+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, September 8, 2012

Ujian Buat Kaum Adam

Bunyi deruan angin bagai bernyanyi bisu, tanpa suara. Dedaun kering menari sayu sebelum jatuh menyembah bumi juga tiada siapa yang peduli. Laman Indah yang dihiasi pepohon bunga pelbagai spesies dan warna bagaikan hilang keindahannya. Semuanya bagaikan tiada makna, tiada erti. Dato' Syafiq diam membisu, fikirannya terbang jauh melayang entah ke mana. Sarinah anaknya masih lagi tersedu-sedu menahan esakan.

"Papa please, kasihan kat mama, she loves you so much. Ina dan adik-adik juga sayangkan papa. Kami tak sanggup kehilangan papa! Tolonglah jangan kahwin lain." Ujar Sarinah lagi untuk kesekian kalinya. Luhur dari hatinya yang paling dalam. Dia benar-benar nekad mahu menyelamatkan keluarganya. Membantu mama juga.




Hati siapa yang tidak hancur luluh, tidak rasa kecewa, tidak rasa dikhianati jika insan yang sangat dihormati, disayangi sanggup melakukan seperti mana apa yang papanya lakukan. Bagaikan sebuah mimpi ngeri. Remuk berkecai hati Sarinah apabila mendapat tahu bahawa papanya telah bernikah sekali lagi.

Dia juga wanita, punyai suami, pasti dia mengerti bagaimana perasaan mama. Sungguh kasihan sekali pada mama. Kenapa papa tergamak melukai hati mama? Mama telah banyak berkorban untuk papa selama ini. Mama telah mencurahkan segala kasih sayangnya kepada papa dengan sepenuh hati, tapi mengapa begini balasan papa kepada mama? Tergamak papa menduakan mama. Sarinah benar-benar kesal. Kesal kerana papa cair dengan pujuk rayu perempuan gatal itu. Kesal kerana papa tidak cukup kuat untuk melawan ujian nafsu. Sungguh, dia benci perempuan itu. Perampas suami orang, perosak rumahtangga. Tidak tahu malu. Gatal. Miang. Terdesak barangkali! 

Macam-macam Sarinah menyumpah seranah di dalam hatinya. Dia lupa pada takdir, ketentuan Ilahi. Dia tidak mahu ambil tahu apa hikmah di sebalik pernikahan papa dengan perempuan itu. Dia tidak peduli Islam halalkan poligami ataupun tidak. Apa yang dia mahu, papa cuma ada mama seorang sebagai isterinya. Noktah!

Dato' Syafiq masih lagi diam membisu. Melayan perasaan. Tidak sanggup rasanya melihat anak kesayangannya itu menitiskan airmata, apatah lagi, dirinya sendiri menjadi penyebab. Jika diberi pilihan, dia sememangnya tidak sanggup memilih jalan itu. Dia tahu, banyak hati yang akan terluka dengan tindakannya itu. 

Sedari kecil dia menatang anak-anaknya bagai minyak yang penuh. Meninggikan suara tidak pernah, apatah lagi menjentik mahupun mencubit anaknya jauh sekali. Sungguh dia benar-benar kasihkan anak-anaknya, juga isterinya yang telah lama hidup susah senang bersama dengannya. Mereka keluarga yang bahagia, tiada cacat cela. Namun naluri lelakinya bukan palsu, bukan rekaan, bukan kehendaknya mahu begitu, tapi itulah dirinya. Sejak dulu lagi. 

Sudah puas dia cuba melawan dan mendidik nafsu lelakinya, malah nyaris tewas. Dan setelah punya peluang untuk melunaskannya dengan cara yang halal, dia tidak menunggu lama terus merebutnya. Bukan kerana cintanya kepada isteri sudah pudar. Bukan kerana kasihnya kepada anak-anak sudah hilang, tapi dia cuma seorang lelaki yang punya keinginan. Keinginan yang tak mungkin anak isterinya akan mengerti. 

Bukankah lelaki dan wanita itu berbeza? Ujian untuk keduanya juga pasti sekali berbeza mengikut kesanggupan masing-masing. Mengapa mereka sedikit pun tidak cuba untuk mengerti? Setiap apa yang Islam gariskan, halal atau pun haram, pasti ada hikmah di sebaliknya. Ah.. Barangkali silap aku salah mendidik anak isteri. Dato' Syafiq terus bermonolog.

"I have nothing more to say. Jika Ina dan mama benar-benar mahukan papa ceraikan dia, i will do. But please keep in your mind. Ina, mama dan adik-adik mungkin akan kehilangan papa di dunia ini jika papa teruskan pernikahan dengan perempuan tu, walaupun puas papa cuba buktikan bahawa ia tidak akan berlaku, but still, i am your father, di dunia ini dan hingga ke akhirat sana. Papa mungkin terselamat dari dosa zina dan kita mungkin akan bersama lagi di syurga nanti."

Dato' Syafiq akhirnya bersuara, sampai di situ dia diam sejenak, menarik nafasnya panjang-panjang kemudian menghembuskannya bagai melepaskan suatu bebanan yang berat dari dalam dadanya.

"Kalau papa tidak bernikah dengan perempuan itu, papa mungkin terjebak dengan zina. Di dunia ini kalian semua tidak akan kehilangan papa, tapi di akhirat sana, tempat kita mungkin berbeza!"

Dato' Syafiq menyambung lagi, kemudian terus berlalu pergi meninggalkan Sarinah termanggu-manggu sendirian. 

Alam terus menyanyi bisu, menjadi saksi tanpa mata dan telinga. Benarlah, dunia ini Allah ciptakan serba indah. Dihiasi awan putih dan langit biru. Disinari cahaya mentari dan kadang-kadang terlakar pelangi di dada langit. Namun begitu, manusia jarang merasa cukup. Susah untuk bersyukur. Lalu Allah jadikan wanita, agar lelaki dapat merasa aman dengannya. Dan banyak yang terlupa, bahawasanya, Allah ciptakan isteri dan anak-anak adalah sebagai ujian buat insan bergelar lelaki.

Berbahagialah kepada mereka yang lulus ujianNya.

-----------------------------------


Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
(Al-Anfaal 8:28)
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
(At-Taghaabun 64:15)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(At-Taubah 9:24

No comments: