+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, September 24, 2010

Tahu atau Yakin

Mak Kiah bukanlah orang senang. Hidupnya susah. Kais pagi makan pagi, kais petang pula untuk makan petang. Kehidupannya bertambah susah apabila suami tersayang kembali ke rahmatullah sejak 5 tahun yang lalu. Membesarkan anak-anak seramai empat orang seorang diri bukanlah suatu tugas yang mudah. Namun begitu, tidak sesekali Mak Kiah mengalah. Selagi kudrat tulang empat keratnya masih ada, selagi itulah dia akan terus berusaha untuk mendapatkan sesuap nasi dan membesarkan anak-anaknya.

Hari kian petang. Mak Kiah sedang terbongkok-bongkok di dapur sedang menyiapkan juadah berbuka puasa untuk anak-anaknya. Dia sedang merebus ubi kayu dalam periuk menggunakan dapur kayu. Asap berkepul-kepul menghiasi ruang dapur. Sekali-sekala Mak Kiah menggenyeh matanya yang pedih dimasuki asap.

"Emak! Emak!" Tiba-tiba suara kecil anaknya yang bongsu mengejutkan lamunannya. Ejul dan abangnya Mael sedang berlari-lari menuju ke arahnya. Mak Kiah membulatkan matanya, bertanya kepada kedua anaknya itu.

"Ada apa nie? Sape kejar kamu?"

"Bukan kena kejar mak, kitorang nampak Abang Hisham tadi dengan kawan dia, tak puasa mak! Tengah makan kat belakang bangsal," Tercungap-cungap Mael menjawab.

Belum sempat berkata apa-apa, anaknya yang bongsu pula mencelah.

"Mak, tak apa ke dah besar-besar tak puasa? Tuhan tak marah ke?"

Mak Kiah terdiam seketika. Cuba menyusun kata-kata bimbang nanti tersalah bicara.

"Mana boleh tak puasa. Tentulah Tuhan marah." Seringkas mungkin dia cuba menjawab. Mael dan Ejul masih tidak berpuas hati. Mael menggaru-garu kepala.

"Abang Hisham dah besar, takkan dia tak tahu Tuhan marah? Pelik lah mak.." Soal Mael lagi. Mak Kiah menumpukan sepenuh perhatian kepada anak lelakinya itu.

"Tentulah dia tahu, tapi, tahu saja tidak memadai. Harus ada rasa yakin dan percaya. Barulah kita tidak berani berbuat apa saja yang dilarang Tuhan." Jelas Mak Kiah pula.

"Apa beza tahu dan yakin mak?" Mael bertanya lagi. Ejul yang berdiri di sebelahnya angguk-angguk kepala tanda ingin tahu. Mak Kiah mengukir senyuman.

"Kamu tahu tak periuk ni panas?" Mak Kiah tidak menjawab malah kali ini dia pula yang bertanya sambil menunjukkan jarinya ke arah periuk yang sedang mendidih di atas dapur kayu. Mael dan Ejul sungguh-sungguh anggukkan kepala. Tandanya mereka tahu.

"Cuba letak tangan kamu kat atas periuk tu Mael," Pinta Mak Kiah pula.

"Eh! Tak nak la mak, panas tu! Sakit la tangan Mael nanti," Pantas Mael mengelak. Dia menyorokkan kedua belah tangan di belakangnya. Mak Kiah ketawa kecil, lucu melihat gelagat anaknya itu.

"Maknanya Mael tahu periuk itu panas dan sangat yakin bahawa ia panas. Sebab tu Mael tak mahu pegang. Begitulah umpamanya. Kalau Mael tahu periuk itu panas, tapi Mael tetap juga pegang periuk itu maknanya Mael tidak yakin. "

"Tahu Tuhan marah dan yakin bahawa Tuhan marah maka kita tidak akan buat apa yang Tuhan larang. Melainkan kita tidak yakin, barulah kita tergamak buat apa yang Tuhan larang.. Mengerti?" Sambung Mak Kiah lagi. Bersungguh-sungguh mahu kedua anaknya itu faham. Dan jauh di sudut hatinya mendoakan agar anak-anaknya itu menjadi anak yang soleh.

"Okey mak, sekarang Mael dah faham. Mael tahu Tuhan marah kalau kita buat benda-benda jahat, lepas ni Mael takkan buat benda-benda jahat lagi. Mael percaya Tuhan akan marah, Mael taknak dibenci Tuhan. Mael sayang mak, Mael sayang Tuhan. Terima kasih mak," Ujar Mael jujur sambil memeluk emaknya. Mak Kiah membalas pelukan anaknya. Tersenyum.

Allah berfirman dalam Surah An-Naml, ayat 4 dan 5.

"Sesungguhnya orang2 yang tidak beriman kpd hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan2 mereka (yang buruk) sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan. Mereka itulah orang2 yang akan mendapat seksaan buruk dan mereka di akhirat adalah orang2 yang paling rugi."

Naauzubillahiminzalik.

No comments: