Jam pada dinding jarum panjangnya berada pada nombor 12 manakala jarum pendeknya terletak pada nombor 9. Lambat 15 minit daripada jam tangan yang melekat di pergelangan tangan kiriku. Suasana di tempat kerja sunyi sepi, semua rakan sekerja sudah pulang ke rumah masing-masing. Tinggal aku seorang diri menghadap skrin komputer.
Kalau nak tunggu kerja siap, memang sampai bila-bila pun kerja aku takkan siap. Itulah hakikatnya. Tapi, sepatutnya, esok aku boleh saja sambung kerja-kerja ku itu. Sepatutnya juga, tadi jam 6 petang aku dah boleh pulang ke rumah, namun, hati ini terasa sangat keberatan. Rumahku bukan lagi syurgaku. Rumahku bukan lagi tempat yang menenangkan hati mendamaikan fikiran. Malah, bertambah kusut fikiranku sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Telefon bimbitku berdering lagi- untuk kali yang aku sendiri tidak terhitung. Aku jawab panggilan malas-malas. "Ya. Balik lewat sikit. Banyak kerja." Diam. Panggilan diputuskan. Aku menyandarkan belakangku pada kerusi. Memandang ke arah skrin dengan pandangan yang kosong.