+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, February 4, 2010

Takrif Amanah Bagimu Apa?

Tulisan kali ini mungkin sampah, awal-awal saya menyusun sepuluh jari, mohon keampunan dari semua. Sekadar nukilan kosong, luahan hati barangkali.

Merenung ke hadapan, merancang masa depan, saya terkedu, buntu. Apa yang harus saya lakukan? Bagaimana caranya? Siapa akan bersama saya? Bila semuanya akan terlaksana? Allahu.. Siapa yang akan menjawab semua persoalan yang datang dan pergi bertali arus? Soalan yang tiada jawapan, barangkali, agaknya!

Bercakap soal amanah.

Antara ciri-ciri orang munafik adalah bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir dan bila diberikan amanah, dia tidak laksanakan! Kita bagaimana? Astagfirullahalazim. Saya juga banyak kelemahan. Banyak kekurangan dan sering juga melakukan kesilapan.

"Ya Allah, jangan Kau kirakan aku salah, andai aku terlupa, andai aku tidak tahu...ampunkan dosaku, kasihanilah aku.."

Sahabat yang dirahmati Allah, kadang-kadang, sejujurnya saya kecewa. Bilamana anda sanggup mengenepikan amanah yang terpikul di bahu kerana kelemahan diri sendiri, kerana kekurangan yang ada pada diri, kerana masalah-masalah peribadi yang lain, yang sepatutnya di selesaikan sendiri tanpa mengorbankan amanah yang sudah sedia ada.

Kesanggupan anda menerima amanah yang diberikan, sepatutnya waktu itu juga anda faham, walau apa jua sekalipun, kecuali perkara yang benar-benar mendesak (ie: Exam), amanah itu mesti di laksanakan. Tidak boleh sekadar bersikap sambil lewa lalu mengalah, tidak boleh bersikap lemah, tidak boleh lepas tangan, tidak boleh berputus asa, jangan campur adukkan amanah dengan masalah kehidupan harian yang lain, be profesional.. please..

Entahlah, kelemahan ini mungkin puncanya dari saya sendiri, insyaAllah, peluang yang mendatang, akan dimanfaatkan sebaik yang mungkin, agar kepincangan ini dapat ditangani sebaik yang mungkin, insyaAllah, insyaAllah..

Wednesday, February 3, 2010

Siapa Hantu?

Beberapa bulan yang lepas, saya berkesempatan menonton sebuah filem dari Thailand. Cerita yang agak seram. Erm, memang cerita hantu pun.

Kisahnya mengenai seorang wanita, mengandung yang ditinggalkan oleh suaminya, setelah menanti beberapa bulan, dia yang sarat mengandung berkeputusan untuk keluar mencari suaminya.

Akhirnya, setelah jauh mengembara, beliau berhenti berehat di sebatang pokok besar, tak jauh dari pohon itu, beliau terjumpa sebuah rumah besar yang penuh misteri, suasana di dalamnya menyeramkan dan orang-orang di situ juga penuh misteri. Bunyi yang menakutkan, roh yang merayau merata-rata pada waktu malam, bayangan pelbagai susuk tubuh dan sebagainya. Kerana terdesak, dia telah memohon untuk bekerja di situ, sekurang-kurangnya ada tempat untuk berteduh.

Dipendekkan cerita, dia bersalin di situ dan berkenalan dengan pemilik rumah itu, seorang wanita cantik yang penuh misteri, seolah-olah cemburukan dirinya yang punyai anak. Dia juga akhirnya bertemu dengan suaminya di kawasan perumahan itu, namun suaminya yang aneh itu memintanya keluar dari situ. Kata suaminya, mereka tidak boleh hidup bersama kerana dia sudah dimiliki oleh wanita lain.

Marah, cemburu, tidak dapat menerima kenyataan sebenar, wanita itu mulai yakin bahawa suaminya itu mempunyai hubungan sulit dengan wanita kaya pemilik rumah besar itu. Dengan perasaan yang meluap-luap, dia bertindak menyerang wanita itu, kononnya mempertahankan haknya sebagai isteri.

Namun rupa-rupanya, segala-galanya terbukti, dialah merupakan orang ke tiga dalam perhubungan itu. Rupa-rupanya, suaminya itu adalah suami kepada wanita kaya itu yang kemudiannya mengkhianati isterinya yang kaya dan sudah berusia, dengan alasan tidak dapat melahirkan anak.

Bagai suatu tamparan hebat, apabila akhirnya dia tahu, wanita kaya itu telah membunuh suaminya sendiri ketika pergaduhan, akhirnya terbongkar, mereka yang menemaninya di rumah itu sebenarnya, semuanya sudah mati. Dengan penuh ketakutan, dan demi menyelamatkan anaknya yang masih kecil, dia cuba melarikan diri, keluar dari rumah yang penuh dengan hantu dan roh. Suasana benar-benar menyeramkan, hantu sana-sini.

Akhirnya, dia dapat menyelamatkan dirinya, keluar dari perkarangan rumah misteri itu. Dan kembali ke pohon yang dia singgah sebelum masuk ke rumah itu. Sambil menangis dan merintih, dia menahan setiap kereta dan beca yang lalu di situ, namun tiada satu pun yang berhenti, singgah menumpangkanya. Begitulah dia saban malam, melambai-lambai, menanti dan terus menanti.. namun tiada siapa yang peduli.

Rupa-rupanya...

Dia juga bukanlah manusia biasa. Rupa-rupanya, dia juga telah mati, menggantung dirinya di pohon yang besar itu sebelum masuk ke perkarangan rumah besar itu kerana terlalu sedih ditinggalkan. 'Hantu'nya yang masuk ke rumah itu. Dia, melambai teksi dan beca yang lalu bagai hantu yang menyeramkan, siapa yang mahu tumpangkan?

Moral of the story:

Abaikan pasal hantu dan roh. Itu cuma 'pelazat' jalan cerita.

Moralnya, sebelum menuduh orang lain, kita perlu muhasabah diri sendiri dahulu. Jangan membuta tuli. Mungkin kesalahan itu puncanya dari kita sendiri.

Sudut pandangan bagi setiap orang berbeza-beza, kita tidak boleh menganggap orang lain sentiasa berfikiran sama dengan kita. Mungkin cara melihat mereka lebih baik dari kita.

Kadang-kadang, kita berasa kita sentiasa betul dan sempurna. Tidak sanggup melukai hati insan lain, tidak sanggup mengkhianati orang lain. Tapi ada masanya, tanpa sedar kita, kita juga tidak mustahil akan melakukan kesilapan itu, tiada manusia yang sempurna, kita bukanlah maksum. Oleh itu, ada masanya, kita perlu check and balance, heart to heart, tanya sahabat baik kita, apakah selama ini kita ada melukainya ataupun tidak, sebagai contoh.

Ada waktunya juga, kita sentiasa berasa kita yang paling betul, kitalah mangsa, kita tidak bersalah dan dikhianati. Kita melihat orang lain sebagai pesalah (hantu-hantu) dan kita lupa, kita juga mungkin dalam golongan mereka.

Muhasabah diri jom, ambil ibrah dari setiap apa jua yang berlaku. InsyaAllah, mudah-mudahan, hidup kita lebih baik dari sebelumnya.

Wallahua'alam.

Tuesday, February 2, 2010

Hadiah Valentines

Jangan hina aku, jangan cerca aku.
Aku juga manusia sama seperti kamu.
Jangan keji aku, jangan cemuh aku.
Ada di sini juga bukan pintaku.

Aku bukan bala, aku anugerah.
Juga makhluk ciptaan Allah.

Aku bukan petaka, aku lambang cinta.
Bukti kasih sepasang adam dan hawa.
Yang hanyut, lalai dan alpa.
Punyai mata hati tapi buta!

14 Februari tarikh keramat.
Sepasang kekasih bermadu asmara.
Saat nafsu menggila, agama dilupa.
Syaitan bersorakan riang!
Bangga menumbangkan iman!
Atas nama cinta!
Maruah tergadai.
Dua jasad bersatu menjadi satu.
Tanpa segan tanpa silu.
Lupa syurga lupa neraka!
Hanyut dilambung gelora!
Kononnya demi bukti kasih!
Ah! Persetankan cinta dan kasih!
Semuanya dusta! Palsu!

Lihat aku, pandanglah aku!
Oh! Manusia kejam!
Akulah bukti cinta itu tapi kenapa aku dipersiakan!
Akulah hasil valentines tapi kenapa begini nasibku???

Andai aku punyai ibu.. Oh Ibu..
Dengarlah jeritan suara tangis sendu batinku ini.
Merintih pilu memanggil mu..
Kembalilah ke pangkuanku ibu..
Aku hauskan susumu..
Aku ingin kehangatan tubuhmu..
Ambil aku, dukung aku, peluklah aku..
Dakaplah aku dekat hatimu..
Agar kau bisa dengar.. degupan jantung kecilku ini..
Dengarlah ibu suara batinku.. genggamlah tanganku yang halus ini..

Oh Ibu.. Jangan biar aku sendirian di sini..
Aku kedinginan kehibaan kesepian..
Aku takut ibu.. aku takut..
Sudah penat aku menangis, menjerit..
Tiada siapa yang mendengar..
Kasihanilah aku ibu..

Ibu... Lihat sang semut..
Melata menjalar di seluruh tubuhku.
Kulitku merah, berbintat-bintat..
Rasa apakah ini wahai ibu?
Kian kuat tangisanku..

Oh ibu...
Sang gagak singgah menziarahiku..
Ah, barangkali ia tertawakan aku..
Mungkin berasa lebih mulia dariku...
Aku malu ibu, aku hiba..
Lihatlah ibu, dia mematuk aku..
Darah merah mula mengalir, membasahi jasadku..
Rasa sakit kian perit.. Aduhai ibu.. kasihanilah daku..

Oh ibu..
Gagak itu pergi..
Tatkala anjing hitam merah matanya datang...
Resahku reda.. Gagak tiada.. Namun cuma sementara..

Tangisanku memecah kesunyian..
Tekakku perit.. pedih serata tubuh..
Sakit terasa bukan kepalang..
Tanganku sudah tiada.. kaki ku pula..
Airmata ku kekeringan.. Suara ku kian bisu..

Oh ibu, apakah kau tahu penderitaan yang aku tanggung ini?
Oh ibu, apa dosaku kau biarkan aku begini..
Apa dosaku dilahirkan dan ditinggalkan..
Inikah cinta yang kau lafazkan wahai jantan bernafsu serakah!
Inikah kasih yang ingin kau buktikan wahai betina sialan!
Kau lihat aku, tataplah aku... betapa sengsaranya aku..

Anjing kekenyangan. Rezekimu malam ini.
Alam kian kelam, gelap, sepi, selamat tinggal dunia.
Hadirku tanpa diundang, cuma sementara.
Kepada Sang Pencipta aku kembali.
Selamat tinggal.
Jantan keparat, betina murahan!
Akulah hadiah valentine!
Penderitaanku ini kerana kamu!
Pemuja Hari Valentines.



\(^_^)/ Bulan Ini Bulan Cinta @>,--'--

Bulan Februari, bulan yang dinanti-nantikan oleh pasangan kekasih. Apa yang istimewanya dengan bulan ini? Tak lain tak bukan, setiap 14 Februari mereka meraikan Hari Kekasih yang juga dikenali sebagai Valentine's Day.

Membuta tuli barangkali, meraikan dengan penuh keghairahan tanpa mengetahui sejarah dan kisah sebenar Hari Valentino diraikan. Islam mengajar kita mencegah kemungkaran dengan tangan, jika tidak mampu cegahlah dengan perkataan dan jika masih juga tidak berkeupayaan, cegahlah dengan hati. Doa. Benci kepada kemaksiatan. Benci kepada kemungkaran. Jangan sekali-kali menyokong atau mengiyakannya! Andai kita meraikan Valentines' Day, bukankah ini bermakna kita menyokong tindakan Valentino pada satu masa dahulu?? Istighfarlah.. istighfar.. minta keampunan dari Allah.


