masa yang ada sebaik yang mungkin? Adakah kita hanya berpeluk tubuh dan membiarkan saja dia membawa diri?

JOm. Sementara masih ada ruang dan peluang, ayuh kita manfaatkan sebaik yang mungkin untuk mengumpul pahala, bekalan menuju hari mati. Mohonlah keampunan dari Allah dengan bersungguh-sungguh agar sucilah kita dari segala dosa sebaik sahaja Syawal menjelma kelak. Agar kita dapat meraikan kemenangan yang sebenar-benarnya pada tanggal 1 Syawal. Jadikan Ramadhan sebagai bulan Tarbiyah, untuk mendidik diri kita muslimin dan muslimah yang sejati, yang soleh. Jadikan Ramadhan sebagai batu loncatan untuk kita berhijrah menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya. Jadikan Ramadhan sebagai pemangkin untuk menambahkan lagi kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya, juga kepada Al-Quran yang disampaikan oleh Kekasih Allah swt.

Ayuh! Jangan jadikan Ramadhan sekadar bulan puasa, kerana hakikatnya, ia lebih dari apa yang kita tahu. Peringatan ini juga untuk diri saya sendiri. Mohon doa dari sahabat sekalian. Jom kita berlumba lumba melakukan kebaikan, jom!

Wassalam.










3 comments:

AhmadNizamuddin said...

Assalamu'alaikum...

Tu diaa...

Hahaha...

Allah kata ini bulan Dia...

Nabi kata bulan Ramadhan ni bulan Al-Quran, bulan ibadah...

Orang Melayu kita pulak dok kata bulan Ramadhan ni bulan posa...

Posa la yang kita dok ingat, tak makan, tak minum. Tahan lapaq, tahan dahaga. Bukak posa, kenyang terlentang.

Tapi kita selalu lupa tujuan posa sebulan Ramadhan nih. Tujuannya apa? untuk mencapai ketaqwaan dalam diri. Mendapat rasa takut kepada Allah, buat perintah Allah, jauhi larangan-Nya.

Semoga bulan Ramadhan kali ini, isiannya lebih bermakna daripada Ramadhan sebelumnnya.

Wallahu a'lam...

AsNiza said...

Assalamualaikum wbt...

Amin ya rabb.. semoga isiannya lebih bermakna daripada ramadhan yang sebelumnya...

Tinggal lagi beberapa hari saja.. Hmmm..

LadyBird said...

selamat berpuasa kak..
selamat berhari raya :)