+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, October 28, 2009

Not a Virgin : Admit?

Bismillah.. salah satu sebab kenapa saya masih cuba untuk bertahan di iLuvislam.com adalah kerana saya berpendapat, adik-adik/user-user iLuvislam yang bermasalah masih memerlukan saya. Kerap juga saya mendapat PM dari user, bertanyakan pendapat dan pandangan terhadap masalah yang mereka hadapi. Tak kurang dari itu, banyak juga thread baru yang dibuka berkaitan dengan kes terlanjur atau zina sebelum nikah. Astagfirullahalazim.

Tujuan saya utarakan isu ini bukan berniat untuk membuat mereka yang pernah terlanjur berasa terhina, atau rendah diri, bersalah dan sebagainya. Pada saya, perkara yang lepas biarlah ia terus berlalu. Tiada gunanya di kenang kerana walau menangis air mata darah sekalipun, kita tidak mungkin mampu mengubah sejarah. Apa yang penting adalah berhenti melakukannya dan mohonlah keampunan daripada Allah dengan penuh keikhlasan. Mengadu dan merayu kepada Allah, agar dosa-dosa silam diampunkan dan diberi kesudahan hidup yang baik, sesungguhnya, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.

Objektif utama entri kali ini adalah bagi mencegah adik-adik/sahabat-sahabat agar tidak mendekati zina dan jangan melakukannya.

Mungkin saya dan anda pernah terbaca, lapisan dara terlalu nipis dan boleh terkoyak tidak semestinya kerana melakukan persetubuhan. Dan di dada akhbar juga peti televisyen juga sering memaparkan, hanya dengan melakukan pemeriksaan doktor, barulah dapat diketahui samada seseorang itu masih dara atau tidak. Saya tidak berani mengatakan berita itu bohong, tapi saya ingin katakan bahawa berita itu kurang tepat sepenuhnya.

Baru-baru ini, ketika blogwalking, saya terbaca beberapa entri di sebuah blog, "kaedah-kaedah mengenal gadis samada masih dara atau tidak". Suprisingly! Banyak betul kaedah dan banyak cara untuk mengenalinya. Wah! Kagum.. Betul atau salah apa yang di tulis di dalamnya tidak mahu saya pertikaikan, tapi apa yang ingin saya kongsikan adalah, jangan ingat orang tak tahu kalau kita sudah tiada dara. Maaf.

Jadi, kepada sesiapa yang sedang bercinta atau bakal bercinta, yang pernah 'ringan-ringan' atau bakal terjebak dengan zina, berhentilah melakukannya. Jangan sampai menyesal di kemudian hari, terutamanya wanita. Sesungguhnya 'dara' adalah kehormatan kita yang sangat bernilai yang wajib kita pertahankan.

Buang jauh-jauh persepsi, "takpe la, bukan orang tahu pun" kerana anda silap, sebenarnya bukan susah untuk membezakan anda masih dara atau tidak dan lebih penting dari itu, ALlah Maha Melihat. Malaikat raqib dan atib sentiasa mencatat amalan kita. Apa yang dilarang oleh Allah pasti ada sebabnya. Ingatlah..

Surah Al-Isra' ayat 32, Allah berfirman;

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Sampaikan walau sepatah ayat, dan kini aku telah melaksanakan amanahku. Terserah kepada kamu untuk menerimanya atau tidak. Moga Allah mengampunkan dosaku dan meringankan bebananku, amin ya rabbal alamin.

Wallahua'alam.

Monday, October 26, 2009

Hidup Mesti Diteruskan

Dengan nama Allah yang menguasai langit dan bumi, yang menghidupkan dan mematikan, yang mengasihi lagi mengasihani. Hanya pada-Mu aku berserah, hanya pada-Mu aku bermohon. Tunjukkanlah aku jalan yang benar wahai Tuhan..

Pertama sekali, saya memohon maaf kepada sahabat pengunjung blog kerana akhir-akhir ini (dan mungkin selama ini juga) saya tidak memberi perkongsian yang bermanfaat untuk kita semua. Entri blog saya penuh dengan keluh kesah, luahan dan omelan, leteran dan bebelan, yang pastinya tiada apa-apa faedah, maafkan saya, sekali lagi saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari semua.