Setiap Hari adalah Hari Kekasih

Kenapa mesti tunggu 14 Februari? Bukankah tidak sempurna iman seseorang seandainya dia tidak mengasihi saudara seagamanya? Bukankah agama kita agama yang penuh kasih sayang? Apa salahnya kita berkasih sayang setiap hari? Berkasih dan bersayang pada orang yang sepatutnya dengan cara yang bersesuaian. Tidak melanggar syarak, tidak melampaui batas.

Kasih kepada ibu bapa, kepada keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Kasih kepada fakir miskin dan anak yatim. Kasih kepada mereka yang berhak.

Malangnya. Bukan perkara baru, sebagai meminta bukti kasih dan sayang dari si gadis, si teruna memujuk rayu, "Kalau betul sayangkan saya, buktikan!". "Kalau sungguh cintakan saya, tidurlah dengan saya!". "Kalau betul percaya dengan cinta saya, serahkan benda yang paling berharga itu, saya akan jaga kamu sampai bila2!"

Justeru, sebagai lambang cinta si gadis pula, dengan penuh kasih sayang, sanggup serahkan diri, korbankan mahkota diri. Bertepuk soraklah syaitan laknatullah, sepasang anak cucu Nabi Adam tumbang dalam kancah kemaksiatan. Astagfirullahalazim..

Inikah makna cinta? Inikah makna kasih dan sayang? Adakah ini yang diajar oleh agama kita?
Bila yang halal dan yang haram dicampuradukkan, manusia kian keliru. Mudah goyah dan cepat tewas dengan pujuk rayu. Siapa yang harus dipersalahkan?

Jangan menunding jari, muhasabah diri kita. Katakan TIDAK pada Hari Valentine. Tak perlulah kita menghambakan diri, membuta tuli menjadikan Barat sebagai kiblat kita. Jangan biarkan budaya kuning berleluasa dan berkuasa dalam diri kita. Usah gadaikan maruah, prinsip dan harga diri demi mengejar makna cinta yang salah. Keseronokan yang sementara, sengsara menanti di hadapan.

Bercintalah, berkasih sayanglah tapi ingat syurga Allah hanya bagi mereka yang beriman kepada-Nya, patuhi suruhan-Nya, jauhi larangan-Nya. Hidup di dunia cuma sementara, akhirat itulah yang kekal abadi.

Ya Allah ya Tuhanku, temukanlah aku jodoh dengan suami yang soleh, yang akan meminangku dan mengahwiniku, menjadi sahabatku di dunia dan di syurga.

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku redha dan percaya, andai di dunia dia tiada, di syurga sana dia menanti.

Amin ya rabb..


Monday, February 1, 2010

Susah Sangat Ke Nak Cari Anak Dara?

Bismillahirrahmanirrahim..

Sekadar persoalanan (yang mungkin tiada jawapan). Merujuk ruangan forum di iluvislam.com, banyak pula thread yang dibuka oleh pengunjung, antaranya;
1-Bakal isteri pernah terlanjur- perlukah teruskan pernikahan?
2-Pernah berzina dengan isteri orang
3-Bagaimana mahu berterus terang dengan bakal suami bahawa diri sudah tiada dara?
4-Remaja bangga tidak mempunyai dara
5-Terlanjur dan pernah gugurkan kandungan
6-Terlanjur dan direkod, jadi bahan ugutan oleh bekas kekasih
7- ETC..

Apa yang anda boleh tafsirkan? Di kanan kiri kita, mana-mana saja.. Allahu.. pimpinlah hati kami, peliharalah kami dari kemaksiatan. Jauhi kami dari keseronokan sementara yang mengundang sengsara selamanya. Hindari kami dari azab api neraka-Mu. Amin ya rabb..