+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, February 19, 2015

PK : Siapa Tuhan Kamu?

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat rasul junjungan, keluarga dan para sahabat. Apa khabar sahabat sekalian, semoga sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi.

Alhamdulillah, hari ini, saya diberi kelapangan dan selesai menonton filem hindustan yang dikatakan kontroversi - PK.

Tidak dinafikan, filem ini memang kontroversi - sebuah filem satira yang menjentik pemikiran kita tentang siapa Tuhan, apa itu agama.

Benar, filem ini, tidak sesuai untuk ditonton oleh anak-anak. Tidak juga sesuai ditonton oleh mereka yang tidak berfikiran terbuka. Sesuai dengan tajuknya 'PK' - Filem ini benar-benar menuntut kita sebagai penonton, bukan sekadar menonton kosong, tapi, perlu banyak berfikir.

Oh ya! Sebelum itu, PK - atau Pee-kay adalah membawa maksud mabuk.

Kisahnya begini. 




Seorang (ke seekor?) makhluk asing yang suka meneroka telah sampai ke bumi dan, loket yang dipakainya untuk membolehkan dia berhubung dengan planet asalnya telah dicuri. Maka, dia tidak dapat pulang ke planet asalnya, selagi loket itu tidak ditemui.

Dia yang tidak tahu apa-apa tentang planet bumi, apatah lagi tentang peel manusia terpaksa melalui pelbagai detik-detik sukar. Setelah mampu berkomunikasi, usahanya menjadi lebih mudah (tapi masih juga sukar).

Setidak-tidaknya, dia kini boleh bertanya tentang loket yang dipanggil 'remote control' itu kepada sesiapa saja yang dia temui, malangnya, mereka yang ditemui tidak dapat membantu- mereka cuma berkata - "Hanya Tuhan saja yang dapat menolong kamu"

Oleh kerana sifat ingin tahunya sangat tinggi, dia suka bertanya yang bukan-bukan dan bercakap benda yang bukan-bukan (dah nama pun alien) - ramai orang yang ditemuinya menggelarkannya Pee-Kay aka mabuk. Maka, dapatlah gelaran PK.

Kerana terlalu ingin mendapatkan 'remote control'nya semula, PK sangat bersungguh-sungguh mencari Tuhan - dengan harapan - Tuhan itu dapat menolongnya.

Dia tertanya-tanya, oleh kerana dia sendiri tidak tahu yang mana satu Tuhan yang sebenar - maka - dia minta dari 'semua Tuhan' yang ada di dunia..

Dia ke kuil Hindu melihat orang membawa kelapa agar permohonan diterima Tuhan - dia membeli kelapa tapi masuk ke gereja. Di sana, kelapa 'tidak diterima' tapi sebaliknya wine yang dipersembahkan kepada 'Tuhan'. Dia membeli wine, kemudiannya ingin masuk ke masjid - di sana dia sekali lagi di kejar kerana orang Muslim pula sensitif terhadap alkohol.

Dia keliru.

Di atas bas dia bertemu dengan seorang wanita yang kelihatan sedih sedang memakai baju berwarna putih, dia cuba memujuk namun dibelasah orang sekeliling kerana cuba mengganggu seorang balu yang baru kematian suami. Hairan. Bagaimana mereka tahu wanita itu balu? Jawabnya, lihatlah pakaian wanita itu yang berwarna putih.

PK lari dikejar, kemudian bertemu dengan wanita lain berpakaian putih. Simpati, dia menghampiri kononnya mahu mengucapkan takziah atas kematian suami. Sekali lagi dia dimarahi, rupanya pakaian putih itu adalah gaun perkahwinan. Pakaian wanita kematian suami warnanya hitam! Jerkah wanita itu.

PK berjalan lagi, kemudian bertemu dengan tiga orang wanita yang berpakaian hitam. Sekali lagi PK ingin mengucapkan takziah atas kematian suami - rupanya tersilap lagi. Pakaian hitam itu adalah jubah bagi wanita muslim. Suami kepada wanita-wanita itu pula yang mengejarnya..

PK keliru, dan mencari-mencari.... Apa itu agama? Siapa Tuhan? Kenapa manusia terlalu rumit??

--------------------

Bukan baru sekarang orang bertelagah tentang 'siapa Tuhan'?

1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad saw juga menghadapi permasalahan yang serupa. Kafir Quraisy menyebut nama Allah. Tapi mereka menyembah berhala-berhala.


Sebelum itu, Nabi Musa a.s dan Firaun juga berdebat tentang siapa Tuhan.
Dan sebelum itu, Nabi Ibrahim a.s juga berdebat dengan Raja Namrud, siapa Tuhan.

Begitu juga dengan Nabi-nabi yang lain. Semuanya berhadapan dengan manusia yang tidak kenal Tuhan. Malah, ada yang mengaku sebagai Tuhan.

Nabi Ibrahim juga pernah mencari-cari Tuhan. Sifat manusia perlu bergantung. Al-Quran juga ada mencatit perdebatan antara Nabi Ibrahim dan Raja Namrud, antara isi kandungannya;

"Tuhan aku cipta matahari terbit dari timur terbenam ke barat, jika benar kau adalah Tuhan, maka, ciptakanlah matahari terbit dari barat terbenam ke timur"

Subhanallah. Ini contoh pemuda yang pintar.

Nabi Ibrahim juga, pernah membinasakan semua berhala tetapi membiarkan satu berhala yang paling besar, kemudian, baginda meletakkan kapak itu pada berhala yang paling besar..

Apabila tertangkap, Nabi Ibrahim mula berhelah.

"Bukan aku yang musnahkan, tapi, Tuhan itu yang musnahkan yang lain-lain" seraya menunjukkan ke arah berhala besar yang digantungkan kapak.

Mereka yang kafir hanya mampu tunduk tidak terkata. Sedar, bahawa berhala itu tidak mampu melakukan apa-apa pun. Tapi, bila hati sudah buta - biarpun kebenaran jelas di depan mata, sia-sia saja.

Nabi Muhammad saw sebelum dikurniakan wahyu, juga mencari-cari - siapa Tuhan yang sebenar?

Dan akhirnya, baginda saw ditemukan dengan kebenaran.

Bagaimana dengan kita?

Apakah sudah memadai bagi kita, islam yang kita warisi dari ibu ayah datuk nenek kita? Apakah itu sudah cukup?

Islam diturunkan 1400 tahun dahulu kepada Nabi Muhammad saw adalah Islam yang sebenar dan suci. Tapi, bayangkan, apa yang sudah terjadi pada Islam itu setelah melalui tempoh 1400 tahun?

Ibarat air yang turun dari puncak bukit yang suci jernih. Setelah air itu mengalir 1400 km melalui kawasan perkampungan, perkilangan, perternakan - apakah air itu masih bersih serupa dengan air yang mula-mula tadi?

Sebelum meminumnya, kita perlu menapis air tersebut. Begitu juga Islam pada hari ini, perlu disaring, perlu ditapis.

Dan, apakah memadai bagi kita andai kita sekadar terima ala kadar apa yang diwariskan? Sifat inkuiri itu perlu - agar kita tidak pernah merasa jemu, tidak pernah letih untuk menuntut ilmu.

Kepada siapa yang masih tertanya-tanya, siapa Tuhan?

Ayuh luangkan sedikit masa untuk melihat siri video tafsir surah Al-Ikhlas, boleh search di You Tube;


Semoga bermanfaat.



No comments: