+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, August 10, 2011

Kerana Dirimu Begitu Berharga

"Lamanya termenung. Kau tengok apa tu?" Suaranya mengejutkan lamunanku. Aku tersenyum seraya mengalihkan pandanganku yang sekian lama tertancap pada sekeping gambar ke arahnya.

"Kau tengok ni. Cantikkan aku waktu ini?" Aku mengajak dia melihat gambar itu bersama sama. Dia mencebik bibirnya. Tanda tidak setuju dengan sebuah kenyataan yang meluncur dari bibirku.

"Tak cantiklah!" Begitu katanya.


"Ish. Cuba kau tengok betul betul. Rambut aku, kening, mekap, pakaian aku semuanya up to date apa. Waktu ini, ramai yang nak mengurat aku, tahu.. " Aku bersungguh sungguh cuba meyakinkan. Terkenang waktu dulu dulu ketika diri menjadi pujaan kumbang kumbang liar di taman. Aku tersenyum malu.

"Cuba kau istighfar." Pendek dia menungkas kata kataku. Aku terkedu seketika. Diam sedetik dua. Bagai tersedar dari sebuah lamunan panjang. Dia menatap aku dengan pandangan matanya yang tajam. Lidahku menjadi kelu.

"Dah istighfar?" Dia bertanya meminta sebuah kepastian. Aku sekadar menganggukkan kepalaku. Kemudian tunduk mengarahkan pusat pandanganku ke lantai.

"Maaf, aku lupa. Seharusnya aku lebih mengutamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia. Allah suka wanita wanita yang menutup aurat. Allah yang menurunkan perintah agar aku menutup aurat." Ujarku pula.

"Ha. Tahu pun. Baguslah kalau kau dah sedar diri." Kata katanya menikam ke tangkai jantungku.

"Bukankah Allah telah berfirman, dalam Surah Al Ahzab, ayat yang ke 59. KataNya.. Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "

Aku tunduk, diam mencerna bait kata yang keluar dari bibirnya. Akur dengan kebenaran yang dia ucapkan.
"Terus mara ke hadapan, jangan lagi menoleh ke belakang. Andai di hadapan kau telah lihat cahaya yang terang, mengapa harus kau ke belakang kembali ke dalam kegelapan?" Dia menyambung kata katanya lagi. 

"Bandingkan gula yang di dalam balang yang tertutup, dengan gula di dalam balang yang terbuka luas. Yang mana lebih terlindung? Suci dari kotoran? Apatah lagi gula yang tumpah di lantai. Yang mana lebih tercemar?"

"Fitrah gula dicipta sifatnya manis, menjadi tarikan dan godaan bagi makhluk kecil bernama semut. Semut ini, sifatnya rajin, gigih, berusaha keras untuk mendapat apa yang mereka inginkan. Kadang kadang, bekas yang tertutup pun mampu mereka cerobohi, apatah lagi gula yang di atas lantai ataupun gula di dalam bekas yang terdedah. Berpestalah sang semut menikmati kemanisan gula. Kau mahu jadi gula yang mana?" Dia mematikan kata katanya dengan sebuah soalan.

Aku menjawab, "Gula di dalam bekas yang tertutup."

"Baguslah kalau kau mengerti. Sesungguhnya, yang indah dan berharga itu, akan lebih tinggi harganya andai dimiliki oleh mereka yang berhak dan tahu menghargai." Sambungnya lagi sambil tersenyum. Aku ikut senyum.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

[Surah Al-Imran : Ayat 8]

No comments: