Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt. Semoga sahabat sekalian sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi. Dikurniakan kesihatan dan kebaikan walau di mana jua kalian berada.
Baru-baru ini, parlimen sudah dibubarkan, 'sempena genap 4 tahun' YAB Dato' Seri Najib memegang amanah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke - 6. Akhirnya. Terjawab sudah teka-teki yang sekian lama bermain-main dalam fikiran banyak orang. Dengan izin Allah swt jua adanya. Alhamdulillah.
Baik. Sementara bumi masih berputar. Siang dan malam masih bertukar ganti. Nyawa masih dikandung jasad - hidup kita harus diteruskan. Melangkah harus ke hadapan. Putus asa jangan sekali. Mengaku kalah sebelum berjuang juga jangan. Berusaha selagi yang termampu, moga Allah memakbulkan segala doa dan impian.
Lebih 50 tahun negara kita telah merdeka. Saya dilahirkan ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri yang ke-4. Saya membesar dengan menyanjung Tun Mahathir sebagai pemimpin idola saya. Ketika di sekolah menengah rendah (Tingkatan 1 - tingkatan 3), kami rakan sekelas sering bercakap mengenai Tun Mahathir. Tentang misi dan visinya. Malah, saya ingat lagi waktu itu, kami bergilir baca sekeping 'surat' yang kononnya - orang Cina tidak suka Mahathir kerana Mahathir banyak membela orang Melayu, malah, orang Cina merancang untuk menjatuhkan Mahathir dan orang Melayu.
Waktu itu, kami baru berusia 13-15 tahun. Waktu itu, kami bersekolah di Kelantan, jarang kami bertemu dengan orang Cina. Waktu itu sekitar tahun 1995-1997. Ya. Waktu itulah Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dan waktu itulah, seterusnya, pada tahun 1997 - kegawatan ekonomi telah melanda dan sekitar waktu itu juga - kami dikejutkan dengan berita penangkapan Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat. Bukan rogol. ISA. Bukan penjara.
Saya jadi bingung. Namun pada sekitar masa yang sama, tahun 1998, kaki saya menganjak meninggalkan sekolah menengah rendah - meninggalkan tanah kelahiran - memasuki sebuah sekolah berasrama di Negeri Sembilan. 'Kekaguman' saya pada Tun Mahathir mula goyah. Kecintaan saya pada Barisan Nasional mula teruji. Ketika di tingkatan empat - saya sempat melihat sendiri rakyat berkumpul di Kuala Lumpur. REFORMASI!
Saya kecewa dengan Tun Mahathir waktu itu. Namun saya juga marah pada Anwar Ibrahim kerana pada saya, dia menjadi punca perpecahan orang Melayu. Kenapa perlu reformasi? Kenapa?? Saya tahu dia dan keluarganya, serta pengikutnya - mahukan keadilan dan pembelaan - tapi - saya tidak mahu lihat orang Melayu berpecah-pecah. Saya tidak suka...
Tamat pengajian di sekolah asrama - selesai menduduki peperiksaan SPM, seterusnya setelah mendapat keputusan SPM, saya melanjutkan pengajian di UTM. Seingat saya, Di UTM itu barulah saya mula yakin dengan apa yang saya yakin. Itu pun kerana satu peristiwa - usrah 'diharamkan' di UTM kerana kononnya - menjadi wadah gerakan bawah tanah menyokong pembangkang (PAS). Sayang dan hormat saya kepada Tun Mahathir mula pudar.
Sebelum saya tamat pengajian di UTM - Satu lagi sejarah tercipta dalam politik tanah air kita.
Tentu sekali, berita pengumuman perletakan jawatan oleh Tun Mahathir. Walhal sebelum itu, saya pernah bersungut - "Sepatutnya Mahathir letak jawatan sementara masih ada orang yang sayangkan dia. Sementara dia masih ada, dia boleh 'membantu' Perdana Menteri yang baru mentadbir negara'. Namun apabila benar-benar Tun Mahathir berundur, sayu juga perasaan saya ini. Bimbang bagaimana kemampuan Perdana Menteri yang baru.
