+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, September 30, 2010

Cinta Hanya Semusim


Cinta Hanya Semusim


Kelmarin cintaku merah membara

Menyinar terang segenap jiwa
Mengajar erti sejuta bahagia
Menyulam makna di sebalik rasa



Dan aku bagaikan rerama
Leka menari terpalit noda
Cinta semusim hanya sandiwara
Bahagia dikejar hanya sementara



Hari ini cintaku kecundang layu
Terbang sirna ditiup sang bayu
Tinggalkan aku diam membisu
Tanpa suara terduduk kaku



Wahai cinta semusim,
Kenapa kau datang?
Dan mengapa pula kau pergi?



Kau datang bagai sang bayu membelai pipi
Dan kau pergi bagai taufan menggoncang alam



Oh cinta semusim,
Fitrahmu memang begitu,
Kau tidak akan aku tangisi,
Pergimu tidak akan ku kesali.



Aku mencari dan terus mencari.
Cinta yang tidak semusim.
Di manakah letaknya?
Mampukah aku miliki.



Bisakah aku temui?
Cinta yang kekal abadi?
Biar bertukar seribu musim.
Hangatnya tetap membara.



Oh kekasih.
Dengarlah lafaz cintaku ini.
Inilah kalimah keramat.



Lailahaillallah..



Tiada Tuhan disembah melainkan Allah.
Dan hanya cinta-Mu yang satu.
Kembang mewangi sepanjang musim.








Tuesday, September 28, 2010

Saya Lebih Baik tapi Mengapa....

Pertama sekali, tahniah kepada sahabat-sahabat yang baru selesai bergraduasi.

Alhamdulillah. Setelah berusaha bertahun lamanya, memerah otak dan tenaga, akhirnya segulung sijil/ijazah/diploma kini dalam genggaman. Alhamdulillah. Semoga dengan kejayaan anda hari ini, menjadi sumber inspirasi kepada diri sendiri dan mereka yang lain untuk terus mengutip lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang, insyaAllah.

Menggunakan ruang masa yang sempit, kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak luahan seorang sahabat, yang juga baru selesai meraikan majlis konvokesyen. Apapun. Sekalung tahniah kepada beliau yang mendapat keputusan yang cemerlang, dengan CGPA 3.71 dalam jurusan kejuruteraan, tentunya pada mata saya, dia bukanlah calang-calang orang. Terima kasih Tuhan kerana izinkan saya untuk mengenali dia.

Lagaknya seorang adik, sering juga dia meluahkan rasa kecewanya. Kecewa kerana dengan keputusan yang agak cemerlang, namun gaji yang diperolehi kini jauh lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain. Dia seolah-olah tiada semangat dan iltizam untuk bekerja. Setiap masa terfikir untuk berhenti kerja dan menyesali nasib diri yang tidak 'secemerlang' kawannya yang lain.


Rezeki itu milik Allah.

Sesungguhnya rezeki itu milik Allah, Dia memberi kepada sesiapa yang Dia mahu dan Dia juga berhak mengambilnya semula bila-bila masa yang Dia kehendaki. Oleh itu, bersabar dan bersyukurlah dengan apa yang kita miliki pada hari ini.

Bersyukur bukan bermakna kita harus mudah berasa puas hati dengan apa yang kita ada sehingga membuatkan kita malas untuk berusaha lebih gigih. Dan kita juga tidak seharusnya tiada lagi keinginan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang. Bersyukur biarlah kena pada konteks dan tuntutan syariat Islam. Jangan berhenti berusaha dan berdoa. Jangan pula sesekali menyesali nasib diri dan menyalahkan takdir Ilahi.

Allah telah berfirman..

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. [Al-Baqarah : 245]

Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi siapa yang Ia kehendaki, dan menyempitkannya. Sesungguhnya Ia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. [Isra : 30]

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tetap tiap-tiap sesuatu. [Al-Ankabut :62]

Dan mengapa mereka tidak melihat bahawa Allah meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Ia juga yang menyempitkannya Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang yang beriman. [Rum : 37]

Saba’ [36] Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Az-Zumar [52] (Mengapa mereka mendakwa demikian), tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).

As-Syura (As-Shura) [12] Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Maka, saya menyeru sahabat sekalian dan diri sendiri jua adanya agar sentiasa bersykur dengan anugerah dan kurniaan dari-Nya.

Jika kita merasa susah, ingatlah bahawasanya lebih ramai manusia yang jauh lebih susah daripada kita. Jika kita keliru dan ternanti-nanti peluang kerja yang lebih baik, ingatlah bahawasanya berapa ramai diluar sana yang menganggur, malahan terpaksa mengemis dan membuat kemungkaran seperti merompak dan mencuri demi mendapatkan sesuap nasi. Syukurlah.. Setidaknya tulang empat kerat kita masih dapat berfungsi dan masih lagi mampu berbakti kepada kita. Alhamdulillah.

Jangan dikesali kenapa gaji kita tidak setinggi mereka.. Seeloknya bermuhasabahlah. Ketahuilah, setiap apa yang Allah tentukan, pasti ada hikmahnya yang tersembunyi. Positif dan optimis sentiasa, moga kita dirahmati Allah. InsyaAllah.

Friday, September 24, 2010

Tahu atau Yakin

Mak Kiah bukanlah orang senang. Hidupnya susah. Kais pagi makan pagi, kais petang pula untuk makan petang. Kehidupannya bertambah susah apabila suami tersayang kembali ke rahmatullah sejak 5 tahun yang lalu. Membesarkan anak-anak seramai empat orang seorang diri bukanlah suatu tugas yang mudah. Namun begitu, tidak sesekali Mak Kiah mengalah. Selagi kudrat tulang empat keratnya masih ada, selagi itulah dia akan terus berusaha untuk mendapatkan sesuap nasi dan membesarkan anak-anaknya.

Hari kian petang. Mak Kiah sedang terbongkok-bongkok di dapur sedang menyiapkan juadah berbuka puasa untuk anak-anaknya. Dia sedang merebus ubi kayu dalam periuk menggunakan dapur kayu. Asap berkepul-kepul menghiasi ruang dapur. Sekali-sekala Mak Kiah menggenyeh matanya yang pedih dimasuki asap.

"Emak! Emak!" Tiba-tiba suara kecil anaknya yang bongsu mengejutkan lamunannya. Ejul dan abangnya Mael sedang berlari-lari menuju ke arahnya. Mak Kiah membulatkan matanya, bertanya kepada kedua anaknya itu.

"Ada apa nie? Sape kejar kamu?"

"Bukan kena kejar mak, kitorang nampak Abang Hisham tadi dengan kawan dia, tak puasa mak! Tengah makan kat belakang bangsal," Tercungap-cungap Mael menjawab.

Belum sempat berkata apa-apa, anaknya yang bongsu pula mencelah.

"Mak, tak apa ke dah besar-besar tak puasa? Tuhan tak marah ke?"

Mak Kiah terdiam seketika. Cuba menyusun kata-kata bimbang nanti tersalah bicara.

"Mana boleh tak puasa. Tentulah Tuhan marah." Seringkas mungkin dia cuba menjawab. Mael dan Ejul masih tidak berpuas hati. Mael menggaru-garu kepala.

"Abang Hisham dah besar, takkan dia tak tahu Tuhan marah? Pelik lah mak.." Soal Mael lagi. Mak Kiah menumpukan sepenuh perhatian kepada anak lelakinya itu.

"Tentulah dia tahu, tapi, tahu saja tidak memadai. Harus ada rasa yakin dan percaya. Barulah kita tidak berani berbuat apa saja yang dilarang Tuhan." Jelas Mak Kiah pula.

"Apa beza tahu dan yakin mak?" Mael bertanya lagi. Ejul yang berdiri di sebelahnya angguk-angguk kepala tanda ingin tahu. Mak Kiah mengukir senyuman.

"Kamu tahu tak periuk ni panas?" Mak Kiah tidak menjawab malah kali ini dia pula yang bertanya sambil menunjukkan jarinya ke arah periuk yang sedang mendidih di atas dapur kayu. Mael dan Ejul sungguh-sungguh anggukkan kepala. Tandanya mereka tahu.

"Cuba letak tangan kamu kat atas periuk tu Mael," Pinta Mak Kiah pula.

"Eh! Tak nak la mak, panas tu! Sakit la tangan Mael nanti," Pantas Mael mengelak. Dia menyorokkan kedua belah tangan di belakangnya. Mak Kiah ketawa kecil, lucu melihat gelagat anaknya itu.

"Maknanya Mael tahu periuk itu panas dan sangat yakin bahawa ia panas. Sebab tu Mael tak mahu pegang. Begitulah umpamanya. Kalau Mael tahu periuk itu panas, tapi Mael tetap juga pegang periuk itu maknanya Mael tidak yakin. "

"Tahu Tuhan marah dan yakin bahawa Tuhan marah maka kita tidak akan buat apa yang Tuhan larang. Melainkan kita tidak yakin, barulah kita tergamak buat apa yang Tuhan larang.. Mengerti?" Sambung Mak Kiah lagi. Bersungguh-sungguh mahu kedua anaknya itu faham. Dan jauh di sudut hatinya mendoakan agar anak-anaknya itu menjadi anak yang soleh.

"Okey mak, sekarang Mael dah faham. Mael tahu Tuhan marah kalau kita buat benda-benda jahat, lepas ni Mael takkan buat benda-benda jahat lagi. Mael percaya Tuhan akan marah, Mael taknak dibenci Tuhan. Mael sayang mak, Mael sayang Tuhan. Terima kasih mak," Ujar Mael jujur sambil memeluk emaknya. Mak Kiah membalas pelukan anaknya. Tersenyum.

Allah berfirman dalam Surah An-Naml, ayat 4 dan 5.

"Sesungguhnya orang2 yang tidak beriman kpd hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan2 mereka (yang buruk) sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan. Mereka itulah orang2 yang akan mendapat seksaan buruk dan mereka di akhirat adalah orang2 yang paling rugi."

Naauzubillahiminzalik.

Lagu Itu Lagu Kita

Lagu itu adalah lagu kita, senandung kita berdua tatkala mentari merangkak laju meninggalkan kita. Lagu itu juga sering kita dendangkan bila mana kita bersama mendongak langit menghitung bintang. Lagu itu, lagu yang sama. Seia dan seirama. Merdu dan mengasyikkan. Aku suka. Kau pun suka.

Lagu itu tetap juga sama. Melodinya sama. Iramanya juga serupa. Namun kita tidak lagi menyanyi bersama-sama. Aku hanya aku. Kau hanya kau. Kita tidak lagi satu. Aku berduka. Kau pun berduka. Lagu itu kedengaran sumbang. Aku tidak gembira. Kau juga tidak gembira.

Apakah lagu itu yang bersalah? Tapi apa salahnya?

Atau kitakah yang berdosa? Namun apa pula dosa kita?

Lagu itu tetap sama.. Namun yang berubah adalah kita. Kau dan aku.

Barangkali, bila hati dihiasi cinta. Semuanya dirasakan indah. Dan bilamana cinta bertukar benci, semuanya berubah seratus peratus.

Segalanya terbit dari hati kita. Hati aku dan hati kau. Andai baik hati ini, maka baiklah segalanya. Andai busuk hati ini, maka busuklah segalanya. Aduhai. Inikah lumrah kehidupan?

Aku masih ingin menyanyi lagu yang serupa. Irama yang serupa. Melodi yang sama. Dengan kau. Hanya kau.

Tanpa kau, segalanya bagaikan tiada erti. Tiada lagi warna dalam hidupku ini. Tiada lagi senandung indah kau dan aku. Yang aku rindui.


Wednesday, September 22, 2010

Kehidupan Hari Ini

Sambutan hari raya Aidilfitri saya mungkin tidak semeriah sahabat yang lain. Hanya ala kadar setakat termampu. Manakan tidak, saya cuma empat beradik, semuanya belum berumah tangga kecuali kakak yang sulung. Dan tahun ini giliran kakak dan keluarga beraya di kampung suaminya, bersama ke tiga-tiga anak buah saya dan abang ipar saya. Maka tinggallah saya dan emak bersama dua orang adik lelaki, menyambut ketibaan 1 Syawal. Tanpa suara riuh rendah kanak-kanak. Cuma kami berempat.

Suasana malam dan pagi raya agak sunyi dan suram namun walau apapun, saya tetap bersyukur seadanya. Alhamdulillah, setidak-tidaknya saya masih punya emak dan adik-adik. Juga makcik-makcik, sepupu-sepupu dan jiran tetangga. Maka nikmat Tuhan yang mana lagi ingin saya dustai?

Saya bertolak balik ke Shah Alam pada hari raya ke-5 kerana perlu bekerja pada keesokan harinya. Memandangkan cuti raya kali ini agak panjang, kakak saya bersama keluarganya mengambil kesempatan untuk pulang beraya ke Kelantan. Dek kerana tuntutan kerjaya, saya terpaksa untuk bertolak pada hari tersebut sedangkan hari itu juga kakak saya tiba di Kelantan dari Johor.

Di takdirkan Allah, kami tidak bertemu sepanjang minggu itu.

Jarak rumah saya dengan rumah kakak bukanlah jauh. Emak pula tinggal bersama kakak. Mengasuh ketiga-tiga cucunya. Makin dekat makin terasa rindunya barangkali. Setiap hujung minggu saya akan menziarahi mereka. Selalu juga saya bermalam di sana. Masakan tidak, kehadiran saya di sana seolah-olah sentiasa dinanti-nantikan, dan diraikan. Pantang singgah, pasti ada yang memujuk agar saya tinggal lebih lama. Atau ada masanya saya ada urusan lain di hujung minggu, telefon ini tidak pernah sunyi dari panggilan mereka di teratak itu. Menantikan kehadiran saya di sana.

Ada hikmahnya saya tidak berumahtangga. Setidaknya, di usia begini saya masih punyai kesempatan untuk tidur sekatil bersama emak, dan kedua orang anak saudara saya. Sementelah emak sudah empat tahun hidup tanpa ayah. Saya tahu emak sunyi. Perlu teman untuk berkongsi perasaan. Kebiasaanya kami bersembang sebelum tidur, bercerita, berbual, berbincang dan macam-macam lagi. Alya dan Ashraf paling ketara gembiranya bila saya bermalam di sana. Walaupun emak tidak menampakkan kegembiraanya. Namun saya tahu, emak yang paling gembira dengan kehadiran saya di sana.

Hujung minggu lepas, setelah masing-masing kembali ke Shah Alam, saya berkesempatan menziarahi keluarga saya. Emak saya dan kakak serta keluarganya.

Bagai berbulan lamanya tidak bertemu. Ashraf dan Alya gembira bukan kepalang. Seronok mereka melihat kehadiran saya.

Malam itu kami tidur bersama-sama. Katil itu 2 tingkat, namun kami berempat semuanya tidur di katil bawah. Bersesak-sesak seperti sardin. Seronok walaupun kadang-kadang sakit belakang ditendang anak buah yang lasak tidurnya. Redha saja.

Alya dan Ashraf berebut-rebut mahu tidur di sebelah saya. Untung adik mereka Amni masih kecil tidak mengerti apa-apa. Maka untuk waktu ini, cukuplah kiri dan kanan saya untuk mereka berdua. Kiri Alya, kanan Ashraf. Saya pula tidak dibenarkan mengiring ke arah sesiapa kerana keduanya cemburu, maka sementara menanti mereka tidur, terpaksalah saya tidur menelentang. Bukan setakat itu saja, saya juga diminta agar bercerita kepada mereka sehingga mereka tidur. Bed time stories secara spontan. Jenuh juga saya memerah otak mereka cerita. Hehe.

Bila kematian akal, saya meminta mereka pula bercerita. Cerita kami selalunya rekaan semata-mata. Lucu dan kelakar kadang-kadang membuat kami ketawa. Mendengar suara kami, ibu mereka ada datang menjenguk dan ikut tersengih. Tidak lama kemudian keluar mendapatkan anaknya yang bongsu. Kami bercerita bergilir-gilir hingga akhirnya Ashraf tertidur di atas lengan saya. Dan kemudian diikuti oleh Alya. Suasana kembali sepi. Tinggal saya dan emak.

Malam kian tua. Mata kian berat dan akhirnya saya dan emak juga ikut sama beradu. Berakhirlah kisah kami pada hari itu. Dengan izin Allah jua adanya.

Masa terus berlalu, dari hari ke hari. Saya memandang ke depan, setiap saat dan detik. Mungkin hidup saya tidak seindah hidup kalian, tidak sebahagia sahabat-sahabat yang lain namun saya syukuri setiap apa yang saya miliki hari ini seadanya. Kadang terbit perasaan resah dan bimbang dalam diri ini, apakah yang akan terjadi kepada diri saya kelak bila saya bukan lagi saya seperti hari ini?

Bukan saya tidak takut untuk terus melangkah ke hadapan. Tapi saya juga sedar, ketakutan itu tidak akan ke mana-mana. Umpama bayang-bayang yang tidak mampu melukai saya walau seinci. Belum tentu menjelma atau tidak. Semuanya tidak pasti. Hidup ini adalah suatu perjuangan yang sentiasa berpanjangan, yang kita tidak tahu di mana pengakhirannya. Dan selagi kita masih bernafas, selagi itu jugalah, kita harus sentiasa berjuang.

Saya hanyalah manusia biasa. Namun saya percaya, hanya Allah yang Maha Berkuasa atas segalanya.

Hasbunallahuwanikmalwakil.








Monday, September 20, 2010

Duka Seorang Pendosa

Malam itu malam yang biasa.
Sepi seperti sentiasa.
Tanpa suara tanpa kata.
Sendirian aku menghitung dosa.

Di situ aku duduk bersimpuh.
Menadah ke dua tangan menatap jauh.
Airmataku berguguran mengalir jatuh.
Menginsafi diri tak kenal erti jenuh.

Oh Tuhanku yang Maha Esa.
Aku hamba-Mu yang hina.
Sering lupa, selalu alpa.
Tak pernah jemu membuat dosa.

Wahai Tuhan yang Maha Pengasih.
Apakah aku insan terpilih?
Pernah jatuh kembali bertatih.
Akankah bahagia sesudah bersedih?

Wahai Tuhan yang Maha Agung?
Rahmat-Mu luas memayung.

Hanya ampunan-Mu aku dambakan.
Hanya redha-Mu aku harapkan.

Pipi basah disirami airmata.
Duka sengsara seorang pendosa.
Mengharap ampunan dari Yang Esa.
Moga dikasihi dikurniakan redha.

Oh Tuhanku Allah.
Hanya Kau yang aku sembah.
Hanya pada-Mu aku berserah.

Wahai Tuhan.
Kurniakanlah aku ampunan.
Biar ringan segala beban.









Wednesday, September 15, 2010

Warkah Cinta dari Kekasih

Disember 2009 : Warkah Cinta Pertama

Safiya sedang leka menggosok sepasang baju kurung biru bercorak bunga-bunga kecil. Kuliah hari itu bermula jam 2 petang, kemudian langsung tanpa sengkang waktu sehingga ke kuliah terakhir yang akan selesai tepat jam 6 petang. Diyana sedang sibuk mengemas meja tulisnya. Baru selesai membuat ulangkaji. Pelajar kejuruteraan seperti mereka lumrahnya begitu, susah berenggang dengan kalkulator, kertas kosong, buku teks atau buku latihan, ditambah pula dengan alat-alat tulis yang lain, memang alang-alang membuat ulangkaji, tidak sah jikalau meja tidak penuh.

"Tok! Tok! Tok!"

Bunyi pintu diketuk mengejutkan lamunan dua anak gadis yang sedang bermukim di bilik bernombor 305 itu. Safiya dan Diyana saling berpandangan. Mengangkat kening kemudian menjungkitkan bahu masing-masing, tanda tidak tahu siapakah gerangan di luar pintu.

"Assalamualaikum," Suara kecil memberi salam dari luar. Tanpa berlengah Diyana bingkas bangun berjalan menuju ke arah pintu bilik.

"Waalaikum salam wbt.. Ya? Nak jumpa siapa?" Soal Diyana sebaik sahaja tubuhnya bertentangan dengan susuk tubuh seorang gadis berseluar jeans biru dan memakai t-shirt berwarna putih. Gadis di hadapannya mengukirkan senyuman.

"Kak, ini bilik Kak Safiya ke?" Tanya gadis itu pula. Diyana angguk kemudian menyeru nama Safiya. Safiya segera datang menghampiri.

"Saya Safiya, ada apa ya?" Kali ini giliran Safiya pula yang bertanya. Gadis di hadapannya masih lagi tidak jemu mengukirkan senyuman.

"Ada orang minta saya sampaikan sesuatu pada akak, ini dia," Akhirnya gadis berbaju putih itu menyuarakan maksud hatinya seraya menghulurkan sekeping sampul surat berwarna biru cair kepada Safiya. Terpinga-pinga, Safiya menyambutnya dengan tangan kanannya sambil bibirnya mengucapkan kata terima kasih.

"Okey kak, saya minta diri dulu ya," Gadis itu meminta diri kemudian terus berlalu pergi meninggalkan Safiya yang sedang berteka-teki. Perlahan-lahan dia membuka sampul surat di tangannya itu kemudian menarik keluar sehelai kertas yang berlipat rapi.

"Ehem! Ehem! Nampaknya orang tu ada Secret Admirer laa.. " Diyana yang berdiri di sebelah kanannya cuba mengusik. Dia tersenyum nakal.

"Mana ada.. Mungkin kawan-kawan kita mahu mengusik kot," Ujar Safiya pula cuba menafikan.

"Belum baca lagi mana tahu," Sambung Diyana lagi. "Bacalah!"

*************************************************

Assalamualaikum wbt..

Pertama sekali, saya mohon maaf andai kehadiran warkah ini mengganggu ketenteraman saudari. Namun saya tiada pilihan lain kerana saya benar-benar ikhlas ingin mengenali saudari dengan lebih dekat lagi.

Saudari mungkin tidak kenal saya, namun sejujurnya kita sudah beberapa kali terserempak kerana kita belajar di fakulti yang sama fakulti. Salam perkenalan dari saya, Muhammad Haikal.

Setiap kali terpandangkan saudari, tanpa saudari sedar, hati saya terdetik bahawa saudari adalah insan terpilih untuk menghiasi taman hati saya, lalu memaksa saya mengutus surat ini sebagai pengganti diri, untuk menyampaikan maksud hati. Apakah saudari sudi menjadi teman istimewa saya?

Saya mungkin keterlaluan, mohon maafkan saya, namun saya kira, tidak salah andai saya mencuba.

Moga Allah memakbulkan doa-doa saya. Dan menyatukan hati-hati kita.

Amin ya rabb.


Yang Ikhlas,

Muhammad Haikal

*************************************************

Januari 2002 : Untaian Kasih Bingkisan Cinta

Warkah pertama yang diterima setahun lepas masih disimpan rapi dalam kotak empat segi bercorak bunga mawar merah. Kotak itu bukan hanya menyimpan sekeping surat, malah tidak terhitung banyaknya. Semuanya ditulis dan dikarang, dititip oleh sang kekasih hati penyeri kehidupannya kini. Safiya benar-benar bahagia, dipuja dan dicintai oleh seorang adam bernama Muhammad Haikal.

Biar pun ramai yang menghalang, tidak senang melihat keakrabannya bersama Haikal, Safiya tidak pernah peduli. Jika dulu tiada siapa yang mengambil berat tentang makan minumnya, kini Haikal sentiasa ada di sisinya saat dia memerlukan. Jika sebelum ini Safiya sentiasa rasa kesunyian, kini Haikal penyeri dan pengisi segala kekosongan. Jika sebelum ini Safiya tidak pernah kenal erti cinta dan rindu, kini Haikal telah berjaya mengajar Safiya tentang erti cinta dan rindu.

Benarlah kata orang, cinta itu buta. Bukan sahaja membutakan mata, malahan menutup telinga dan hati. Yang kelihatan cuma yang indah-indah.

Bukan sahaja Haikal, Safiya juga kian hanyut dalam dunia khalayan ciptaan mereka. Tudung labuh kian singkat. Baju longgar kian ketat. Teman-teman rapat ditinggalkan. Di jiwanya hanya Muhammad Haikal.

Safiya bahagia dengan dunianya. Betapa hatinya berbunga riang tatkala menerima warkah cinta dari sang kekasih. Betapa dia bahagia dicintai dan disayangi oleh seorang kekasih. Betapa dia tidak pernah jemu membaca bait-bait cinta yang dititip seorang pemuja. Berulang kali ditatap surat cinta itu tanpa rasa bosan. Warkah cinta dari seorang kekasih buat sang kekasih. Safiya tersenyum sendirian. Benar-benar bahagia. Memintal angan-angan.

