Setiap pagi saya perlu melalui kira-kira 30km jarak perjalanan dari rumah ke tempat kerja. Perjalanan tersebut mengambil masa paling minimum 30 minit, bergantung kepada jalan yang saya pilih.
Sungguh, terdapat beberapa jalan alternative, terserah kepada saya untuk memilihnya. Ada jalan yang licin dan lancar, namun perlu membayar lebih untuk tol dan jalannya pula lebih panjang. Ada jalan yang lebih pendek, namun terpaksa lalui banyak lampu isyarat, bulatan dan kesesakan lalu lintas. Tersilap pilih jalan, terperangkap dalam kesesakan, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 5 minit boleh jadi lebih setengah jam.
Benarlah, kita tidak tahu apa yang menanti kita di hadapan. Kita juga tidak tahu apa yang bakal kita hadapi. Dan sesungguhnya, hanya Allah yang lebih mengetahui segalanya.
Memandu kira-kira 35 minit pergi ke tempat kerja dan 40 minit balik dari tempat kerja, ternyata, saat-saat memandu adalah waktu yang agak signifikan buat saya. Selain hanya mampu mendengar radio, cd atau mp3, saat-saat memandu juga adalah salah satu “masa untuk diri saya sendiri.”
Masa untuk otak saya berkeliaran. Masa untuk saya berfikir tentang diri, tentang persekitaran, tentang kerja, tentang masa depan, tentang keluarga, arwah ayah, ibu yang kian meningkat usia, adik-adik yang entah bagaimana nasibnya, kakak-kakak, abang-abang, semuanya. Bersilih ganti. Rupanya, hidup ini ternyata bukanlah mudah. Tidak semudah kata, bukan semudah tulisan.
Teringat saya, suatu malam ketika sedang makan malam bersama teman serumah, sambil bersembang mana yang terlintas di fikiran kami pada waktu itu. Singkatnya, dia sedang merancang untuk bertunang, saya gembira untuk dia namun bila saya ditanya tentang perancangan nikah mudah saya menjawab seperti selalu, “As takpe, tak perlu risau apa-apa sebab As belum ada calon.” Lebih kurang begitulah kata saya.
Asyik makan dan bersembang, tiba-tiba sang teman bertanya, “As ada penyakit anoreksia seksual ke?”. Waktu itu saya ketawa, itu pertama kali saya mendengar istilah itu namun, saya dapat mengagaknya, sikit-sikit. Mahu tahu lebih, saya bertanya kepada dia. Ringkas dia menjawab, “Macam penyakit anoreksia yang takut gemuk tu lebih kurang, tapi anoreksia seksual takut kepada seks.”
Diizinkan Tuhan, malam tadi saya berkesempatan untuk melayari internet. Dengan keadaan yang agak merangkak-rangkak, saya membuat carian, sempat menziarahi satu laman web berkenaan anoreksia seksual. Ringkasan dari web tersebut, saya simpulkan, penyakit itu mungkin berpunca daripada kenangan silam contohnya dirogol ketika kanak-kanak, mengakibatkan seseorang itu trauma dengan seks sehingga menyebabkan dia membenci dirinya sendiri dan menyalahkan dirinya yang menjadi sebab dirogol.
Pesakit anoreksia seksual sanggup makan terlalu banyak, hingga menyebabkan dirinya menjadi gemuk agar dirinya tidak lagi menarik dan tiada daya tarikan seksual. Wallahua’alam.
Sekian dulu cerita tentang anoreksia seksual, untuk tahu selanjutnya, boleh lakukan carian, insyaALlah anda ketemu jawapannya. Menjawab persoalan teman, jawapan saya adalah tidak.
Itu cuma sebahagian soalan, asam garam yang terpaksa saya lalui. Sejujurnya bukan mudah menjadi seorang wanita yang hidupnya sendirian, tanpa teman bergelar suami. Tambahan pula, usia kian meningkat, rakan-rakan kebanyakkanya sudah berumah tangga, malahan mereka sudah berbahagia bersama anak-anak, pastinya keadaan saya ini menimbulkan seribu satu persoalan. Ramai yang hairan. Ramai juga yang tertanya-tanya dan tak kurang dari itu, ramai juga yang mendoakan, agar saya segera dipertemukan jodoh. Kepada semua yang berkenaan, terima kasih daun keladi saya ucapkan.
Saya juga menyusun sepuluh jari memohon maaf, kerana jawapan saya selalunya tidak mampu memuaskan hati banyak orang. Hingga ada yang ‘berteka-teki’. Kononnya saya sedang menghukum diri, menyucikan diri. Kononnya pula saya fobia dan trauma pada lelaki.
Kononnya lagi saya terlalu memilih dan cerewet. Tidak berusaha dan tidak mahu berusaha. Dan macam-macam lagi yang kadang-kadang membuat saya hanya mampu tersenyum. Harus bagaimana saya menjawab persoalan-persoalan mereka sedangkan saya sendiri tidak punyai jawapan yang jitu? Atau mungkin jawapan saya terlalu banyak hinggakan saya sendiri menjadi keliru?
Oleh kerana saya juga tidak tahu, apakah yang sebenar-benarnya. Saya serahkan segalanya kepada Allah yang maha kuasa.
Bicara mengenai jodoh. Setiap dari kita pasti punyai persepsi masing-masing. Ada jawapan dan penilaian yang tersendiri. Pandangan dan pendirian. Lain tempat, lain adatnya. Menonton filem atau drama luar Negara, jarang benar perbezaan umur menjadi isu. Tapi bagi orang melayu, ia dipandang pelik. Begitu juga bagi mereka, siapa yang memulakan langkah pertama bukanlah persoalan besar, namun bagi orang kita, adalah kurang manis sekiranya wanita yang menjadi pemula, hingga wujud peribahasa, “perigi mencari timba.”
Saya tidak larat lagi bercerita mengenai soal jodoh. Sebelum ini sudah banyak saya menulis mengenainya dan di mana-mana jua kita juga sering membaca mengenainya. Saya kira, cukuplah sampai di situ sahaja. Usah ditanya bila dan siapa, insyaALlah bila Allah telah tentukan, bila tiba masanya nanti, kahwinlah saya.
Lagipula, saya bukanlah ‘manusia normal’ seperti yang kalian selalu jumpa. Saya punyai ambisi dan impian yang agak berbeza dari mereka yang ‘normal’. Kisah saya telah terukir dan tertulis, berbeza. Dan kesinambungannya juga tentulah berbeza. Kadang-kadang, terbit rasa bahawa saya adalah makhluk asing, namun, itulah saya.
Mungkin orang normal, punyai impian, bila dewasa mahu belajar tinggi-tinggi, punyai kerjaya yang bagus, bernikah kemudian punyai keluarga yang bahagia. Namun saya tidak. Bukan bermakna saya anti dengan pernikahan, Cuma saya berbeza dari mereka yang normal. Saya ada sebab saya yang tersendiri dan dari situ, saya punyai perancangan yang tersendiri. Yang pastinya, bernikah bukanlah satu-satunya impian saya. Dan satu lagi yang pasti, saya bukanlah pengidap anoreksia seksual. Cuma, saya berdoa, agar diri ini terlindung dan dilindungi dari pada fitnah.
Kerana sesungguhnya menjadi saya bukanlah mudah. Wallahua'alam.