+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, April 27, 2011

Kehidupan.

Pagi ini, keretapi itu meluncur lagi seperti biasanya. Tepat pada waktunya, tidak terlambat atau terawal walau sedetik. Bermula dari titik pemula, meluncur lagi menuju mencari sebuah destinasi yang panjang, letaknya entah di mana.

Keretapi itu masih sama seperti hari-hari yang sudah. Gerabaknya banyak, tubuhnya panjang. Di dalam perutnya ada pelbagai jenis manusia. Lelaki mahupun perempuan. Orang dewasa dan juga kanak-kanak. Ada yang berbangsa Cina, Melayu, India dan lain-lain lagi. Juga tak ketinggalan, ada orang kurus dan ada juga orang yang berbadan gemuk. Semuanya ada. Banyak.


Aku berdiri tegak. Kaku bagai sebuah tugu yang tiada nilai. Tidak tahu ke mana ingin di tuju, tapi di sini tetap aku berdiri. Sebagaimana keretapi ini bergerak sehala, semuanya ke depan. Seharusnya aku juga begitu, bergerak harusnya ke depan, bukan ke belakang. Kata sahabat baikku Mariah, life must goes on.

Hari semalam adalah sejarah yang telah pun berlalu dan tidak mungkin berlaku lagi. Hari ini, adalah kenyataan yang sewajarnya aku tempuhi seindah yang mungkin. Kerana hari ini jugalah penentu bagaimana rupaku pada esok hari. Esok yang belum tentu akan tiba. Esok belum tentu aku masih bernafas di bumi indah ciptaan Ilahi. Esok belum tentu menjanjikan kebahagiaan, namun sekadar mampu aku akan berusaha untuk memastikan ianya lebih baik dari hari ini, moga Allah mengizinkannya.

Bagai sebuah robot yang telah diprogramkan, kakiku terus melangkah menuju ke kaunter membeli tiket. Setelah berkira-kira, aku akhirnya telah memilih dan membuat keputusan, sewaras yang aku mampu. Moga Allah merestui.

Aku mundar-mandir. Di perhentian ini, aku sempat menjamu mataku, melihat pelbagai kerenah manusia yang sedang menanti ketibaan keretapi, seperti aku.

Ada yang bersendirian, ada juga yang berteman. Ada yang wajahnya ceria dan ada juga yang sugul riak wajahnya. Ada yang sempurna dua kaki dan dua tangannya, dua mata dan dua telinganya, dan ada juga yang tempang bertongkat. Ada juga yang buta matanya, terpaksa berjalan dipimpin. Ada yang berjalan penuh keyakinan, dan ada juga yang masih kelihatan keliru. Bagai meraba dalam kegelapan. Seperti akukah itu? Di dalam hati, aku berdesis.

Aku masih meninjau di sekelilingku. Pelbagai jenis manusia ada di situ. Ada yang sarat memikul bebanan di atas belakang, bahu mahupun di hujung jemari. Dan tak kurang, ada juga yang bertangan kosong, seperti aku? Tanpa sebarang bekalan. Ah.. Kosongnya tanganku ini? Tapi aku sendiri tidak tahu apa yang boleh ku bawa sebagai bekal! Allah, bagaimanakah kelak kisah pengembaraanku ini akan terukir? Pengembaraan yang pasti terjadi oleh semua manusia yang bernyawa termasuk aku.

Pengembaraan ini datang tanpa aku menduganya. Pengembaraan ini datang tanpa sempat aku bersedia mengumpul bekalan. Allah! Beginikah rupaku di alam kekal nanti?? Tidak!! Aku belum bersedia untuk mati. Amalku belum cukup ya Allah. Tapi siapalah aku untuk menentang ketentuan-Mu. Siapalah aku untuk menentukan hidup dan matiku? Bukankah semuanya di tangan-Mu. Hanya Engkau yang berhak, yang menghidupkan dan mematikan. Allah. Aku cuma hamba! Di dalam hati, aku merintih sayu.

Keretapi yang dinanti kini telah tiba. Aku bersama manusia-manusia yang lain melangkah masuk ke dalam perut keretapi itu. Semuanya sama, ingin bergerak ke hadapan. Semuanya sama, mempunyai destinasi yang ingin dituju. Semuanya sama, harus membeli tiket untuk melayakkan diri masuk ke dalam keretapi ini. Ada harga yang perlu dibayar. Yang menuntut pengorbanan setiap insani, barangkali.

Kiasan ini, seringkali aku dengar. Kita hanya mampu merancang, yang menentukan segalanya adalah Tuhan! 

Kita hanya mampu merancang, membeli tiket masing-masing dengan harga yang tersendiri. Harga yang kita mampu untuk membayarnya. Mencari destinasi yang kita sendiri tidak tahu di mana letaknya. Namun yang menentukan samada kita benar-benar tiba ke destinasi yang kita inginkan itu ataupun tidak, hanya Allah yang berkuasa.

Mungkin kita ingin menuju ke destinasi F, punya hajat yang ingin ditunaikan di situ. Punya impian yang ingin direalisasikan. Tapi siapa tahu, melainkan Allah, mungkin juga sebelum tiba di destinasi E, kita dulu dipanggil jemput menghadap Ilahi. Impian tinggal impian. Hidup dan mati, semuanya di tangan Allah.

Dan keretapi ini?

Ibaratnya sebuah kehidupan. Yang sentiasa bergerak ke hadapan. Tiada u-turn. Tetap ke hadapan. Kitalah penumpang keretapi itu. Yang terus hidup dan bernafas, di dalam kehidupan ini selagi Allah mengizinkannya. Yang terus tua dan tidak mungkin kembali muda. Yang pasti mati, bila tiba masanya..

"Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.” Al-Baqarah : Ayat 132.



2 comments:

Ameera.Alias said...

betoi...walaupun banyak dugaan dalam kehidupan ney hidup mesti diteruskan...

AsNiza said...

setuju ngn ameera.. life must goes on! biar apapun, selagi kita masih bernyawa, hidup mesti diteruskan =)