Kedua, apa yang saya tulis selalunya datang dari hati dan minda saya. Saya selalunya menulis terus dari hati. Jarang membuat rujukan atau kajian. Apa yang saya fikir maka itulah hasilnya tulisan saya. Jadi, pada siapa yang sering mengikuti blog saya, tidak mustahil mereka dapat membaca kecelaruan yang melanda benak saya, terlalu transparensi dan mudah untuk ditafsirkan. Maka jujur saya mengaku, saya kini ada sedikit masalah yang perlu diselesaikan. Cuma memohon kepada Allah agar terus memberi kekuatan kepada saya untuk dapat terus bertahan.

Kepada semua yang terus menyokong, terima kasih infiniti saya ucapkan, moga Allah memberi ganjaran sebaik-baik ganjaran kepada kalian, moga doa kalian dimakbulka Allah, amin ya rabbal alamin..

InsyaAllah saya yakin dan percaya..

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".


[Al- Baqarah : Ayat 286]

Allah ada bersama kita, semoga aku tidak lupa pada-Mu.

Sunday, October 25, 2009

Frust = Dayus?

Seorang sahabat menegur saya kerana komen pendapat saya di satu thread berkaitan masalah cinta, putus cinta dan tidak dapat melupakan bekas kekasih. Katanya saya berfikir terlalu tipikal, seolah-olah memandang remeh terhadap permasalahan remaja lelaki itu. Remaja itu perlu diselamatkan, jika tidak, remaja itu mungkin jadi seperti dirinya, kerana cinta, akidah menjadi taruhan Naauzubillah.

Kebetulan minggu lepas, seorang sahabat berkongsi status di wall facebook beliau,
"Pagi-pagi dah dapat kes bunuh diri,"

Astagfirullah, terkedu saya seketika. Begitu hebat penangan cinta, cinta yang mampu merosakkan dan membunuh. Naauzubillahiminzalik..

Wednesday, October 21, 2009

ESQ Merungkai Rahsia Hati

Saya tersenyum sendiri, mengenang kelemahan diri, betapa rapuhnya hati ini, dijentik sekali terus pecah hancur berkecai. Baru saya sedar agaknya, betapa goyahnya iman ini, betapa lemahnya kesabaran ini. Betapa diri ini masih belum redha dengan ketetapan dan ketentuan qada' dan qadar. Astaghfirullahalazim. Hinanya diri ini. Ampunkahlah dosaku wahai Tuhan.

Dalam dada kita, ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah kita, jika ia buruk, maka buruklah kita. Dalam diri kita, ada seorang raja, yang mengawal tindak tanduk kita, menguasai perbuatan dan perkataan kita. Jika baik raja itu maka baiklah kita, jika jahat raja itu maka jahatlah kita.

Siapa diri kita yang sebenarnya? Pernahkah kita memikirkan hakikat ini? Kenapa kita berada di sini? Apa yang kita mahukan dalam hidup ini?

Allah anugerahkan kita IQ, EQ dan SQ. Mungkin ramai di antara kita yang lebih mengutamakan IQ. Kejayaan duniawi. Keinginan untuk cemerlang dalam pendidikan, dalam kerjaya. Malahan ibubapa juga sejak bayi dalam kandungan, sanggup berhabis wang ringgit untuk mendapatkan makanan berkhasiat yang bagus untuk otak bayi. Biar anak pandai, biar anak bijak.

Ketinggian IQ tanpa EQ akhirnya melahirkan manusia robot. Manusia yang bijak akalnya tapi hilang sifat-sifat murni dalam diri. Manusia yang bijak mencipta bom dan senjata tajam namun tanpa rasa bersalah membunuh dan memusnahkan kehidupan makhluk lain. Tiada rasa belas dan simpati. Tiada perasaan kasih dan sayang.

Sebaliknya pula bila seseorang manusia itu tinggi nilai EQ namun tidak miliki IQ.. Penuh perasaan kasih, sayang, cinta, rindu tapi akal tidak digunakan sebaik mungkin, kesudahannya penasaran sendirian. Umpama seekor ibu kucing yang terus hidup berlandaskan emosi dan nafsu. Apa yang membezakan kita dengan binatang jika bukan akal? Nah, ternyata betapa akal itu penting bagi seseorang manusia.

Jadi, apa yang perlu untuk kita mengawal IQ dan EQ? IQ selalunya bertindak ketika kita dalam keadaan sedar dan EQ pula bertindak ketika kita dalam keadaan separa sedar. Kita tidak meminta kita mengasihi, kita tak minta kita membenci tapi ia datang sendiri tanpa diundang. Dan IQ pula bekerja ketika kita dalam keadaan waras, bilamana kita mabuk pastinya IQ ini gagal berfungsi, lagaknya bagai seekor binatang.

Apa yang saya perolehi dari latihan ESQ adalah bagaimana caranya untuk mengawal IQ dan EQ. Ramai yang tidak sedar akan wujudnya SQ dalam diri sendiri. Spritual Quotient. SQ selalunya bertindak dalam keadaan kita di luar sedar. SQ terhasil dari nilai-nilai murni yang kita terapkan selama ini, menjadi habit atau kebiasaan dan bertindak tanpa kita sempat berfikir.

Bagaimana kita mengemudi hidup, kelakuan dan perkataan kita bergantung kepada nilai-nilai SQ dalam diri kita. Untuk mengetahuinya secara lebih terperinci, saya sarankan kalian membaca buku ESQ Emotional Spiritual Quotient yang dikarang oleh Ary Ginanjar Agustian, pengasas ESQ 165 dan yang terkini diterjemahkan dalam bahasa melayu oleh Mohd Nurul Imran yang juga presiden iLuvislam.com.

Sebaiknya juga, lebih bermakna jika kita dapat menjalani sendiri latihan ESQ 165, nikmatinya sendiri dan lihatlah dengan mata hati.."Feel the Experience & Get a Meaningful Life". Percayalah, apa yang bakal anda perolehi melalui latihan ini sungguh bermakna, mampu membuka mata kita yang tertutup selama ini, dan mengejutkan kita dari lena yang panjang.

Kita manusia diciptakan sempurna, di dunia ini kitalah khalifah. Kita diciptakan dengan sebabnya yang tersendiri. Di sini, kita ada tugas yang perlu dilaksanakan dan di sini bukanlah destinasi terakhir kita. Bagaimana kita mengemudi hidup kita menuju destinasi yang terakhir?

Menjawab kembali soalan ini;

Siapa kita?

Apa kita mahu?

Jawablah..

Aku hanyalah hamba Allah.

Syurga yang aku mahu.


Wallahua'alam.

Tuesday, October 20, 2009

Inilah Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim,

Bila kita disalahmengertikan, bersabarlah dan jangan cepat melatah. Usah bersedih dan tak perlu berduka. Ingat Allah sentiasa. Biarlah sebanyak mana dunia membenci kita, asalkan Allah mengasihi kita maka tabahkanlah hati, bersabarlah. Bersyukurlah.

Sudut pandangan setiap orang tidak mungkin sama, cara melihat pasti berbeza. Apa yang kita fikirkan baik belum tentu baik pada pandangan mereka. Maafkanlah mereka kerana mereka masih tidak mengenali diri kita yang sebenarnya. Maafkanlah mereka kerana mereka tidak lalui apa yang kita lalui, mana mungkin mereka mengerti dan memahami. Maafkanlah.

Perjalanan hidup setiap orang tidak sama, cubaan dan dugaan yang menguji setiap dari kita juga berbeza. Persekitaran dan orang sekeliling yang mempengaruhi pastinya turut memberi impak ke arah wujudnya perbezaan itu. Cuba untuk menerima hakikat ini, semoga hati menjadi lebih lapang.

Jangan menghukum mereka kerana kita tidak layak menghukum, yang berhak cuma Allah. Jangan mudah membuat kesimpulan kerana kita tak semestinya sentiasa betul. Jangan sentiasa mendongak ke atas, sekali sekala harus memandang ke bawah agar tidak jatuh tersungkur. Jangan asyik dan leka dengan pujian manusia, kerana kita bukan hidup kerana pujian dan tak mungkin mati kerana kejian.

Hiduplah dalam keikhlasan, jauhkan sifat hipokrit. Bukan sesiapa yang kamu tipu, tapi malangnya kamu cuma menipu dirimu sendiri. Insan lain mungkin tidak dapat membaca apa yang tersimpan di dada kamu tapi ingat, Allah tidak pernah lena walau sesaat, malaikat raqib dan atib juga tidak pernah jemu mencatat. Berwaspadalah.

Belajarlah untuk menghargai. Hargailah apa yang kita miliki. Belajarlah untuk bersyukur, syukurlah dengan segala anugerah dan pemberian Allah. Ingatlah dan jangan lupa, hidup di dunia cuma sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Segala apa yang kita miliki, semuanya hanya pinjamanan. Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali.

Wallahua'alam.


EDITED: nama2 malaikat. maaf atas kekhilafan sebelum ini. (^_^)