+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, April 8, 2014

Bacalah Al Quran, Sehari Satu Juz


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Syukur alhamdulillah, kita masih lagi diberikan keizinan olehNya untuk bernafas lagi hingga ke detik ini. Firman Allah swt, apabila sampai waktu ajal manusia, tiada siapa yang boleh melambatkannya atau mempercepatkannya, walau cuma sesaat. Maka, sebelum sampai saat itu, ayuhlah kita mengambil peluang untuk memohon taubat dan ampunan dariNya, ayuhlah kita mengumpul amal kebaikan agar dapat dijadikan bekalan di akhirat sana. InsyaAllah.

Setiap hari kita tidur, kemudian bangkit pada keesokan harinya, sedarkah kita, itu membawa makna bahawa usia kita kian pendek dan kematian makin menghampiri? Datuk kita yang dulu bersama-sama kita berjalan ke surau, hari ini sudah tiada. Nenek kita yang dulu mengajar kita mengaji Quran kini sudah kembali ke alam barzakh. Ayah kita yang dulu membesarkan kita juga sudah pergi ke pangkuan Sang Pencipta. Seorang demi seorang telah pergi meninggalkan kita. Giliran kita menyusul pula bila? Mungkin bila-bila masa sahaja. 

Bersediakah kita? Bersediakah saya? Soalan begini, sejujurnya saya sendiri tidak mampu menjawabnya dengan yakin. Terlalu banyak kekurangan diri, terlalu sedikit amal ibadah yang telah dilakukan. Diri ini sesungguhnya belum layak untuk mendapat syurga Allah, pun begitu, tidak sanggup diri ini menerima seksa azab api neraka..

Bagaimana cara menyelematkan diri dari azab api neraka?

Lakukan semua suruhan Allah swt, dan, jauhi segala laranganNya. Berusaha dan berdoa agar kita sentiasa di jalan yang lurus, berada di jalan yang Allah swt redhai. Berpegang teguhlah pada Al Quran dan As Sunnah, semoga kita sentiasa dipelihara oleh Allah swt..

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."
(Al-Maaidah 5:35)




InsyaAllah, ada banyak cara atau wasilah yang boleh mendekatkan kita kepada Allah swt. Antaranya.. Selalu mendirikan solat, berzikir dan mengingati Allah swt, membaca Al Quran, menghadiri majlis ilmu dan banyak lagi. Cara yang bagaimana yang kita pilih? Dalam kesibukan terhadap tugas-tugas seharian, kita sering terlupa dan lalai. Alasan kita, sibuk, tak ada masa, tak sempat - sering bermain di bibir. Dan kita terlupa, jangka hayat kita kian pendek.. Masa kita mungkin kian suntuk..

Sayanglah, jikalau Al-Quran yang juga mukjizat agong kepada baginda Nabi saw kita persia-siakan. Kita berkira-kira dan teragak-agak untuk membacanya. Kita kedekut untuk luangkan masa membukanya, membacanya dan menghayati maknanya. Kita lebih suka habiskan masa ber'whatsapp' dan ber'facebook'. Sekali sekala kita ber'instagram'. Sering juga kita bermain 'game'. Masa kita terbuang sia-sia. Untuk membaca Al Quran pula, kita sangat liat dan suka beralasan. 

Apakah kelak nanti di akhirat sana, games, whatsapp, facebook boleh menyelamatkan kita? Mungkin boleh tapi belum tentu. Sebaliknya pula dengan Al Quran, insyaAllah, di alam selepas mati, ia boleh jadi penyelamat kita. 

Masih berkira-kira?

Saya juga begitu. Suatu masa dahulu, sangat sukar untuk mengagihkan masa. Dengan kekakangan kerja dan pelbagai aktiviti harian, saya berasa sukar mencari ruang untuk membaca Al-Quran. Kerana pelbagai alasan (yang dicipta) itu jugalah, saya menjadi tidak istiqamah dalam membaca Al-Quran. 

Sedangkan Allah swt telah berfirman;

"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;"
(Al-Baqarah 2:2)

Jika saya tak baca, bagaimana saya mahu menjadikannya petunjuk? Mengaku beriman kepada Al-Quran namun, baca Al Quran ketika masa lapang sahaja. Pernah berjanji di atas Gua Hira' ingin lebih mencintai Al-Quran namun, tidak meletakkan Al Quran sentiasa di hati dan juga di bibir. Aduhai.. Terasa betapa diri ini palsu, plastik. Moga Allah ampunkan segala salah dan silap saya selama ini....

Masa terus berlalu. Syukurlah, Allah taala masih sayang.. Allah masih sudi kirimkan seorang teman untuk mengajak saya agar sama-sama menyertai OneDayOneJuz. Subhanallah. MasyaALlah. Terima kasih Allah. Terima kasih Mira. Walau jauh beribu batu, namun, moganya ukhwah yang terbina berkekalan hingga ke jannah.

Setelah mendapat nombor telefon admin ODOJ Malaysia, segera saya menghubungi Tuan Hafiza. Soalan pertama yang dia 'interview' saya - kenapa mahu sertai ODOJ? Hehe. Jawab saja jujur dari hati.. =p

Rezeki saya dengan izin Allah swt juga, Alhamdulillah, setelah beberapa hari menunggu, akhirnya saya dijodohkan untuk bersama dengan ODOJERS Group 28. Kami tak pernah bersua muka, tak pernah bertentang mata.. Hanya 'bertemu' melalui Whatsapp.. Namun, dengan cara begini kami saling mendokong dan memberi kata semangat. Membantu antara satu sama lain untuk melaksanakan misi dan visi kami - kholas satu juzuk sehari.

Bukan mudah, namun tidak mustahil.

Sebelum menyertai Group ODOJ - sedikit pun saya tak jangka bahawa saya sebenarnya mampu kholas (selesaikan) satu juz sehari di hari bekerja (kecuali bulan Ramadhan). Biasanya, baca sekadar sempat - satu helai sehari sudah terasa 'hebat'. Astagfirullah. Teruknya saya... Barulah saya sedar, selama ini, saya sebenarnya mencipta alasan. Alasan untuk tidak membaca Al-Quran. 

Setelah berkenalan dan bersama dengan Group ODOJ, Alhamdulillah, saya bukan saja mampu membuang alasan tidak sempat baca Quran, namun, saya juga telah berjaya mencipta peluang untuk sempatkan baca Quran sekurang-kurangnya sehari satu juz.

Bagaimana caranya? Variasi! Ikut kesesuaian dan aktiviti seharian saya. Yang penting, rancang waktu sebaiknya.

Satu juzuk Al-Quran ada 20 muka surat. Sebaik-baiknya, sebelum tidur, baca 10 muka surat. Esoknya tidak tergesa-gesa mahu habiskan satu juzuk. Namun, saya ni biasa juga, malamnya tertidur awal tak sempat mengaji, atau bertandang ke rumah kakak - banyak godaan tak boleh mengaji - esoknya ketika waktu Subuh baru mula. Agak mencabar. Hehe.. 

Sejak terjebak dengan ODOJ juga, saya sering keluar ke tempat kerja lebih awal. Sampai awal - Parking kereta kemudian mengaji sampai tiba waktu bekerja. Awal-awal penglibatan, saya memilih untuk tidak keluar makan tengah hari. Waktu rehat saya habiskan di surau untuk mengaji kemudian lansung meneruskan solat Zohor. 

Pendek kata, gaya hidup saya juga berubah kerana ODOJ. Saya tidak sebarang-sebarang ke sana sini tanpa membuat perancangan untuk selesaikan satu juz terlebih dahulu. Jika esoknya ada plan untuk 'beraktiviti' - malam sebelumnya saya cuba untuk mengaji sebanyak yang termampu.

Sedar tak sedar, alhamdulillah, group kami ODOJ 28 sudah berjaya khatam dua kali. Hari ini, cycle ke tiga, kami sudah selesai mengaji sehingga juzuk ke 7. Syukur pada ALlah kerana mempermudahkan segalanya, melancarkan urusan kami dan membantu kami menjayakan visi dan misi kami.

Moga kami semua terus istiqamah, bersama-sama meniti perjalanan hidup ini dengan sabar dan tabah. Dan semoga, apa yang kami lakukan ini dicatit sebagai amalan kebaikan untuk di bawa ke alam akhirat. 

Hidup saya kian bahagia dan lebih bererti bersama ODOJ, saya ingin sahabat taulan dan saudara mara yang lain turut berkongsi kebahagiaan ini. Ayuhlah, dengan nama Allah, bacalah Al-Quran walau di mana jua kamu berada..






S