Jam pada dinding jarum panjangnya berada pada nombor 12 manakala jarum pendeknya terletak pada nombor 9. Lambat 15 minit daripada jam tangan yang melekat di pergelangan tangan kiriku. Suasana di tempat kerja sunyi sepi, semua rakan sekerja sudah pulang ke rumah masing-masing. Tinggal aku seorang diri menghadap skrin komputer.
Kalau nak tunggu kerja siap, memang sampai bila-bila pun kerja aku takkan siap. Itulah hakikatnya. Tapi, sepatutnya, esok aku boleh saja sambung kerja-kerja ku itu. Sepatutnya juga, tadi jam 6 petang aku dah boleh pulang ke rumah, namun, hati ini terasa sangat keberatan. Rumahku bukan lagi syurgaku. Rumahku bukan lagi tempat yang menenangkan hati mendamaikan fikiran. Malah, bertambah kusut fikiranku sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Telefon bimbitku berdering lagi- untuk kali yang aku sendiri tidak terhitung. Aku jawab panggilan malas-malas. "Ya. Balik lewat sikit. Banyak kerja." Diam. Panggilan diputuskan. Aku menyandarkan belakangku pada kerusi. Memandang ke arah skrin dengan pandangan yang kosong.
Sudah 7 bulan aku berhijrah ke Shah Alam kerana tuntutan kerja. Sejak pertama kali mendapat berita pertukaranku itu, satu nama yang dulu hampir aku lupakan, kini seakan bernyawa semula. Dia yang pernah aku cintai sepenuh hatiku dan kemudiannya dialah juga yang aku hancurkan hatinya - kali terakhir mendapat khabaran tentangnya, dia menetap di Shah Alam. Apatah lagi, pernikahan yang aku idam-idamkan bersama Fina, rupa-rupanya indah hanya sementara. Demi Fina yang cantik jelita, aku telah tergamak mengecewakan Shida - namun ternyata, bahagia itu cuma seketika. Benar kata orang, waktu bercinta, semuanya terasakan indah. Waktu bercinta, mata jadi buta. Bukan tak nampak dunia, cuma tak nampak kebenaran.
Bertahun lamanya aku biarkan Shida menangis hidup terseksa. Mencuba untuk terus pertahankan hubungan suci kami. Namun ternyata, mabuk cinta aku pada Fina telah berjaya memusnahkan kekuatan Shida. Akhirnya Shida mengalah dan berundur pergi. Dan tinggallah aku - bersama Fina - wanita idaman yang aku sanggup korbankan segalanya demi untuk dia.
Namun, yang ku sangka permata itu rupa-rupanya adalah kaca. Fina tampak sempurna ketika alam percintaan, hakikatnya, setelah kami berumah tangga, Fina seakan berubah menjadi insan lain. Insan yang tak pernah aku kenal sebelum ini. Rupanya yang cantik - kini sudah hilang. Manakan tidak, sepanjang masa masam mencuka, setiap kali berhadapan seolah-olah ada sahaja yang tidak kena. Senyum di bibir juga sudah menjadi mahal. Kemesraan dan kelembutannya juga tidak lagi serupa dulu. Terkenangkan dia, aku kini tak ingin pulang ke rumah.
Telefon bimbitku berdering lagi, aku terkejut dari lamunan. Nama Fina keluar pada skrin telefon. Aku sekadar melihat namun tiada hasrat untuk menjawabnya. Tiba-tiba aku dengar bunyi sesuatu datang dari arah pantri. Allah! Sudah! Dulu pernah ada orang cerita, ofis kami ni 'keras' tapi aku tak pernah ambik port. Tak pernah nak percaya. Tapi entah mengapa, malam ini bulu roma aku meremang pula. Cepat-cepat aku bersiap lalu keluar dari ofis tanpa menoleh ke belakang.
Aku masuk ke dalam kereta, masih lagi tiada hati untuk pulang ke rumah. Setiap hari bergaduh dengan Fina membuatkan aku muak dan hilang tenaga. Keretaku meluncur perlahan, sampai di stesen minyak, aku singgah - sengaja melengahkan waktu. Sebaik sahaja masuk ke kawasan stesen minyak, dari jauh aku lihat seorang wanita berbaju hijau muda terbongkok-bongkok di tepi keretanya. Sedang mengisi angin tayar. Hatiku berdetik - alangkah bagusnya kalau bini aku Fina pun tahu berdikari macam ni, macam Shida, ringan beban aku. Hm, Fina lansung tak sama dengan Shida. Aku merungut di dalam hati.
Sebaik sahaja aku menghampiri wanita itu, dia masuk ke dalam keretanya dan mula bergerak meninggalkan stesen minyak. Wanita itu menoleh ke kanan sedetik - jantungku bagai ingin luruh.Ya Allah. Shida!
Aku masih lagi kaku tidak mampu berbuat apa. Ingin saja aku melaungkan namanya, namun, bibirku seolah-olah dijahit. Lidahku kelu. Aku hanya bisa memandang dari kejauhan, dan dia terus berlalu pergi meninggalkan aku yang dulu pernah melukai hatinya.
Sudah 5 tahun aku berjauhan darinya. Dan semenjak itu, kami tidak lagi pernah bersua. Bukan sedikit dosaku padanya, bukan juga sedikit luka yang aku guris di hatinya. Pernah aku menyesali perbuatanku terhadapnya namun sayangnya, segalanya sudah terlambat. Hati seorang perempuan - setelah nekad berlalu pergi tak mungkin akan menoleh ke belakang lagi.
Sebenarnya aku sendiri tidak tahu bagaimana aku tergamak melukai Shida sedangkan dahulu - sebelum aku mengenali Fina - dialah ratu hati ku. Dialah yang mencuri hatiku, membahagiakan aku. Demi Shida juga, aku sanggup berkorban apa saja - itu kisah sebelum aku bertemu Fina. Entah magik apa yang ada pada Fina - semuanya berubah sekelip mata sahaja. Cintaku beralih arah dan Fina mula bertakhta di hatiku. Semenjak itu, Shida asyik berteman airmata. Bukan aku tidak tahu betapa hati Shida sengsara kerana aku dan Fina, namun, mabuk cintaku pada Fina membuatkan aku tidak lagi prihatin akan soal hati seorang wanita bernama Shida.
Tok! Tok! Tok!! Tingkap keretaku diketuk, aku terperanjat. Sedar dari lamunan lalu membuka pintu kereta.
"Abang nak isi minyak ke?" Tanya seorang budak lelaki yang memakai uniform berwarna kuning. Aku terpinga-pinga, menganggukkan kepala.
"Ya, tank penuh," ujarku lalu terus berlalu menuju ke kaunter pembayaran. Dalam kepalaku, sarat dengan pelbagai persoalan, dan tentunya kenangan bersama Shida kembali segar dalam ingatan.
Masa terus berlalu,hari demi hari dan aku tidak tahu mengapa aku kini bagai sang pungguk yang rindukan bulan. Sejak pertemuan di stesen minyak beberapa bulan yang lalu, aku kini sering meluang masa di stesen minyak tersebut. Menanti kelibatnya muncul semula. Berharap agar aku dapat bertemu dengannya sekali lagi. Namun sayang, semuanya hampa.
3 comments:
SALAM.. tak da smbungan ke cerita ini?
Wslm miss Eny.. Tq sudi singgah. InsyaAllah slow2 sambung :)
Post a Comment