+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, September 24, 2010

Lagu Itu Lagu Kita

Lagu itu adalah lagu kita, senandung kita berdua tatkala mentari merangkak laju meninggalkan kita. Lagu itu juga sering kita dendangkan bila mana kita bersama mendongak langit menghitung bintang. Lagu itu, lagu yang sama. Seia dan seirama. Merdu dan mengasyikkan. Aku suka. Kau pun suka.

Lagu itu tetap juga sama. Melodinya sama. Iramanya juga serupa. Namun kita tidak lagi menyanyi bersama-sama. Aku hanya aku. Kau hanya kau. Kita tidak lagi satu. Aku berduka. Kau pun berduka. Lagu itu kedengaran sumbang. Aku tidak gembira. Kau juga tidak gembira.

Apakah lagu itu yang bersalah? Tapi apa salahnya?

Atau kitakah yang berdosa? Namun apa pula dosa kita?

Lagu itu tetap sama.. Namun yang berubah adalah kita. Kau dan aku.

Barangkali, bila hati dihiasi cinta. Semuanya dirasakan indah. Dan bilamana cinta bertukar benci, semuanya berubah seratus peratus.

Segalanya terbit dari hati kita. Hati aku dan hati kau. Andai baik hati ini, maka baiklah segalanya. Andai busuk hati ini, maka busuklah segalanya. Aduhai. Inikah lumrah kehidupan?

Aku masih ingin menyanyi lagu yang serupa. Irama yang serupa. Melodi yang sama. Dengan kau. Hanya kau.

Tanpa kau, segalanya bagaikan tiada erti. Tiada lagi warna dalam hidupku ini. Tiada lagi senandung indah kau dan aku. Yang aku rindui.


No comments: