Suara Adam menangis dari luar bilik masih lagi kedengaran, namun Elaine tidak sedikit pun berniat mahu membuka pintu bertemu dengannya. Sekali-sekala berselang-seli bunyi bibik mengetuk pintu dengan suara rayuan Adam yang merayu agar mamanya itu keluar bertemu dengannya. Sudah dua hari lamanya Elaine mengurung diri di dalam bilik. Bibik Rina bagai hilang arah tidak tahu mahu berbuat apa. Bagai cacing kepanasan sementara menunggu kepulangan Daniel.
Sejak anak bongsu majikannya itu meninggal dunia, suasana di rumah itu berubah 180 darjah. Tiada lagi hilai tawa, gurau senda. Tiada lagi wajah ceria. Yang tinggal cuma suara tangisan dan esakan. Bibik Rina resah. Puas dia cuba memujuk Adam agar berhenti menangis, puas juga dia memujuk Elaine agar berhenti meratap dan membuka pintu, sudah beberapa hari dia tidak melihat Elaine menjamah makanan.
"Alangkah bagusnya kalau Pak Daniel ada di sini.." Bisik hati Bibik Rina sambil terus memujuk Adam.
Bibik Rina sudah berkhidmat dengan keluarga Daniel dan Elaine sudah lebih 4 tahun. Ketika Elaine sedang mengandungkan Adam 7 bulan, Bibik Rina mula menjejakkan kakinya ke rumah pasangan suami isteri itu. Pasangan muda itu saling menyintai, mereka sering bahagia bersama. Kebahagiaan mereka kian terserlah apabila Adam lahir ke dunia. Biarpun Daniel sering kerja luar, bertugas di tengah lautan, namun cinta mereka sedikit pun tidak pernah berkurang, malahan kian bertambah mekar.
Setelah Adam berusia 4 tahun, Elaine disahkan hamil sekali lagi. Ketika usia kandungan baru 7 bulan lebih, Daniel pula sedang bertugas di tengah lautan, Elaine bersalin bayi pra-matang. Eva nama diberi. Namun sayangnya, Eva cuma diberi kesempatan oleh Sang Pencipta hidup di bumi yang indah ini selama beberapa jam sahaja. Sebelum sempat dibaptis, Eva pergi meninggalkan semuanya.
Elaine bagai ditampar hebat. Bayi yang dikandung 7 bulan lamanya, bayi yang satu ketika dulu bersatu dengan jasadnya kini telah tiada lagi. Elaine benar-benar tidak dapat menerima berita kehilangan itu. Sejak pulang dari tempat pengebumian hingga kini, dia hanya berkurung sendirian di dalam kamar.
Pipi Elaine masih lagi basah dengan airmata. Sakit melahirkan Eva masih belum hilang namun sakit di dalam dada lebih hebat rasanya. Elaine lemah tidak bermaya, terbaring lesu. Dia benar-benar sengsara mengenangkan anaknya yang kecil itu telah pergi meninggalkannya selama-lamanya. Lebih pedih lagi, Eva pergi sebelum sempat dibaptis. Pergi bersama dosa asal dan kelak tidak dapat bertemu muka dengan Tuhan.
"Kasihan bayi kecilku. Bukankah Adam yang bersalah, tapi kenapa bayiku yang dipersalahkan? Apalah dosanya.. Kasihan bayiku..." Berulang kali bibir Elaine mengucapkannya. Tanpa mengenal siang ataupun malam.
"Ibu.. Buka pintu ini bu..." Suara Bibik Rina mengganggu lamunannya.
"Ingat Tuhan ibu, ingat anakmu yang masih hidup ini ibu.. Buka pintu ibu... Ayuh makan.. Ibu harus tabah... Harus kuat... " Bibik Rina memanggil-manggil dari luar. Tangisan Adam sudah tiada, barangkali dia sudah tertidur kepenatan.
"Ibu, yang mati biarkan mati. Kita yang masih hidup harus diteruskan hidup. Berbahagialah ibu, anakmu kini sedang di syurga menantimu!" Suara Bibik Rina masih lagi memujuk. Biarpun berbeza fahaman dan agama, Bibik Rina tetap juga mahu mencuba.
"Adakah benar anakku sedang menantiku di syurga bik?" Akhirnya suara Bibik Rina disahut dari dalam bilik.
"Ya, benar ibu!" Bibik Rina menjawab pasti. Dadanya terasa lapang sebaik sahaja mendengar suara majikannya itu. 'Syukurlah, dia masih lagi bernyawa,' bisik Bibik Rina perlahan.
Pintu bilik dikuak perlahan. Wajah pucat Elaine muncul di muka pintu.
"Adakah benar apa yang bibik cakap tadi? Eva sekarang sedang menanti saya di syurga?" Elaine bertanya sekali lagi meminta kepastian. Bibik Rina mengangguk yakin.
"Benarlah. Benarlah bibik. Dulu pun Safiyya pernah kata, anak kecil yang meninggal dunia sebelum dewasa, tidak menanggung sebarang dosa dan akan dimasukkan ke syurga. Katanya juga, di dalam Al-Quran ada diceritakan, setiap manusia tidak menanggung dosa orang lain, betul kan bibik?" Soal Elaine lagi. Bibik Rina menganggukkan kepalanya sekali lagi.
"Bibik, tolong saya bibik. Tolong carikan saya buku terjermahan Quran yang Safiyya hadiahkan, saya simpan dalam stor di belakang rumah. Bibik tolong ambil buku itu bik... Sekarang!" Elaine bagai dirasuk, tiba-tiba memberi arahan.
"Baik ibu.. Tapi sebelum itu, ibu harus makan dulu ya.. " Bibik Rina bagai sedang tawar-menawar. Dia seolah-olah tidak mahu berganjak selagi majikannya itu tidak setuju untuk menjamah makanan.
Akhirnya, kerana keinginannya yang membuak-buak, Elaine akur dengan tuntutan Bibik Rina. Dia maju ke meja makan lalu duduk di atas kerusi. Bibik Rina cepat-cepat mencedok makanan ke dalam pinggan lalu menghidangkannya kepada majikannya itu.
"Ibu makan dulu ya, saya mahu ke stor belakang.." Bibik Rina beransur pergi setelah melihat Elaine mula menyuap makanan. Sedang dia mengatur langkah, kepalanya sarat dengan pelbagai soalan. Manakan tidak, majikannya itu beragama Kristian, sangat patuh pada agamanya. Mimpi apakah hari itu tiba-tiba dia meminta naskah terjemahan Quran?
'Ya Allah, berikanlah hidayah-Mu kepada dia... Aamiin...'
2 comments:
akk, sambung lg citer ni pls..
insyaAllah.. coming soon :)
Post a Comment