+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, November 28, 2014

Jauhilah Diri dan Keluarga dari Azab Api Neraka.




Antara keistimewaan orang Melayu adalah mereka kaya dengan bahasa. Suka cakap berkias, berlapik. Berpantun, berbidalan. Berbunga-bunga dalam menyusun kata. Barangkali, orang Melayu dulu-dulu faham benar, bahawasanya orang Melayu, sangat lembut hatinya, mudah terasa, mudah tersinggung.

Apakah keadaan itu masih lagi sama hingga sekarang? Pada zaman milineum ini, orang Melayu juga tidak ketinggalan 'berevolusi' seiring dengan kemajuan sains dan teknologi. Bukan sahaja tidak lagi berbahasa bunga-bunga, malah, makin ramai yang jadi kian tidak beradab!

Lihat saja komen-komen pembaca di laman sosial contohnya di Facebook. Bahasanya? MasyaAllah. Mencarut. Memaki hamun. Seakan perkara biasa. Mana salah dan mana silapnya? Apa dah jadi, apa nak jadi?

Bagaimana kita hari ini, begini, dan bagaimana pula anak cucu kita esok dan lusa? Jika sekarang sudah begini, bagaimana pula keadaan pada hari-hari mendatang?




Saya rasa, masyarakat kita sekarang sedang sakit tenat. Ada pelbagai penyakit yang sedang merasuk kita. Dalam kita sedar, dan tanpa kita sedar. Apakah kita ada penawar untuk mengubatinya? Mampukah kita? Saya cumalah seorang manusia biasa yang tiada apa-apa kuasa. Apalah sangat yang saya mampu lakukan?

Ya, benar, SAYA - tak mungkin mampu lakukan apa-apa untuk membantu masyarakat. Tapi, jika KITA - Insya Allah, tak banyak tak apalah, tapi sungguh, jika kita, masing-masing memainkan peranan untuk mendidik masyarakat - kita mampu. 

Benar juga, kita tak mungkin mampu menggubal undang-undang baru. Kita juga tak mampu keluar televisyen untuk berdakwah mengajak semua orang kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tapi, sekurang-kurangnya, semua dari kita ini, bermula dari diri sendiri, jagalah bahasa dan perbuatan kita. Sekurang-kurangnya, kita janganlah buat perkara yang jahat. Jangan. Kalau dalam Malaysia ni ada 700 ribu orang jahat, tanpa kita seorang, cuma tinggal 699 ribu orang jahat. Ha.. gitulah lebih kurang, hehe.

Seterusnya, jagalah keluarga kita. Bukankah Allah swt ada berfirman, menyuruh kita menjaga dan memelihara diri kita dan keluarga kita agar terhindar dari azab api neraka? Bukan hanya jaga diri kita seorang, tapi juga keluarga kita. Ingat tu.. Terutamanya mak dan ayah. Didik anak-anak dari kecil. Jangan harapkan cikgu semata-mata. Atau tunggu keajaiban datang sekelip mata. Melentur buluh biar dari rebungnya. Kalau dah keras, susahlah nak lentur. Patah ia nanti... 

Jujurnya saya tak berapa setuju dengan ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja, tiada masa dengan anak-anak. Betul, mereka bekerja juga demi anak-anak. Tapi, janganlah bersikap lewa terhadap anak-anak. Jangan pula untuk 'cover rasa bersalah', kalian sogok anak-anak dengan belikan mereka gadget-gadget yang banyak mudaratnya. 

Kononnya, kalian kasihan pada anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang kalian, kalian takut anak-anak kalian kebosanan tanpa perhatian kalian, kalian sangka, dengan belikan mereka smartphone, atau ipad, atau pad - mereka akan terhibur dan berterima kasih pada kalian. Benarkah begitu? Bagaimana kesudahannya nanti? Akhirannya bagaimana? Fikirlah demi jangka masa yang panjang, bukan untuk hari ini atau esok sahaja, tapi fikirlah hingga ke alam akhirat. Inilah kelebihan seorang Muslim. Dan jika kita tidak manfaatkannya, apa bezanya kita dengan mereka yang masih lagi belum muslim?

Jom. Hidupkan amalan sunnah dalam keluarga. Sekurang-kurangnya, solat berjemaah bersama keluarga. Mak ayah, bangunlah dari tidur sebelum azan subuh. Siap-siapkan diri sebelum bilal melaungkan azan. Kejutkan anak-anak dengan kasih sayang untuk solat subuh bersama-sama. Bukankah kita mahu masuk syurga bersama-sama. Selesai solat, jangan tergesa-gesa bangun dari sejadah. Mak ayah, bacalah doa dengan bertenang. Baca dari hati, dan biarlah anak-anak dengar apa yang kita mohon dari Allah.. Minta yang baik-baik. Mohonlah keselamatan dan perlindungan dari-Nya. 

Kita ini hamba yang lemah. Banyak yang kita tak mampu lakukan. Tapi, Allah maha kuasa. Dia berkuasa atas segalanya. Kita tak mampu melindungi anak kita 24 jam sehari. Di rumah, kita mungkin boleh, tapi bagaimana pula setelah mereka keluar berkawan? Bagaimana pula mereka setelah kita keluar bekerja? Buatlah apa yang kita mampu, seterusnya, mohonlah bantuan dari Allah swt..

Seusai solat bersama-sama, buatlah slot usrah dengan anak-anak. Beli buku hadis. Baca hadis bersama-sama. Satu hari satu hadis pun jadilah.. Hidupkan suasana sakinah, mawaddah, warahmah dalam family, saling mengasihi sesama ahli keluarga. Ada rasa bertanggungjawab antara satu sama lain..  

Marah-marah atau rotan, bukanlah penyelesaiannya. Belikan hadiah yang mahal-mahal juga bukan penyelesaiannya. Tapi, bawalah mereka dekat pada Allah yang maha pencipta. Biar mereka kenal Allah swt. Biar mereka faham matlamat hidup mereka bukan hanya untuk dunia, tapi juga untuk akhirat. Kehidupan yang lebih abadi.

Mungkin dulu, emak dan ayah kita tak didik kita dengan baik.. Tak mengapalah, semampu mereka cuma itu. Pendidikan dan pengetahuan mereka hanya setakat itu. Kita sekarang yang ada sedikit ilmu, yang faham matlamat hidup, janganlah pula turunkan pada anak-anak kita perkara yang sama. Semoga anak-anak kita jadi insan yang lebih baik. Hamba Allah yang soleh dan solehah.

Kita mahu masuk syurga. Dan kita juga mahu keluarga kita, anak-anak dan mak ayah kita juga masuk syurga. Mulakan dari sekarang jom... Moga Allah melindungi kita dan keluarga kita, serta ummah ini.

Ya Allah, ampunkan dosa kami, dan dosa kedua ibu bapa kami. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami masih kecil.

Amin..




No comments: