+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, March 13, 2014

Sepi itu Indah, Jika Kau Mengerti

"Assalamualaikum", aku menyapa sebaik sahaja mendekati dia. Dia kelihatan tenang, seperti tenangnya air di kali.

"Waalaikumussalam.. Hai! Lama tak nampak.." Dia menjawab salamku, tersenyum manis.

"Kenapa, kau rindu aku?" Sinis aku menyoal, seakan dapat mengagak apa yang bermain di fikirannya. Dia tidak membalas, hanya mengukir senyum yang sentiasa indah pada mataku.

"Kau merajuk ke?" Bukan saja tidak menjawab soalan, aku menyoal dia semula. Sebelum dia membuka mulutnya untuk bersuara, aku menyambung kata-kataku.

"Maafkan aku, kebelakangan ini aku sememangnya sibuk. Tapi, bukankah ini suatu petanda yang baik buat kita?" Aku menatap wajahnya tanpa rasa ingin mengalihkan pandanganku walau sekelip mata cuma.

Dia mengangguk-angguk kepalanya, sememangnya dia adalah aku dan aku adalah dia. Dia mengerti apa yang aku suarakan sebagaimana aku mahu dia mengerti. 

"Kau benar.. Itu petanda yang baik. Kita jarang bertegur sapa, petanda bahawa kita sedang berbahagia dengan dunia masing-masing. Aku tanpa kau dan kau tanpa aku.." Begitu dia meluahkan. Selembut bayu petang menyapa pipiku, halus bicaranya menusuk ke kalbuku.

"Alhamdulillah. Syukur kita pada Allah swt atas segala kurnianya. Dia hadiahkan kita teman-teman agar kita dapat bergaul mesra, bertukar buah fikiran dan pandangan. Dia hadiahkan kita saudara-mara agar kita dapat berkasih sayang, bersandar antara satu sama lain."

"Dan Dia jugalah yang hadiahkan kita SEPI, agar aku dapat selalu berbicara dengan kau dan kau pula dapat berbisik padaku. Dia hadiahkan kita SEPI agar kita dapat merasa nikmat mengadu beban yang ditanggung pada Dia, memohon segala keinginan dan hasrat hati dari Dia, meminta keampunan dan kemaafan dari Dia dengan bersungguh-sungguh. Aku syukuri segalanya dan aku harap, kau juga sama.." Panjang lebar aku meluahkan, bagai awan hitam yang sarat menampung air, tiba masanya menumpahkan airnya mencurah-curah. 

Dia mendengarnya tekun. Setia mendengarnya seperti selalu. Selagi belum sampai masanya yang Allah taala tetapkan, selagi itulah aku dan dia tidak akan berpisah. 

"Segala puji bagi Allah. Moga kita sentiasa dalam lindungan dan limpah rahmatNya. Semoga Dia tidak pesongkan kita sesudah Dia memberi hidayah kepada kita. Semoga Dia menjaga kita, memelihara kita agar tidak mencelakakan dan menzalimi diri sendiri, semoga Dia sentiasa memaafkan dosa-dosa kita dan menerima taubat-taubat kita.. Semoga kita, kembali pada Dia dalam keadaan Dia redha pada kita.. "

Aku angguk, mengaminkan doanya.

"Moga Allah memakbulkan doa-doa kita. Dan semoga, di akhirat sana kita tidak saling bermusuhan..." Aku menambah.

"Apakah mungkin, kita nanti akan bermusuhan?" Dia mengerutkan dahi, seolah-olah tidak mahu terima apa yang baru sebentar tadi meluncur dari bibirku.

Dia diam. Aku juga diam. Sepi.

"Pada saat kaki dan tangan, serta kulit dan seluruh anggota tubuh berbicara menjadi saksi, memberi kesaksian mereka - malanglah kita jika kesaksian mereka membawa kita pada azab neraka. Aku akan menyatakan hanya yang benar semata-mata. Dengan tangan ini, apa yang aku lakukan. Dengan kaki ini, ke mana aku melangkah. Walaupun kau merayu, merintih memohon ampun, minta dihidupkan semula agar dapat menebus segala dosa, waktu itu, semuanya sudah terlambat..." Aku bersuara sayu. Berat untukku meluahkan.

Matanya bergenang air. Aku dan dia sebak. Sempat aku berdoa..

'Ya Allah, Ya Tuhan kami, sebelum sampai saat itu, ampunilah kami, maafkanlah kami. Kasihanilah kami. Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang yang Kau redhai dan bukan jalan orang yang Kau murkai. Selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat, jauhkanlah kami dari azab api neraka'




No comments: