Selain daripada mendapat keputusan semua A dalam PMR dan SPM - tiada apa yang boleh saya banggakan dalam hidup saya pada kehidupan yang lepas.
Saya berasal daripada keluarga yang miskin. Zaman kanak-kanak saya susah. Syukurnya saya punya keluarga yang sangat menyayangi diri saya seadanya. Silap dan salah saya, tidak dipersoalkan. Tidak dipertikaikan. Begini saya, begitulah yang mereka terima.
Zaman remaja saya juga berliku-liku. Dari sudut agama dan akhlak, juga pencapaian dalam akademik sangat teruk. Saya seorang yang pesimis. Sering menangis berjam-jam tak mahu berhenti. Seharian pun pernah. Terfikir mahu bunuh diri pun ada. Dunia terasa sangat sempit. Masalah saya dirasa sangatttt besar. Saya tak mampu berfikir jauh, semuanya dirasakan negatif - hitam.
Bukan niat saya sengaja nak buka keaiban diri. Sekadar berkongsi moga jadi iktibar kepada orang lain. Bahawasanya, tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan. Semua orang juga ada masalah masing-masing. Besar atau kecil. Itu bergantung kepada cara penerimaan kita.
Bukan bermakna saya sekarang ini tiada masalah. Tapi Alhamdulillah. Saya rasa Allah sayang saya. Saya percaya Allah sayang saya.
Allah boleh saja ambil nyawa saya ketika saya dalam keadaan yang sangat tidak baik itu. Allah boleh saja biarkan saya selamanya dalam kegelapan. Allah boleh saja kekalkan 'cara melihat' saya sama seperti dulu.
Dia Maha Kuasa. Semuanya tiada yang mustahil bagi Dia. Kun fayakun. Maka jadilah.
Saya tahu, bukan mudah mahu menukar 'mind setting'. Ia tidak terjadi dalam sekelip mata. Tapi, dimana ada kemahuan dengan izin Allah, kita boleh berubah.
Berubahlah. Jadi hamba Allah yang lebih baik.
Tidak cukupkah keindahan syurga menjadi motivasi untuk kita? Tak mengapa susah di dunia. Tak mengapa sakit di dunia. Tak mengapa derita dunia. Tapi. Segala perintah Allah lakukan. Segala larangan Allah jauhkan. Hidup tidak selamanya. Cukup bekalan kita, setelah mati, semua penderitaan kita akan berakhir. Kita akan masuk syurga. Kita akan bertemu dengan cinta-cinta sejati yang mencintai dan dicintai Allah.
Ya. Kita ada masalah. Tapi. Untuk apa ditangisi terlalu lama? Ya. Kita hidup susah. Tapi. Untuk apa kita tambah menyusahkan lagi hidup kita dengan terlalu fokus kepada kesusahan itu? Bukankah nikmat Allah kepada kita terlalu banyak, tidak mampu dihitung. Alihkan perhatian kita kepada kesenangan yang lain. Maka, nikmat Tuhanmu yang mana ingin kamu dustai (Ar-Rahman).
Semua orang ada masalah. Percayalah.
Tapi. Tidak cukupkah neraka menjadi sumber motivasi kita untuk merasa bahagia dengan masalah yang menimpa. Terima dengan dada yang lapang sebagai ujian daripada Allah. Biarpun susah sekalipun di dunia, kesusahan di akhirat jauh lebih susah jika kita ditempatkan ke neraka. Kita dah merasa kesakitan di dunia. Jaga diri kita agar tidak merasa kesakitan di akhirat. Dapatkan tiket, layakkan diri ke syurga agar kita tidak dilempar ke neraka. Di neraka tidak ada makanan yang lazat. Yang ada buah berduri. Tiada air penghilang dahaga. Yang ada besi panas yang cair menggelegak. Mahukah telan semua ini?
Dunia yang bulat tidak akan jadi empat segi kerana kita. Matahari yang terbit dari timur tak akan terbit dari barat kerana kita.
Sekeliling kita tidak berubah tapi kita boleh berubah. Langit yang biru tetap akan biru tapi mata kita boleh menjadikannya biru yang luar biasa. Lihat langit seraya menyebut nama Allah, memuji kebesaranNya, mengenang firman -Nya di dalam Al Quran. Nah. Luar biasa! Langit bukan sekadar langit tapi lebih besar maknanya bagi orang yang berilmu dan befikir.
Masih lagi seputar pada cara kita melihat sesuatu masalah yang menimpa diri kita.
Allah berfirman, innamaal 'usri yusra. Bersama kesusahan ada kemudahan.
Allah berfirman lagi, Laayukallifullah illa wus aha.. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..
Lahaamaa kasabat wa'alaihaa maktasabat.. Seseorang itu mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan mendapat siksa daripada kejahatan yang dikerjakannya.
Innallahamaassobirin.. Dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar.
Semua orang ada masalah. Yang terbaik boleh kita lakukan adalah sentiasa berbaik sangka pada Allah dan banyak-banyak bersabar.. Minta petunjuk daripadaNya agar ketemu jalan keluar penyelesaian kpd semua masalah dan minta kekuatan agar sekiranya masalah tidak juga selesai, kita terus bertabah menjalani kehidupan dan bertambah keimanan.
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati.. Jagalah hati-hati kami agar sentiasa teguh keimanan kami atas jalan yang Kau redhai dan janganlah Kau palingkan hati-hati kami ke jalan yang sesat dan bukan juga jalan orang yang Kau murkai.
Jagalah hati-hati kami agar sentiasa merasa bahagia biarpun dalam musibah. Jagalah hati-hati kami agar sentiasa yakin, bahawa sesungguhnya, setiap apa jua yang berlaku hanya berlaku dengan izinMu.
(Nota ini ditulis pada wall FB, bertarikh 8 Jun 2013)
No comments:
Post a Comment