Pak Lah mengambil alih tugas. Pemimpin yang 'hebat' seperti Tun Mahathir, tenyata, bukan 'saingan' Pak Lah. Mereka sering 'dibanding-bandingkan' dan Pak Lah sering 'kalah'. Walaupun Pak Lah dan BN menang besar dalam pilihanraya penggal pertama Pak Lah - hingga menyaksikan PAS di Kelantan menang tipis - namun perjalanan BN seterusnya menjadi hambar dan keputusannya sering dipersoalkan. Pak Lah seolah-olah hilang kredibiliti. Muncul satu lagi watak baru dalam politik negara kita - Khairy Jamaludin.
Ketika pemerintahan Tun Mahathir, slogan begini - "Tolak Mahathir Tolak BN" sering dilaungkan. Ternyata, apabila Pak Lah mengambil alih, sedikit sebanyak telah berjaya mencuri hati rakyat Kelantan. Hasilnya, PAS nyaris kalah dalam Pilihanraya Umum ke-11. Ketika zaman pemerintahan Pak Lah juga, Anwar Ibrahim akhirnya dibebaskan dari penjara - dan ini juga merupakan 'kredit' kepada Pak Lah.
Namun sayang. Yang indah hanya sementara. Seterusnya, Pilihanraya Umum ke-12 berlansung. Suara rakyat bergema - mengejutkan pemimpin-pemimpin BN dari lena. BN bukan sahaja gagal merampas Kelantan daripada PAS, malahan, mereka kehilangan beberapa buah negeri yang lain, antaranya, Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Sangat mengejutkan. BN hanya menang tipis untuk melayakkan mereka membentuk sebuah kerajaan.
Sudahnya, Pak Lah dipersalahkan. Desakan demi desakan, Pak Lah di tekan dari dalam parti dan luar parti, akhirnya - Pak Lah berundur lalu menyerahkan jawatannya kepada timbalannya waktu itu, iaitu DS Najib Tun Razak. Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, waktu itu, saya baru meninggalkan bangku universiti, sudah cukup dewasa untuk lebih memahami scenario politik di Malaysia. Waktu itu saya tidak lagi bergantung kepada surat khabar dan berita tv semata-mata. Saya sudah kenal internet. Kenal banyak orang. Alhamdulillah.
Masa terus berjalan.. Sudah empat tahun DS Najib menjadi perdana menteri dan sudah sampai masanya parlimen dibubarkan. InsyaAllah, hujung bulan ini atau bulan hadapan, PRU-13 akan berlansung. Bagaimana hala tuju negara kita selepas itu masih menjadi tanda tanya, sesungguhnya, hanya Allah yang maha mengetahui.
Selama saya hidup, saya sempat merasa bagaimana pemerintahan tiga orang Perdana Menteri - kesemuanya daripada Barisan Nasional. Saya mengerti, mereka ini telah banyak bekerja, tentu sekali mereka penat. Jadi, saya berharap agar dalam PRU akan datang, mereka dapat berehat panjang bersama anak isteri di rumah dan tak usah susah-susah mentadbir negara lagi. Cukulah 55 tahun yang sudah berlalu. Kami perlukan pembaharuan.
Tiga orang Perdana Menteri telah hadir dalam hidup saya ini, apakah saya sempat merasa hidup di bawah pemerintahan Perdana Menteri ke-tujuh atau ke-lapan? Wallahualam. Apa pun, saya doakan agar Islam tertegak di tanah air kelahiran saya ini. Undian adalah rahsia. Sampai masa nanti, silalah mengundi kepada yang layak. Buat pilihan yang tepat - bukan hanya untuk kita, tapi juga untuk generasi akan datang.
1 comment:
Mertabatkan agama kita Islam. Yakinlah dgn perjuangan golongan agama. Bersama kita naikkan pemimpin Islam. ALLAHU AKBAR.
Post a Comment