+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, December 2, 2009

Cinta Terputus Dua

Bismillah..

Sekali lagi maaf, masih berkisar kepada permasalahan cinta. Melengkapkan trilogi cintan-cintun, kali ini saya ingin bincangkan pula perihal putus cinta.

Dalam Islam, perceraian dibenarkan andaikata sebuah perkahwinan itu sudah tiada jalan lain untuk diselamatkan, andaikata meneruskan perkahwinan mendatangkan lebih banyak mudarat. Penceraian dibenarkan, bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak samada suami atau isteri untuk memulakan hidup baru dengan cara yang tersendiri.
Mulakan hidup baru. Bekas suami dengan jalannya sendiri dan bekas isteri pula dengan hidupnya sendiri, di samping beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi.

Jika pernikahan yakni ikatan yang sah juga boleh diputuskan, apatah lagi dengan 'couple'.

Seandainya salah seorang dari pasangan menyedari, dengan bercouple, makin menjauhkan diri dari Allah, makin membuatkan diri lupa kepada Allah, menambahkan lagi dosa dan maksiat, membuat hidup makin tidak keruan, membuat jiwa dan perasaan makin terseksa, mengakibatkan prestasi dalam pekerjaan atau pelajaran kian merosot, maka jalan terbaik adalah berpisah. Putuskan hubungan dengan si dia.

Seandainya si dia tidak bersungguh-sungguh dalam perhubungan, tidak menghargai dan tidak mempunyai perancangan untuk melansungkan pernikahan. Andainya saban malam melakukan istikharah, masih juga tidak mendapat sebarang petunjuk atau tanda, maka bulatkan tekad, putuskanlah hubungan dengan si dia.

Bina hidup baru, mulakan hidup baru. Andainya si dia pergi meninggalkan kita, mengkhianati cinta kita, lepaskanlah dia pergi dengan berlapang dada. Ingat, dunia masih belum berakhir andai hidup tanpa dia.


Putus Cinta.


"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

[Surah Al-Baqarah ayat 216]


Tidak semua cinta bersatu. Bukan semua orang memiliki cintanya. Bukan semua orang dicintai oleh insan yang dicintainya. Nasib kita berbeza-beza. Ada suka ada duka. Ada pahit ada manis. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan seandainya cinta tidak kesampaian?

Pertama sekali, dekatkan diri kepada Allah, banyakkan ibadat. Tingkatkan keimanan dan keyakinan kita kepada qada' dan qadar Ilahi. Yakin bahawa Allah mempunyai perancangan-Nya tersendiri, kita hanya mampu merancang. Yakin bahawa setiap apa yang berlaku semuanya adalah kehendak dan suratan takdir. Yakinlah bahawa Allah memberi dugaan hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sujud dan sembah hanya kepada Allah, menangis dan mengadu, mohonlah petunjuk dan pertolongan daripada Allah. Dia Maha Berkuasa atas segala makhluk.

Setiap hati yang luka berdarah, pecah berkecai mampu mengundang titik jernih mengalir dari kedua kelopak mata. Menangislah. Luahkan segala kesedihan yang terbuku di dada. Namun harus diingatkan, menangis pun biarlah berpada-pada. Jangan sampai lupa solat lupa makan lupa segalanya. Jangan sampai peredaran siang atau malam lansung kita tak sedar. Sapulah airmata, bangkitlah dari kesedihan.

Menangis hanya menambahkan lagi kesedihan. Menangis hanya membuatkan jasad dan mental kita kian lemah. Menangis tidak mampu menyelesaikan sebarang masalah. Sapulah air mata, usir segala kedukaan jauh-jauh. Jangan biarkan sejarah silam merosakkan masa depan. Past is past, gone is gone.
Biarkanlah apa yang berlaku terus berlalu kerana yang berlalu, pastinya tidak akan berlaku lagi.. Kita hidup harus sentiasa memandang ke hadapan, usah menoleh kebelakang.

Jangan paksa diri untuk melupakan si dia serta merta. Beri ruang masa kepada diri sendiri untuk melupakan si dia secara 'semulajadi'.

Cara yang paling berkesan (kalau boleh) adalah berpindah ke tempat lain. Ini kerana biasanya, jika kita terus di tempat yang sama, membuatkan kenangan bersama dia sentiasa segar. Masih melakukan aktiviti yang serupa bezanya tanpa dia. Masih berjalan di lorong yang sama, bezanya hanya tidak ditemani dia. Pastinya, setiap sudut dan ruang, di mana-mana saja terbayang-bayang kenangan bersama dia. Ini mengakibatkan lebih memakan masa untuk melupakan si dia.
Jadi, seboleh yang mungkin, elakkan dari terus bertembung atau bertemu dengannya.
Dan kalau boleh, tukar nombor telefon atau alamat email, ini bagi mengelakkan diri kita dari terus tertunggu-tunggu panggilan telefon atau email darinya.

Hapuskan segala kenangan ketika bersama dengannya. Buang atau bakar segala barang pemberian, kad atau hadiah, gambar atau segalanya yang berkaitan dengannya. Sedekah kepada kepada sesiapa sahaja asalkan jauh dari pandangan mata.

Biasanya orang bercinta, kawanmu kawanku jua. Keluargamu keluargaku jua. Jadi, bila dah putus cinta, cuba kurangkan pergaulan dengan mereka yang boleh membuatkan kamu mengingatinya. Ini supaya dapat mengelakkan kita daripada terus bercakap atau bertanya khabar tentang si dia. Mungkin tak perlu 'buang seratus peratus' tapi cuba elakkan diri dari terus bercakap mengenai si dia.

Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti lain yang bermanfaat. Jangan beri ruang kepada diri sendiri untuk menyendiri, tidak berbuat apa-apa. Masa yang kosong jika tidak diisi dengan baik akan menyebabkan kita secara automatik terimbas kembali kenangan-kenangan silam samada pahit atau manis. Teringatkan si dia dan boleh menyebabkan rindu kembali bertandang.
Bergaullah dengan kawan-kawan dan elakkan daripada duduk menyendiri. Dan pada masa yang sama, pastikan kawan-kawan kita itu baik akhlaknya, bukan kaki disko atau penagih dadah, dibimbangi kita turut terpengaruh dengan aktiviti kurang sihat.

Setiap kali bangkit dari tidur, senyum dan optimis, bisikkan dalam diri, "aku boleh hidup bahagia tanpa dia". Bersikap positif untuk mengubah diri menjadi lebih baik dari sebelumnya. Tanamkan tekad untuk membina hari baru dan hidup baru yang lebih baik dari semalam. Begitu juga sebelum tidur, jangan biarkan diri kita terus mengenangkan si dia, perbanyakkan doa dan zikir, biar sampai tertidur tanpa memikirkan si dia.

Putus cinta yang paling sakit adalah apabila dikhianati. Walau apa jua sekalipun, maafkanlah si dia. Terima semuanya sebagai ketentuan Ilahi. Sesungguhnya maaf adalah penawar yang terindah. Selagi kita tidak memaafkan, selagi itulah dendam dan perasaan tidak puas hati itu memakan diri kita dan merosakkan jiwa kita. Jadi, belajarlah untuk memaafkan. Kemudian lupakanlah segalanya.

Lupakanlah keburukan orang kepada kita dan lupakanlah kebaikan kita kepada orang.

Lebih menyakitkan apabila putus cinta setelah diserahkan segalanya. Maruah tergadai, mahkota diri musnah.

Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Walau apapun, tidak kira apa jua yang telah berlaku pada hari semalam, kita hidup pada hari ini harus terus memandang kehadapan. Hidup perlu diteruskan jua. Biar perit biar pedih, selagi ajal tidak datang menjemput. Teruskanlah langkah kaki untuk terus mara kehadapan.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kita sendiri yang berusaha mengubahnya. Jadikan kisah silam sebagai pengajaran buat kita, supaya kita menjadi lebih kuat. Jangan biarkan kenangan silam melemahkan lagi langkah kaki kita. Past is past, gone is gone.

Cinta dan rindu itu sakit. Putus cinta itu lebih menyakitkan. Makin dalam kita menyintai, makin perit sakit yang tertanggung. Allah ya Allah. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui.

Mohonlah pertolongan dari Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Ingat.. Kita tidak bersendirian. Allah sentiasa ada bersama kita. Setiap detik dan saat, Dia sentiasa melihat dan mendengar. Dia Maha Mengetahui, setiap rintihan dan rayuan kita. Dia mendengar suara hati kita. Panjatkanlah doa, mohonlah petunjuk dan pertolongan hanya dari Allah.

Cintakan bunga, bunga kan layu. Cintakan Ali, Ali pi kawen dengan minah. Cintakan Allah, kekal abadi.

Tiada cinta seindah cinta kepada Allah. Tanpa perlu belikan hadiah, tanpa perlu kad berwarna warni, hadiah mahal-mahal, cinta itu tetap akan mekar mewangi andai kita sentiasa menjaganya dengan baik. Selangkah kita mendekati, makin Dia menghampiri. Dialah yang mendengar rayuan hati, Dialah yang memakbulkan segala doa.

Allah ya Allah, tingkatkanlah keimanan dan kecintaanku hanya kepada-Mu. Jangan kerana cinta dunia aku lupa pada-Mu. Jangan kerana nikmat dunia, aku lupa syurga-Mu.

Allah ya Allah, jadikanlah aku hamba-Mu yang solehah, akhirkanlah hidupku dengan kesudahan yang baik, masukkanlah aku ke syurga bersama iman.

Amin ya rabbal alamin.

Tuesday, December 1, 2009

Bila Mabuk Cinta

Bismillah, maaf andai ada yang tak berkenan, entri kali ini masih berkisar tentang cinta. Kepada yang tidak berminat, sila abaikan entri kali ini ya, terima kasih :)

Dari mana datangnya rindu?
Dari rasa menyentuh kalbu.

Dari mana datangnya cinta?
Dari mata turun ke jiwa.

Dari mana datangnya rindu?
Dari hati yang terbelai syahdu.

Dari mana datangnya cinta?
Dari jiwa yang asyik merasa.

Dari mana datangnya cinta.
Dari rindu angkara cerita.





Mabuk Cinta.


Saya tidak pasti kenapa, adakah kerana kaum hawa tiada perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan selain dari soal cinta atau kerana kaum adam yang ego tidak suka berbicara soal cinta dalam keadaan terbuka, namun yang pasti, ketika memegang amanah sebagai moderator forum suatu ketika dahulu,  thread baru masalah cinta, luahan cinta kebanyakkanya datang dari user muslimah. Sedih juga.. Beginikah rupa pemudi pewaris negara?

Apakah mereka hidup hanya kerana cinta? Apakah cinta itu terlalu penting, terlalu berkuasa menguasai kehidupan mereka sehingga terbawa-bawa ke dunia tanpa sempadan? Dah takleh fikir benda lain lagi dah? Sampai begitu sekali? Wallahua'alam.


Apapun, lain orang lain caranya. Ada yang bercerita kerana sekadar ingin meluahkan, meringankan bebanan menanggung derita seorang diri. Ada juga yang bercerita untuk mencari penyelesaian berkenaan masalah cinta dan sebagainya.


Namun saya percaya, orang yang sedang dilamun cinta, tengah mabuk cinta, cakap apa pun tak guna, ibarat simbah air ke daun keladi. Sikit pun tak jejas apa pun. Dan sememangnya, mabuk cinta tidak mengenal siapa, tak kira ustaz atau mat rempit, bila terkena panahan cinta, hanya Allah yang tahu.


Kata orang tua-tua, "cinta itu buta". Sahih, bukan kata-kata kosong. Sememangnya, bila seseorang itu dilamun cinta, bukan sahaja mata yang buta, hati juga buta. Segalanya nampak indah, nampak cantik, nampak menarik. Bila sedang mabuk cinta, dosa pahala pun terus jadi lupa. Itulah hebatnya kuasa cinta. Mampu menutup segala kelemahan dan kekurangan pasangan.

Cinta dan Rindu itu Sakit.

Orang yang tak pernah di lamun cinta mungkin tidak mengerti. Kadang-kadang saya rasa gelihati juga, membaca nasihat sahabat yang tak pernah bercinta , menasihati mereka yang sedang mengalami masalah cinta. Apapun, memberi nasihat tidak salah... setidaknya niat baik untuk membantu itu ada. Alhamdulillah cuma, agak aneh bilamana orang buta mengajar orang celik tentang rupa burung, rupa pohon.. Begitulah perumpamaannya..

Apa yang boleh saya simpulkan, cakap memanglah mudah, tapi hati yang menanggung, hati yang merasa ni bukan semudah ABC untuk dipujuk. Bukan mudah membuang kenangan, bukan mudah untuk melupakan, bukan mudah untuk ikut kata bibir, ya atau tidak. Soal hati bukan soal main-main.

Bak pesan seorang ustaz, seboleh yang mungkin, elakkan diri dari cinta sebelum nikah. Jaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan, elakkan diri dengan pergaulan berlainan jantina. Kerana cinta adalah suatu yang sangat 'misteri' yang boleh datang tanpa kita undang, tanpa kita sedari. Bila-bila masa sahaja.

Mungkin juga, bermula dengan satu sms, satu PM, satu email, satu patah perkataan, mampu menerbitkan bibit-bibit cinta. Malahan, ustaz ustazah juga tidak terkecuali dalam 'konflik' cinta ini. Kadang-kadang, orang yang biasanya terlalu menjaga diri, bila sekali terkena jerat cinta, lagi parah natijahnya. Mabuk kepayan, tidur tak lena, mandi tak basah. Bak kata kakak saya, jakun. Orang Kelate kata, 'daghak!'.

Itulah hebatnya kuasa cinta, yang mampu 'menghidupkan' dan juga mampu 'membunuh'. Terserah kepada si pencinta itu sendiri, bagaimana ingin membawa hala tuju cintanya. Menjadi lebih baik atau lebih buruk. Lebih mendekati Allah atau menjauhi Allah.

Elakkan cinta sebelum nikah, tapi seandainya sudah terjerat, sudah terjebak, sudah terjatuh cinta sebelum nikah, maka jalan sebaiknya adalah percepatkan pernikahan.

Jarang benar orang bercinta tiada perasaan rindu. Jarang benar orang yang bercinta tidak mabuk kepayan, tak dengar suara sehari dah rasa tak keruan. Jarang benar orang bercinta tidak melunakkan suaranya memujuk kekasih hati. Jarang benar orang bercinta tidak menulis atau berkata-kata sesuatu yang menusuk hati kekasih sampai ke tangkai jantung. Bergetar jiwa meremang bulu roma.

Ada akal, fikirlah, mana dosa dan mana pahala, jadi, buatlah keputusan dan tindakan yang sewajarnya, segerakanlah pernikahan bila dua hati sudah bertaut. Itu yang sebaik-baiknya.

Jangan kerana cinta sesama manusia kita lupa cinta kepada Allah.

Jangan kerana cinta kepada kekasih kita menjadi dayus dan lemah.

Berikanlah cinta kepada dia yang berhak memilikinya.

Kerana cinta itu suci dan anugerah dari Yang Berkuasa..


Bukan semua orang memiliki cintanya, bukan semua orang dicintai oleh orang yang dicintainya, tak semua cinta bersatu, jadi, hargailah apa yang kita miliki, jangan disia-siakan cinta yang hadir, terajuilah cinta itu sebaiknya, jangan alpa jangan leka, biar mendekati Allah, biar betul caranya, biar sampai menuju ke syurga.

Wassalam.


Monday, November 30, 2009

Cinta Kerana Allah?

Bismillah..

Acapkali saya terbaca bait-bait puitis, rangkaian doa ini..

"Ya Tuhan,

Seandainya Kau mentakdirkan aku jatuh cinta lagi.

Labuhkanlah cintaku ini kepada dia yang mencintaiku kerana-Mu.."


Saya juga percaya, sahabat sekalian juga serupa dan pernah juga mendoakan serupa seperti itu. Mohon dikurniakan cinta dari si dia yang mencintai kita kerana Allah. Mohon agar dianugerahkan cinta dari si dia yang soleh, yang mampu membimbing kita ke syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman:
Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka.”

– Riwayat al-Bukhari -


Uhibbukafillah

Persoalannya, bagaimana kita boleh tahu si dia mencintai kita kerana Allah? Bagaimana kita boleh tahu, kita mencintainya kerana Allah?

Mudahnya kita ucapkan, mudahnya kita lafazkan, mudahnya kita menulis, cinta kerana Allah, tapi hakikatnya, adakah kita benar-benar mengerti, benar-benar memahami takrif cinta kerana Allah? Uhibbukafillah.. Bagaimana kita mahu mengenal pasti cinta kerana Allah? Hati orang bukannya boleh di baca. Ada juga yang lebih mengenali orang lain daripada diri sendiri. Lalu tertanya sendirian, keliru dengan kehendak hati, lalu berteka-teki sendirian..

"Adakah aku menyintainya kerana Allah?"

Nah.. diri sendiri juga keliru, bagaimana pula dengan hati orang lain? Bolehkah kita membacanya? Bolehkah kita mempercayai kata-katanya? Sejauh mana kepercayaan dan keyakinan kita boleh letakkan ke atas setiap kata dan tingkah lakunya? Pesan emak, selain dari kita adalah 'orang'. Saya tafsirkan sebagai, selain daripada kita, jangan percaya orang lain seratus peratus.

Gantunglah harapan, biarlah setinggi mana sekalipun hanya kepada Allah, jangan letak harapan kita 100% kepada makhluk bergelar manusia kerana sepertimana kita, mereka juga punyai akal, nafsu, emosi juga belenggu masing-masing. Orang cakap apa, dengar aja, tapi jangan terima bnulat-bulat seratus peratus. Ada otak pakai, mana yang baik boleh dijadikan pengajaran bolehlah diambil, mana yang huduh yang busuk lagi jahat, buanglah jauh-jauh.

Ketika menghadiri forum beberapa minggu yang lepas, usai menyampaikan butir bicara masing-masing, sesi soal jawab diadakan. Lalu, seorang hadirin tampil mengemukakan soalan.

"Bagaimana kita boleh kenalpasti kita mencintai dia kerana Allah?" begitulah soalannya.

Santai dan bersahaja, panel yang hadir pada malam itu menjawab..

"Jika kerana bercinta dengannya, kita makin mendekatkan diri dengan Allah, makin cinta kepada Allah, makin rindu kepada Allah, makin banyak beribadat kepada Allah, makin takut melakukan maksiat, makin berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik, maka itulah buktinya kita mencintainya kerana Allah.."

"Sebaliknya, jika kerana kita bercinta dengannya, kita makin jauh dengan ALlah, makin berbuat maksiat, menambahkan himpunan dosa, bergayut di telefon sampai lupa ibadat, berchatting hingga tidur lewat sampai lalai melaksanakan solat subuh, berpegang tangan berpelukan melakukan maksiat, maka ini pula buktinya kita mencintainya bukan kerana Allah.."

Jawapan dan contoh yang diberikan agak mudah untuk diterima, si penanya menganggukkan kepala tanda setuju dan saya sendiri juga turut akur dan mengiyakan apa yang dikatakan. Cinta kerana Allah. Begitulah hebat dan indah. Siapa yang mahu? Siapa yang berjaya memperolehnya? Berusahalah.. bermohonlah dari Allah, agar kita dikurniakan cinta itu, cinta kerana Allah.

Jika Salah Seorang?

Bagaimana pula seandainya hanya salah seorang dari kita yang bercinta kerana Allah, tapi pasangan kita sebaliknya?

Contoh mudah, si hawa yang dulunya serba sederhana, muslim sekadar melakukan yang wajib, bila berkenalan dengan seorang ustaz, sama-sama jatuh cinta lalu si hawa berusaha menjadi lebih baik dari sebelumnya. Memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada Allah dan sebagainya.

Berbeza dengan si ustaz yang dulunya menjaga ikhtilat dan pergaulan, banyak beribadat dan menjaga diri dari maksiat, sebaik sahaja mengenali si hawa, berubah sikap 180 darjah, mula kemaruk cinta hinggakan kalau boleh mahu bergayut di telefon 24jam sehari, demi rindu yang membara, sedikit demi sedikit sifat negatif menular dalam diri.

Teringat prinsip keseimbangan terma.. haba yang lebih tinggi akan berpindah ke haba yang lebih rendah, sehingga keseimbangan terma berlaku. Akhirnya, dua kawasan yang bersentuhan itu akan mencapai suhu yang sama. (teori yang ingat-ingat lupa). Bak kata kakak saya, orang yang tak pernah bercinta, tiada pengalaman cinta, bila sekali kena, mudah jadi 'jakun'. Wallahua'alam.

Persoalannya... Bagaimana pula sekiranya kes sedemikian yang berlaku? Adakah bait kata mencintai kerana Allah masih 'valid?'

Tepuk dada, tanya iman. Kita di dunia ini untuk apa. Mengapa kita ada di sini? Untuk apa?

Kadangkala, kita terlalu mencari kesempurnaan, terlalu mengejar 'emas' sehingga sanggup mengabaikan 'perak' yang bergolek di hadapan mata, hingga akhirnya, cuma besi berkarat yang mampu kita miliki. Naauzubillahiminzalik..
Pesan ustaz, selagi boleh elakkan diri dari 'couple' maka elaklah seboleh yang mungkin, tapi seandainya sudah terjebak dengan 'couple', maka usahakanlah agar segera cepatkan perkahwinan. ^_^

Kepada semuanya termasuk diri sendiri, jom jaga hati, jaga diri, jaga iman, semoga kita sentiasa dilindungi-Nya, agar selamat dunia dan akhirat.

Wassalam.

iLuvislam.Com: Sebelum dan Selepas

Bagai semalam saya mengenali iLuvislam.com. Bagai semalam saya jatuh cinta pandang pertama padanya. Bagai semalam saya berdaftar sebagai user iLi.com. Bagai semalam saya menerima amanah sebagai moderator umum iLi.com. Juga bagai semalam saya menggalas amanah sebagai ketua moderator umum. Semuanya masih segar dalam ingatan, bagai semalam saya mendapat nafas baru, meneruskan sisa kehidupan di alam yang fana ini.

Mengimbas kembali sejarah diri. Merentasi perjalanan hidup yang berliku-liku penuh cerita suka dan duka, ada masanya tanpa perlu merancang, ALlah telah mengaturkan segalanya terbaik buat kita. Suratan takdir yang tertulis buat kita, biar pahit atau manis, itulah ketetapan Ilahi yang sepatutnya kita terima dengan hati yang redha.

Jika terjatuh, bangun. Jika tersesat, carilah jalan keluar. Jangan hanya terus menangisi nasib diri tanpa berusaha memperbaiki, Allah tidak akan membantu hamba-Nya yang malas berusaha. Jadikan pengalaman silam sebagai pendorong semangat agar kita lebih kuat, lebih kental, lebih bersemangat dan jangan sekali-kali biarkan sejarah silam merosakkan masa depan kita.

Sebelum dan Sesudah.

Sebelum saya mengenali iLuvislam.com, saya merupakan salah seorang pengguna laman web Friendster.com. 'Hebatnya' saya waktu itu hinggakan saya pernah memiliki dua akaun friendster. Jumlah 'friendlist' saya melebihi 800 orang, samada terdiri dari rakan-rakan yang pernah saya kenali sepanjang saya belajar dan ada juga rakan baru yang lansung tidak saya kenali. Kawan kepad kawan kepada kawan kepada kawan, haish~ panjang susur galurnya, namun itulah hakikatnya saya pada waktu itu.

Dengan memiliki jumlah rakan yang ramai, menuntut saya mengunjungi laman itu hampir setiap hari. Ada sahaja cerita ingin dikongsi. Update status, profile, hantar testimonial, update blog, reply mesej dan sebagainya. 'Bahagianya' saya pada waktu itu, perasaan bagai seorang bintang yang punyai ramai peminat. Aduh, astagfirullahalazim..

Internet pada saya waktu itu tak lebih dari sekadar tempat melepaskan kebosanan, mengisi kesunyian. Jujur saya pernah berkongsi gambar serupa seperti teman-teman lain. Jujur saya mempunyai lebih ramai rakan lelaki daripada rakan perempuan dalam senarai 'friendlist'. Dan jujur, ikhtilat antara kami tidak terjaga bagai tiada batasan. Astagfirullahalazim..

Saya tiada memori, detik pertama mengenali iluvislam.com. Saya lupa bagaimana saya pertama kali 'menceroboh' masuk ke iLuvislam.com, tapi saya ingat, kali pertama saya melihatnya, saya terus berdaftar untuk membolehkan saya menghantar komen di ruangan forum. Saya masih ingat, saya jatuh hati kepada iLuvislam kerana ruangan forum, jadi, hingga kini saya masih cinta dan sayangkan forum.

Namun saya masih ingat, antara faktor penyebab saya 'mencari sesuatu' di alam maya, adalah kerana seseorang yang saya kenali melalui friendster, seseorang yang membuatkan saya terfikir tentang alam selepas mati, seseorang yang membuat saya terfikir bahawa saya belum terlambat untuk mengejar syurga. Kerana dia tapi bukan untuknya, saya berusaha mencari diri, mencuba menjadi lebih baik dari sebelumnya hingga akhirnya menemukan saya dengan iLuvislam.com.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, Dia Maha Mengetahui, pencarian saya tidak sia-sia dan saya bersyukur kerana dipertemukan dengan iLi.com. Merangkak perlahan-lahan, saya cuba untuk memperbaiki diri. Bukan untuk sesiapa, tapi demi kehidupan selepas mati.

Bukan sedikit iLi.com mempengaruhi hidup saya. Besar impaknya hanya Allah yang tahu. Insan yang dahagakan ilmu seperti saya bagai terisi jiwanya. Bagai ketemu jalan yang sebenar. Bagai kembali berpijak di bumi yang nyata. Sungguh besar jasa iLi.com dan hanya Allah yang mampu membalasnya.

Sebagai tanda syukur itu juga, hingga kini saya masih bertahan sebagai moderator umum, saya cuba untuk membantu selagi termampu, agar lebih ramai insan-insan yang 'terlena' seperti saya dahulu bangkit dari tidur. Kembali mengenal diri, menginsafi diri, mengejar redha Ilahi, mencari cinta yang hakiki, mengatur langkah yang jitu menuju syurga yang abadi.

InsyaAllah, sampai di sini dahulu, insyaAllah saya akan sambung menulis, berkongsi pengalaman selama memegang amanah sebagai moderator umum iLi.com.

Sampai bertemu lagi. Wassalam.








Saturday, November 28, 2009

Perjalanan Belum Berakhir

Lama juga saya tidak menulis dan menconteng sesuatu di ruangan blog "Mencari Sebuah Destinasi". Hingga terbit pula rasa janggal dan kekok tatkala jari ini mula menari mencatit sesuatu di kotak kecil ini. Bukan sengaja menyepikan diri, tapi kerana kelemahan diri ini yang tidak mampu mengawal masa sebaik yang mungkin, lalu mengakibatkan ruangan masa untuk blog ini kian mengecil.

Masa terus berjalan berlalu tanpa henti, sedikit pun tidak pernah simpati kepada diri ini yang ada masanya pincang dalam mengatur langkah. Jatuh tersungkur dalam mengejar angan yang tidak pernah berkesampaian. Berdarah dan menangis merayu dan memohon. Tiada siapa yang mendengar melainkan Allah. Lalu diri ini cuma mampu tersenyum dan melambai. Mengucapkan selamat tinggal kepada masa yang berlalu pergi, melapangkan tangan meraikan ketibaan hari baru. Hari baru namun diri ini masih serupa. Kosong. Tiada warna warni.

November kian berlalu meninggalkan kita. Disember akan tiba lagi sehari dua. 2009 akan kita tinggalkan, 2010 akan kita raikan andai umur kita panjang, andai bumi ini belum kiamat. Ajaibnya masa yang hingga kini tidak mampu diri ini taksirkan, terlalu misteri untuk dimengertikan. Lalu kubiarkan segalanya, hanya kepada Allah. Kerana diri ini yakin dan percaya, Dia lebih mengetahui.

11 Zulhijjah datang lagi.. Maha Suci Allah.. Sempena sambutan aidiladha tahun ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam aidiladha kepada semua sahabat yang membaca. Mohon maaf ya segala salah dan silap.. Saya cuma manusia biasa yang punyai banyak kelemahan diri..

Mari hayati pengorbanan Siti Hajar, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Gigihnya Siti Hajar yang berlari berulang alik dari Safa ke Marwah demi mencari setitik air untuk si anak yang menangis kelaparan. Alangkah indahnya andai kisah mulia ini dapat disematkann dijiwa ini, dijadikan panduan bagi meneruskan kehidupan.

Betapa nikmat Allah itu diberikan kepada hamba-Nya, kadang-kadang dalam keadaan yang tidak di sangka-sangka. [Ya Allah, moga aku dapat mencontohi Siti Hajar]. Biarpun berlari berulang kali, air tetap tidak diketemui namun Siti Hajar tetap tidak berputus asa. Akhirnya, betapa Allah itu Maha Besar, air ditemui mengalir dari bawah tapak kaki Ismail. Sungguh, rahmat Allah sangat luas, semoga diri ini terus percaya dan yakin, memohon agar tidak berhenti berharap, agar diri ini tidak berputus asa dengan rahmat Allah.

Wahai Pemilik jasad dan nyawa ini.. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tintaku kali ini berhenti di sini, namun hidup ini masih jua tetap diteruskan, selagi Kau izinkan.. Pimpinlah aku wahai Tuhan.. Jangan Kau biarkan aku kembali sesat.