+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, February 27, 2010

Sedalam Mana Cintamu?

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat nabi junjungan, Muhammad saw.. Sebaik-baik manusia, contoh teladan buat seluruh ummat hingga ke akhir zaman. Allahu Allah, ampunkanlah segala dosaku ya Allah, agar aku dapat ke syurga, bertemu dengan kekasih-Mu yang dirindui...

Sejak dia dilahirkan hingga kini namanya masih menjadi sebutan, sunnahnya diikuti, kata-katanya dipegang, ajarannya disebarkan hingga ke seluruh pelusuk dunia, Quran agung yang disampaikannya masuk ke hati-hati mereka yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Dunia gelap jadi cerah bercahaya, kerana dia pembawa obor, cahaya kebenaran, dialah insan yang paling Allah kasihi, dialah insan yang wajib kita cintai selepas Allah. Tanpa dia, kita tidak mungkin menikmati keindahan iman dan islam. Tanpa dia, kita tidak mungkin dapat mengenal Allah dan kekuasaan-Nya, tanpa dia yang menyampaikan, dunia ini pastinya kekal dalam kegelapan.

Syukur pada-Mu ya ALLAH, kerana mengizinkan aku menikmati keindahan Iman dan Islam.

Beribu tahun yang lalu, di tengah padang pasir, tanpa bangunan konkrit mencakar langit, tanpa alatan-alatan teknologi yang canggih, berdiri seorang insan, menyampaikan amanah Tuhannya.. Berbicara tentang peredaran planet-planet, tentang kejadian manusia dari segumpal darah, tentang proses pembentukan bumi, tentang kewajipan menyembah Allah, kewajipan meninggalkan berhala. Berbuat kebaikan dan tinggalkan riba. Melarang penindasan terhadap anak yatim dan hamba. Memartabatkan maruah wanita dan banyak lagi yang terang-terangan bertentangan dengan pegangan masyarakat pada zaman itu.

Bayangkan bagaimana sukarnya keadaan baginda pada waktu itu, bukan sahaja dituduh gila. Malahan dilontar batu dan najis, disakiti demi menyampaikan kebenaran. Dihina dan dipulaukan, malahan diancam bunuh. Bukan sedikit dugaan yang terpaksa diharungi, namun demi amanah Tuhannya, demi ummatnya, baginda tidak pernah sedikit pun berasa lemah, tidak pernah mengalah, tidak pernah berputus asa. Menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya melalui malaikat Jibrail dengan sepenuh hatinya, tidak pernah disembunyikannya walau cuma sepatah ayat.

Kesukaran demi kesukaran, serta pelbagai dugaan dan derita terpaksa ditempuhi oleh baginda dan kesemua yang mengabdikan diri kepada Allah, melafaz syahadah dan memeluk Islam. Mereka diseksa dan didera, dijemur ditengah panas, ditindih dengan batu, dibunuh dan dizalimi berterusan. Lebih menyedihkan apabila isteri dan bapa saudara tersayang, tunjang kekuatan baginda, Saidatina Khadijah dan Abu Talib pergi meninggalkannya. Airmata tumpah jua akhirnya. Baginda diselubungi kesedihan hingga akhirnya membawa kepada peristiwa hijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Penghulu segala Nabi. Hidupnya untuk mengabdikan diri kepada ALlah, beribadat kepada Allah, menyampaikan perintah Allah, menegakkan kebenaran. Mengasihi dan merindui ummatnya sepenuh hati. Hinggakan, detik-detik akhir hidupnya, bukan jaminan syurga yang ingin didengar, tapi perkabaran tentang nasib ummatnya di akhirat kelak.. " ummatku..ummatku..ummatku.." di lafazkan berulang kali..

Kita bagaimana? Sedalam mana cinta kita?


~ Kekasih Yang Dirindu ~

Nazrey Johani

Aku duduk sendirian merindu
Pemergian seorang kekasih
Walau lama penantian ku ini
Aku yakin pasti bertemu

Aku tahu padanya tiada mungkin
Kerna itu bukanlah sifatnya
Di akhirat kan bersua lagi
Dengan mereka yang merinduinya

Kerna dia telah pun berjanji
Akan memberi syafaatnya nanti
Saat itu pasti kan terjadi
Pada umatnya yang bertakwa

Telah beribu tahun sudah berlalu
Keagungannya pernah berlaku
Sejarahnya akan berulang lagi
Sebelum tibanya kehancuran

Namun yang percaya hanyalah mereka
yang rindukan kekasih
Namun yang merindu hanyalah mereka
yang selalu berselawat

Ya nabi Ya rasul
Salamun alaik
Ya habib
Salamun alaik



Tuesday, February 23, 2010

Mutiara Beguguran Di Raudhatus Sakinah

Bismillahirrahmanirrahim..

Peserta DK2 Bergambar Kenangan

Alhamdulillah, pada hari Sabtu yang lepas, bersamaan 20 Februari 2010, saya bersama beberapa orang krew dan user iLuvislam.com antara insan terpilih, untuk menziarah Raudhatus Sakinah (RS).

RS yang ditubuhkan sejak Ogos 1998 di bawah pengendalian wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) bagi membantu remaja yang terlibat dalam masalah gejala sosial meningkatkan keyakinan mereka untuk menjadi individu yang berguna.


Antara matlamat RS ialah membantu remaja menghayati Islam sebagai cara hidup, semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan yang sihat.
RS yang didaftarkan secara rasminya di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bertanggungjawab untuk merealisasikan nahi mungkar ke arah membanteras gejala sosial.

Program kali ini sebenarnya adalah anjuran Team Event Malaysia, yang juga dikenali sebagai Dialog Krew 2 (DK2). Jika sebelum ini, DK1 kami lebih fokus kepada krew iluvislam.com sahaja, kali ini kami luaskan skop dan turut mengajak beberapa orang user terpilih untuk ikut sama menikmati dan bersama-sama masyarakat bagi menguatkan ikatan ukhuwah di samping mendedahkan peserta DK dengan persekitaran yang mempunyai pelbagai cabaran dan dugaa yang harus ditempuhi.


Kami tiba di Raudhatus Sakinah kira-kira jam 10.30 pagi, disambut mesra oleh Pengarah RS, Rosmawati Zainal, Puan Yusnani Abdul Hamid dan warden-warden bertugas di situ. Sebelum memulakan program, kami bertakruf dan diberikan sedikit taklimat ringkas oleh Puan Yusnani, berkenaan etika dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di RS.

Aktiviti berjalan lancar seperti apa yang dirancangkan, dengan izin Allah jua adanya. Alhamdulillah, bukan sedikit pengalaman berharga yang dikutip pada hari bersejarah itu. Bermula dengan ucapan kata aluan dari Presiden iLuvislam.com, penyampaian kata-kata amanat dari Pengarah RS, sesi takruf bersama penghuni RS, dan paling tidak dilupakan, sesi 'one to one', krew/user iLuvislam.com bersama penghuni RS.

Taklimat sebelum mula program.

Saya terpilih untuk melalui sesi 'heart to heart' tersebut bersama seorang penghuni yang dikenali sebagai Zue (Bukan nama sebenar) .
Berdua-duaan, kami memilih penjuru rumah sebagai tempat berkongsi cerita.

Banyak yang beliau kongsikan termasuk jadual harian para penghuni di RS. Setiap hari tidur jam 11 malam, bangkit semula jam 3 pagi, zikir pagi kemudian menunaikan Qiamullai. Membaca quran dan beribadat mengabdikan diri kepada Allah sehingga selesai menunaikan solat Subuh.

Terus berzikir, membaca mathurat, kemudian melaksanakan tugasan harian masing-masing seperti mengemas, masak dan sebagainya.
Jam 9 pagi, mereka sekali lagi berkumpul untuk bertadarus dan sekiranya ada sukarelawan datang untuk mengajar, mereka akan meluangkan masa untuk menghadiri kelas. J

am 12 tengah hari mereka dibenarkan rehat selama 3o minit sebelum makan tengah hari. Selepas makan, kira-kira jam 1 tengah hari mereka bersiap-siap untuk tunaikan solat Zohor berjemaah.
Begitulah aktiviti seharian mereka, di isi dengan usrah, taklim, membaca surah-surah pilihan, mengaji tilawah Quran, dan setiap malam sebelum mengakhirkan hari mereka, setiap dari mereka dilatih untuk berucap didepan khalayak ramai. Mereka diwajibkan untuk memberikan tazkirah ringkas, rumusan seharian aktiviti mereka pada hari tersebut.

Subhanallah, kagum saya melihat cara hidup mereka, ternyata, jauh lebih baik dari diri saya sendiri. Mereka mungkin pernah melakukan dosa, namun sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Seandainya kita sebagai hamba Allah, tidak kira sebesar mana dosa kita, seandainya kita segera bertaubat yang bersungguh-sungguh setelah menyedari kesilapan kita, insyaAllah, Allah akan ampunkan dosa-dosa kita. Selagi nyawa masih dikandung badan.


Kita mungkin tidak melakukan dosa besar, tidak berzina tapi jangan mudah berasa senang hati. Jangan terlalu yakin bahawa kita lebih baik daripada mereka, barangkali, dosa kecil yang kita lakukan terlalu banyak, tanpa kita sedari, ibarat titik-titik hitam yang akhirnya, lama-kelamaan berjaya menghitamkan diri kita. Naauzubillahiminzalik. Segeralah muhasabah diri, perbaiki segala kelemahan diri.


Ketika sesi 'heart to heart', mulanya saya banyak bertanya kepada Zue, dia banyak bercerita, berkongsi pengalaman hidupnya, bagaimana dia boleh terjebak dengan pergaulan bebas, bagaimana penerimaan keluarga dan saudara maranya setelah mendapat tahu bahawa dia sudah hamil luar nikah sehingga akhirnya, ayahnya sendiri yang menghantar Zue ke RS.


Saya kira, Zue agak bertuah kerana mempunyai keluarga yang tetap terus menyokongnya walaupun hati ibubapa mana yang tidak hancur berkecai melihat si anak yang ditatang bagai minyak yang penuh 'binasa' di tangan lelaki durjana. Walaupun pernah berniat mahu menggugurkan kandungannya, namun oleh kerana keluarganya menentang keras, tidak sanggup melihat si anak menambah dosa membunuh setelah melakukan dosa zina, akhirnya di RS Zue di hantar untuk diberi perlindungan dan melalui sesi pemulihan.
Zue turut mengaku, ketika mula-mula tiba di RS, dia benar-benar memberontak. Waktu itu dia hamil 6 bulan.

Namun ujarnya, akhirnya dia merasa ketenangan yang sebenarnya, seolah-olah hidayah Allah singgah dihatinya setelah 4 bulan berada di RS. Segala puji hanya milik Allah. Kini dia dapat menerima segala ketentuan Ilahi dengan hati yang redha dan berusaha untuk memperbaiki diri menjadi muslimah yang lebih baik.


"Saya tidak mahu, kerana saya ayah dan ibu saya tidak dapat masuk syurga," Luah Zue sambil menitiskan airmata penyesalan.

"Saya takut nanti bila keluar dari sini saya tidak istiqamah, saya takut saya tak cukup kuat, saya takut berhadapan dengan masyarakat," Ujar Zue lagi. Manik-manik jernih mula mengalir dari kelopak matanya.

Saya benar-benar tersentuh, namun cuba untuk memberi kekuatan kepadanya, memberi sedikit kata-kata nasihat di samping mengingatkan diri sendiri, Allah beri dugaan hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Lama kami menangis berpelukan. Saya biarkan Zue menangis di bahu saya, meluahkan segala perasaan yang tersimpan di dalam dadanya sambil membisikkan kata-kata semangat.

Sungguh, dia kelihatan tabah cuma luaran, namun hatinya masih serapuh kaca. Paling tidak dapat dilupakan, sebelum mengakhirkan sesi 'heart to heart' kami, dia sempat katakan pada saya.. "Saya sayang akak.." Subhanallah, indahnya perasaan itu, perasaan saling mengasihi sesama hamba Allah, kerana Allah.


Doa dan harapan saya, agar Zue dan seluruh penghuni RS terus istiqamah dalam jalan taubat dan menjadi anak yang solehah, menarik tangan ke dua ibu bapa mereka ke syurga di akhirat kelak, amin ya rabb...


Selesai sesi 'heart to heart', kami sekali lagi berhimpun untuk majlis penutup. Setelah bacaan puisi oleh seorang krew iLuvislam.com, semua user dan krew iluvislam.com berdiri untuk menyanyikan lagu nasyid "Puteriku Sayang", dihadiahkan khas kepada seluruh penghuni RS. Maha suci Allah, sepanjang lagu itu dinyanyikan, bukan sahaja penghuni RS, malahan kebanyakan dari krew dan user turut mengalirkan airmata, dorongan seribu satu perasaan yang bercampur baur.

Selesai menyanyikan lagu tersebut, salah seorang co-founder iLuvislam.com dijemput untuk membacakan doa penutup.
Allah ya rabb, kami menadah tangan, berdoa dan memohon kepada Ilahi... Kini mutiara dari kolam mata kami makin lebat berguguran, mengalir laju di pipi kami tanpa mampu terbendung.

Moga, airmata ini tanda kasih sesama manusia, airmata keinsafan dan airmata yang mampu memadamkan api neraka di akhirat kelak.


Allah menyaksikan segalanya, hati-hati ini telah bersatu di bawah naungan-Nya, moga Dia terus memimpin hati-hati kami ini, agar terus setia di jalan-Nya.


Raudhatus Sakinah menyimpan seribu satu rahsia, menjadi kenangan terindah yang tersimpul kemas dalam ingatan.
Moga segala pengalaman yang diperolehi, memberi seribu satu manfaat dan pengajaran kepada seluruh peserta DK2. Dengan izin Allah.

Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.. Ampunkanlah dosa-dosa kami wahai Tuhan.

Wallahua'alam

Thursday, February 18, 2010

Mencari Garisan Penamat

Matahari kian meninggi. Kamu sudah penat meredah hutan belantara. Peluh membasahi tubuh. Lutut kian terasa lemah. Kamu penat. Letih. Lelah. Nafas tercungap-cungap bagai ikan dicampak ke darat. Perut menyanyi minta diisi. Kamu mula mengeluh. Hampir berputus asa.

Jalan yang kamu tempuhi beribu batu jauhnya. Titik mulanya sudah jauh kamu tinggalkan. Berpusing ke belakang, berpatah balik ke tempat asal bukanlah suatu tindakan bijak. Mahu atau tidak. Suka atau tidak. Kamu harus teruskan langkahmu ke depan. Mara. Maju. Ke hadapan bukan ke belakang. Hidup seharusnya begitu. Jejak langkah. Bekas tapak kaki tak mungkin bisa dikutip semula. Biarlah. Biarkan ia termaktub dalam lipatan sejarah. Berjalanlah jangan berhenti. Jangan mengalah. Kamu bukan lemah.

Sudah banyak suka duka telah kamu tempuhi. Bukan sedikit air mata yang jatuh. Bukan sedikit waktu yang telah kamu luangkan. Sudah banyak hati yang telah terluka. Telah banyak jiwa yang terdera, jangan berhenti, jangan mengalah, kamu harus tiba ke garisan penamat, sebagai juara. Kerana kamu sememangnya dilahirkan ke dunia ini sebagai juara. Kamu johan sedari awal, tanpa kamu sedari. Benar! Percayalah!

Seketika, cuba kamu pandang ke belakang. Lihatlah! Lurah sudah kamu turuni, bukit bukau sudah kamu tempuhi. Kiri kananmu onak duri ranjau berliku. Kamu pernah terjatuh tapi kamu bangkit. Kamu pernah tersesat tapi kamu akhirnya berjaya temui jalan keluar. Kamu tahu ke mana harus di tuju. Kamu tahu di mana destinasimu. Dan kamu juga tahu, waktumu kian singkat. Apa kamu masih mahu pusing ke belakang? Atau teruskan langkahmu ke depan? Kami pilih. Kamu tentukan.

Oh! Di depan juga jalan berliku. Hutan belantara. Penuh pancaroba. Kamu takut! Binatang buas mengaum kelaparan. Hari kian petang. Matahari mengengsot perlahan-lahan. Kamu keletihan. Keseorangan. Kesempitan waktu. Namun kamu tabahkan jua hatimu. Tidak mampu berjalan kamu kini merangkak, asal tiba ke destinasi. Segala kudratmu kamu kerahkan. Keringat menitik dari setiap liang roma. Jasadmu kian lemah namun tidak semangatmu.. Kamu yakin, kamu percaya, kamu pasti juara.

Destinasi itu kian hampir. Tinggal cuma beberapa langkah. Kamu harus bertahan. Kamu harus tabah. Tinggal sedikit saja lagi.

Kakimu luka, tubuhmu calar balar, lututmu berdarah. Kamu menggigil kelaparan, kepenatan, cuba menggapai destinasimu.

Cuma tinggal beberapa langkah...

Tiba-tiba... pandanganmu menjadi kelam. Kamu tidak sedarkan diri. Hitam. Pitam. Mereka yang kamu cintai, yang sekian lama menanti di destinasi impianmu, melambai-lambai. Cuma tinggal beberapa langkah saja. Juga sirna. Pergi meninggalkanmu. Kamu kini tersungkur di hadapan garis penamat, sebelum tiba ke garis akhir. Cuma tinggal beberapa langkah, namun hampa. Kecewa. Kamu gagal di saat-saat akhir. Kamu tewas setelah penat jerih bersusah payah meredah sengsara. Kamu kalah akhirnya setelah segalanya telah kamu curahkan.

Oh Tuhan... apa yang harus kamu lakukan????

Firman Allah lagi dalam Surah Al-Imran, ayat 142 dan ayat 200:

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? "

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). "

Demikian Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Tabahkanlah hati-hati kami Ya Allah. Pimpinlah kami Ya Allah. Berikanlah kami kekuatan dan petunjuk-Mu Ya Rabb. Amin ya rabbal alamin...



Demi Masa

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian...

Ajaibnya masa, andai kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita. Ajaibnya masa, andai kita tidak memanfaatkannya dengan baik, kita yang menanggung kesan buruknya.

Sebelum dan selepas. Betapa masa itu ada di tengah-tengah.

Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara.

Kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua, sihat sebelum sakit dan hidup sebelum mati.

Tiada apa yang boleh kembalikan masa yang sudah berlalu pergi kecuali Allah. Yang pergi tetap akan terus berlalu.

Kata bijak pandai, perkara yang paling jauh dengan kita adalah masa lampau, perkara yang kian hampir dengan kita adalah kematian, kian menghampir, sedetik demi sedetik, kian tiba. Setia menanti kita. Tidak lambat tidak cepat.

Kata bijak pandai lagi, hari semalam adalah sejarah, hari esok adalah mimpi dan hari ini adalah realiti, hadapinya sebaik yang mungkin kerana sejarah tak mungkin kembali, hari esok belum pasti milik kita.

Menghitung detik waktu. Nafas kian sesak, dada kian sempit.

Wednesday, February 17, 2010

Tanpa Aku

Bumi tetap terus berputar, siang dan malam bersilih ganti. Matahari tetap jua akan terbit dan terbenam bila tiba masanya. Burung-burung bertebaran, keluar berkawan mencari rezeki tatkala cahaya suria mengintai dari celahan langit. Semuanya tetap juga sama, tidak berubah selagi Allah menetapkannya begitu, dengan kewujudan kita ataupun tanpa kita.

Siapa kita?

Andai kita tiada, siapa yang akan merasai kehilangannya?

Apa sumbangan kita?

Andai kita tiada, apa yang kita wariskan?

Oh~

Mungkin, kepergian kita tidak memberi sebarang kesan, sedikit pun tidak mengubah apa-apa. Tidak berbekas walau setitik warna. Tidak berganjak walau seinci langkah. Tidak berdetak walau cuma secebis rasa.

Kita bukanlah sesiapa. Di dunia ini cuma seorang hamba. Menumpang di atas bumi indah ciptaan Ilahi, mungkin sampai esok, atau mungkin hingga lusa. Kita masih bernafas. Sesudah itu. Ke liang lahad kita kembali. Menjadi tanah. Reput. Dilupakan.

Oh~

Hidup ini untuk apa? Ya Tuhan. Hidup ku ini kerana apa? Siapa aku di sisi Engkau? Di dunia ini apakah aku pelakon semata-mata? Oh Tuhan. Aku lahir ke dunia, diraikan, dinanti-nantikan, dengan senyuman, dengan airmata kegembiraan. Aku dicintai.. Aku dikasihi..

Tapi Tuhan.

Aku hamba yang mudah lupa. Lemah. Lemas. Hanyut. Ah. Sesat. Mencari cahaya sering terkeliru. Hilang. Rentak menjadi kaku. Tersadung kaki, terjatuh. Tersungkur. Aduh. Sakit bukan kerana luka di kaki. Bukan kerana cederanya jasad. Tapi jiwa. Hati. Mental ini terdera. Sengsara. Meronta.. Sakit. Tiada ubat. Mencari penawar. Tapi di mana? Apa? Bagaimana bisa aku merawat?

Oh Tuhan~

Siapa yang mampu.. Merawat derita sengsara. Sakit pedih jiwa ini? Selain Engkau? Tiada. Tak mungkin ada. Sungguh. Benar.. Hanya Engkau yang mampu. Tuhan.....

Aku sujud. Ku mohon. Aku rayu, hanya pada-Mu Rabb.. aku kepingin dekat dengan-Mu. Mencintai hanya Kau. Hanya Kau yang Satu. Tiada dua. Bukan tiga. Hanya satu. Yakni Engkau.

Aku bukanlah sesiapa. Di dunia ini aku hamba. Adaku, tiadaku, tiada siapa peduli.

Air sungai akan tetap jua terus mengalir, ombak dilautan akan tetap jua menghempas pantai. Walaupun dengan kewujudan aku, mahupun tanpa aku.

Oh~ Menangislah.. bumi.. andai masanya tiba kelak. Andai waktu itu tiba, saat aku menghembuskan nafas terakhirku.. menangislah.. tangisi pemergianku.. aku ingin dicintai.. kerana cintaku kerana Allah.. aku ingin dikasihi.. kerana kasihku kepada Allah.. aku ingin dirindui.. kerana rinduku kepada Allah.. menangislah.. menangislah kerana tiada lagi aku untuk berbakti padamu.. menangislah.. kerana tiada lagi aku yang berbudi padamu.. menangislah.. kerana tiada lagi langkah kaki ku memijakmu...

Oh~ Bumi.. aku ingin jadi hamba-Nya. Hamba yang terbaik. Yang dicintai seluruh alam, kerana cintaku kepada Allah.. Agar seluruh alam tidak melupai aku.. agar seluruh alam merindui aku.. agar seluruh alam menghadiahkan iringan doa dan alfatihah buatku.. andai masa itu tiba kelak.. andai saat aku kembali ke pangkuan-Nya tiba.

Ya Tuhan.. Pandulah aku, pimpinlah aku... aku ingin menjadi manusia yang hebat, yang dicintai dan mencintai. Kerana Engkau. Tolonglah aku Tuhan. Tolonglah aku... Aku lemah. Berikanlah aku kekuatan. Berikanlah aku petunjuk. Bantulah aku Ya Rabb...

Monday, February 15, 2010

Bandingan Baik dan Buruk


Bismillahirrahmanirrahim...


Allah berfirman, maksudnya :

"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup."

[Surah Ibrahim : Ayat 24-26]

Saturday, February 13, 2010

"Saya Motivator Terbaik!"

Sejak saya kanak-kanak, hingga kini, kalimah itu yang saya pegang dan saya cuba untuk yakini..

"Sayalah motivator yang terbaik! Jika bukan saya yang mampu memujuk diri saya, menaikkan semangat saya, maka siapa lagi yang mampu? Tiada... "

Selain Allah, hanya kita yang tahu kehendak hati kita, perasaan kita bagaimana, kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kita, 'sisi hitam' atau 'sisi putih' kita, perjalanan hidup kita, susah senang yang telah kita lalui, segalanya, hanya kita yang mampu memahami diri kita lebih daripada segalanya.

Namun begitu, saya akur, ada masanya, saya perlukan sokongan dan pandangan sahabat yang lain. Kadang-kadang, ada perkara yang saya tidak mampu melihatnya dari sudut pandangan mata saya, ada juga perkara yang saya gagal tafsirkan dan ada juga masanya saya khilaf dalam menilai. Saya bukanlah manusia yang sempurna, sungguh banyak kelemahan diri.

Tidak dinafikan, kadang-kadang, sifat ego yang ada dalam diri, mampu menjadi tabir, menutup pandangan mata ini untuk melihat secara positif. Terlalu yakin dengan diri sendiri juga kadang masanya mampu memakan diri. Kononnya mampu berdikari tidak mahu menyusahkan orang lain, tapi akhirnya mengundang musibah yang jauh lebih dasyat.

Sungguh, hidup ini penuh misteri. Kita hanya mampu merancang, tapi Allah jua penentunya. Walaupun setinggi mana kita meletakkan diri kita, namun kita harus sentiasa beringat, kita hanyalah seorang hamba di muka bumi ini. Walaupun seteguh mana keyakinan kita terhadap diri sendiri, kita juga harus sentiasa beringat, tak semua yang kita rancang akan menjadi kenyataan. Harus sentiasa berlapang dada, berbaik sangka dan berfikiran positif, tidak kira apa jua yang bakal terjadi.

"Sayalah motivator yang terbaik, buat diri saya sendiri.. dan sesungguhnya sekarang ini, saya sedang memotivasikan diri sendiri.. "

Anda pula bagaimana? Bagaimana caranya anda memotivasikan diri sendiri?

Thursday, February 11, 2010

Senyum Tak Susah Pun

"Kak, dia sombong, dia lain, dah tak macam dulu lagi, dia tak tegur saya, tak senyum pun, apa dosa saya?" Nisa meluahkan perasaannya dengan nada yang begitu sayu sekali. Mungkin dia benar-benar kecewa, atau bingung kenapa diperlakukan begitu. Mungkin juga 'high expectation' beliau terlalu tinggi lalu kecewa pedih bila apa yang diharapkan tidak menjadi realiti.

"Dia penat kot, tak pun die tak perasan Nisa, banyak benda dia nak fikir tuh, biar dulu, nanti dah selesai program kita belasah dia ramai-ramai, he he.." Saya cuba untuk menyedapkan hati sahabat tersayang, memujuk sekadar termampu sedangkan hati sendiri juga tertanya-tanya. Entahlah, hati dia milik dia, hanya dia dan Allah yang tahu..

Senyumlah

Tak susah pun. Tak perlukan bayaran walau satu sen. Kenapa perlu berkira dalam memberi senyuman? Kenapa harus memilih sebelum menghulurkan senyuman? Ah! Dia cuma orang biasa-biasa, buat apa senyum? Oh! Dia berpangkat besar, harus senyum! Eh! Ni sape pulak? Membazir saja senyum. Adakah wajar mempunyai pemikiran yang sebegini? Anda punyai jawapannya.

Saya masih ingat, waktu itu saya berumur 14 tahun, ibu saya berpesan, "Jangan kedekut senyuman, kalau sentiasa senyum, orang tak lawa pun sedap mata memandang." Hehehe... tips berharga dari seorang ibu. ;)

Senyum kepada bukan muhrim, dengan niat yang tidak baik, sehingga boleh menimbulkan rasa syahwat memang sepatutnya dielakkan. Ketika senyum dengan lain jantina juga, elakkan 'eyes-contact' yang berpanjangan dan senyum yang meleret-leret dibuat-buat. Bersihkan hati, tuluskan niat, senyum untuk sedekah, agar memberi ketenangan kepada orang yang memandang. Boleh, kan?

Percaya atau tidak, ada orang yang tidak boleh melihat orang lain berwajah masam, muram, boleh mengakibatkan stress/tekanan. Saya antara orang yang demikian. Boleh sakit kepala tiba-tiba jika terlihat orang lain berwajah cemberut! Justeru, janganlah jadi penyumbang. Kasihanilah orang-orang yang seperti saya..

Nabi pernah ditegur kerana palingkan wajahnya, jadi kita juga tidak sepatutnya bersikap sombong dan memalingkan wajah kita. Kalaupun perlu berpaling, apalah salahnya, terlebih dahulu hadiahkan senyuman. Kemudian nak pusing 360 darjah pun tak mengapa.

Bayangkan bagaimana, andai itu kali pertama dan kali terakhir kita bertemu dengan sahabat kita itu, dan peluang sedikit yang ada itu kita sia-siakan, apakah kita tidak berasa rugi?

Bayangkan bagaimana, andai waktu itu sahabat kita sedang ditimpa musibah, hatinya penuh duka lara cuma mengharapkan sekuntum senyuman dari kita agar dapat mengurangkan sedikit beban, tapi kita pula palingkan wajah, apatah lagi menghadiahkan senyum, apa agaknya perasaan sahabat kita itu?

Senyumlah...

Bukan susah. Mungkin ada di antara kita yang 'tidak reti' senyum. Kekok. Segan. Etc. Apa kata, mulai hari ini, setiap hari praktis di hadapan cermin, bagaimana senyum kepada orang yang tak dikenali atau ketika sendirian, bagaimana senyum kepada sahabat, bagaimana pula senyum kepada orang tua. Cuba prektis! ^_^

Menutup entri kali ini, saya sudahi dengan kisah, "Puteri Hodoh dan Cincin Ajaib."

Pada suatu masa, dalam sebuah negeri, rakyatnya hidup aman damai di bawah pemerintahan seorang raja yang sangat baik hati. Raja ini disayangi oleh rakyatnya. Namun malangnya, raja tersebut sentiasa susah hati mengenangkan nasib puterinya yang hodoh, tiada anak raja yang mahu melamarnya.

Pelbagai ikhtiar telah baginda lakukan agar puterinya menjadi cantik, hinggalah pada suatu hari, seorang wanita sihir datang ke istana mencuba nasib, untuk mengubati tuan puteri.

Wanita sihir itu menghadiahkan tuan puteri sebentuk cincin ajaib, lalu berpesan kepada puteri itu, agar setiap pagi, tengah hari dan malam, pandang cincin itu dan senyum.

Puteri akur dengan pesanan wanita sihir itu lalu mengulangi perbuatan senyum kepada cincin ajaib itu setiap hari. Hari demi hari, minggu berganti minggu, masuklah tiga purnama. Akhirnya, semua orang dalam istana itu mula menyedari bahawa tuan puteri itu kian cantik dari hari ke hari.

Melihat puterinya itu kian cantik, maka raja negeri itu menjadi begitu gembira lalu memanggil wanita sihir kembali ke istana untuk memberi ganjaran wang emas kerana telah berjaya memulihkan puterinya itu. Ketika wanita sihir itu tiba di istana, raja itu pun bertanya, apa rahsia yang ada dalam cincin ajaib itu hingga berupaya menjadikan puterinya cantik.

Wanita sihir itu menjawab, cincin itu cuma cincin biasa, cuma, puteri itu menjadi cantik kerana senyuman yang diberikan kepada cincin itu setiap masa. Selama ini tuan puteri sememangnya sudah cantik, cuma kecantikannya itu seolah-olah terselindung kerana puteri sentiasa masam dan tidak tersenyum. Tamat.

Selain itu, senyuman yang paling cantik adalah senyuman yang lahir dari hati yang bersih, hati yang ikhlas, hati yang sentiasa berbaik sangka terhadap orang lain, berfikiran positif dan tiada perasaan benci.

Bersihkan hati, ukirlah senyuman yang paling indah, biar menjadi penawar bagi mereka yang sedang berduka, sedekah yang paling bermakna. InsyaAllah. Hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Wassalam.

Saturday, February 6, 2010

Terima Kasih Allah

Alhamdulillah, Tuhan sedang menduga saya, mungkin sebagai tanda kasih-Nya kepada saya, agar saya lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Barangkali, selama tiga tahun kebelakangan ini, hidup saya mendatar, semuanya mudah dan senang untuk saya peroleh, barangkali, selama ini saya alpa dan leka, terlalai dan terkhilaf. Kali ini, peringatan Allah cukup jelas buat saya.

"Stop playing safe!"

"Work harder, move on!"

Saya percaya Allah sayangkan saya. Tanpa kasih dan sayang-Nya, siapalah saya, lemahlah saya. Saya percaya, Allah sentiasa ada untuk saya. Saya percaya, Allah ada rancangan-Nya yang lebih baik untuk saya. InsyaALlah, alhamdulillah, saya akan sentiasa bersangka baik dengan Allah. Mudah-mudahan, ujian kali ini membuatkan saya lebih mendekati Allah, minta dijauhi, jauhkanlah diri ini dari sikap putus asa. Buruk sangka dan lemah.

Allahu Allah..

Masa terus berjalan.. detik demi detik, hari demi hari... Saya kini berlumba dengan masa! Berikan aku kekuatan ya Allah, tunjukkanlah aku jalan, permudahkanlah urusanku.

Ada masanya, bila kita buntu, tidak tahu mahu ke kanan, atau ke kiri, maka berserahlah kepada ALlah, mohon petunjuk dan perlindungan dari Allah, Ya Allah, moga-moga, cukuplah Engkau bagiku ya Allah, moga-moga, aku tidak perlu mengharapkan sesiapa melainkan Engkau Ya Allah. Engkau Yang Maha Berkuasa. Cukuplah Engkau sebagai penolongku.

Hidup mesti diteruskan, dengan semangat. Sokmo2! Jangan mengalah, jangan kalah, jangan jadi orang yang lemah.

Sudah lama saya tertidur, terima kasih kepada dia yang mengejutkan saya dari tidur yang panjang, terima kasih Tuhan.. Segalanya, aku terima, baik atau buruk, semuanya dari Engkau, tiada apa pun yang terjadi di dunia ini, tanpa izin-Mu. Engkau Maha Berkuasa.

Tidak masuk syurga bagi mereka yang tidak pernah di uji. Allahu Allah. Aku rindukan syurga-Mu.

Kepada sahabat-sahabat sekalian, doakan saya ya, semoga mendapat jalan penyelesaian, semoga dipermudahkan urusan. InsyaAllah, moga Tuhan makbulkan doa kita semua. Amin ya rabb..

Terima kasih Allah, segalanya ku terima. ^_^

Thursday, February 4, 2010

Kapan untuk Nenek

Awan mendung berarak lalu bagai tidak lagi mampu menanggung beban, lalu dimuntahkan segala isi yang tersimpan sekian lama. Hujan lebat membasahi bumi. Namun lebat lagi hujan dalam hatiku, deras lagi airmata yang mengalir di kedua belah pipiku. Allahu Allah.. Hebatnya dugaan-Mu kali ini. Betapa lemahnya aku, betapa sesungguhnya terbukti bahawa aku tidak sekuat mana.

Berkali-kali aku cuba memujuk diri, beristighfar. Berulang-kali menyebut nama Allah, kalimah suci Tiada Tuhan melainkan Allah, dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali. Allah Maha Besar, Maha Suci Allah, namun tetap jua tidak mampu meredhakan kesedihan yang terbuku di dada. Allahu Allah.. Ampunkan dosaku Ya Allah, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, ampunkanlah dosa nenekku.

Nenek... Airmata kian meluncur laju tatkala bayangan wajah nenek menjelma. Ya Allah, nenek sudah tiada, ya Allah, nenek sudah pergi tinggalkan kami, Ya Allah, aku tidak mungkin dapat melihat nenek lagi, tak mungkin dapat memeluk nenek lagi, tak mungkin dapat mendengar celoteh nenek lagi, aku sayang nenek, aku pasti rindukan nenek..

*******************************************************

"Naufal, tolong nenek sekejap," Suara nenek memanggil kedengaran sayup dari ruang tamu rumah.

Tanpa berlengah-lengah, aku segera meletakkan pen yang aku pegang, biarlah, malam nanti boleh sambung isi borang UPU ni, nenek belum tentu boleh menanti aku sampai malam. Bisik hatiku. Segera aku percepatkan langkah. Aku menyusun langkah menuju ke arah nenek.

"Ada apa Nek?" Aku bertanya sambil melabuhkan punggungku di sebelah nenek. Kedut wajah nenek tampak jelas, namun nenek tetap jua mengukir senyuman yang paling manis buatku. Dia memang begitu, suka senyum.

"Naufal dah habis isi borang ke?" Nenek bertanya. Aku sekadar menggelengkan kepala, tersenyum kepada nenek. "Belum Nek, tapi takpe, malam nanti boleh sambung isi, IPT boleh di cari ganti, tapi Nenek Naufal ni sorang je kat dunia ni.." Ujarku sambil melentokkan kepala ke bahu nenek. Nenek cuma tergelak kecil, aku senang melihat nenek gembira.

Nenek sudah dimamah usia, umurnya kini hampir mencecah 70 tahun. Arwah atuk sudah lama pergi meninggalkan kami, kembali ke rahmatullah hampir 20 tahun yang lepas, namun nenek tetap setia sendiri. Tidak pernah terniat mencari ganti atuk. Walaupun pernah ada yang mencuba nasib merisik khabar, tenang nenek tolak.

"Biarlah aku sendirian sampai mati, aku sayangkan ayah korang, moganya di syurga nanti kami bersatu lagi.." Itulah kata-kata nenek yang disampaikan oleh ayahku kepadaku. Sejak itu, ayah selaku anak sulung dan adik beradiknya yang lain tidak lagi terniat untuk jodohkan nenek. Mereka kagum dan hormati pendirian nenek. Nenek seorang yang setia pada cintanya.

Sejak Mak Su mendirikan rumah tangga, mengikut suaminya ke utara tanah air, nenek tinggal sendirian. Sejak itu juga, aku pulang ke kampung, menetap di kampung menemani nenek. Selaku cucu sulung, aku rasa bertanggungjawab untuk bersama nenek setiap masa. Tak sanggup aku biarkan nenek keseorangan, kesepian. Tak tergamak aku biarkan nenek menghabiskan sisa-sisa usianya menghitung detik waktu seorang diri. Ibu dan ayah serta pakcik dan makcik terpaksa bertugas di bandar, jauh dari kampung, aku mengerti kekangan tugas mereka, nenek juga begitu. Jadi biarlah aku bersekolah di kampung, menemani nenek di rumah pusaka arwah atuk. Nyaman. Damai.

"Naufal! menungkan apa?" Lamunanku tersentak bila nenek memanggil namaku. Aku tergelak kecil. Tersipu malu. Jauh benar melayan emosi, sehinggakan nenek juga perasan.

"Takdelah Nek, Naufal teringat kuih bingka yang nenek selalu buat, sedapnyer...." Aku cuba berselindung sambil buat-buat muka kasihan. Nenek mula bersimpati.

"La, betul ke? kalau macam tu nenek boleh buat sekarang," Cepat pula nenek menyahut. Aduh, perasaan bersalah mula menyelinap ke lubuk jiwaku.

"Kikiki.. mana ada Nek, Fa gurau je la nek, saja nak tengok Nenek sayang Fa ke tidak, hehe.." Ujarku. Pantas nenek mencubit bahuku, aku mengekek kegelian. Mengelak tidak, seronok menyakat nenek petang-petang begitu.

"Naufal, tolong nenek ambilkan beg atas almari boleh?" Pinta nenek setelah tawa kami terlerai. Aku memusatkan pandangan mataku ke wajah sayu nenek.

"Beg mana Nek?" Aku bertanya sambil menggaru-garu kepala.

"Beg hijau atas almari nenek, dalam bilik, bawa sini kejap," Terang nenek lagi. Aku angguk-angguk kepala lalu mengatur langkah menuju masuk ke bilik nenek. Mendongak kepala melilau pandangan ke atas almari nenek, tanpa berlengah-lengah, beg hijau itu aku capai lalu membawanya kepada nenek.

Nenek menarik zip pada beg dengan penuh teliti. Tangan nenek menggigil, betul nenek sudah dimakan usia. Sayu pula aku melihat nenek. Makin lama aku menatapnya, makin hati ini bagai di hiris-hiris. Aku sayangkan nenek.

Bertambah sayu dan pilu bila tangan lemah nenek menarik keluar sehelai kain putih yang kekuning-kuningan. Seperti kain kapan, tapi tak mungkin. Aku cuba menidakkan namun dadaku mula terasa sebak. Aku tetap cuba bertahan.

"Kain apa ni Nek?" Aku bertanya, minta kepastian. Perhatianku tepat kepada kain putih itu.

"Ini kain kapan nenek, dah lama nenek simpan.. tunggu saat ajal tiba..bila nenek dah tiada nanti, Fa tolong bagitau ayah Fa, guna kain kapan ni ya.. " lemah suara nenek menjawab. Tidak semena-mena butir-butir jernih mengalir dari kedua kelopak mataku. Tidak mampu tertahan lagi, airmata mengalir deras. Tak sanggup mendengar suara nenek menyebut ajal.

"Nenek, kenapa cakap macam tu, jangan tinggalkan Naufal.." Bagai anak kecil aku tersedu-sedu menahan tangisan.

"Isk Fa, istighfar.. mana boleh cakap macam tu, ajal itu pasti, sudah di tentukan Allah, di dunia ini kita cuma sementara, di dunia ini kita cuma menumpang, sampai masa, kita semua, nenek dan Fa juga akan dijemput pulang.. nenek sudah lama hidup di muka bumi ini, bila-bila masa saja nyawa nenek akan diambil, itu suratan takdir, kita kena redha.." Merdu suara nenek menyentuh gegendang telingaku.

Aku merebahkan kepala ke riba nenek. Seperti selalu, nenek membelai-belai rambutku. Andai nenek tiada, saat ini pastinya paling aku rindui. Ya Allah, mampukah aku menghadapi kenyataan itu ya Allah, mampukah aku melepaskan nenek pergi? Berulang kali suara hatiku berbisik sayu.

"Naufal, ketika Allah ciptakan kita, Allah dah tulis dah, semuanya termasuk ajal kita. Hidup kita umpama berlari 100 meter, makin kita berlari, makin kita dekat dengan garis penamat. Hari ke hari kita hidup, kita makin dekat dengan ajal kita. Fa tahu kan, perkara yang paling jauh dengan kita adalah masa silam kita dan perkara yang paling dekat, makin dekat dengan kita adalah mati.." Nenek menyambung bicara, di riba nenek aku cuma mendengar. Katalah apa saja nenek, aku akan simpan semua kata-kata nenek kemas dalam kotak ingatanku.

"Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati. Takut membuat kemungkaran kerana takut bila mati kelak di azab, sungguh-sungguh buat kebaikan, kumpul pahala buat bekalan di akhirat sana sebab tahu, hidup di dunia cuma sekali. Bila dah mati, dah tak boleh undur lagi dah.. menyesal bagaimana sekalipun, kita tak mungkin boleh undur masa.."

"Nenek berdoa, moga mati nanti tempat untuk nenek berehat.. Nenek bermohon agar segala dosa nenek terampun, sebelum masa itu tiba.. Nenek pun tak tahu bila masanya nenek akan dijemput pulang, mungkin esok atau lusa.." Suara nenek tersekat-sekat. Airmata nenek menitis jatuh ke pipiku. Aku angkat kepala menatap wajah nenek. Pilu hatiku melihat wajah nenek berbasahkan airmata. Sayu. Cepat-cepat aku sapu airmata nenek.

"Nenek jangan menangis, Fa sayang nenek.." Aku cuba memujuk nenek, namun desah gelora jiwaku ternyata lebih hebat. Aku turut menangis lalu memeluk nenek erat. Dalam pelukan nenek aku menangis semahunya.

"Fa jangan nangis, tidak kira samada nenek hidup atau tidak, kalau Fa betul-betul sayangkan nenek, sedekahkan doa untuk nenek, sedekah fatihah untuk nenek.. insyaAllah.. kasih sayang antara kita tidak akan terputus sampai bila-bila," Ujar nenek sambil mengelap pipiku dengan tangannya yang penuh rasa kasih. Nenek mengukir senyum, senyuman yang paling manis. Walaupun sukar, aku memaksa diri membalas senyuman terindah nenek.

*****************************************

Bas bagaikan berjalan terlalu perlahan. Setiap sela waktu bagaikan menhiris, menikam jantungku. Menyeksakan. Kenangan bersama nenek satu persatu berlegar-legar di kotak ingatanku. Wajah nenek di segenap penjuru ruang. Aku ingin segera pulang ke pangkuan nenek, aku ingin cepat sampai ke rumah kesayangan nenek. Ya Allah, tabahkanlah hatiku.. Tempatkanlah nenekku dalam golongan yang Engkau kasihi.

Amin ya rabbal alamin..


Takrif Amanah Bagimu Apa?

Tulisan kali ini mungkin sampah, awal-awal saya menyusun sepuluh jari, mohon keampunan dari semua. Sekadar nukilan kosong, luahan hati barangkali.

Merenung ke hadapan, merancang masa depan, saya terkedu, buntu. Apa yang harus saya lakukan? Bagaimana caranya? Siapa akan bersama saya? Bila semuanya akan terlaksana? Allahu.. Siapa yang akan menjawab semua persoalan yang datang dan pergi bertali arus? Soalan yang tiada jawapan, barangkali, agaknya!

Bercakap soal amanah.

Antara ciri-ciri orang munafik adalah bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir dan bila diberikan amanah, dia tidak laksanakan! Kita bagaimana? Astagfirullahalazim. Saya juga banyak kelemahan. Banyak kekurangan dan sering juga melakukan kesilapan.

"Ya Allah, jangan Kau kirakan aku salah, andai aku terlupa, andai aku tidak tahu...ampunkan dosaku, kasihanilah aku.."

Sahabat yang dirahmati Allah, kadang-kadang, sejujurnya saya kecewa. Bilamana anda sanggup mengenepikan amanah yang terpikul di bahu kerana kelemahan diri sendiri, kerana kekurangan yang ada pada diri, kerana masalah-masalah peribadi yang lain, yang sepatutnya di selesaikan sendiri tanpa mengorbankan amanah yang sudah sedia ada.

Kesanggupan anda menerima amanah yang diberikan, sepatutnya waktu itu juga anda faham, walau apa jua sekalipun, kecuali perkara yang benar-benar mendesak (ie: Exam), amanah itu mesti di laksanakan. Tidak boleh sekadar bersikap sambil lewa lalu mengalah, tidak boleh bersikap lemah, tidak boleh lepas tangan, tidak boleh berputus asa, jangan campur adukkan amanah dengan masalah kehidupan harian yang lain, be profesional.. please..

Entahlah, kelemahan ini mungkin puncanya dari saya sendiri, insyaAllah, peluang yang mendatang, akan dimanfaatkan sebaik yang mungkin, agar kepincangan ini dapat ditangani sebaik yang mungkin, insyaAllah, insyaAllah..

Wednesday, February 3, 2010

Siapa Hantu?

Beberapa bulan yang lepas, saya berkesempatan menonton sebuah filem dari Thailand. Cerita yang agak seram. Erm, memang cerita hantu pun.

Kisahnya mengenai seorang wanita, mengandung yang ditinggalkan oleh suaminya, setelah menanti beberapa bulan, dia yang sarat mengandung berkeputusan untuk keluar mencari suaminya.

Akhirnya, setelah jauh mengembara, beliau berhenti berehat di sebatang pokok besar, tak jauh dari pohon itu, beliau terjumpa sebuah rumah besar yang penuh misteri, suasana di dalamnya menyeramkan dan orang-orang di situ juga penuh misteri. Bunyi yang menakutkan, roh yang merayau merata-rata pada waktu malam, bayangan pelbagai susuk tubuh dan sebagainya. Kerana terdesak, dia telah memohon untuk bekerja di situ, sekurang-kurangnya ada tempat untuk berteduh.

Dipendekkan cerita, dia bersalin di situ dan berkenalan dengan pemilik rumah itu, seorang wanita cantik yang penuh misteri, seolah-olah cemburukan dirinya yang punyai anak. Dia juga akhirnya bertemu dengan suaminya di kawasan perumahan itu, namun suaminya yang aneh itu memintanya keluar dari situ. Kata suaminya, mereka tidak boleh hidup bersama kerana dia sudah dimiliki oleh wanita lain.

Marah, cemburu, tidak dapat menerima kenyataan sebenar, wanita itu mulai yakin bahawa suaminya itu mempunyai hubungan sulit dengan wanita kaya pemilik rumah besar itu. Dengan perasaan yang meluap-luap, dia bertindak menyerang wanita itu, kononnya mempertahankan haknya sebagai isteri.

Namun rupa-rupanya, segala-galanya terbukti, dialah merupakan orang ke tiga dalam perhubungan itu. Rupa-rupanya, suaminya itu adalah suami kepada wanita kaya itu yang kemudiannya mengkhianati isterinya yang kaya dan sudah berusia, dengan alasan tidak dapat melahirkan anak.

Bagai suatu tamparan hebat, apabila akhirnya dia tahu, wanita kaya itu telah membunuh suaminya sendiri ketika pergaduhan, akhirnya terbongkar, mereka yang menemaninya di rumah itu sebenarnya, semuanya sudah mati. Dengan penuh ketakutan, dan demi menyelamatkan anaknya yang masih kecil, dia cuba melarikan diri, keluar dari rumah yang penuh dengan hantu dan roh. Suasana benar-benar menyeramkan, hantu sana-sini.

Akhirnya, dia dapat menyelamatkan dirinya, keluar dari perkarangan rumah misteri itu. Dan kembali ke pohon yang dia singgah sebelum masuk ke rumah itu. Sambil menangis dan merintih, dia menahan setiap kereta dan beca yang lalu di situ, namun tiada satu pun yang berhenti, singgah menumpangkanya. Begitulah dia saban malam, melambai-lambai, menanti dan terus menanti.. namun tiada siapa yang peduli.

Rupa-rupanya...

Dia juga bukanlah manusia biasa. Rupa-rupanya, dia juga telah mati, menggantung dirinya di pohon yang besar itu sebelum masuk ke perkarangan rumah besar itu kerana terlalu sedih ditinggalkan. 'Hantu'nya yang masuk ke rumah itu. Dia, melambai teksi dan beca yang lalu bagai hantu yang menyeramkan, siapa yang mahu tumpangkan?

Moral of the story:

Abaikan pasal hantu dan roh. Itu cuma 'pelazat' jalan cerita.

Moralnya, sebelum menuduh orang lain, kita perlu muhasabah diri sendiri dahulu. Jangan membuta tuli. Mungkin kesalahan itu puncanya dari kita sendiri.

Sudut pandangan bagi setiap orang berbeza-beza, kita tidak boleh menganggap orang lain sentiasa berfikiran sama dengan kita. Mungkin cara melihat mereka lebih baik dari kita.

Kadang-kadang, kita berasa kita sentiasa betul dan sempurna. Tidak sanggup melukai hati insan lain, tidak sanggup mengkhianati orang lain. Tapi ada masanya, tanpa sedar kita, kita juga tidak mustahil akan melakukan kesilapan itu, tiada manusia yang sempurna, kita bukanlah maksum. Oleh itu, ada masanya, kita perlu check and balance, heart to heart, tanya sahabat baik kita, apakah selama ini kita ada melukainya ataupun tidak, sebagai contoh.

Ada waktunya juga, kita sentiasa berasa kita yang paling betul, kitalah mangsa, kita tidak bersalah dan dikhianati. Kita melihat orang lain sebagai pesalah (hantu-hantu) dan kita lupa, kita juga mungkin dalam golongan mereka.

Muhasabah diri jom, ambil ibrah dari setiap apa jua yang berlaku. InsyaAllah, mudah-mudahan, hidup kita lebih baik dari sebelumnya.

Wallahua'alam.

Tuesday, February 2, 2010

Hadiah Valentines

Jangan hina aku, jangan cerca aku.
Aku juga manusia sama seperti kamu.
Jangan keji aku, jangan cemuh aku.
Ada di sini juga bukan pintaku.

Aku bukan bala, aku anugerah.
Juga makhluk ciptaan Allah.

Aku bukan petaka, aku lambang cinta.
Bukti kasih sepasang adam dan hawa.
Yang hanyut, lalai dan alpa.
Punyai mata hati tapi buta!

14 Februari tarikh keramat.
Sepasang kekasih bermadu asmara.
Saat nafsu menggila, agama dilupa.
Syaitan bersorakan riang!
Bangga menumbangkan iman!
Atas nama cinta!
Maruah tergadai.
Dua jasad bersatu menjadi satu.
Tanpa segan tanpa silu.
Lupa syurga lupa neraka!
Hanyut dilambung gelora!
Kononnya demi bukti kasih!
Ah! Persetankan cinta dan kasih!
Semuanya dusta! Palsu!

