+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, April 22, 2011

Rahsia Dia

Saya tak sedar masa berjalan begitu pantas, sehinggalah saya melihat permata hati yang kecil lagi comel, Amni Adrianna kini sudah boleh berjalan. Allahu. Cepat sungguh masa berlalu. Kalau sebelum ini, Amni tiada di atas muka bumi ini, Amni tidak wujud dalam dunia ini, tapi kini, Amni sudah boleh berjalan sendiri. Pandai menari, pandai meniru, pandai mendaki tangga. Maha suci Allah. Yang menciptakan dan menghidupkan. Yang berkuasa atas segalanya.

"Dan sungguh Kami telah menciptakan manusia dari saripati dari tanah . Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian Kami ciptakan air mani (menjadi) gumpalan darah, lalu Kami ciptakan gumpalan darah (menjadi ) segumpal daging, kemudian Kami ciptakan segumpal daging (menjadi) tulang, lalu Kami bungkus tulang (dengan) daging, kemudian Kami menjadikanya makhluk (yang berbentuk) lain, maka Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta. "

Al-Mu’minuun : 12 – 14
 
Ini bukan Amni =)

Semalam saya sempat berbuat dengan teman serumah. Katanya, sepasang adik kembarnya yang baru mendapat keputusan peperiksaan SPM akan menghadiri temuduga untuk melanjukan pelajaran ke luar Negara tajaan JPA hari ini. Mereka pasangan kembar contoh, yang cemerlang dalam peperiksaan dan saya kagumi.

Sejenak saya terkenangkan peristiwa lebih 10 tahun yang lalu. Kalau sekarang, mungkin perkara biasa mendapat semua A dalam peperiksaan SPM, tapi dulu belasan tahun yang lalu, mendapat 10 A adalah suatu yang agak luar biasa. Dan saya, adalah antara pelajar yang terpilih. Alhamdulillah.

Kenangan sewaktu hari mengambil keputusan SPM masih segar dalam ingatan ini. Saya sendiri sebenarnya tidak menjangkakan pencapaian sebegitu, biarpun berharap dan berusaha, tapi sebenarnya saya tidak pernah bermimpi mendapat semua A dalam peperiksaan. Al-maklumlah, saya Cuma pelajar ‘biasa-biasa’, bukan tergolong dalam senarai pelajar cemerlang sekolah. Ramai lagi yang jauh lebih bijak dari saya.

Ketika hari mengambil keputusan. Cikgu kaunselor sekolah saya, Cikgu Firdaus menanti di muka pintu dewan sekolah. Dari jauh saya nampak dia tersenyum riang sebaik sahaja melihat kelibat saya di hadapan dewan sekolah. Dia menghampiri saya dan memberitahu, “Nama awak naik”. Saya senyum, tidak mengerti maksudnya kemudian bertanya. “Kenapa?” Jawabnya, “Awak dapat semua A”. Saya tidak percaya, menganggap cikgu sekadar bergurau.

“Tak percaya? Mari ikut saya ambil result, kita tengok sama-sama” Begitu kata cikgu lebih kurang.

Cikgu Firdaus mengiringi saya, berjalan menuju ke bahagian dewan, terus ke meja tempat mengambil slip keputusan peperiksaan. “Ini Hasniza yang dapat semua A” kata Cikgu Firdaus riang kepada petugas yang bertugas membahagikan slip keputusan peperiksaan.

Setelah membelek beberapa ketika, akhirnya slip keputusan saya diperolehi. Petugas itu menunjukkan kepada saya, dari subjek yang paling atas menurun ke bawah, semuanya A. Allahuakbar. Cikgu Firdaus tidak bergurau. Ini kenyataan. Saya benar-benar mendapat semua A. Lemah lutut saya tiba-tiba.

Ramai juga yang mengucapkan tahniah, pengetua sekolah waktu itu, Dr. Fatanah juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah. Sempat dia mengajak saya bergambar kenangan dengannya. Gambar itu juga turut dimuatkan dalam majalah sekolah tahun berikutnya. “Budak kampong lagi miskin, yang datang dari jauh untuk menuntut ilmu, cemerlang dalam SPM.” Alhamdulillah.

Itu cerita lebih sedekad yang lalu. Betapa cepatnya masa berlalu, masih terasa segar dalam ingatan, tapi bila dikira angkanya. Belasan tahun bukan sedikit! Begitulah ajaibnya masa, yang mengetahui segalanya cuma Dia.

Berkecimpung dalam dunia forum. Di awal penglibatan, forum iluvislam.com banyak dimeriahkan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di luar Negara. Dari seluruh pelusuk dunia. Terasa kerdilnya diri ini, Cuma lulusan universiti tempatan saja. Ada masanya, terdetik juga dalam hati, “Aku pun dapat semua A dalam Spm, tapi kenapa aku tidak terpilih ke luar Negara?”


Rahsia Allah yang hanya Dia yang tahu.


Selepas mendapat keputusan SPM, saya hanya mengisi borang UPU, memohon untuk melanjutkan pengajian IPTA di Malaysia. Saya memilih beberapa pilihan kursus pengajian di UTM. Selain itu, saya ada mengisi borang untuk melanjutkan pengajian ke luar Negara tajaan PETRONAS. Saya sempat menghadiri temuduga. Anehnya, ketika sesi temuduga, saya yang sentiasa mendapat A dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM untuk subjek English, bagaikan ‘tertutup hati’. Saya ingat lagi, tajuk yang terpilih waktu itu adalah lebih kurang, “Should we ban synthetic food”. Kami diberi masa untuk membuat karangan. Samada menyokong atau menentang. ‘Ajaibnya’ waktu itu, saya memilih untuk ‘should not ban’, tapi fakta-fakta yang saya kemukakan, semuanya menentang makanan sintetik.

Kami juga diberi masa, dan dikehendaki berdebat di hadapan para penilai dari PETRONAS. Saya tetap sama, memilih untuk ‘should not ban’ tapi hujah saya semuanya menentang. Saya tak dapat gambarkan suasana perdebatan kami waktu itu. Saya lansung saya tidak sedar, sehinggalah setelah sesi temuduga berakhir. Sewaktu kaki melangkah keluar dari tempat temuduga, bagai suatu lintasan. “Ban maksudnya haramkan, bukan teruskan!”. Patutlah bila setiap kali saya berhujah, raut wajah kawan-kawan sekumpulan berkerut-kerut. Kasihan mereka.

Kenapa setelah selesai baru terfikir? Ah. Allah tutup minda, Allah tak izinkan saya ke luar Negara dengan tajaan PETRONAS. Waktu itu saya optimis, saya pasti gagal temuduga itu! Dan benarlah. Saya gagal.

Lebih dramatic lagi, saya tidak membuat permohonan lain untuk mendapatkan tajaan ke luar Negara. Saya seakan-akan redha dan mengharapkan UTM semata-mata. Dan alhamdulillah, saya mendapat apa yang saya cita-citakan waktu itu. Pilihan pertama, kejuruteraan kimia. Dengan keputusan yang agak cemerlang, tidak sukar untuk saya mendapat pilihan saya yang pertama.

Namun, apabila mendapat tahu ramai kawan sekolah melanjutkan pengajian ke luar Negara.. Terbit juga rasa cemburu. “Kenapa aku masih di sini?? Kenapa aku tidak terbang bersama mereka?? “


Konflik melanda diri.


Sahabat-sahabat yang bersama saya ketika di UTM mungkin lebih mengenali diri ini. Betapa ‘hancurnya’ saya waktu itu. Jika selama ini di bangku sekolah saya selalu mendapat A (kecuali sekali pernah gagal subjek Inggeris ketika darjah 3) tapi di UTM saya mula kenal istilah GAGAL yang sebenar-benarnya. Jika sebelum ini saya seorang budak ‘berjuruh’, tapi di UTM, hanya Allah yang mengetahui segalanya. Tiada apa yang boleh saya banggakan sepanjang saya di UTM. Semuanya mengecewakan. Semuanya negative.

Pernah saya pertikaikan. “Kenapa aku ke UTM? Kenapa tidak ke luar Negara, atau ke universiti lain? Di sini aku menderita!”

Namun. Benarlah.

“Sesungguhnya apa pun yang dijanjikan kepadamu, pasti datang dan kau tidak mampu menolaknya..”

Surah Al- An’am : 134

Saya tidak mampu menolaknya kerana itulah yang telah dijanjikan buat saya. Saya harus redha, dan bersabar menempuh segalanya. Belajar untuk mengutip hikmah, atas setiap apa yang terjadi.

Setiap apa yang Allah ciptakan, pasti bersebab dan tiada yang sia-sia.


Jika di UTM pun saya ‘hancur’ seperti itu, siapa tahu, mungkin jika saya di luar Negara, saya ‘hancur’ dan tidak terselamatkan lagi. Jika di UTM saya ‘gagal’ seperti itu, siapa tahu, mungkin jika saya di universiti lain, kegagalan saya lebih hebat. Allah. Dia yang menciptakan saya dan Dia jualah yang maha mengetahui segalanya. Saya tidak tahu apa-apa.


“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat:

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."

Mereka berkata:

"Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”

Allah menjawab,

“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Surah Al-Baqarah : 30






7 comments:

faiez said...

Setiap yg berlaku ada hikmahnya....

aida4eva said...

anak itu amanah allah :)

entri terkini :

gambar siti musliha terkini

AsNiza said...

salam wbt faiez..

seharusnya begitu, cuma kita manusia ni yg susah sgt nk terima ketentuan dari Ilahi..

salam wbt aida..

terima kasih utk sharing =)

::Nurul:: said...

saya juga dari UTM akak...dan skarang saya berada ditahun akhir pengajian dip..sedang dalam peperiksaan akhir..terima kasih kongsi pengalaman ni..menangis sy baca apa yang akak kongsikan ni...

AsNiza said...

salam wbt nurul..

kiranya kita sama la ya, kita anak kandung, utm tempat bernaung, usaha kami bukti cintamu, dikau persada ilmu.. (sama lagi ke lagu utm? ehe)

terima kasih banyak2 coz sudi membaca.. moga mendapat iktibar dan pengajaran dari perkongsian akak di atas. ambik yg baik, buang yg buruk ya... =)

::Nurul:: said...

same kak same...xubah lagi..
akak..can we talk personally??
i hv sumthg to share with u...

AsNiza said...

salam wbt nurul..

feel free to add me on my FB, hasniza ibrahim or nieza_stories@yahoo.com..

cumanya akak sgt jarang dpt online, moga2 ada rezeki kita terserempak time sama2 online.. =)