+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, January 8, 2015

Mengutip Ibrah Banjir Di Pantai Timur



2014 telah berlalu meninggalkan kita. Tahun baru sudah datang, 2015 kini sudah lebih seminggu bersama kita. Namun. Maaflah 2015. Bukan seperti tahun-tahun sudah, tahun baru kali ini bagai tiada erti. Tidak diraikan seperti selalu. Bukan bermakna kami tak suka. Bukan bererti kami benci.

Cuma, tahun 2014 terlalu perit bagi kami. Terlalu pedih. Terlalu banyak kisah duka, bertambah luka ketika dipenghujungnya, sehingga tak mampu untuk kami bermadah indah, berucap kata, berimpian berazam. Maaflah 2015.


Jangan berkecil hati. Insya Allah, bersamamu dan tahun-tahun akan datang, kami akan terus tabah, terus berjuang. Benar kami ditimba musibah, diuji dengan ujian yang sangat berat. Biarlah tahun ini menyimpan semuanya kemas. Jangan sampai kami tercalar hingga rebah lagi. Moganya Allah kurniakan kami ganjaran kebaikan atas musibah yang kami lalui. Moga kami akan segera bangkit. Melompat lagi lebih tinggi.. Insya Allah.


Penghujung tahun 2014 juga permulaan tahun 2015 bagi kami - menyimpan seribu satu cerita yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Pengalaman itu adalah pengalaman yang tak pernah saya lalui sebelumnya.

Kami bertolak dari Shah Alam jam 4.00 pagi - 1 Januari 2015 dan Alhamdulillah selamat tiba di Kg. Pendek kira-kira jam 12 tengah hari. Kami tiga beradik. Awalnya kami tidak merancang untuk pulang ke kampung halaman, cuma, sehari sebelumnya, hati saya berbisik kuat agar segera pulang melihat dan membersihkan rumah pusaka yang telah dilimpahi air banjir. Hari itu juga saya mengisi surat permohonan cuti, di ruangan 'reason for leave' saya catit : balik kampung cuci rumah banjir - lansung tak ada inisiatif untuk menulisnya dalam bahasa inggeris seperti selalu  dan alhamdulillah, bos saya luluskan tanpa ragu-ragu.

Saya yang memandu kereta sejak dari Shah Alam, melalui Gombak kemudiannya Bentong, Benta, Raub, Kuala Lipis, Merapoh, Gua Musang, Kuala Krai, Machang seterusnya Kota Bharu - bumi kelahiran saya. Sepanjang perjalanan - perasaan bercampur baur. Tiada kata-kata yang paling tepat untuk menggambarkan apa yang saya rasa.


Mula-mulanya. Gembira. Bahagia. Bangga. Seronok. Suka. Pelbagai perasaan indah datang apabila melihat sendiri dengan mata kepala - sangat banyak kereta 4x4, lori, kontena, kereta persendirian bahkan motorsikal berduyun-duyun sarat dengan muatan - bantuan kepada mangsa banjir. MasyaAllah. Ada yang bawa bendera Kedah. Ada bendera Terengganu. Ada bendera Selangor. Ada bendera Perlis. Dan macam-macam. Banyak yang tidak 'bertanda'. Masya Allah. Subhanallah. Tabarakallah.

Tak putus-putus dalam hati dan di bibir berkata 'baiknya rakyat Malaysia!'. Selama ini di tv di surat khabar banyak cerita negatif , seolah-olah ramai sungguh orang jahat. Namun kali ini berbeza yang saya nampak. Ramainya orang baik!

Dan..

Perasaan berubah sebaik sahaja masuk kawasan Kuala Krai. Kawasan yang terkesan teruk akibat banjir. Terkejut. Sebak. Sedih. Susah hati. Hati siapa yang tak merasa hiba melihat kesan banjir yang sangat teruk? Rumah-rumah roboh, tebing-tebing sungai runtuh, pokok-pokok mati, kesan lumpur sehingga pucuk pohon yang tinggi, perabot-perabot tersangkut di dahan-dahan pokok, sampah sarap tergantung pada wayar elektrik yang tinggi masyaAllah, memang terasa betapa diri ini sangat kerdil dan  betapa Allah itu Maha Kuasa dan kita manusia cuma hamba yang lemah. Segala-galanya, bila ALlah kata Kun Fayakun, maka, semua jadi.

Seperti yang semua sedia maklum. Banyak rumah yang rosak teruk. Ada yang cuma tinggal tiang dan tangga, ada yang lansung hanyut tanpa sebarang kesan. Bukan sedikit kesannya. Di FB/Internet kita lihat gambar tanpa suara. Tanpa riak wajah. Jikapun ada video - penglihatan kita masih terbatas.

Berbeza apabila kita sendiri yang hadir ke kawasan itu. Kita lihat dengan mata kepala kita mangsa banjir merempat tiada tempat berteduh. Kita nampak budak kecil mengendong plastik besar mungkin barang sumbangan.

Kita lihat sendiri keadaan mereka berumah-tangga di tempat perhentian bas. Kita nampak mereka berdiri di tepi jalan menanti bantuan. Kita nampak orang selongkar longgokan sampah mencari sesuatu.

Kita nampak orang menimba air dari parit. Kita nampak kesan air bah setinggi tingginya. Kita nampak wajah2 sarat derita mereka yang menjadi mangsa. Kita nampak sepanjang kiri dan kanan jalan penuh dengan kereta tersadai akibat terselam air. Kita nampak, pohon2 mati, semuanya berwarna cokelat, satu warna, suram, ibarat kampung yang baru di serang zombie. Allahuakbar. Terlalu banyak cerita dan rasa... Hanya Allah yg Maha Tahu.

Beberapa hari berada di Kelantan - ketika pasca musibah banjir. Saya sempat menziarah sanak saudara yang turut ditimpa musibah banjir. Mendengar sendiri cerita dan perkongsian mereka yang berhadapan dengan situasi cemas, terhimpit - sangat meruntun hati. Tak mampu juga saya tulis satu persatu untuk gambarkan bagaimana keadaan di sana. Cerita orang di sana ketika menghadapi musibah tersebut. Tiada kata-kata yang paling tepat barangkali..

Apapun, rata-rata mereka yang saya temui ucapkan kata syukur - kata mereka;  'walaupun banyak barang rosak akibat banjir, setidak-tidaknya rumah kita ada lagi. Kasihan mereka di Kuala Krai - lansung rumah pun tak ada.'

Kelantan bumi saya dilahirkan. Walau sejauh mana saya pergi, selama mana saya tinggalkannya, hati saya tetap di situ. Dan di situ selamanya.

Saya optimis. Kita akan bangkit semula. Mungkin perlukan sedikit masa, tapi insyaAllah, kita pasti bangkit lagi.

Terima kasih pada semua yang banyak membantu. Berkorban tenaga, masa, wang ringgit dan segala macam. Jazakumullah khairan jazakk.. Jasa dan bakti kalian sangat mulia. Moga Allah berikan sebaik-baik ganjaran buat kalian.

Seru saya pada Anak Klate di perantauan. Pulanglah. Lihat sendiri dengan mata kepala. Betapa besarnya kuasa Tuhan mengatasi segala. Sama-sama kita ambil iktibar mengutip ibrah. Dan sama-sama kita saling menyokong, saling mendoakan, moga mereka yang terjejas teruk, yang masih dalam trauma, diberi ketabahan dan kekuatan, diberi ganjaran pahala yang banyak, digantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Ya Allah, bantulah kami.

Allah swt berfirman;

"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)"


1 comment:

Unknown said...

subhanallah terkedu kaknoor membaca nya perihal selepas banjir tu, mungkin ada hikmah disebalik apa yg ALLAH bg kita tak tau..