Lihat aku, pandanglah aku!
Oh! Manusia kejam!
Akulah bukti cinta itu tapi kenapa aku dipersiakan!
Akulah hasil valentines tapi kenapa begini nasibku???

Andai aku punyai ibu.. Oh Ibu..
Dengarlah jeritan suara tangis sendu batinku ini.
Merintih pilu memanggil mu..
Kembalilah ke pangkuanku ibu..
Aku hauskan susumu..
Aku ingin kehangatan tubuhmu..
Ambil aku, dukung aku, peluklah aku..
Dakaplah aku dekat hatimu..
Agar kau bisa dengar.. degupan jantung kecilku ini..
Dengarlah ibu suara batinku.. genggamlah tanganku yang halus ini..

Oh Ibu.. Jangan biar aku sendirian di sini..
Aku kedinginan kehibaan kesepian..
Aku takut ibu.. aku takut..
Sudah penat aku menangis, menjerit..
Tiada siapa yang mendengar..
Kasihanilah aku ibu..

Ibu... Lihat sang semut..
Melata menjalar di seluruh tubuhku.
Kulitku merah, berbintat-bintat..
Rasa apakah ini wahai ibu?
Kian kuat tangisanku..

Oh ibu...
Sang gagak singgah menziarahiku..
Ah, barangkali ia tertawakan aku..
Mungkin berasa lebih mulia dariku...
Aku malu ibu, aku hiba..
Lihatlah ibu, dia mematuk aku..
Darah merah mula mengalir, membasahi jasadku..
Rasa sakit kian perit.. Aduhai ibu.. kasihanilah daku..

Oh ibu..
Gagak itu pergi..
Tatkala anjing hitam merah matanya datang...
Resahku reda.. Gagak tiada.. Namun cuma sementara..

Tangisanku memecah kesunyian..
Tekakku perit.. pedih serata tubuh..
Sakit terasa bukan kepalang..
Tanganku sudah tiada.. kaki ku pula..
Airmata ku kekeringan.. Suara ku kian bisu..

Oh ibu, apakah kau tahu penderitaan yang aku tanggung ini?
Oh ibu, apa dosaku kau biarkan aku begini..
Apa dosaku dilahirkan dan ditinggalkan..
Inikah cinta yang kau lafazkan wahai jantan bernafsu serakah!
Inikah kasih yang ingin kau buktikan wahai betina sialan!
Kau lihat aku, tataplah aku... betapa sengsaranya aku..

Anjing kekenyangan. Rezekimu malam ini.
Alam kian kelam, gelap, sepi, selamat tinggal dunia.
Hadirku tanpa diundang, cuma sementara.
Kepada Sang Pencipta aku kembali.
Selamat tinggal.
Jantan keparat, betina murahan!
Akulah hadiah valentine!
Penderitaanku ini kerana kamu!
Pemuja Hari Valentines.



\(^_^)/ Bulan Ini Bulan Cinta @>,--'--

Bulan Februari, bulan yang dinanti-nantikan oleh pasangan kekasih. Apa yang istimewanya dengan bulan ini? Tak lain tak bukan, setiap 14 Februari mereka meraikan Hari Kekasih yang juga dikenali sebagai Valentine's Day.

Membuta tuli barangkali, meraikan dengan penuh keghairahan tanpa mengetahui sejarah dan kisah sebenar Hari Valentino diraikan. Islam mengajar kita mencegah kemungkaran dengan tangan, jika tidak mampu cegahlah dengan perkataan dan jika masih juga tidak berkeupayaan, cegahlah dengan hati. Doa. Benci kepada kemaksiatan. Benci kepada kemungkaran. Jangan sekali-kali menyokong atau mengiyakannya! Andai kita meraikan Valentines' Day, bukankah ini bermakna kita menyokong tindakan Valentino pada satu masa dahulu?? Istighfarlah.. istighfar.. minta keampunan dari Allah.


Setiap Hari adalah Hari Kekasih

Kenapa mesti tunggu 14 Februari? Bukankah tidak sempurna iman seseorang seandainya dia tidak mengasihi saudara seagamanya? Bukankah agama kita agama yang penuh kasih sayang? Apa salahnya kita berkasih sayang setiap hari? Berkasih dan bersayang pada orang yang sepatutnya dengan cara yang bersesuaian. Tidak melanggar syarak, tidak melampaui batas.

Kasih kepada ibu bapa, kepada keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Kasih kepada fakir miskin dan anak yatim. Kasih kepada mereka yang berhak.

Malangnya. Bukan perkara baru, sebagai meminta bukti kasih dan sayang dari si gadis, si teruna memujuk rayu, "Kalau betul sayangkan saya, buktikan!". "Kalau sungguh cintakan saya, tidurlah dengan saya!". "Kalau betul percaya dengan cinta saya, serahkan benda yang paling berharga itu, saya akan jaga kamu sampai bila2!"

Justeru, sebagai lambang cinta si gadis pula, dengan penuh kasih sayang, sanggup serahkan diri, korbankan mahkota diri. Bertepuk soraklah syaitan laknatullah, sepasang anak cucu Nabi Adam tumbang dalam kancah kemaksiatan. Astagfirullahalazim..

Inikah makna cinta? Inikah makna kasih dan sayang? Adakah ini yang diajar oleh agama kita?
Bila yang halal dan yang haram dicampuradukkan, manusia kian keliru. Mudah goyah dan cepat tewas dengan pujuk rayu. Siapa yang harus dipersalahkan?

Jangan menunding jari, muhasabah diri kita. Katakan TIDAK pada Hari Valentine. Tak perlulah kita menghambakan diri, membuta tuli menjadikan Barat sebagai kiblat kita. Jangan biarkan budaya kuning berleluasa dan berkuasa dalam diri kita. Usah gadaikan maruah, prinsip dan harga diri demi mengejar makna cinta yang salah. Keseronokan yang sementara, sengsara menanti di hadapan.

Bercintalah, berkasih sayanglah tapi ingat syurga Allah hanya bagi mereka yang beriman kepada-Nya, patuhi suruhan-Nya, jauhi larangan-Nya. Hidup di dunia cuma sementara, akhirat itulah yang kekal abadi.

Ya Allah ya Tuhanku, temukanlah aku jodoh dengan suami yang soleh, yang akan meminangku dan mengahwiniku, menjadi sahabatku di dunia dan di syurga.

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku redha dan percaya, andai di dunia dia tiada, di syurga sana dia menanti.

Amin ya rabb..


Monday, February 1, 2010

Susah Sangat Ke Nak Cari Anak Dara?

Bismillahirrahmanirrahim..

Sekadar persoalanan (yang mungkin tiada jawapan). Merujuk ruangan forum di iluvislam.com, banyak pula thread yang dibuka oleh pengunjung, antaranya;
1-Bakal isteri pernah terlanjur- perlukah teruskan pernikahan?
2-Pernah berzina dengan isteri orang
3-Bagaimana mahu berterus terang dengan bakal suami bahawa diri sudah tiada dara?
4-Remaja bangga tidak mempunyai dara
5-Terlanjur dan pernah gugurkan kandungan
6-Terlanjur dan direkod, jadi bahan ugutan oleh bekas kekasih
7- ETC..

Apa yang anda boleh tafsirkan? Di kanan kiri kita, mana-mana saja.. Allahu.. pimpinlah hati kami, peliharalah kami dari kemaksiatan. Jauhi kami dari keseronokan sementara yang mengundang sengsara selamanya. Hindari kami dari azab api neraka-Mu. Amin ya rabb..