Cinta benar-benar misteri. Kerana cinta, semuanya dirasakan indah. Kerana cinta, hati merasa bahagia. Kerana cinta, dosa bagai tidak terasa apa. Kerana cinta, akal kian gagal berfungsi, tidak mampu membezakan mana yang betul dan mana yang salah.

Kerana cinta, segalanya sanggup digadaikan.

Warkah cinta dari sang kekasih ditatap lagi. Safiya kaku di birai katil. Merenung jauh merentasi demensi ruang dan waktu.


Mei 2004 : Warkah Cinta Menjadi Cebisan

Safiya menarik laci mejanya. Kotak empat segi bercorak bunga ros merah dicapainya pantas. Kotak itu dibukanya segera. Warkah-warkah cinta bersusun di dalam Banyak jumlahnya. Bertahun dia mengumpulkan kesemua warkah-warkah itu. Kini menjadi tebal. Jika disatukan boleh menghasilkan sebuah novel.

Safiya memilih secara rawak, kemudian membaca beberapa keping warkah itu. Airmatanya mengalir laju. Kata-kata manis yang tertera di helaian kertas putih itu kini sepahit hempedu. Hatinya benar-benar terluka. Hancur pecah berderai. Tidak mungkin bersatu lagi. Insan yang dulu memujanya kini beralih arah. Cinta sang kekasih bukan lagi menjadi miliknya seorang. Safiya kecewa, hampa. Menangis kedukaan. Kesakitan. Hatinya berdarah parah.

Warkah cinta itu menjadi bisu, tidak mampu menjadi saksi agungnya cinta seorang kekasih. Warkah cinta itu tidak mampu berbuat apa-apa, tidak bisa mengembalikan selautan rasa kasih seorang kekasih. Warkah cinta itu menjadi bukti dusta yang nyata. Semuanya bohong! Palsu! Safiya menangis teresak-esak. Semahu-mahunya. Menyesali nasib diri.

Andai dapat diundurkan putaran masa, tidak ingin dia mengenali lelaki bernama Muhammad Haikal. Andai dapat diubah takdir hidupnya, tidak ingin dia membalas warkah cinta sang adam apatah lagi menyambut huluran kasih seorang lelaki pendusta. Ah! Semuanya hanyalah angan-angan. Yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Segalanya telah berlaku. Dan masa tidak mungkin boleh diundur. Hanya penyesalan bersarang di dalam dada. Safiya menangis lagi. Warkah-warkah cinta menjadi basah disirami air mata.

Terlalu banyak yang dikesalkan. Biarlah menangis airmata darah sekalipun, segalanya tidak mungkin akan kembali seperti sediakala. Maruahnya sudah pun tergadai, dia bukan lagi gadis yang suci. Dia jijik. Kotor. Hina. Dia pernah berzina. Bukan setakat itu, dia juga pernah membunuh jiwa yang tidak berdosa. Hanya kerana pujuk rayu seorang kekasih, dia tergamak melakukan segala dosa. Safiya menangis semahu-mahunya. Menyesali nasib diri. Tersilap dalam mengatur langkah. Akhirnya tersungkur di pertengahan jalan. Segalanya bermula dengan sekeping warkah dari sang kekasih.

Helaian kertas di dalam kotak dicarik-carik menjadi cebisan halus. Biarpun warkah itu telah koyak seribu, namun hatinya terasa sakit bagai disiat-siat. Bagai tiada penawar.


Jun 2007: Warkah Cinta Kekasih Abadi

Suara Safiya perlahan mengalunkan kalimah suci Al-Quran. Kadang-kadang suaranya tinggi dan ada masanya pula, suara itu hilang bila mana dia membaca terjemahan sambil mendalami setiap bait yang tertera. Hatinya kini berasa damai. Bahagia. Biarpun tanpa lelaki bergelar kekasih. Biarpun tanpa kunjungan warkah cinta dari sang kekasih.

Safiya masih lagi duduk bersimpuh. Dia mengelamun jauh sebaik sahaja membaca Surah Al-Mukminun Ayat pertama hingga ayat ke-tujuh yang berbunyi;

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas."

Ada resah bernaung di dalam jiwa. Safiya kegelisahan dihambat rasa bersalah namun meneruskan lagi bacaanya. Agar hati kembali tenang. Al-Quran adalah penawar. Safiya yakin. Selesai membaca Surah Al-Mukminun, Safiya menadah tangan memohon doa dan keampunan dari Ilahi, sungguh dia benar-benar telah banyak melakukan dosa. Titik-titik jernih mengalir dari kedua kelopak matanya.

"Mohon ampunkan dosaku Tuhan, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melampaui batas. Ampunkanlah dosaku Ya Tuhan," Rintih hati kecil Safiya. Berulang kali.

Selesai menunaikan Solat Fardu Isyak, Safiya mencapai naskah kecil berwarna pink yang terletak rapi di atas rak buku. Safiya menyelak helaian demi helaian kemudian berhenti pada Surah An-Nuur. Menyambung bacaannya yang tertangguh seketika.

Allahu Allah. Kolam matanya dipenuhi airmata tatkala membaca ayat pertama dan kedua Surah itu. Dia benar-benar dihambat rasa bersalah, diserang rasa berdosa.

"Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya). Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
"

'Ya Allah. Sungguh aku berdosa dan layak disebat seratus kali. Bagaimana mampu aku tebus segala dosaku ini? Terlalu besar dosaku pada-Mu Ya Tuhan.' Safiya merintih dan menangis semahunya. Airmata mengalir laju tanpa mahu berhenti.

Dalam tangisan dan esakan, Safiya meneruskan lagi bacaanya, bagai tercari-cari sesuatu kemudian berhenti lagi pada ayat yang kelima yang bermaksud, "Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "

Safiya menarik nafas dalam-dalam. Menyapu airmata yang masih setia mengalir. Dalam hati hanya mampu berdoa, moga Allah menerima taubatnya dan semoga dia kekal di jalan taubat. Dosanya bukan sedikit. Dosanya bukan kecil. Apakah Tuhan masih sudi menerima taubatnya? Safiya masih tertanya-tanya, mencari jawapan yang belum pasti.

Dari ayat ke ayat, akhirnya Safiya selesai menamatkan Surah An-Nuur. Quran terjemahan ditutup rapat lalu diletakkan kembali ke tempatnya. Dalam linangan air mata, Safiya mengangkat tangan memohon doa dan keampunan dari Tuhannya. Selesai mengaminkan doa, Safiya bangkit mengangkat takbiratulihram, lansung menunaikan Solat Sunat Taubat.


Warkah Cinta dari Kekasih

Segalanya bagai serba tidak kena. Dosa-dosa silam tidak pernah mahu menjauh, sentiasa menghantuinya. Membayanginya setiap detik dan saat. Safiya takut membayangkan azab-azab dan seksaan dari Allah. Dosanya seluas lautan, setinggi awan. Apakah ruang keampunan masih terbuka buatnya? Apakah Tuhan akan memakbulkan doa-doanya? Apakah kelak nanti neraka tempat buatnya? Safiya tidak pasti namun dia benar-benar gentar. Safiya takutkan seksa dan azab dari Allah.

Seperti kebiasaan, tatkala hati dirundung resah dan hiba, naskah kecil itu dirangkul dan dibacanya. Kini dia menyambung bacaan hingga ke Surah Al-Furqaan. Ayat demi ayat dibaca teliti dan cermat. Biar kalimat suci Ilahi terpahat kukuh di lubuk hatinya. Biar kata-kata Allah terpasak teguh di jiwanya.

Akhirnya Safiya membaca sampai ke-ayat yang ke-68 hingga ke -71.

"Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "

"Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat"

Kini airmatanya jatuh tidak tertahankan lagi. Matanya basah dipenuhi airmata, pandangannya menjadi kabur tatkala dia membaca terjemahan ayat tersebut, betapa Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Betapa Allah benar-benar mencintainya sedangkan dulu dia pernah berpaling. Safiya berasa jijik dan malu dengan dirinya sendiri. Terasa betapa dirinya begitu kerdil dan hina di hadapan Tuhannya.

'Allahu Allah. Sesungguhnya hanya Engkaulah Kekasih yang sejati. Biarpun segunung dosa hamba-Mu namun Engkau tetap jua mengampunkan. Aku ingin bertaubat dan janganlah Kau azab dan seksa aku pada hari kiamat kelak. Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri, dosaku terlalu besar namun janganlah Kau biarkan aku kekal dalam azab dan kehinaan. Jadikanlah aku hamba-Mu yang beriman dan tekun mengerjakan amal soleh, terimalah taubatku dan tempatkanlah aku dalam kebaikan Ya Allah. Terimalah taubatku Ya Allah. Amin ya rabb.' Dalam sendu, Safiya memohon doa dan keampunan. Dia bersyukur kerana percaya ruang buatnya masih ada. Dia bersyukur dan benar-benar rasa dicintai.

'Dan terima kasih Tuhan, atas kurniaan warkah cinta terindah itu buatku dan seluruh alam semesta. Aku cinta Kamu. Dan aku beriman pada kitab-Mu. Terima kasih Tuhan,' Bisik hatinya lagi tatkala kedua belah telapak tangannya diraupkan ke wajahnya sebaik sahaja dia mengaminkan doa-doanya.


I

Saturday, September 4, 2010

Mimpi Buat iluvislam Pecah Berderai???

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Yang menghidupkan dan mematikan. Yang pertama dan terakhir. Yang memiliki hari pembalasan.

Allahu Allah. Seiring masa berlalu, tidak pernah berhenti walau sedetik, kadang-kadang kita terlupa untuk berhenti sejenak, merenung dan muhasabah semula bekas jejak telapak kaki yang telah kita tinggalkan, jalan-jalan yang kita selusuri. Berlumba dengan masa kadang-kadang membuatkan dada kita sempit, terlupa dan tertinggal banyak perkara.

Saya juga, dalam mengejar sesuatu, ada sesuatu yang lain pula terciciran. Dalam mengehar mimpi, ada yang terluka dan terkorban. Allahu Allah. Mungkinkah itu sebuah harga yang perlu dibayar atau itulah bukti kelemahan diri ini?

Entri kali ini, saya ingin 'mengikut jejak' sahabat krew dan user iluvislam yang lain.

Di mana-mana saja, sering saya terbaca mengenai rungutan, luahan, pandangan, perkongsian mereka terhadap forum baru iluvislam. Luahan kerana sayang. Saya mengerti dan saya terima baik.

Mungkin silap saya, kelemahan saya sendiri sehingga saya tidak pernah terbaca apa-apa penjelasan dari pihak admin iluvislam terhadap luahan-luahan tersebut. Dan akhirnya, membiarkan para user tertanya-tanya dan penasaran. Luahan demi luahan dilontarkan.

Apapun, apa yang bakal saya tuliskan di sini, adalah bukan mewakili mana-mana pihak.

Antara luahan user adalah;

1. Status yang bersifat seperti FB. Jadi apa bezanya iluvislam dengan fb? Jujur, baik saya lepak FB. ahahaha. (Add friends, comments)

2.Warna tak menarik.

3.Sistem penyusunan forum. Tiada pop-ups.

Segalanya macam sudah 'mati'.Saya tidak lagi merasakan aura Iluvislam yang kuat seperti dahulu.

Kadang-kadang, saya bertanya kepada diri sendiri."Untuk apa aku lakukan kerja sukarela di Iluvislam ini?"

Jika dahulu, kita sememangnya berkobar-kobar untuk membantu.Membantu perjuangan Islam katanya. Tapi sekarang, mana perginya?Benarlah kata orang, dunia boleh melekakan kita, dunia boleh mengaburi.

Jika dulu, saya anggap Iluvislam sebagai madah ilmu yang baru.Tapi kini tidak lagi. Semangat saya kian luntur.

Iluvislam sudah banyak berubah. Forum yang saya 'bernafsu' untuk masuk kini pudar ditelan zaman. Forum interface berubah 100%. Daripada warna tema yang menarik kini bertukar persis Facebook. Dengan adanya ruangan status yang nampaknya semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan user Iluvislam.

Iluvislam hilang serinya. Mungkin pada orang lain, warna itu tidak penting. Tetapi bagi saya, warna mampu memberikan satu kesan yang besar kepada user. Dan tertariknya saya kepada Iluvislam ialah kerana warnanya di samping keinginan besar untuk berkongsi pendapat.

Mohon izin, saya berkongsi sesuatu. Dan awal-awal saya maklumkan. Saya menulis kali ini bukanlah mewakili mana-mana pihak, tapi ikhlas luahan dan pandangan saya sendiri.

====================================================

Sebagai salah seorang tenaga penggerak forum iluvislam.com. Yang pernah menyayangi iluvislam sepenuh hati, menatangnya bagai minyak yang penuh. Meluangkan banyak masa dan tenaga, menyerahkan jiwa dan mental untuk forum tersayang, jatuh atau bangun iluvislam, forum terutamanya, banyak memberi impak kepada diri saya dan sahabat moderator yang lain.

Manakan tidak, dikalangan kami, setiap masa, sepanjang waktu (ketika itu) kami sentiasa merancang, memikirkan, merangka, mencari penyelesaian terbaik demi iluvislam, demi forum, demi user, demi Islam tentunya. Bersama-sama bergabung tenaga, saling bergandingan dan membantu antara satu sama lain. Bila ada yang terluka, atau kaki menjadi lemah untuk terus melangkah, kami saling mengubati dan memimpin tangan antara satu sama lain. Indahnya ukhwah sesama kami, sehati sejiwa berbakti kepada Islam melalui iluvislam.

Masa terus berlalu. Dua tahun lamanya saya berbakti kepada iluvislam. Angka bilangan user juga terus menaik. Walaupun user datang dan pergi, kami tetap cuba untuk bertahan.

Lain user, lain keletahnya. Lain user, lain pemikiran dan cara penerimaanya. Lain user lain matlamat dan kehendaknya. Lain user lain cara melontarkan pandangan. Lain user lain pegangan dan fahaman. Bermacam-macam. Suka atau tidak, kami tetap jua cuba untuk terus bertahan.

Bilangan moderator tetap di takat yang sama. Namun, tugas kami para moderator kian bertambah. Search, bagi link, lock dan move thread, edit tajuk, mengingatkan user yang melanggar etika forum, memeriahkan lagi forum dengan perbincangan yang ilmiah dan menarik, meraikan user, menjawab pertanyaan-pertanyaan user, dan pelbagai lagi, berterusan dan berulang-ulang bagai tiada tanda-tanda mahu berhenti, ada masanya mampu membuat kami tertekan.

Sebagai orang tengah antara Presiden iluvislam dan para moderator, akhirnya saya menyuarakan rungutan saya, "Kasihan moderator dah penat, asyik buat kerja yang sama berulang tanpa henti,"

Kata Presiden iluvislam, "Sabar kak, tak lama lagi kita akan ada forum baru, insyaAllah kerja-kerja mod jadi mudah"

Subhanallah, betapa terubat hati saya ketika itu. Bersemangat kembali. Dan yakin bahawasanya 'penderitaan' kami di forum lama pasti akan berakhir jua tidak lama lagi setelah hadirnya forum baru. Sejak itu, saya ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu forum baru ini.

================

Dan akhirnya. Setelah penantian setahun lebih membuahkan hasil, Allah izinkan jua komuniti iluvislam (forum baru) ini dilancarkan jua.

Namun, dalam kegembiraan meraikan 'bayi baru' kami ini, kami sedikit kecewa dengan penerimaan sahabat user sekalian.

Begitu mudah kalian merungut, seolahnya, pihak iluvislam membuat apa-apa perubahan terhadap iluvislam.com tanpa sebarang perancangan rapi dan teliti. Seolah-olah pihak iluvislam merancang hari ini kemudian esok terus laksanakan. Seolah-olah pihak iluvislam tidak pernah memikirkan sebarang pro dan con dan mengabaikan suara hati para user yang kami kasihi. Kalian silap.

Jika dulu ada yang merungut bahawasanya forum tidak ilmiah. Dikuasai remaja dan kanak-kanak bawah umur. Menyebabkan perbincangan di forum menjadi tidak serius dan tiada info bermanfaat. Sekadar tempat luahan dan perkongsian masalah. Kalian juga pernah merungut, sikap sesetengah user yang tidak mematuhi etika forum. Membuka thread berulang. Thread rehatkan minda. Perbincangan entah apa-apa.

Kalian kecewa dan bersuara.

Tahukah kalian, mengapa forum kini tidak seperti dulu?

Kenapa tidak dipaparkan semua thread terkini pada halaman pertama agar mudah untuk di akses oleh sesiapa jua?

Antara sebab adalah agar para user dapat memilih kategori yang mereka minati, terlebih dahulu sebelum meneruskan apa-apa bacaan atau perbincangan. Umpama tapisan awal di peringkat pertama.

Maknanya, jika anda tidak minat sastera atau puisi, tidaklah anda sengaja meng-klik kategori cerpen/puisi. Dan seharusnya juga, anda tidak lagi merungut bahawasanya forum hanya tempat orang bersastera. Andai anda tidak meminati perbahasan politik, maka anda seharusnya tidak klik kategori berkenaan, dan sepatutnya juga, anda tidak akan merungut bahawasanya iluvislam kini menjadi lubuk mereka berkenaan berpolitik.

Demikian antara faktor, kenapa komuniti iluvislam adalah seperti sekarang.

Dan ketahuilah juga, komuniti sekarang ini jauh lebih canggih teknologinya. Lebih banyak tools menarik, yang boleh dimanfaatkan oleh user dan mod juga. Kini kerja-kerja mod menjadi lebih mudah, dengan features2 yang ada, alhamdulillah dan insyaAllah mod tidak lagi terbeban seperti dulu kala. Jika dulu, segalanya seolah-olah memerlukan tindakan secara manual, sekarang tidak lagi. Alhamdulillah.

Kenapa iluvislam seperti facebook?

Ini kerana, ini adalah sebahagian daripada cara untuk mencapai misi dan visi iluvislam yakni;

To Be The World's Leading Islamic Media of Choice

Saya pernah menulis DI SINI.. Mimpi Buat Iluvislam..

Mimpi untuk iluvislam

Jika Facebook berkembang pesat dalam beberapa tahun, begitu juga google, kenapa tidak iluvislam? Jika Facebook, dan Google mampu mendapatkan pulangan wang yang lumayan, kenapa tidak iluvislam? Jika Facebook, YouTube dan Google memiliki pekerjanya sendiri, kenapa tidak iluvislam? Tiada yang mustahil, dengan izin Allah, kita juga mampu.

Benar, wang bukanlah segala-galanya, tapi segala-galanya memerlukan wang. Untuk menyebarkan syiar Islam, membantu golongan fakir miskin, memantapkan ilmu pengetahuan orang Islam, membangunkan ummah, mewujudkan suatu legasi yang dikagumi, mengembalikan kegemilangan Islam; kita juga perlukan wang.

Saya bermimpi, iluvislam mampu memberikan peluang kerja kepada ratusan orang Islam, suatu masa nanti. Dan saya tahu, tiada salahnya saya bermimpi. Dan saya optimis, mimpi ini mampu menjadi kenyataan.

Dan jika selama ini, kehidupan seharian kita berkisar dengan segala ciptaan dan hasil kerja orang bukan Islam, dengan acuan mereka sendiri, kenapa tidak, melalui iluvislam, kita mencipta suatu acuan baru, acuan kita sendiri, sebagai orang Islam dan seterusnya ia diwarisi hingga ke generasi akan datang, tidakkah kita berbangga? Tidakkah itu lebih baik? Buang tepi MySpace yang galakkan pergaulan bebas, tolak tepi Facebook yang melalaikan, sampahkan segala web hiburan yang merosakkan iman! Pantang klik, ada saja gambar-gambar lucah, itukah yang kita mahu anak kita warisi kelak?

Saya optimis, iluvislam mampu pergi lebih jauh. Dan saya juga pasti, kakak saya atau sesiapa sahaja yang pada masa ini tidak dapat melihat iluvislam sebagai suatu wadah yang bermanfaat, insyaAllah, suatu hari kelak, anak-anak mereka yang akan berterima kasih kepada iluvislam.

Saya mungkin tiada apa-apa kepakaran, sumbangan saya teramat sedikit untuk iluvislam, tetapi, sokongan saya tidak berbelah bagi untuk iluvislam dan doa saya juga sentiasa mengiringi iluvislam. Ayuh, sahabat sekalian, bermimpilah bersama saya, berikan sokongan kepada iluvislam dan berdoalah.

Semoga Allah menjadikan impian kita ini suatu kenyataan. Amin..
Dan mengapa kita tidak boleh bermimpi? Dan mengapa kita tidak boleh pergi lebih jauh? Mengapa kita harus tetap di takuk yang lama sedangkan kita seharusnya berlari dan melompat lebih jauh untuk merealisasikan mimpi-mimpi kita?

Kebanyakan orang memang sukar menerima perubahan. Sejarah turut membuktikan, betapa Muhammad saw pernah dituduh orang gila bila menyampaikan ajaran baru yang sebenarnya dari Tuhan yang Esa. Ramai juga jiwa yang terkorban kerana Revolusi.

Jangan gentar. Jangan mengalah. Jangan undur ke belakang. Seharusnya, kita terus mara ke depan. Jika sebelum ini kita pernah berbakti, memperjuangkan iluvislam, jangan sekarang kita melepaskan pautan tangan kita dan membiarkan iluvislam terkapai-kapai. Jangan sampai ia lemas. Iluvislam perlukan kita semua.

Andai ombak mampu mengubah pantai. Jangan pula hati kita berubah dengan penambahbaikkan yang sedang dilalui oleh iluvislam.com kini. Jujur, kini iluvislam sedang melalui saat-saat sukar, dan tentunya, iluvislam perlukan kita semua. Peganglah 'tangan' jangan lepas.

Teruskan bertahan. Dan berdoa. Moga-moga detik sukar ini segera berlalu. Dan iluvislam kembali 'ceria' seperti dulu kala. Kita sayangkan iluvislam. Dan moga-moga anak cucu kita kelak juga berpeluang untuk menyayangi iluvislam.

===============================

Teman yang baik adalah teman yang sentiasa ada bila mana ia diperlukan.

Melarikan diri, meninggalkan iluvislam, atau sekadar memandang dari kejauhan tidak mampu mengubah apa-apa. Teruskan setia bersama iluvislam, berusaha untuk membiasakan diri dengan 'peralatan-peralatan' baru yang ada. Manfaatkan sebaik mungkin insyaAllah kebaikan dunia dan akhirat. Belum cuba belum tahu. Mula-mula mungkin sukar insyallah lama kelamaan, terbiasa juga. =)

Sekali lagi, saya menulis sekadar melontarkan sisi pandang saya sendiri. Tiada kena mengena dengan mana-mana pihak.

Apapun, saya percaya, semua yang sudi membaca entri ini, hingga ke perenggan ini, sama seperti saya, sangat menyayangi iluvislam.com.

Mimpi saya masih jua tetap sama.. Anda pula bagaimana?

Moga Allah merahmati kita semua. Amin ya rabb. Mohon maaf segala salah dan silap, salam permisi.

Wassalam.





Thursday, September 2, 2010

Tanyakan Wahai Muhammad..

Tanyakanlah (wahai Muhammad):

"Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?"


Mereka akan menjawab:

"Kepunyaan Allah".

Katakanlah:

"Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?"

Tanyakanlah lagi:

"Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?"

Mereka akan menjawab:

"(Semuanya) kepunyaan Allah".

Katakanlah:

"Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Tanyakanlah lagi:

"Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!"


Mereka akan menjawab:

"(Segala-galanya) dikuasai Allah".

Katakanlah:

"Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?"

(Bukanlah sebagaimana tuduhan mereka) bahkan Kami telah membawa kepada mereka keterangan yang benar, dan sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.

(Allah) Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata; maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah keadaanNya dari segala yang mereka sekutukan.

Katakanlah (wahai Muhammad):

"Wahai Tuhanku, kiranya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku (azab) yang dijanjikan kepada mereka (di dunia), -

"Maka wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal dalam kalangan kaum yang zalim itu".

Dan sesungguhnya Kami berkuasa memperlihatkan kepadamu azab yang Kami janjikan kepada mereka.

Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.

Dan katakanlah:

"Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan

"Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.

Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam -

Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.

(Sambil dikatakan kepada mereka):

"Bukankah ayat-ayatKu selalu dibacakan kepada kamu, lalu kamu terus-menerus mendustakannya?"

Mereka menjawab:

"Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami, dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat.

"Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim."

(Allah) berfirman:

"Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu!

"Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: ` Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat '.

"Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka.

"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya".

Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu):

"Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?"

Mereka menjawab:

"Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung

Allah berfirman:

"Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.

Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.

Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata):

"Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!"


Demikian firman Allah dalam Surah Al-Mukminun, ayat 84 sehingga ayat 118

Dan Dia lah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. "

Surah Al-Mukminun: Ayat 78