+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, July 18, 2010

Kita Minta Dari Siapa?

Kita bukanlah 'superhero' yang mampu mendapatkan segala yang kita inginkan cuma sekadar dengan memetik jari. Sebagai manusia yang punyai nafsu, naluri dan keinginan, sering sahaja kita berasa tidak cukup dan tidak puas dengan apa yang kita miliki.

Dari semasa ke semasa, tuntutan dan kehendak kita kian bertambah. Jika di zaman kanak-kanak, jumlah wang sebanyak RM 1 sangat besar nilainya kepada kita, namun seiring dengan peredaran masa, lama kelamaan, duit sebanyak RM1000 pun belum mampu memuaskan kita. Mungkinkah ini lumrah yang dilalui semua orang?

Jika dulu keinginan kita kepada makanan ringan dan baju baru. Bila usia sedang meningkat, keinginan kita juga berubah dan bertambah. Kita mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Kita mahu mempunyai kerja yang baik, gaji yang mahal. Kita mahu bernikah dan punyai keluarga yang bahagia. Kita mahu anak-anak kita berjaya dan banyak lagi kemahuan kita.

Syukur seandainya keinginan kita dapat kita capai namun bagaimana pula seandainya sebaliknya yang terjadi?

Keputusan akademik kita merosot. Kewangan kita terhimpit. Ke hulu ke hilir kita sendirian tanpa teman sejati. Di saat sahabat-sahabat memandu kereta sendiri, memiliki rumah kediaman masing-masing, dimeriahkan lagi dengan isteri dan anak-anak, kita masih lagi membujang. Menu setia selalu saja mee segera. Bagaiaman agaknya jeritan hati kita? Tuntutan naluri kita? Memberontak menjerit-jerit barangkali?

Sebagai seorang pelajar misalannya, kadang-kadang wang pinjaman atau biasiswa tidak mencukupi. Dengan wang sebanyak itu untuk membayar yuran, belanja harian, makanan minuman, yuran asrama, membeli buku, menyiapkan assingment dan lain-lain, kita kian terhimpit. Terdesak. Kita perlukan wang. Kepada siapa kita meminta?

Wajah-wajah pertama yang terbayang di minda kita tentunya mak dan ayah. Ya. Mereka orang pertama yang kita ingat di kala kita dalam kesusahan. Sebagai ibu dan ayah, tentunya mereka tidak akan menolak untuk menghulurkan bantuan. Kepada mereka kita memohon pertolongan.

Kita minta wang dari mereka, seolah-olah mereka mesin pencetak wang. Mereka orang pertama yang kita dekati seolah-olah merekalah yang paling hebat dalam segala hal. Lupakah kita kepada Allah yang Maha Pencipta? Bukankah Dia yang maha berkuasa? Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana. Dia yang Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar.

Tapi kenapa bukan kepada Dia kita memohon pertolongan? Mungkinkah Dia sedang merindui ratapan tangis rindu kita terhadap-Nya?

Betapa Islam itu agama yang sempurna.

Kita diwajibkan solat 5 waktu sehari. Disamping solat fardu, kita juga disunatkan mengerjakan solat-solat sunat seperti solat taubat, solat istikharah, solat hajat dan banyak lagi. Solat hajat didirikan bila kita mempunyai keinginan dan hajat yang ingin dicapai, bermohon dari Allah dan berdoa, moga-moga hajat terlaksanakan.

Jika kita inginkan sesuatu, maka tunaikanlah solat hajar, minta pertolongan daripada Allah swt. Saya berpendapat, ia adalah perkara pertama yang perlu kita lakukan kerana setiap kali solat, dan membaca surah al fatihah, sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat kita berikrar, "Iyya kana' budu waiyya kanasta'iin" yang bermaksud, " hanya kepada Allah kita sembah dan hanya kepada Allah kita mohon pertolongan. Hanya Allah kita sembah, dan hanya pada ALLAH kita mohon pertolongan. Habis kenapa kita tak minta pada Allah apa saja hajat kita? Kenapa kita sering melupakan Dia?

Tunaikanlah solat 2 rakaat, tadah tangan kepadaNya, mengadu dan mintalah pada Allah. Dia Maha Mendengar dan memakbulkan doa-doa hamba-Nya.

Bukankah Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita, baginda sendiri apabila berdepan dengan kesulitan dan masalah, segera berwudhuk dan mengerjakan solat. Oleh itu, kita seharusnya mencontohi baginda. Sekiranya kita mengalami apa-apa kesulitan atau kalau kita ada apa-apa hajat, maka, kerjakanlah solat.

Bukankah ALLAH ada berfirman dalam Quran.

Surah al-Baqarah ayat 45 , maksudnya ;

“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat….”

Dalam sebuah hadith disebutkan bahawa, apabila seseorang itu mengkehendaki sesuatu hajat, samaada hajat duniawi atau hajat ukhrawi, yang berkaitan dengan Allah atau dengan manusia, hendaklah dia mengambil wudhuk dengan sempurna, lalu segera mendirikan solat 2 rakaat, kemudian memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi SAW. Selesai bersolat maka berdoalah pada Allah mohon hajat diperkenankan. Mudah-mudahan doa tersebut dimakbulkan Allah swt.

Betapa indahnya agama kita. Begitulah ajaran Islam pada kita. Ada hajat, ada keinginan, ada masalah, perkara yang pertama harus kita lakukan adalah ingat kepada Allah swt yang maha berkuasa atas segalanya. Tiap apa yang berlaku adalah hanya dengan keizinannnya. Oleh itu, usah bertangguh, teruslah minta dengan Allah .

Tunaikanlah solat 2 rakaat, puji Allah , selawat ke atas Nabi SAW. Mengadu, merintihlah dan mohonlah pada Allah supaya menolong dan menentukan yang terbaik buat kita. Kerana sesungguhnya, hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Namun sayangngnya, mengapa kita sangat jarang melaksanakan apa yang diajar oleh baginda?

Ramai diantara kita, hanya menjadikan solat hajat dan doa ini sebagai cara atau jalan terakhir kita meminta sesuatu. Apabila dah tak berjaya, apabila dah tiada makhluk lain yang dapat menolong kita, barulah nak terhegeh-hegeh berdoa dan mohon pertolongan ALLAH. Adakah kita patut berbuat demikian? Mari muhasabah diri.

Sebetulnya, dalam apa jua perkara, perkara pertama yang perlu kita lakukan dulu ialah, solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah terlebih dahulu. Mohonlah sungguh-sungguh daripada Allah swt agar Dia menunaikan hajat dan permintaan kita.

Setelah kita meminta bersungguh-sungguh daripada Allah, maka berusahalah sedaya mampu kita untuk mencapai hajat dan keinginan kita tersebut. Mudah-mudahan, usaha yang kita lakukan itu adalah usaha yang terbaik, berkat doa dan restu dari-Nya dan seterusnya membuahkan hasil yang terbaik, InsyaAllah.

"Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."




No comments: