+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, January 19, 2013

Kita Bukan Penulis Skrip Kehidupan


Dulunya, saya pernah hidup sebagai remaja. Sama seperti rakan-rakan sebaya, saya juga pernah menjadi salah seorang peminat novel-novel cinta. Pelbagai kisah cinta di garap dengan begitu kreatif sedikit sebanyak telah mencipta satu ilusi dalam minda saya, bahawa, cinta itu indah.

Sebagaimana novel-novel cinta yang biasa saya baca, watak utamanya si gadis, bertemu dengan lelaki idaman. Mereka jatuh cinta kemudian cinta mereka diuji dengan pelbagai ujian dan cubaan, akhirnya, segala ujian itu dapat diatasi lalu mereka hidup bahagia. Happy ending. Lalu saya tersenyum puas tatkala menutup lembaran terakhir novel itu. Seketika, saya sempat berangan-angan. Alangkah indahnya bercinta!



Waktu itu, saya terlalu mentah. Tidak kenal erti kehidupan yang sebenar-benarnya kehidupan. Apa yang saya bayangkan terlalu mudah. Belajar, habis belajar, bernikah. Kemudian dapat anak, kemudian dapat cucu dan seterusnya, saya akan mati setelah tua. Lucu! Saya sempat merancang, mahu tamat belajar ketika umur berapa. Mahu kahwin ketika umur berapa. Mahu dapat anak jumlahnya berapa orang dan begitulah seterusnya. 

Betapa singkatnya pemikiran saya, seolah-olah, saya ini 'penulis novel' yang mampu menulis 'skrip kehidupan' saya sendiri. Yang mampu merancang dan memastikan semuanya berjalan lancar seperti apa yang saya rancangkan. Aduhai, itulah saya. Suatu ketika dulu.

Menjadi Dewasa.

Faktor usia bukanlah satu-satunya faktor yang mematangkan seseorang insan. Ada orang, usianya baru menginjak belasan tahun, namun tampak matang dalam tindakan dan keputusan yang diambilnya. Ada orang, sudah tiga dekad hidup di dunia, namun perangai tak jauh bezanya dengan anak kecil.

Seterusnya, apa pula indikasi yang menentukan samada seseorang itu matang atau tidak? Apa kayu ukurnya? Adakah kerana tidak pernah menangis, maka ia dianggap matang? Atau kerana tahu berdikari, maka ia dianggap matang? Atau bijak menangani masalah, maka dia dianggap matang? Atau mungkin, bila sudah menggalas gelaran sebagai ibu atau bapa, baru di kira matang?

Pada pendapat saya, kematangan seseorang itu bergantung kepada kehebatannya dalam menangani masalah yang dihadapi. Benar, hidup di dunia ini tak pernah sunyi daripada gelora masalah. Ada masalah kecil, ada masalah besar. Ada masalah kecil tapi di lihat besar oleh insan bernama A. Ada pula masalah besar, tapi dilihat kecil oleh insan bernama B. Pada saya, orang yang matang adalah orang yang melihat masalah besar sebagai kecil. Orang yang matang tahu menilai keutamaan antara yang utama. Orang yang matang, bijak mengambil kesempatan dan tidak memudaratkan orang lain.

Yang pastinya, kematangan dan kedewasaan itu adalah seiring. Dan mungkin definisi kita tidak sama.

Setelah Dewasa

Hidup di alam kanak-kanak, semuanya dirasakan indah. Bila ditimpa masalah, menangis. Kemudian esoknya sudah lupa akan masalah semalam. Namun setelah dewasa, baru kita sedar, hidup ini terlalu rumit, berliku-liku. Bukan semudah ABC atau 123. Hidup ini penuh misteri yang mana, kita hanya mampu merancang, namun penentu segalanya adalah bukan kita. Bukan kita... Kita bukan penulis skrip kehidupan kita. Kita tidak mungkin mampu menjadikan setiap apa jua yang kita impikan nyata sebagai sebuah realiti. Jika tanpa izin Allah swt. 

Kerana sesungguhnya, Dia-lah penulis skrip kehidupan kita. Dialah yang menentukan segalanya. Dialah yang menguasai setiap apa yang ada di langit dan di bumi, termasuk kita. Kita ini bukan milik kita, kita ini adalah milik Allah swt.

Setelah dewasa barulah saya sedar, bahawasanya hidup saya ini bukan seindah novel cinta. Rezeki yang saya dapat, milik Allah. Insan-insan yang saya kenali, milik Allah. Bahkan, saya ini juga milik Allah swt. Hanya Dia yang berkuasa, dan saya ini, tiada daya dan upaya. Saya tak bisa menjamin bahawa esok hari, saya masih hidup. Saya tak mungkin dapat memastikan cita-cita saya ingin bernikah ketika usia sekian-sekian menjadi kenyataan jika Allah tidak mengizinkan. Saya tak punya kuasa. 

Solatku, ibadahku, hidupku dan matiku. Hanya untuk Allah swt.

Setelah di uji dengan ujian demi ujian, barulah saya sedar bahawasanya, saya hidup di dunia ini bukan semata-mata untuk mendapatkan apa jua kemahuan saya. Saya hidup di dunia ini bukan sekadar memastikan cita-cita saya jadi kenyataan. Saya hidup di dunia ini bukan sekadar bercinta dan berkahwin. Tapi, lebih daripada itu. Sebagai hamba Allah dan khalifah. Saya insaf. Kehidupan di dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Untuk apa kita bersenang-senang, terlalu banyak berhibur sedangkan kita tahu, di hadapan sana, di akhirat sana, syurga dan neraka sedang menanti kita. Di sana, kita hidup tidak mati lagi. Hidup untuk selamanya.

Dengan rasa rendah hati, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian agar sama-sama kita jadi insan solehah. Saya ingin mengajak kepada kebaikan, bukanlah kerana saya ini terlalu baik, apatah lagi sempurna.. Tapi kerana saya pernah merasa akibat daripada keburukan dan kerana saya sayangkan kalian semua, saya tidak mahu kalian merasa sakit yang pernah saya rasa.

Jagalah diri dan keluarga kita daripada api neraka. Berpesan-pesanlah kita kepada kebaikan. Moga Allah kasih dan selamatkan kita daripada azab. Amin ya rabb...




2 comments:

durrahnur said...

pencerahan yang baik ukthi..:)

AsNiza said...

alhamdulillah ukhti.. moga bermanfaat..