Semoga kita semua sentiasa berada di bawah naungan kasih, limpah rahmat Ilahi hendaknya. Selawat dan salam buat Rasul junjungan Muhammad saw, keluarga, para sahabat dan seluruh muslimin dan muslimat. Apa khabar iman kita hari ini? Apa khabar iman saya hari ini?
Sebagai pembuka bicara untuk kali ini, suka saya kongsikan petikan ayat Al-Quran yang diambil dari Surah An-Nisa'.
Allah swt berfirman;
" Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad s.a.w) dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." (Surah An-Nisaa': 136)
Ceritanya begini. Jabatan saya ada beberapa orang pekerja, A, B, C, D, E, F, G, H dan I. Kami perlu melaporkan tugasan kami kepada Mr. TH. Jabatan sebelah ofis kami ada beberapa orang pekerja, J, K, L, M, N, O, etc. Mereka perlu melaporkan kepada Mr. YL. Masalah bermula apabila A dari jabatan saya suka memburuk-burukkan J dan K dari jabatan sebelah. Dan masalahnya, B, C, D, E, F dan etc adalah kawan rapat kepada J dan K. Saya pula suka memilih untuk bersikap natural, berbaik dengan semua orang dan sedaya upaya mengelak daripada perbalahan. Saya juga tiada masalah untuk berbaik-baik dengan A walaupun sikapnya sering saja menjengkelkan. Dan akibatnya, saya agak 'terpulau' oleh B, C, D, E, F, G,H, I, J, K, L, M, N, O, dan lain-lain kerana mereka menyangka bahawa saya bersekongkol dengan A.
Sungguh saya tersepit. Saya akui saya juga tidak setuju dengan sesetengah perbuatan A. Saya juga tidak selesa dengan perbuatan mereka yang seolah-olah bermusuhan dan saling menyakiti antara satu sama lain. Mungkin benar, A yang salah kerana selayaknya dia tidak berhak untuk campur tangan dalam urusan jabatan lain. Tidak cukup dengan itu, dia juga sering memburuk- burukkan orang lain. Tentulah sikapnya yang negatif itu terang-terangan saya tolak. Yang salah tetap salah! Namun saya sentiasa dengan prinsip saya. "hate the sin - not the sinner". Saya tidak mampu untuk membencinya walaupun dia sering saja dia menyinggung hati banyak orang termasuk saya sendiri.
Namun, saya kecewa dengan reaksi beberapa orang sahabat yang lain. Mereka lebih gemar memilih untuk membalas kejahatan dengan kejahatan. Membalas tindakan A dengan sindiran, ejekan dan kata-kata yang tidak menyenangkan. Saya tidak setuju. Kerana saya berpendapat, di dalam Al-Quran telah jelas menyeru kita agar sentiasa membalas kejahatan dengan kebaikan.
Antaranya dalam Surah Ar-Ra'd pada ayat yang ke- 22. Allah swt berfirman;
[13:22] "Dan orang-orang yang sabar karena mencari keridhaan Tuhannya, mendirikan shalat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),"
Seterusnya dalam Surah Al-Mu'minuun (Al-Mu'minun)dalam ayat yang ke-96, kata Allah swt;
[23:96] Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan itu.
Dalam Surah Al-Furqaan (Al-Furqan) [25] pada ayat yang ke-63, Allah swt sekali lagi mengingatkan;
[25:63] "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;"
Surah Al- Fushshilat (Fussilat) [41] : ayat 34;
[41:34] "Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."
Nah! Apa lagi alasan kita untuk membalas kejahatan dengan kejahatan? Apakah kita tidak takut untuk menentang suruhan Allah swt yang terkandung di dalam Al-Quran? Atau kita tidak percaya pada Rasul, atau pada Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah saw? Istighfar, semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang sesat.
Berpegang teguhlah kepada Al-Quran yang disampaikan oleh Muhammad saw. Sebagaimana firman Allah swt;
"Ia (Al-Quran) membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya." (Surah Fussilat 41:4)
Oleh itu, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri, agar lebih bersikap pemaaf dan berlapang dada untuk sentiasa membalas setiap kejahatan dengan kebaikan. Moga Allah memimpin hati ini, dan hati sahabat-sahabat saya samada teman sekerja ataupun pengunjung blog ini, dan seluruh muslimin dan muslimat, ke arah sifat yang terpuji ini.
Lagipula, apa gunanya kita bergaduh, bermasam muka, saling menyakiti dan menyinggung hati sesama kita? Ingat, hati yang terluka lebih mudah untuk melukai hati insan lain. Dan hati insan lain yang terluka itu pula, lebih mudah untuk melukai hati insan yang lain dan begitulah ia akan berlarutan. Benci dan dendam akan tiada kesudahan, ibarat api di dalam sekam. Diam-diam membinasakan keseluruhannya sehingga cuma tinggal abu.
Eloklah kita contohi sifat teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Baginda pernah disakiti, dihina, dikeji, dimaki, difitnah, dihalau, diancam dan diperlakukan seadanya oleh musuh-musuh Allah. Namun sifatnya yang terpuji tidak pernah goyah dan baginda tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Menjauhi permusuhan dan berusaha untuk menyatukan ummat manusia.
Kita pula bagaimana? Kita ingin contohi siapa? Kita ingin ikut perangai siapa?
Syaitan suatu masa dahulu, diperintahkan oleh Allah swt untuk sujud kepada Adam a.s. Namun syaitan ingkar dan bongkak. Lalu Allah janjikan neraka sebagai balasan kepada keingkarannya itu. Justeru, syaitan meminta penangguhan dan bersumpah untuk mengumpulkan pengikut-pengikut dari golongan manusia yang ingkar pada perintah Allah agar dapat bersama-sama dengannya ke neraka. Allah swt memperkenankan sumpah syaitan itu.
Apakah kita ingin jadi pengikut syaitan? Biarpun telah jelas dalam Al-Quran suruhan-suruhan dan larangan-larangan Allah swt, kita lebih cenderung untuk memilih yang mana?
Al-Quran mengajak kita melakukan kebaikan. Al-Quran mengajar kita untuk bersikap pemaaf. Al-Quran menyuruh kita saling membantu ke arah kebaikan. Saling mengingatkan. Al-Quran juga menyuruh kita memelihara hubungan silaturrahim.
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. " (An-Nisaa' 4:1)
Dengan itu, biarpun kita disimbah racun, balaslah dengan madu. Biarlah kita dihujani dengan kejahatan, berusahalah untuk membalasnya dengan kebaikan. Semoga, pahit akan manis jua akhirnya. Dengan izin Allah taala.
Wallahua'alam.
2 comments:
Assalamualaikum..
Saya minta izin copy artikel ini tuk dishare didalam blog saya ye akhi&ukhti.. syukran
Salam wbt Nuur..
Maaf lewat.. Diizinkan untuk perkongsian. moga2 bermanfaat. Mohon sertakan link blog ya.. Jzkk =)
Post a Comment