+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, October 8, 2011

Salahkah Jadi Orang "Bujang"?


"Salahkah kalau aku tidak bergelar isteri orang? Berdosakah aku?" Telah lama dia menyepi, kini dia kembali lagi dengan 'kata-kata aluan' pembuka bicara yang sungguh luar biasa. Pelik sungguh soalannya kali ini. Ingin saja aku tergelak tapi sebaik sahaja melihat riak wajahnya yang tegang, aku menahan diri.


Aku menggeleng-gelengkan kepalaku, ke kanan kemudian ke kiri dan ke kanan sekali lagi.

"Kalau aku tidak bersalah, jadi mengapa aku dihukum?" Tegas suaranya menikam hingga ke tangkai jantungku.

Kini, aku pula yang stress.


"Dihukum? Apa maksud kamu?" Soalannya aku jawab pula dengan soalan. Dahinya kelihatan berkerut-kerut. Kerutan di dahi aku juga sebenarnya tidak jauh bezanya dengan dia.

"Aku nak cakap pun susah, tapi sungguh aku rasa terhukum!" Begitu dia menjawab. Dia tunduk merenung lantai.

"Kau dihukum atau kau yang menghukum dirimu sendiri?" Bertalu-talu pula aku menyoalnya. Ah! Barangkali kerana aku masih belum punya jawapan bagi soalan pembuka bicaranya itu.

"Maksud kamu apa?" Pulak. Aku disoal lagi.

 "Yalah, kau kata kau rasa terhukum. Tapi sebenarnya siapa yang menghukummu? Atau ia cuma tak lebih sekadar perasaanmu saja? Ibarat kau yang menghukum dirimu sendiri.." Aku bersilang kata. Bagai tergigit lidah sendiri. Terbelit dengan butir bicara yang terluncur dari lidahku.

"Kau mungkin tidak mengerti.." Perlahan suaranya hampir tidak kedengaran.
"Jadi, bantu aku agar aku mengerti..." Aku membalas.

"Masa silam yang pernah aku lalui, pengalaman orang sekeliling membuatkan aku selesa dengan hidupku sekarang, bersyukur seadanya dengan apa yang aku ada kini biarpun aku tiada tempat untuk bernaung menumpang kasih sebagai seorang isteri. Aku bahagia dengan hidupku kini tapi mengapa aku sering dipandang serong? Seolah-olah aku ini cacat dan tidak sempurna. Seolah-olah aku seorang pesalah! Apakah benar aku bersalah? Salahkah aku mencuba untuk menjadi manusia yang redha dengan apa yang aku miliki? Syukuri apa yang sedang aku lalui, bahagia dengan cara aku sendiri. Salahkah aku tidak bergelar isteri orang?" Suaranya mendatar. Aku cuba untuk mengerti. Dan bukanlah susah untuk aku mengerti kerana aku dan dia adalah satu.

"Tidakkah mereka tahu, dunia ini cuma sementara? Biarpun aku mungkin tidak sebahagia mereka, tanpa anak tanpa suami tapi setidak-tidaknya aku tahu, aku hidup di dunia ini bukan untuk selama-lamanya. Suatu hari nanti aku juga akan mati dan derita aku ini juga akan berakhir. Berkahwin atau tidak, bukan soalnya yang utama, kerana apa yang lebih utama adalah ganjaran syurga dari Allah. Aku mahu yang itu biar apapun caranya. Aku ingin syurga! Aku bukan Asiah, aku bukan Siti Hajar. Aku mungkin boleh saja jadi isteri derhaka yang dibenci Allah. Dan aku juga tahu, aku bukanlah Maryam. Aku juga mungkin tidak mampu menjaga kesucianku selamanya... "

"Aku percaya Allah lebih mengetahui atas segalanya. Aku tidak harapkan suami yang soleh. Anak-anak yang banyak. Aku hidup bukan untuk itu semata-mata. Aku harapkan syurga Allah. Andai dengan hidup begini, keimanan dan ketakwaanku bertambah, apalah salahnya aku terus hidup begini..."

"Dan seandainya dengan bernikah keimananmu dan ketakwaanmu akan lebih bertambah, itu juga hanya Allah yang tahu, kan?" Aku memintas kata-katanya.

Dia angguk. "Ya.." Sepatah dia menyambung.

"Kau benar, kau tidak bersalah. Memang tiada salahnya belum bergelar isteri orang. Aku tahu itu juga di luar kemampuanmu. Bukan pintamu untuk hidup menyendiri selamanya. Aku mengerti. Dan mungkin bukan niat mereka untuk menghukum kamu, cuma sekadar refleksi atas dasar prihatin." Aku mengulas, kemudian berhenti seketika.

"Prihatin? Maksud kamu apa?" Dia bertanya kepadaku. Aku masih membisu.

"Ya, prihatin dan barangkali simpati. Bukankah fitrah alam setiap sesuatu diciptakan berpasang-pasang. Malam pasangannya siang. Gelap pasangannya terang. Hitam pasangannya putih. Betina pasangannya jantan. Sebagaimana Adam menginginkan Hawa, begitu juga wanita, inginkan lelaki. Kau juga tidak terkecuali." Aku menyambung setelah diam untuk beberapa detik.

"Jadi, aku dihukum kerana aku wanita yang belum ketemu pasangannya? Begitu?" Dia masih kekeliruan. Aku tumpang simpati.

"Bukan dihukum, tapi mereka mungkin berharap agar kamu segera ketemu pasanganmu, agar kamu mendapat sakinah, mawaddah warahmah menerusi pernikahan itu. Allah telah berfirman dalam Surah Ar-Ruum, ayat yang ke-21, yang mana bermaksud, Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir..." Begitu aku menyambung bicara. Kemudian menarik nafasku dalam-dalam lalu menghembuskannya. Bagai berbisik kepada diriku sendiri.

"Usah lagi berfikiran negatif. Jangan difikirkan sangat kata orang. Teruskan hidup dengan ceria. Nikmati segala apa yang kau miliki hari ini dengan sebaik yang mungkin kerana esok kau mungkin bukan lagi kau seperti hari ini, mungkin kau akan bergelar isteri orang dan mungkin juga esok kau akan kembali ke alam barzakh..Senyum, okay?" Aku meneruskan lagi kata-kataku. Dia mengangkat wajah memandang ke arahku. Kerutan di dahinya sudah hampir tiada kelihatan, dia tersenyum. 

Aku membalas senyumannya dengan penuh makna.

Sempat aku bermonolog. 'Benarlah sekarang dia tidak bersalah, tapi seandainya suatu hari nanti, andai dia selalu menolak jodoh yang datang dan selalu berprasangka negatif terhadap institusi pernikahan, tunggulah, aku sendiri yang akan menghukumnya!'