+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, August 4, 2011

Ke Mana Arah Kita?



"Semua ke syurga, kecuali dia. Ku bimbangi, dialah diriku." - Hijjaz


Ungkapan tersebut saya petik dari lagu nasyid yang bertajuk, Aku Hanya Umar, dendangan kumpulan nasyid tersohor tanah air - Hijjaz.

Namun kali ini, saya bukanlah ingin berkongsi cerita tentang Umar Al-Khattab. Cuma suka saya muhasabah diri sendiri dan mengajak sahabat yang dikasihi Allah agar ikut sama merenung ke dalam diri. Tanya diri kita, apakah kita yakin kita akan masuk syurga? Tanya diri kita, apakah kita layak masuk syurga? Bagaimana amalan kita? Sejauh mana tahap keimanan dan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya? 

Seandainya kita mati saat ini, bagaimanakah keadaan kubur kita nanti, apakah ianya taman syurga atau kawah neraka? Bagaimana keadaan kita bila kita berhimpun di Padang Mashyar nanti? Buku dari tangan mana yang akan dibuka terlebih dahulu? Buku catatan kanan atau kiri? Bila perhitungan dibuat kelak, bila amalan kita ditimbang, apakah kebaikan akan mengatasi keburukan? Dan bagaimana pula keadaan kita ketika meniti titian siratulmustakim? Merangkak-rangkak atau berlari laju sepantas kilat? Atau apakah kita akan terjatuh ke dalam neraka?

Begin with the end in mind. Adakah tindakan kita hari ini menggambarkan kita ahli syurga atau ahli neraka? Apakah sikap kita hari ini akan membawa kita ke syurga atau ke neraka? Adakah keputusan yang kita buat hari ini menempah tempat untuk kita ke syurga atau ke neraka? Apakah kita manfaatkan nyawa dan jasad yang Allah pinjamkan kepada kita ini untuk mengumpul bekalan ke syurga atau ke neraka? Kita ada jawapannya, barangkali.

 

Kita makhluk ciptaan Allah yang istimewa. Kita bukan sahaja dikurniakan akal dan naluri, tapi juga diberi kebebasan untuk memilih. Kita diberi kebebasan untuk membuat keputusan. Bukan seperti binatang dan haiwan ternakan yang diciptakan dengan fitrahnya untuk berbakti kepada manusia - tanpa peluang untuk membuat keputusan hidup mereka sendiri. Bukan seperti pohon-pohon kayu yang fitrahnya mengitar karbon dioksida menjadi oksigen sejak dari kecil hingga ke akhir hayatnya. Kita adalah sebaik-baik makhluk. Sebagaimana firman Allah dalam Surah At-Tiin, ayat yang ke-4. "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin 95:4) Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta.

Dalam setiap apa jua yang akan kita lakukan, kita diberi kebebasan untuk memilih, menentukan ke mana arah tuju kita yang seterusnya. Dan tidak cukup dengan itu, Allah telah mengutuskan Rasul-rasulnya untuk menyampaikan firman-firman-Nya, menunjuk jalan yang yang lurus, mengajar cara untuk beribadah kepada Allah, menjelaskan hukum-hukum Allah. Memberi contoh teladan yang terbaik serta membawa perkhabaran gembira kepada orang-orang yang beriman.

Namun mengapa - sering saja kita terpesong? Mudah saja kita melakukan maksiat dan sukar pula untuk berbuat amal kebajikan?

Saya muhasahab diri sendiri. Selama hidup saya ini - bukan sedikit saya ingkar perintah-Nya. Namun saya percaya, Allah Maha Pengampun dan menerima taubat hamba-hamba-Nya. Semoga dosa-dosa saya juga diampuni.

Ayuh! Sebagaimana sahabat-sahabat nabi yang telah banyak berbakti berjuang bersama Rasul bagi menegakkan Islam, mengabdikan diri demi agama dan rasul, berkorban segalanya demi keredhaan Allah - namun mereka sering bimbang andai mereka tiada tempat di syurga.

Dan. Apakah kita lebih baik dari itu? Dan apakah layak kita merasa puas dengan apa yang telah kita lakukan? Apakah kita layak untuk merasa cukup dengan amalan yang telah kita lakukan? Apakah kita layak untuk berhenti melakukan kebaikan kerana yakin bahawa syurga adalah pasti untuk kita?

Jangan. Jangan mudah merasa cukup dengan apa yang kita ada. Mari kita contohi Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa kedepan dalam melakukan amal kebaikan tanpa rasa jemu. Mari kita contohi Saidina Umar Al-Khattab yang tidak pernah merasa puas dalam menyebar luaskan agama Allah. Mari kita contohi mereka yang terdahulu yang dijamin tempatnya di syurga.

Saya menyusun sepuluh jari, memohon ampun maaf atas segala silap dan salah. Doakan agar kita semua sentiasa di bawah lindungan Allah, dipermudahkan segala urusan agar mendapat keredhaan Allah. Selamat beribadah di bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Moga Ramadhan kali ini, lebih baik dari Ramadhan yang sebelumnya. Moga kita hari ini, lebih baik daripada kita pada hari semalam.

Wallahua'alam.

3 comments:

Izzati Hashim said...

Salam alaik.

Tazkirah pagi yang menggertak tangkai hati, shukran sis ('=

moga setiap langkah kita, moga setiap pilihan kita adalah untukNya, hanya keranaNya.

salam ramadhan kareem (=

AsNiza said...

salam wbt izzati..

salam ramadhan kareem =)

alhamdulillah, moga gitulah hendaknya.. biar apa pun jua pilihan kita, biarlah hanya kerana Allah..

take a good care of your self sis.. terima kasih sudi singgah blog akak..

Izzati Hashim said...

same goes to you, take care (=

always dropping by here ^^