+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, April 20, 2011

Seperti Malam

Hari ini saya ke tempat kerja seperti biasa. Tiada yang luar biasa. Beginilah rutin hidup seharian saya semenjak bertugas di bidang perindustrian ini. Sedar atau tidak, 17 Mei nanti, genaplah setahun saya mencari rezeki di sini. Susah saya bekerja 5 hari setengah setiap minggu, susah lagi mereka yang lansung tidak mempunyai pekerjaan. Maka, dengan itu, saya terus memujuk hati supaya lebih banyak bersyukur.



Hari ini pulang dari tempat kerja lebih lewat dari biasa. Tidak seperti biasa. Biasanya waktu begini matahari masih meninggi, memancarkan cahaya yang mampu menyilaukan mata. Namun hari ini hari gelap seperti malam sudah tiba. Lampu jalan menyala automatik bila keadaan jalan menjadi gelap. Kereta-kereta di atas jalan juga hampi semuanya menyalakan lampu utama. Benar-benar seperti malam. Kilat dan petir sabung menyabung mampu membuat jantung ini menjadi kecut. Sempat saya terfikir, keadaan hujan lebat dan petir begini pun dah cukup untuk menakutkan saya, agaknya bagaimana takutnya saya bila tiba hari kiamat? Banyak surah dalam Al-Quran menceritakan tentang hari kiamat. Naauzubillah. Tidak mampu saya gambarkan.

Dengan penuh berhati-hati, saya memandu kereta kecil saya pulang ke rumah. Di dalam hati berdoa agar saya dan seluruh pengguna jalan raya yang lain selamat tiba ke destinasi. Ketika memandu, sempat juga saya membayangkan kerja-kerja yang melambak di tempat kerja. Jika diikutkan rasa, ingin saja terus menetap di ofis memandangkan banyak kerja masih tertangguh. Perlukan tindakan segera sementelah bos saya, Regulatory Affair Manager merangkap Quality Management Representative tiba-tiba pula mengambil cuti sakit selama tiga hari. Kelam kabut juga jadinya saya.

Benarlah kita hanya merancang, Tuhan penentu segalanya. Tiada siapa yang meminta sakit mahupun mati. Ia datang kerana ketentuan Ilahi. Namun selalunya, ketiadaan yang tidak dirancang, biasanya akan menimbulkan banyak kesan yang negatif. Apatah lagi jika kita adalah orang yang penting, memikul banyak tanggungjawab dan amanah. Pastinya ketiadaan kita akan menjejaskan banyak pihak. Maka dengan alasan ini juga, kita digalakkan supaya membuat wasiat, tak perlu tunggu hari tua tiba mahupun penyakit datang bersarang.

Tuhan izinkan saya membelek Majalah Solusi keluaran terkini yang telah saya beli hampir 3 minggu lepas. Sudah lama menyimpannya namun tiada kesempatan untuk membaca. Sempat membaca beberapa tajuk, antaranya, peristiwa Israk Mikraj.

Apa yang menarik perhatian saya hari ini adalah salah satu peristiwa yang disaksikan oleh Baginda Nabi Saw, yakni;

"Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain."

Allahu. Saya menginsafi diri saya. Begitu banyak kelemahan dan kekurangan diri ini. Sering pula leka dan alpa. Mudah melakukan kesilapan dan tersalah perhitungan. Sungguh diri ini benar-benar lemah.
Februari 2009, saya pertama kali menerima amanah sebaga ketua moderator umum di salah sebuah laman web. Sejak itu, banyak tenaga dan masa saya diluangkan untuk forum tersebut. Hampir saja saya tiada masa lapang kerana masa lapang saya digunakan sepenuhnya untuk memantau dan memeriahkan forum tersebut, di samping menjaga dan mengawal selia moderator di bawah seliaan saya. Seiring peredarang waktu, kitaran hidup yang tidak pernah statik, dek kerana ketidakmampuan diri, akhirnya saya melepaskan amanah itu pada Jun 2010.

Kerana faktor tertentu dan kerana cinta yang sangat menebal, pada Mac 2011, saya sekali lagi merelakan diri ini untuk memikul amanah sebagai ketua moderator umum. Biarpun kemampuan diri sangat terhad, namun saya mengibaratkan diri ini sebagai pengibar panji di medan perang.  Saya bukanlah panglima perang yang akan sentiasa berada di barisan paling hadapan, tapi cukup sekadar membawa makna, "Kita masih belum kalah!"

Mungkin orang boleh kata, "Ia kerja sukarela, tidak perlu paksa diri, buat sekadar termampu." Tapi bagi saya, ia soal amanah yang tidak boleh dipandang enteng. Saya pun tak ingin jadi munafik, bila diberikan amanah, saya tak ingin khianat. Tapi sungguh-sungguh. Ketidakmampuan ini benar-benar menjerat saya. Allah. Saya serba salah.

Melangkah harus ke depan. Moga Allah berikan kekuatan.

Selagi mampu, akan saya teruskan. Selagi saya masih diperlukan, saya akan terus cuba untuk bertahan. Moga Allah permudahkan. Saya percaya, Tuhan beri dugaan dan amanah ini kerana Dia tahu bahawa saya mampu memikulnya. 

Sungguh, Dia tahu apa yang saya tidak tahu... Mungkin saya nampak hari yang gelap seperti malam, hingga terlupa, mentari masih ada, sembunyi di balik awan hitam.

Wallahua'alam.


3 comments:

naney said...

jap je masa berlalu tanpa sedar...br je terngiang2 yg k.long gembira dpt keja..tgk2 dh sethn dh kn...

AsNiza said...

betul3.. sgt cepat masa berlalu.. semua rasa baru lagi.. tp rupanya dh byk bnda yg kita dah tinggalkan di belakang.. T_T

Anonymous said...

....dan tanpa kita sedari, kita tidak cuba untuk memberi peluang kepada diri kita sendiri untuk memberikan yg terbaik kepada org sekeliling kita...sebab mereka mungkin akan kelak menjadi org yg terbaik utk kita....

Z