+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, September 6, 2011

Bukan Waktunya yang Tepat




Andai kita seorang ayah. Yang sangat mengasihi dan prihatin terhadap anaknya. Apakah kita sanggup membiarkan anak kita yang baru belajar bertatih berkeliaran di luar rumah sendirian tanpa pantauan? 

Apakah kita akan sengaja membukakan pintu agar dia boleh ke luar rumah sewenang wenangnya? Biarpun dia menangis dan merengek meminta pintu dibuka, merayu menagih simpati dari kita. Kita tetap juga tidak akan membuka pintu dan membiarkan dia keluar kerana kita tahu bahaya yang menanti di luar sana. 

Biarlah dia menangis hingga bengkak matanya. Kita enggan membukakan pintu untuknya.

Andai kita seorang ibu.. Yang sangat mengerti dan memahami kehendak anaknya. Apakah kita sanggup membiarkan anak kita yang belum tahu apa2 bermain dengan kertas dan mancis? Apakah kita akan memberikan mereka gunting yang tajam apabila mereka memintanya? Atau mancis yang bisa mencipta api apabila mereka meminta mancis? 

Tentulah tidak kerana kita tahu bahaya akibat gunting dan mancis andai salah cara menggunakannya.

Dan kita juga tahu, mereka masih belum tahu apa apa.

Masa terus berjalan dan seiring dengan itu, anak kita juga turut membesar. Bukan saja fizikalnya, emosinya dan pemikirannya juga kian berkembang. Mereka telah banyak kali terjatuh dan bangkit dari kejatuhan. Mereka telah banyak kali menangis dan sering juga ketawa dalam tangisan. Mereka telah belajar banyak perkara dan kini kita tahu, mereka sudah tahu membezakan mana yang baik dan mana yang sebaliknya. Kita tahu mereka sudah belajar banyak perkara sepanjang hidup mereka.

Dan kini mereka meminta kebenaran untuk bermain di luar rumah. Tanpa rasa ragu, kita bukakan pintu untuk mereka. 

Kerana kita tahu mereka sudah cukup kuat untuk bangun andai terjatuh, Kita tahu mereka boleh berlari menyelamatkan diri andai ada bahaya mendatang. Kita tahu mereka sudah cukup dewasa. Kita izinkan kerana ini adalah masa yang tepat.

Mereka meminta mancis dan gunting. Kita juga berikan kepada mereka. Tanpa perlu bertanya dan bersoal jawab. 

Kerana kita tahu mereka tahu apa gunanya gunting dan mancis. Kita tahu mereka sudah dapat berfikir dan menilai sendiri. Kita berikan kepadanya kerana ini adalah masa yang tepat.

Itu sekadar kisah picisan antara ibu dan ayah, dengan anak mereka..

Bagaimana pula dengan 'kisah' Sang Pencipta dengan hamba ciptaanNya?

Kita sebagai hamba sering berdoa dan memohon dari Sang Pencipta. Banyak yang kita harapkan dan inginkan. Banyak yang kita minta dariNya...

Namun, apakah semua doa doa kita dimakbulkan? Sungguh.. Tidak semua impian jadi kenyataan..

Adakah kerana Dia kejam, maka Dia sengaja tidak menunaikan doa doa kita? Atau kerana Dia tidak kasihkan kita, maka doa2 kita terabai??

Tidak.. Bukankah Allah telah berfirman dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang maksudnya berbunyi;

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."

Percayalah. InsyaAllah, doa2 kita akan diperkenankan, cuma soalnya, bila dan bagaimana ia dimakbulkan, hanya Dia yang Maha Mengetahui segalanya.

Mungkin hari ini, kita berasa kita sudah cukup siap dan bersedia dalam segenap hal. Kita rasa kita sudah cukup bersiap siaga untuk bergelar seorang isteri atau seorang suami, malah tidak sabar sabar untuk menyandang gelaran seorang ibu atau seorang ayah. 

Namun kita merintih dan kecewa. Bilamana jodoh yang diharap harapkan tetap juga tidak kunjung tiba. 

Kita yakin bahawa kita sudah layak untuk mencapai pangkat beserta gaji yang tinggi. Kita berasa bahawa kita berkemampuan dan berkebolehan untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi.

Namun kita mengeluh kerana gaji tetap juga ditakuk yang sama, jawatan juga tetap di paras yang lama.

Jangan bersedih. Usah berputus asa.

Jangan menghukum diri dan berburuk sangka pada Allah. Kerana sesungguhnya, pengetahuan kita sangat terhad sedangkan Allah Maha Mengetahui atas segalanya.

Mungkin kita berasa kecewa kerana doa kita tidak dimakbulkan. Kita sedih kerana jodoh tidak juga datang, tapi siapa tahu, mungkin dengan hidup sendirian ini lebih baik buat kita untuk sentiasa muhasabah diri dan mendekatkan diri pada Ilahi. Kita kecewa kerana pendapatan kita tidak bertambah, tapi siapa tahu, mungkin dengan hidup berserderhana ini lebih membuatkan hati kita menjadi tenang dan lebih banyak mengingatiNya..

Yang pahit, jangan segera dibuang kerana mungkin terselit penawar di sebalik kepahitan itu.

Yang manis, jangan terus ditelan kerana mungkin terkandung racun di sebalik kemanisan itu.

Renung renungkan....

Selamat menanti waktu yang tepat.. Moga segera tiba saat itu.

No comments: