+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, January 8, 2010

Bila Giliran Kita?

Bismillah..

Selamat hari Jumaat, semoga semuanya dalam keberkatan dan di bawah naungan rahmat Ilahi. InsyaAllah, Amin Ya Rabb..

Lihat kanan dan kiri kita, apa yang kita nampak? Subhanallah, luasnya alam ini terbentang, betapa hebatnya ciptaan Allah, tiada yang lebih berkuasa melainkan Dia, Allah Maha Besar.

Surah Al-Imran ayat 190 & 191. Allah berfirman;

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. "


Syukur juga, setelah dimatikan seketika, dari tidur yang lena, kita akhirnya dibangkitkan sekali lagi hari ini, masih lagi bernafas, masih lagi mampu bergerak, tangan kita masih mampu memegang, kaki kita masih mampu berjalan, mata kita masih boleh melihat, telinga kita, mulut kita, hidung kita masih berfungsi dengan baik. Alhamdulillah, nikmat dan anugerah Allah yang sangat besar nilainya itu, masih lagi dipanjangkan kontrak pinjamanannya. Syukur hanya kepada Yang Esa.

Selagi kita masih hidup, pintu keampunan-Nya masih terbuka luas, selagi kita hidup, kita masih punyai masa untuk memohon taubat, menghapus dosa, mengumpul amalan dan bekalan ke akhirat. Selagi kita masih hidup, kita masih punyai kesempatan untuk memperbaiki kesilapan kita selama hayat kita, Alhamdulillah, peluang itu masih ada, kerana kita masih bernafas, di bumi yang fana ini.

Bangkit dari tidur pagi tadi, saya dimaklumkan oleh teman serumah bahawa sepupunya di Terengganu baru sahaja meninggal dunia jam 2 pagi tadi. Innalillahiwainnailaihirajiun, dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali. Salam takziah buat mereka sekeluarga. Yang pergi kini takkan kembali lagi.

Muhasabah diri seketika, arwah umurnya sebaya dengan saya. Sebelum ini segar bugar, tiada sakit dan tidak berpenyakit. Hari sebelumnya sihat walafiat ke tempat kerja seperti biasa. Bagai tiada sebarang tanda, itulah hari terakhir dia hidup di muka bumi ini.

Pulang dari kerja, arwah semput-semput. 'Penyebab' bagi ajal yang sudah ditentukan oleh Allah swt. Beberapa jam kemudiannya, arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Masih muda, masih bertenaga. Siapa sangka, dia kini pergi menyambut panggilan Ilahi.

Kita bagaimana? Masih sihat, masih lincah. Masih bertenaga, masih hidup. Tapi adakah kita tahu, bila pula masa kita akan tiba? Bilakah nyawa kita akan diambil? Tiada siapa yang tahu kecuali Dia.

Bila masanya tiba, tidak lambat atau cepat walau sesaat, malaikat Izrail pasti datang jua, bukan datang untuk menjenguk, bukan datang untuk bertanya khabar, masanya pasti akan tiba jua, Izrail datang mencabut nyawa. Bilakah masa kita?

Wallahua'alam.

Wednesday, January 6, 2010

Jangan Berhenti Mengayuh

Life is like riding a bicycle. To keep your balance, you must keep moving.
~ Albert Einstein~

Konklusinya, teruskan mengayuh, jangan berhenti, tapi sebelum itu, jangan lupa 'strecthing' dan 'warming up' sebelum memulakan perjalanan. Takut nanti kaki kejang di tengah jalan. Lansung kaku tak dapat bergerak, terjatuh tergolek-golek.

Teruskan mengayuh, tapi ingat, kena ada target dan sasaran ke mana ingin di tuju. Jangan redah sebarangan tanpa hala tuju, nanti tersesat, buang masa dan tenaga, terjatuh bukit termasuk lubang, kita yang parah, kita yang payah.

Teruskan mengayuh, tapi mata jangan dipejam. Buka mata, pandang ke depan. Jangan pejam takut kelak terlanggar pokok terlanggar tembok. Kita yang sakit, lutut berdarah kepala terluka. Pedih.

Teruskan mengayuh, jangan henti selagi kau mahu bergerak ke hadapan. Berhenti, cuma bila destinasi sudah tiba.

Wallahua'alam.

Tuesday, January 5, 2010

Purdah : Mempamer atau Menutup Kecantikan

Bismillah,

Maaf andai perbincangan kali ini agak sensitif bagi sesetengah orang, bukan niat mengata atau mahu mencetuskan provokasi, sekadar meluahkan dan mahu berkongsi sedikit pandangan dan mungkin, menambah tanda tanya.^_^

Seingat saya, ketika saya masih kanak-kanak, purdah biasanya dipakai oleh muslimah yang berpegang teguh kepada agama, sering hadiri majlis ilmu, aktif berdakwah dan sebagainya. Persepsi saya ketika itu, orang yang berpurdah ni alim-alim belaka.

Menginjak alam dewasa, saya kemudiannya faham serba sedikit tentang kenapa purdah perlu dipakai oleh muslimah. Antaranya adalah untuk menutup kecantikan, agar tidak menaikkan rasa syahwat muslimin yang memandang, agar tidak mencetuskan fitnah dan agar para muslimin sekitarnya dapat menjaga pandangan mata. Demikian lebih kurang.

Dewasa ini pula, persepsi saya terhadap pemakaian purdah sekali lagi berubah. Kenapa mereka memakai purdah? Kenapa orang yang memakai purdah sering dipandang serong, disalah ertikan kononnya extremis. Malahan ada yang sampai menimbulkan fitnah. Naauzubillah himinzalik.

Penyalahgunaan Purdah?

Hairan, sepatutnya purdah digunakan untuk menutup kecantikan diri, agar tidak menaikkan rasa ghairah muslimin yang memandang, maka sepatutnya, gadis yang cantik (sangat cantik) sahaja yang perlu memakai purdah. Tapi sebaliknya, seorang gadis yang dikurniakan sepasang mata yang cantik, tetapi mulut atau hidung yang kurang cantik, menutup bahagian yang dirasakannya kurang cantik agar dapat menyerlahkan sebahagian matanya yang cantik. Ini bagaimana?

Ada pula yang berbaju ketat, tidak menutup dada malahan menampakkan bentuk bahagian dada, tetapi memakai purdah. Untuk apa purdah dipakai? Sebagai pelengkap kecantikan? Sebagai aksesori tambahan? Atau untuk menarik perhatian mata-mata muslimin? Untuk apa? Ini pula bagaimana?

Tidak ketinggalan, ada juga yang memakai purdah, kononnya agar lebih dipandang tinggi, dipandang alim. Sedangkan situasinya tidak mewajibkan dia memakai purdah, memudaratkan dirinya, malahan mampu mencetuskan rasa tidak senang masyarakat di sekelilingnya, mencetuskan fitnah, dituduh extremis sehingga mengancam akidahnya. Ini pula bagaimana?

Selain itu, ada juga yang memakai purdah, semata-mata untuk bergambar kemudian diletakkan di blog, laman facebook atau friendster, dengan renungan mata yang menggoda. Menarik perhatian orang yang melihat. Dan ini pula bagaimana?


Batasan Aurat Wanita

Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup.

Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].

Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa", maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].

“Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbab mereka.”(Surah Al-Ahzab ayat 59)

Ummu ‘Athiyah pernah berkata: Rasullullah saw memerintahkan kami – baik ia budak wanita, wanita haid, ataupun wanita perawan – agar keluar(menuju lapangan) pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Bagi para wanita yang sedang haid diperintahkan untuk menjauhi dari tempat solat, namun tetap menyaksikan kebaikan dan seruan atas kaum muslim. Aku lantas berkata, “Ya Rasulullah, salah seorang diantara kami tidak memiliki jilbab.” Rasulullah pun menjawab, “Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbabnya kepadanya.”

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;

dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan

dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An Nur: ayat 31)

Allah SWT berfirman :

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)

Dalil lain yang menunjukkan seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,

“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud]


Jadi, berdasarkan petikan ayat quran dan hadis-hadis di atas, sejauh manakah kewajaran kita untuk memakai purdah?Renung-renungkan dan mohon ditegur andai saya ada salah dan silap. Wallahua'alam.










Monday, January 4, 2010

Mukhayyam Khoriji 2010

Bismillahirrahmanirrahim..


Apa khabar semuanya? Semoga sihat, selamat dan sentiasa semangat, di bawah naungan kasih dan rahmat Ilahi ^_^

Alhamdulillah, pada tarikh 1-3 Januari 2010, saya antara insan yang terpilih untuk menghadiri Mukhayyam Kharjii, anjuran UIA Gombak. Seramai lebih kurang 140 orang peserta muslimah kesemuanya yang terdiri dari pelbagai universiti, antaranya Uia Nilai, Uia Kuantan, Uniten Kuantan, Usim, HUKM, Politeknik dan sebagainya, Subhanallah. Masih ramai rupanya pemuda-pemudi di negara kita yang masih cakna dengan aktiviti sebegini, Alhamdulillah.

Mengimbas kembali bagaimana saya tergerak hati untuk mengikuti MK '10 adalah mulanya kerana ingin memenuhi permintaan sahabat, adik saya Khairunnisa seorang pelajar UIA. Tautan hati yang terbina setelah perkenalan kami melalui iLuvislam kian kukuh, adalah sukar bagi saya untuk menolaknya, tambahan pula, sempena cuti tahun baru saya tiada apa-apa rancangan.

Terima kasih Nisa kerana membuka peluang buat diri ini untuk menikmati suatu pengalaman baru yang sangat berharga, terima kasih.

Mulanya saya keberatan untuk pergi, memandangkan kem tersebut adalah anjuran pelajar IPTA dan pastinya, peserta yang mengikutinya juga adalah pelajar IPT yang mana, saya sudah lama meninggalkan bangku universiti.

Mungkin kerana kasih dan sayangnya kepada saya, kerana memikirkan manfaat dan pengisian yang bakal kami perolehi daripadanya, kerana ingin meluang lebih banyak masa bersama saya dan mungkin juga kerana dia mengenang kata-kata saya, "rindu zaman universiti kerana tidak memanfaatkannya dengan baik ketika bergelar pelajar dulu," maka dia bersungguh-sungguh mengajak saya, malahan sanggup menginfakkan sebahagian duitnya sebagai deposit. Mana mungkin saya tegar untuk mengecewakannya? Keikhlasannya saya terima baik. Terima kasih sekali lagi. ^_^

Ibrah yang saya perolehi dari kem yang berlansung selama lebih kurang 3 hari di Impiana Resort, Hulu Langat, Selangor bukan sedikit. Alhamdulillah. Walaupun agak canggung mulanya kerana terpaksa bergaul dengan pelajar, tapi Alhamdulillah, saya berjaya menyesuaikan diri. Suatu kelebihan gak kerana saya ni 'awet muda' jadi tak ramai yang sedar kewujudan peserta yang sudah bekerja di kalangan mereka ^_^

Jujurnya saya boleh saja menolak ajakan sahabat saya kerana beliau tidak pernah memaksa. Namun, saya sendiri yang telah membuat keputusan untuk mengikutinya, kerana dalam diri saya sendiri, ada suatu pencarian yang masih belum ketemui jawapannya. Masih mencari dan tercari-cari, mudah-mudahan di sini saya ketemui jawapannya.

Bersama Nami di bilik Nisa


Sebelum bertolak ke Kem.

Sekali saya telah membuat keputusan untuk menyertainya, tanpa paksaan sesiapa jadi saya telah membuat 'mind setting' untuk menerima tidak kira apa jua yang terjadi sepanjang perkemahan sepositif yang mungkin, mengambil ibrah dan iktibar serta manfaat dari setiap apa yang saya lalui di sana, agar masa yang diluang tidak terbuang sia-sia, agar saya tidak merasa menyesal, agar saya pulang dengan kepuasan. 'Kepuasan' mengikut definisi saya. InsyaAllah.


Kenapa saya tergerak untuk menyertainya?


Sebenarnya Mukhayyam ini adalah kali kedua saya ikuti sepanjang hidup saya. Yang pertama adalah lebih kurang 10 tahun yang lepas, ketika di tahun satu pengajian. Mengikuti kakak usrah saya pada waktu itu. Khillaf saya, pelupa, saya tiada kenangan lansung mengenai aktiviti ketika itu, yang saya ingat, kami 'berkampung' di sebuah 'tempat' yg letaknya di dalam ladang kelapa sawit, setiap hari mengikuti Qiammullai dan sepanjang di sana, kami makan di dalam talam dan tidak dibenarkan makan dengan menggunakan tangan sendiri, yakni mesti di suap oleh rakan. Lain-lain aktiviti lansung terus luput dari ingatan saya. Terpadam.

Apabila di ajak menyertai Mukhayyam, saya tiada gambaran mengenainya. Cuma pesan Nisa, yang penting ada pengisian, saya pegang kemas. Pengisian.

ALhamdulillah, keputusan yang saya ambil tidak sia-sia. Di sana, setiap detik dan waktu diisi dengan penuh bermanfaat. Kesemuanya ada 6 slot, pembentangan oleh 'presenter' yang mantap dan tajuk yang dipilih dan disusun dengan teliti, membawa kesinambungan dan kesan yang lebih mendalam.


Mukhayyam Khoriji 2010 (1431M)


Mukhayyam Khoriji 2010 (1431M) adalah merupakan salah satu saranan dalam pentarbiyahan bagi membentuk generasi rabbani yang akan mengembalikan kegemilangan Islam di atas muka bumi ini. Bermula dengan kemurnian ruhaniyah di dalam aspek akidah, ibadah yang benar, wawasan yang luas dan akhlak yang kukuh. Justeru merupakan satu wasilah tarbiyah jasadiyah yang dirangka untuk melatih fizikal, simulasi disiplin serta ketaatan kepada ahli dalam sistem tarbiyah.

Tema Mukhayyam Khoriji kali ini adalah "Pemuda peka iman, pemuda peka zaman."

Antara slot yang dibentangkan adalah "Peka Iman, Peka Zaman," di ikuti slot yang bertajuk "Islah Nafsak", "Amar Makruf Nahi Munkar," "Sahabat Nabi: Salman Al-Farisi" dan lain-lain. Selain itu, slot pembentangan LDK juga tidak ketinggalan. Kami dibahagikan kepada 15 kumpulan yang diberi nama sempena srikandi-srikandi Islam terdahulu seperti Ummu Sulaim, Khadijah, Aisyah, Sumayyah dan sebagainya.

Bagi memantapkan lagi fizikal kami, aktiviti lasak juga direncanakan. Selain kawad kaki, kami bermain permainan yang diberi nama "Obstacle" - Misi menyelamat warga Palestin yang terkepong oleh penjahat Zionis, mendaki tangga, memanjat tembok, meniarap dibawah jaring, mendaki bukit, meredah hutan, meniti batang kayu merentas sungai, menuruni lurah yang cerun, merangkak merentas terowong di dalam air dan sebagainya. Sungguh mencabar dan menyeronokkan.

Kerana keadaan tidak mengizinkan, bagi menggantikan aktiviti Jungle Tracking, kami diberi tugasan baru untuk menyelesaikan misi menyelamat warga Palestin. Setiap kumpulan diberi tugasan tertentu, untuk mencari baran-gbarang tersembunyi di 7 stesen yang telah ditetapkan dalam masa 20 minit. Misi kali ini lebih kepada bagaimana menguruskan tekanan dan bagaimana bekerja dalam berkumpulan dalam masa yang singkat untuk menyelesaikan misi.

Alhamdulillah, kami sekumpulan, yakni kumpulan Ummu Sulaim berjaya melalui setiap misi dengan jayanya tanpa sebarang kecederaan, kami benar-benar seronok dan banyak pengalaman manis dikutip. Selain itu, banyak manfaat yang kami perolehi, insyaAllah, boleh menjadi bekal untuk kami menghadapi hari-hari mendatang. InsyaAllah.

+Ummu Sulaim+

Dari kiri : Azmira, Amirah(Fasi), Asifah, Ada, Aisyah (Bertudung hitam di belakang), Yani, Hasniza, Naimah.

Di depan : Nisa (Bukan Ummu Sulaim, tapi menyibuk je keje, kekeke =p)

Tiada di dalam gambar : Aisyah dan Yana

Selain itu, aktiviti lain seperti Qiammullai setiap malam, solat fardu berjemaah, Solat sunat Dhuha, bacaan mathurat tadarus dan tadabbur quran, hafalan quran dan banyak lagi sentiasa mengisi ruang waktu sepanjang kami di sana. Alhamdulillah. Tidak ketinggalan, ada sesi Curhat dan tafakur alam, tidak kurang hebatnya. Subhanallah. Saya bersyukur kerana menjadi antara insan yang terpilih untuk mengikuti program kali ini.


Apa saya dapat?

Merenung ke dalam diri sendiri, ibarat lalang yang tidak teguh, meliuk lintuk setiap kali ditiup angin, sekejap ke timur, barat utara dan selatan, saya mahu menjadi muslimah yang kental jiwanya. Tapi bagaimana? Diri saya ibarat pantai yang sentiasa berubah setiap kali ombak datang menghempas. Sekejap begitu kemudian begini. Seterusnya kembali begitu kemudian sekali lagi jadi begini. Astgfirullah. Susahnya mahu istiqamah.

Dalam doa saya, tidak pernah saya lupa untuk mendoakan agar diri ini menjadi muslimah yang lebih baik, anak yang solehah yang mampu menarik tangan kedua ibu bapa saya serta keluarga saya ke syurga, tapi saya bagaimana?

Syukur kerana Tuhan masih sayangkan saya, setiap kali saya hanyut dan lalai, Dia menemukan saya dengan mereka yang sudi menarik tangan saya kembali naik ke atas, agar tidak terjatuh selamanya, memimpin tangan saya agar saya tidak sesat. Allah sayangkan saya. Saya tahu. Tapi sebanyak mana pula sayang saya kepada Allah? Sedikit. Bahkan sering berkurang. Astagfirullah.

Kini saya sekali lagi meraba-raba mencari diri. Mencari jalan pulang. Menuju Tuhannya. Merindui Penciptanya. Menagih kasih dan sayang dari-Nya. Memohon perlindungan dan kasih sayang dari hanya dari-Nya. Saya ingin dekat dengan-Nya. Tapi bagaimana? Diri ini tidak sekuat mana! Mudah goyah, lemah.

Besar harapan saya, kali ini semoga hijrah saya ini, ke arah yang lebih baik, dan saya kekal begini, saya mahu istiqamah. Sungguh, saya sudah penat 'hijrah'. Kepada yang mengenali diri ini sejak dari dulu, u know how i am. Doakan aku, agar aku dicintai Allah, doakan aku, agar aku bahagia dengan caraku ini. Doakan aku, agar aku menjadi muslimah yang sejati.

InsyaAllah, semoga pengalaman selama saya menyertai program itu dapat saya manfaatkan sepanjang hayat saya, biar hingga ke syurga, insyaAllah.

Misi utama saya buat masa ini, "Islah Nafsak". InsyaAllah.

Amin ya rabbal alamin.