+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22
Showing posts with label Luahan. Show all posts
Showing posts with label Luahan. Show all posts

Saturday, August 26, 2017

Apa yang Kamu Tahu?

Pada saya, merasa bersalah adalah suatu bentuk hukuman yang sangat berat. Merasa bersalah boleh buat hidup saya jadi tak keruan. Merasa bersalah boleh buat saya berubah tingkah laku. Merasa bersalah boleh buat saya hilang segala fokus. Terasa berat bebanannya. Tak mampu saya tanggung.

Kerana merasa bersalah pernah menipu ustazah bila ditanya pagi tadi ada solat subuh ke tidak, saya akhirnya mula belajar solat subuh. Kerana takut merasa bersalah, saya tak pernah bawa anak-anak saudara saya dalam kereta yang saya pandu keluar jauh dari rumah walau serapat mana pun kami. Kerana berasa bersalah juga, saya sering berendam air mata menadah tangan memohon doa. 

Moga Allah beri jalan keluar. Moga Allah bantu permudahkan urusan. Moga Allah tunjukkan apa yang terbaik.Walau pun merasa bersalah ini berat, namun saya berasa bersyukur kerana dianugerahkan rasa itu. Setidak-tidaknya, selagi saya waras, saya tidak akan sengaja suka-suka menyakitkan orang. Kerana saya tak mahu rasa bersalah. 

Kerana saya tahu betapa azabnya perasaan bersalah itu, saya sering melindungi orang-orang yang saya sayang daripada rasa bersalah atas apa yang mereka lakukan pada saya.

Friday, November 21, 2014

Datang dan Kembali

Bismillahirrahmanirrahim.. 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Aku bersaksi, tiada Tuhan disembah melainkan ALlah. Aku bersaksi, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.


Assalamualaikum wbt.. Apa khabar semuanya? Apa khabar jasad kita? Sihat-sihat kah? Apa khabar akal kita? Baik-baik kah? Apa khabar iman kita? Selamat-selamat kah? Maha suci Allah, alhamdulillah kerana hingga ke saat ini, kita masih lagi bernafas, kita masih lagi diberi keizinan oleh-Nya untuk terus hidup. Mudah-mudahan, dengan peluang yang ada ini, dapatlah kita manfaatkan untuk perbaiki diri, perbaiki amalan kita, perteguhkan lagi iman kita. InsyaAllah.

Sahabat yang saya rindui..

Lama sungguh saya tidak bersuara - bisu -  di sini. Seiring dengan peredaran masa, pertambahan usia, bertambah pula peranan dan tanggunjawab, ruangan waktu untuk blog ini terpaksa saya sempitkan. Maafkan saya! Pun begitu, saya sangat terharu dan sangat menghargai pengunjung blog ini, yang walaupun sudah berbulan lamanya tiada sebarang entri baru - namun masih ada yang sudi mengunjungi. Bahkan, purata dalam sehari blog ini di -view juga sentiasa memberangsangkan. MasyaAllah. Malu saya dibuatnya... Terasa sangat rendah diri, kerdil. Terasa sangat tidak bermanfaat, tidak menyumbang apa-apa. Sekali lagi maafkan saya.


Wednesday, July 24, 2013

Ya Rasulullah, Kami Rindu Padamu.

"Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau rapat padaku."

Ayahanda saya kembali ke rahmatullah, beberapa minggu sebelum Ramadhan. 4 September, tahun 2006.

Aturan Allah swt itulah yang terindah. Waktu itu, saya baru tamat pengajian di Universiti. Maka, kesempatan itu saya guna untuk menemani emak saya di kampung. Sepenuh masa di rumah. Tanpa sebarang komitmen.

Seingat saya, ketika arwah ayah meninggal. Kira-kira dua atau tiga hari saja saya mengalirkan air mata di hadapan khalayak ramai. Selain itu, saya hanya menangis ketika di dalam bilik air, sewaktu atau selepas solat dan baca Al Quran.

Seumur hidup saya. Ramadhan itu adalah kali pertama dan terakhir (teruknya aku!) saya sempat khatam Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan.

Baca. Sekadar baca. Sebelum itu juga pernah beberapa kali khatam Quran, tapi sekadar baca. Apa intipati, kandungan di dalam Al Quran, saya tidak tahu. Maka, walaupun beberapa kali khatam Quran, saya tetap tidak mengenal Allah, saya tetap jauh denganNya. Dosa pahala masih dipandang enteng.

Namun benarlah. Aturan Allah itulah yang terindah.

Tahun 2007. Seorang sahabat mengetuk akal saya. Tentang peri pentingnya memahami Al Quran. Bermula dari situ, saya mula belajar untuk lebih mendalami Islam. Lucu. Di lahirkan dalam Islam, tapi, pengetahuan tentang Islam sangat cetek. Bahkan, maksud surah Fatihah yang dibaca berulang kali di dalam solat juga saya tidak tahu. Cetek ilmu saya.

Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau dekat padaku.

Dalam usaha mencari dan mendalami ilmu. Saya bertemu dengan iluvislam.com. Alhamdulillah. Ruang untuk saya berukhwah dengan saudara seagama yang lebih baik terbuka luas. Saya berubah hampir 180 darjah. Sudah sampai masanya saya berhijrah.

Sebagai salah seorang tenaga kerja iluvislam.com, saya dihantar untuk menghadiri latihan ESQ. Alhamdulillah. Bertambah kecintaan saya kepada Allah dan Rasulullah. Ketika latihan ESQ, tahun 2009, saya akhirnya membeli sebuah tafsir Quran. Allah yang menggerakkan hati.

Sejak itu, saya mula membaca Quran berserta dengan tafsirnya. Pertama kali dalam hidup saya, saya baca Quran dan memahami maknanya. Hampir dua tahun lamanya, barulah saya khatam. Biar lambat, tak perlu tergesa-gesa, yang penting, apa yang saya baca melekat dalam ingatan saya. Apa yang saya baca, saya cuba amalkan.

Kerana tahu makna Al Quran jugalah. Saya tahu bagaimana keadaan hari akhirat. Saya tahu bagaimana keadaan di neraka. Saya tahu bagaimana nasib orang yang dicampakkan neraka. Saya takut! Tak apalah tak masuk syurga, tapi saya tak mahu masuk neraka! Kerana Al Quran, saya takut neraka.

Kerana Al Quran, saya berusaha untuk jadi insan yang lebih baik. Walaupun saya tidak sempurna, walaupun saya cenderung untuk melakukan kesilapan, namun, seupaya saya ikhtiar untuk menyelamatkan diri dari azab neraka.

Dengan membaca Al Quran, saya rasa bagai sedang 'berbicara dengan Allah'. Baca ayat ke ayat, dari Surah ke Surah, seolah-olah Al Quran itu ditujukan khas buat kita. Seolah-olah mengetahui isi hati kita. Apa yang sedang saya rasakan.

Pendosa yang banyak melakukan dosa. Pelupa yang sering melupakan. Juga jarang bersyukur.

Lalu, saya secara peribadi mengiktiraf al Quran sebagai warkah cinta dari Ilahi.. Istimewa untuk saya, dan seluruh alam.

Tahun 2011. Dengan izin Allah swt. Akhirnya, saya menjejakkan kaki ke Gua Hira'. Tempat di mana Rasululah saw menerima wahyunya yang pertama.

Allahummasolliala saiyyidina Muhammad. Waalaa alisayyidina Muhammad. Tak pernah ku tatap wajah mu. Ya rasululllah ya habiballah. Ku rindu padamu.

Friday, November 25, 2011

Rindu Buat Seorang Lelaki

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat Nabi junjungan, Muhammad saw...

Syukur atas segala anugerah dan nikmat yang telah Allah kurniakan. Alhamdulillah.


Sungguh, saya sayang ayah! Tiada kata-kata mahupun ungkapan yang boleh saya lafazkan atau titipkan untuk menggambarkan betapa saya benar-benar sayangkan ayah. Moga Allah masukkan kami ke syurga bersama hamba-hamba yang soleh, dan semoga, saya dapat bertemu dan bersama dengan ayah lagi.. Ayah yang saya rindui.

Monday, January 10, 2011

Tempat Jatuh Lagi Dikenang

Tiada siapa yang tahu, apa yang akan terjadi pada hari esok, kecuali Dia. Tidak kira samada kita telah membuat sebaik-baik perancangan ataupun telah berusaha sebaik yang mungkin. Namun seandainya takdir Allah menetapkan bahawa esok bukan milik kita, maka yang pasti terjadi tentunya esok bukanlah milik kita. Maha Suci Allah.

Friday, December 24, 2010

Puisi Cinta

Ini
puisi cinta
buat dia
lelaki yang ku cinta

Bicara ini bisu
lagunya rindu
iramanya pilu
bernada sendu

Setiap waktu
selalu
ada kamu
tanpa jemu

Kau lelaki pertama
tulus hulurkan cinta
sejak dikandung bonda
belum menjenguk dunia
kasihmu hangat membara

Ayahanda
kau lelaki pertama
yang aku cinta

Dan Ayahanda
sebelum kita ada dia
dan Tuhannya
yang mencintai kita
sebagai ummatnya
kerana kita hamba-Nya

Lelaki yang ku cinta
dalam doaku ada kamu
setiap waktu dan ketika
ku ungkapkan rinduku tanpa jemu

Cinta ini suci
tak ingin aku kotori
ku simpan kemas di hati
biarlah sampai ku mati

Di dunia tidak bertemu
moga di akhirat kita bersatu

InsyaAllah.






Wednesday, November 17, 2010

Erti Cinta dan Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim..

Sahabat. Salam aidiladha saya ucapkan buat semua. Setakat ini, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk membuktikan cinta kita kepada-Nya? Mari muhasabah jom.

InsyaAllah. Moga kita dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari kisah pengorbanan mulia Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Semoga kisah itu bukan setakat kisah dongeng, yang kita dengar kemudian kita lupakan. Semoga pengorbanan mereka itu, mengajar kita erti cinta yang sebenar-benarnya. Cinta yang hakiki. Cinta kepada Dia yang satu. Semoga kita dapat mencontohi mereka yang dicintai Allah..

Allahu. Diri ini hakikatnya masih jauh dari-Mu. Cinta ini sesungguhnya tidak sedalam cinta insan-insan pilihan-Mu.


Dan pengorbanan diri ini, ternyata tidak mungkin mampu menandingi pengorbanan rasul-rasul pilihan-Mu. Sungguh kerdil diriku ini.

Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. [Surah Taghaabun : Ayat 15]

Maha Suci Allah. Nabi Ibrahim a.s telah membuktikan bahawa cinta terhadap isteri dan anak tidak mampu menandingi cinta kepada Allah. Begitu tinggi dan agungnya cinta Ibrahim kepada Tuhannya, kita bagaimana? Astagfirullahalazim..

Cinta kita mungkin tumpahnya kepada insan bergelar kekasih, suami, isteri, ibu atau bapa. Anak-anak. Harta kekayaan. Pangkat dan kedudukan. Duniawi oh duniawi. Kita lebih utamakan dunia dan kerap melupakan akhirat. Kita memilih untuk bersenang-senang di dunia dan mengabaikan kesenangan yang hakiki di akhirat kelak. Kita mencintai dunia mengatasi cinta kita kepada Allah swt. Kita tidak sanggup berkorban untuk mendapat tempat di syurga, malangnya terkorban dek godaan nafsu dan hasutan syaitan.

Berkorban apa saja. Tapi apakah yang kita korbankan? Untuk apa pengorbanan kita? Apa imbalan dan ganjaran yang bakal kita perolehi daripada pengorbanan kita itu?

Andai demi cinta manusia kita sanggup korbankan maruah dan harga diri. Apakah pengorbanan itu yang ingin kita persembahkan di hadapan Tuhan kita kelak?

Andai demi cinta kepada pangkat dan kedudkan kita tergamak korbankan solat dan prinsip diri. Apakah pengorbanan itu yang bakal memimpin tangan kita menuju syurga?

Berkorban, biarlah kena pada tempatnya. Berkorban biarlah kerana Allah matlamatnya. Berkorban biarlah kerana takut kepada neraka dan rindu kepada syurga. Berkorban biarlah selaras dengan apa yang dituntut oleh agama. Berkorban biarlah selari dengan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad saw. Kita hidup bersyariat. Ada garis panduan dan cara hidup yang bukan sewenangnya rekaan manusia semata-mata. Kita bukan orang buta, bukan orang pekak, bukan orang yang hidup dalam kegelapan. Kita ada Al-Quran sebagai panduan. Kita diberi cahaya dan petunjuk oleh-Nya. Kita tidak seharusnya meraba-raba dan hidup dalam kesesatan. Kita ummat Muhammad saw. Kita ummat yang dikasihi dan dirindui. Moga pengorbanan Baginda tidak kita sia-siakan. Moga di syurga kelak kita bertemu dengan insan yang terlebih dahulu mengasihi kita sebelum kita lahir ke bumi ini. InsyaAllah.

Ya Allah. Teguhkanlah hati-hati kami. Bimbing dan berilah kami kekuatan untuk meneruskan kehidupan di jalan-Mu. Bantulah kami untuk menuju syurga-Mu. Lindungilah kami dari azab dunia, jauhilah kami dari azab kubur dan janganlah Kau masukkan kami ke dalam neraka bersama mereka yang Engkau murkai..

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 233]

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [Al-Ankabut: 2-3]

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah: 214]

Mohon izin untuk berundur. Salam aidiladha saya ucapkan. Saya menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan dari hujung rambut ke hujung kaki. Doakan agar saya dapat perbaiki diri, menjadi insan yang lebih baik, mendapat redha Allah. Doakan agar saya dilindungi dari hasutan syaitan dan nafsu jahat. Doakan agar saya sentiasa dekat dengan-Nya. Doakan agar saya mendapat sebaik-baik tempat di syurga.

Terima kasih sahabat. Hanya itu yang saya harapkan. Doa dari kalian semuanya. Moga Allah membalas jasa baik kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

Wassalam wbt..


Dari Yang Tulus,
Sang Hamba
11 Zulhijjah.
17 November 2010

Wednesday, October 20, 2010

Dan Rindu Pun Berlabuh

Dengarkanlah rintihanku,
Jeritanku, suara hatiku,
Bisikkan padanya, aku rindu.

Rindu pada insan pertama menyintaiku. Sepenuh hatinya menyintaiku, sebelum sempat aku melihat dunia. Biarpun tidak pernah bertemu muka, bertentang mata, bertatap wajah. Dia sentiasa mengasihiku setiap waktu. Aku rindu pada insan yang melindungiku setiap masa, menenangkan aku tatkala aku kegelisahan. Menyapu airmata yang murah mengalir di pipi. Memeluk aku di saat aku ketakutan.

Bila aku terjatuh, dialah insan pertama yang menghulurkan tangan untuk menarikku kembali ke atas. Bila aku terluka, dialah insan pertama yang membalut luka, menuang seribu penawar biarpun luka itu tiada berdarah. Bila aku gentar mendongak kepala memandang ke hadapan, dia memimpin tanganku, menerangi jalan buatku.

"Nak, jangan takut. Ibu sentiasa ada bersamamu. Allah itu Satu. Dia Maha Mengetahui."

Ibu, kau dicipta sempurna oleh-Nya. Dikaulah 'malaikatku' yang sentiasa aku kasihi dan aku rindui. Moga kita kekal bahagia, sampai syurga.

Ibuku. Aku sayang kamu.

Rinduku bertebaran. Berlabuh pula pada seorang insan yang setia di sisiku. Dia yang mendokong aku, menyokong aku, mengajar aku bertatih, mengajarkan aku alif ba ta. Dia yang menghiburkan aku, menyanyikan lagu bila aku berduka. Dia yang mengusap kepalaku dengan tangan kasarnya penuh kasih. Dia yang tak betah melihat aku menangis.

Dialah ayah yang aku kasihi.

Biarpun susah, demi melihat segaris senyuman di wajahku, ayah sanggup mengalah. Biarpun penat dan lelah, demi melihat aku gembira ayah sanggup berbuat apa sahaja. Kita bergurau senda, ketawa sama-sama. Dan ayah, anakmu kini sudah dewasa.

Ayah. Anakmu kini sudah mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Belum sempat aku berbakti padamu ayah, kau pergi dulu tinggalkan kami. Rinduku tinggi melangit buatmu ayah. Kasihku tidak bertepian biarpun tanah menjadi sempadan antara kita.

Moga kau aman bersemadi di sana duhai ayah yang amat aku cintai. Sungguh aku rindu..


Oh Tuhan.
Rindu ini terlalu indah.
Teramat suci.
Kau jadi saksi.

Oh Tuhan.
Hanya Kau yang Maha Kuasa.
Kau yang ciptakan rasa ini.
Kau yang campakkan rindu ini.
Semuanya dari Engkau.

Allah berfirman;

Demi matahari dan sinarnya pada pagi hari.
Demi bulan apabila mengiringinya.
Demi siang apabila menampakkannya.
Demi malam apabila menutupinya.
Demi langit serta seluruh binaannya.
Demi bumi serta hamparannya.
Demi jiwa serta penyempurnaannya.

Allah mengilhamkan sukma.
Kefasikan dan ketaqwaan.
Beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu).
Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

[Surah as-Syams : Ayat 1-10]


Friday, October 8, 2010

Jiwa yang Sakit

Sedar atau tidak, rupanya sudah hampir 5 bulan saya berkhidmat dan mencari rezeki di sini. Beralih bidang pekerjaan secara total bukanlah perkara yang mudah, namun tiada apa yang mustahil selagi ada keinginan, dengan izin Allah tentunya.

Jika dulu kerja saya banyak mengadap komputer. Sekali sekala perlu turun ke 'site' meninjau keadaan kilang dan memastikan semuanya seperti yang diharapkan. Kini keadaan sudah berubah. Di tempat baru ini, saya tetap punyai meja sendiri, kerusi, komputer dan lain-lain kelengkapan yang hampir serupa dengan tempat lama, namun persekitarannya, orang-orang sekeliling, bidang kerja dan peranan saya jauh berbeza. Berputar 180 darjah.

Tidak mungkin saya lupakan tempat kerja lama kerana ketika berada di situ saya telah pelajari banyak perkara. Pengalaman dan ilmu yang tidak mampu saya beli dengan wang. Namun tidak juga saya lupakan, betapa ketika di saat-saat akhir saya berada di sana, hampir setiap hari bibir saya ini merungut, tidak lagi sanggup terus berkerja di situ. Hari ke hari, jiwa semakin kosong, tiada semangat dan keinginan untuk ke tempat kerja. Keyakinan diri merosot begitu teruk. Allahu..

2010 benar-benar menguji kekuatan diri ini.

Bagi mereka yang mengenali diri ini. Mungkin mereka lebih mengerti. Saya bagai mencipta gua dan hanya saya sendirian di dalamnya. Perlahan-lahan saya kian menjauh. Mengasingkan diri dan mengelakkan berhubung dengan sesiapa. YM tidak dionline. SMS para sahabat tidak terbalas. Perjumpaan dan aktiviti bersama dielakkan. Tanggungjawab saya di forum juga kerap terabai. Sesungguhnya saya nyaris lemas dalam gelora yang melanda.

Bukan itu sahaja, dalam kebanyakan masa, saya menjadi 'rimas' dengan kebanyakan orang. Otak saya kian berserabut dan kacau bila mendengar butir bicara, buah pandangan orang. Saya lebih gemar memprotes. Cara pemikiran saya lebih bercorak negatif. Segalanya buruk pada pandangan mata saya. Makin dipujuk, diberi nasihat, makin membuatkan saya tertekan dan memberontak. Allahu, ini bukan mudah untuk saya lalui, tapi malangnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menanganinya.

Sudahnya, tiada cara lain yang boleh saya ambil. Terpaksalah saya menjauhkan diri dan mengelak sebelum saya menyakiti lebih banyak orang. Sungguh, saya tidak tahu berpura-pura. Dan menjadi saya seperti ini benar-benar menakutkan.

Takut saya bukan sedikit. Saya seolah-olah bukan lagi saya. Merenung ke dalam diri bagai ada makhluk asing di dalam jiwa dan minda saya. Terlalu mudah makhluk asing itu berprasangka. Berfikiran negatif dan berburuk sangka. Bagai ada suatu bebanan di dalam kepala yang menghalang segala saraf daripada bersambungan dan berfungsi dengan baik. Menjadikan saya manusia yang jahat dan antagonis. Saya jahat!

Mungkin, ini salah satu petanda penghidap penyakit mental. Allahu....

Kau pernah berfirman bahawa tidak masuk syurga seseorang itu selagi dia tidak diuji. Apakah aku juga insan terpilih, yang kini sedang diuji oleh-Mu? Agar di negeri abadi kelak aku bisa memasuki syurgamu yang indah? Sungguh aku takut Ya Allah... Bagaimana kiranya aku gagal dalam ujian ini? Ke manakah agaknya aku akan ditempatkan? Apakah syurga atau neraka?

Ya Allah. Aku benci segala sifat mazmumah yang ada dalam diriku ini. Sungguh aku tidak sanggup memikul dan membawanya ke mana saja pergiku. Jangan sampai aku membenci aku Ya Tuhan...

Hanya kerana aku masih punya Kamu maka aku masih lagi menulis di sini... Hanya kerana aku ada Kamu, aku masih lagi mampu berfikir dengan waras. Hanya kerana aku percaya bahawa Engkau sentiasa ada bersama mereka yang sabar dan beriman, aku akan terus bertahan. Sampai kelak ajalku sampai.



Sunday, October 3, 2010

Bukan Seindah Impian

Masih terngiang-ngiang di telinga ini. Bagai baru semalam saya berkata, "Nanti tahun 2010 aku akan......". Sedar tak sedar, pejam celik pejam celik, rupa-rupanya hari ini sudah menjangkau tarikh 3 Oktober 2010. Maknanya sudah lebih 3oo hari telah kita lalui sepanjang tahun ini, dan kini tinggal lebih kurang 60 hari lagi, 2010 pula akan berlalu pergi meninggalkan kita semua, jika Allah izinkan. Apakah misteri di sebalik semua ini?

Bagi sesetengah orang, 2010 mungkin membawa seribu satu makna, mengukir kenangan terindah sepanjang kehidupan mereka. 2010 mungkin akan terpateri dan terpahat kukuh dalam ingatan dan tidak mungkin akan dilupakan selamanya. Banyak juga orang berlumba-lumba mencipta sejarah, antaranya mendirikan rumah tangga pada tarikh 'unik', 10.10.10, 10. Dan mungkin juga ada diantara kita yang menikmati pengalaman indah pertama kali bergelar ibu atau ayah, pertama kali memandu kereta sendiri, pertama kali memiliki rumah sendiri, pertama kali mendapat anugerah, dan pelbagai lagi.

Namun begitu, saya percaya, dunia ini tidak diciptakan semuanya indah. Mungkin 2010 juga menyimpan kenangan paling pahit bagi sesetengah daripada kita. Namun yakinlah. Andai ada sinar mentari pasti ada hujan. Andai ada bahagia, pasti ada duka. Lumrah kehidupan sememangnya begitu. Kadang-kadang Allah mengizinkan kita untuk merasa kesakitan agar kelak kita lebih menghargai anugerah sihat yang Dia pinjamkan kepada kita.

Dan ada juga antara kita yang 'terpilih' untuk merasai keperitan akibat melakukan dosa, agar kelak kita tahu bagaimana nikmatnya kemanisan rasa keinsafan dan indahnya perasaan taubat. Pernahkah kita terfikir? Meminum air kosong ketika sangat dahaga tidak sama dengan minum air yang sama dalam keadaan tidak haus. Setiap apa yang Dia ciptakan, biarpun sebesar zarah, tiada apa yang sia-sia.

Seiring dengan peredaran masa, usia kita juga meningkat dari hari ke hari. Saya juga, dari detik ke detik, kian menghampiri garisan penamat yang saya tidak tahu di mana letaknya. Yakni mati. Sesungguhnya Allah telah berfirman, "Setiap yang hidup pasti akan merasai mati."Maka benarlah. Saya dan kita semua pasti akan merasa mati. Mungkin esok, atau lusa. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Pernah beberapa kali saya ditanya. "Apakah rahsia saya sentiasa kekal bermotivasi?"

Allahu Allah. Sekali lagi izinkan saya menulis. Mengukir bait-bait kata, memateri ungkapan rasa, meluahkan rahsia yang tersemat dalam dada. Kerana sesungguhnya, saya juga tidak lain dan tidak bukan, hanyalah manusia biasa, hamba Allah yang hina dan tidak pernah lepas dari melakukan dosa dan noda.

Mungkin bezanya saya dengan manusia lain, adalah bagaimana saya mengekspresikan kesesengsaraan dan penderitaan dalam jiwa. Mungkin bezanya saya dengan anda yang lain adalah keinginan dan kemahuan saya untuk mencegah dan mengingatkan sahabat yang lain agar tidak mengulangi kebodohan dan 'kesilapan' yang pernah saya lakukan selama hidup saya di muka bumi ciptaan Ilahi ini.


Mohon ampunkan dosa-dosa kami Ya Tuhan, dan peliharalah kami dari azab api neraka. Ya Allah, janganlah Kau palingkan hati-hati kami setelah Engkau memberikan limpah hidayah-Mu kepada kami. Amin ya rabb.

Hidup saya hari ini, bukanlah seindah impian. Semangat dan keinginan saya ketika masih kecil masih bermain-main di ruang mata. Kesungguhan saya menuntut ilmu agar dapat mengubah nasib keluarga bukan calang-calang impian. Kerana keinginan itu jugalah, saya mengutip semua A dalam setiap peperiksaan, PMR dan SPM. Segala puji dan syukur kepada Ilahi.

Namun itu puluhan tahun dahulu. Kini dunia saya sudah berubah. Kehidupan saya juga telah berubah. Dengan izin Tuhan, saya dapat apa yang saya impikan ketika zaman kecil. Namun, tanpa panduan yang teguh, tanpa pedoman, bimbingan dan didikan yang betul, dalam pertengahan jalan saya jatuh tersungkur, terluka dan berdarah. Saya hanyut terumbang-ambing dan lemas berulang kali. Sungguh. Hidup ini tidak selalunya indah. Namun Allah juga telah berjanji, "Sesudah kesusahan ada kemudahan."

Mungkin, ketika kecil saya tidak diajar untuk melihat kehidupan dengan kacamata yang lebih luas dan lebih tajam. Apa yang saya tanamkan dalam minda dan jiwa saya rupanya tidak memadai untuk saya menempuhi kehidupan yang kian hari kian mencabar seiring dengan peredaran usia. Rupanya setelah tersungkur barulah saya tahu, untuk menang kita bukan sekadar perlu tahu bagaimana untuk jadi orang pertama yang tiba di garisan penamat. Rupa-rupanya untuk menang kita perlukan semangat dan kesungguhan, sokongan dan dorongan, usaha dan doa, dan banyak lagi.

Akhirnya barulah saya tahu. Walaupun agak lambat, tapi setidak-tidaknya nyawa ini masih lagi ditanggung jasad. Peluang untuk saya perbaiki kesilapan silam masih ada. Ruang taubat juga masih ada. Dengan keyakinan yang ada itu jugalah, saya cuba bangkit dari kekalahan dan mencuba untuk perbaiki diri. Mengisi ruang yang ada untuk menebus segala dosa masa lampau. Bimbang andai dosa tidak terampun sebelum dijemput menghadap Ilahi.

Saya pernah menangis. Dan ketika saya menangis, saya tidak lupa bahawa pada suatu masa dahulu saya pernah ketawa. Saya menderita menanggung sengsara dan ketika saya kesakitan, saya tidak lupa bahawa Allah telah banyak berbuat baik kepada saya. Tidak terhitung oleh diri ini yang hina lagi lemah.

Saya hidup hari ini, kerana apa yang telah saya lakukan pada hari kelmarin. Dan hari esok, terserah kepada apa yang saya lakukan pada hari ini.

Semalam adalah suatu sejarah yang tidak akan berulang lagi. Walaupun sejarah itu mengajar kita berlari lebih laju, atau melompat lebih tinggi, namun sejarah tidak mungkin akan dapat mengubah apa-apa pada hari esok. Apa yang paling penting adalah usaha dan iltizam kita pada hari ini. Belajar dari kesilapan dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik. Menjadi Muslim yang terbaik. Menjadi 'bintang' yang paling terang 'kemilaunya' di hadapan Sang Pencipta. Apa yang manusia suka, belum tentu disukai Allah. Tapi apa yang Allah cinta, pastinya dicintai seluruh manusia. Dengan itu, berusahalah untuk melaksanakan segala suruhan-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Semoga dicintai Allah.

Jaga hubungan sesama manusia dan begitu juga hubungan dengan Allah. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka luas. Allah maha pengasih lagi maha penyayang. Sentiasa bersikap positif dan optimis. Jangan biarkan diri sendiri hancur dan musnah kerana kebencian dan kata-kata nista manusia lain. Janganlah bersedih andai diri tidak disayangi makhluk bergelar manusia, namun bersedihlah andai diri tidak disayangi Allah.

Biar sejuta manusia membenci, asalkan Allah mengasihi. Berbahagialah. Mungkin realiti kebahagiaan itu terlalu pahit buat kita di dunia, bukanlah seindah impian kita, namun mudah-mudahan, kebahagiaan hakiki di negeri abadi kelak menjadi milik kita. InsyaAllah.


Saturday, September 4, 2010

Mimpi Buat iluvislam Pecah Berderai???

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Yang menghidupkan dan mematikan. Yang pertama dan terakhir. Yang memiliki hari pembalasan.

Allahu Allah. Seiring masa berlalu, tidak pernah berhenti walau sedetik, kadang-kadang kita terlupa untuk berhenti sejenak, merenung dan muhasabah semula bekas jejak telapak kaki yang telah kita tinggalkan, jalan-jalan yang kita selusuri. Berlumba dengan masa kadang-kadang membuatkan dada kita sempit, terlupa dan tertinggal banyak perkara.

Saya juga, dalam mengejar sesuatu, ada sesuatu yang lain pula terciciran. Dalam mengehar mimpi, ada yang terluka dan terkorban. Allahu Allah. Mungkinkah itu sebuah harga yang perlu dibayar atau itulah bukti kelemahan diri ini?

Entri kali ini, saya ingin 'mengikut jejak' sahabat krew dan user iluvislam yang lain.

Di mana-mana saja, sering saya terbaca mengenai rungutan, luahan, pandangan, perkongsian mereka terhadap forum baru iluvislam. Luahan kerana sayang. Saya mengerti dan saya terima baik.

Mungkin silap saya, kelemahan saya sendiri sehingga saya tidak pernah terbaca apa-apa penjelasan dari pihak admin iluvislam terhadap luahan-luahan tersebut. Dan akhirnya, membiarkan para user tertanya-tanya dan penasaran. Luahan demi luahan dilontarkan.

Apapun, apa yang bakal saya tuliskan di sini, adalah bukan mewakili mana-mana pihak.

Antara luahan user adalah;

1. Status yang bersifat seperti FB. Jadi apa bezanya iluvislam dengan fb? Jujur, baik saya lepak FB. ahahaha. (Add friends, comments)

2.Warna tak menarik.

3.Sistem penyusunan forum. Tiada pop-ups.

Segalanya macam sudah 'mati'.Saya tidak lagi merasakan aura Iluvislam yang kuat seperti dahulu.

Kadang-kadang, saya bertanya kepada diri sendiri."Untuk apa aku lakukan kerja sukarela di Iluvislam ini?"

Jika dahulu, kita sememangnya berkobar-kobar untuk membantu.Membantu perjuangan Islam katanya. Tapi sekarang, mana perginya?Benarlah kata orang, dunia boleh melekakan kita, dunia boleh mengaburi.

Jika dulu, saya anggap Iluvislam sebagai madah ilmu yang baru.Tapi kini tidak lagi. Semangat saya kian luntur.

Iluvislam sudah banyak berubah. Forum yang saya 'bernafsu' untuk masuk kini pudar ditelan zaman. Forum interface berubah 100%. Daripada warna tema yang menarik kini bertukar persis Facebook. Dengan adanya ruangan status yang nampaknya semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan user Iluvislam.

Iluvislam hilang serinya. Mungkin pada orang lain, warna itu tidak penting. Tetapi bagi saya, warna mampu memberikan satu kesan yang besar kepada user. Dan tertariknya saya kepada Iluvislam ialah kerana warnanya di samping keinginan besar untuk berkongsi pendapat.

Mohon izin, saya berkongsi sesuatu. Dan awal-awal saya maklumkan. Saya menulis kali ini bukanlah mewakili mana-mana pihak, tapi ikhlas luahan dan pandangan saya sendiri.

====================================================

Sebagai salah seorang tenaga penggerak forum iluvislam.com. Yang pernah menyayangi iluvislam sepenuh hati, menatangnya bagai minyak yang penuh. Meluangkan banyak masa dan tenaga, menyerahkan jiwa dan mental untuk forum tersayang, jatuh atau bangun iluvislam, forum terutamanya, banyak memberi impak kepada diri saya dan sahabat moderator yang lain.

Manakan tidak, dikalangan kami, setiap masa, sepanjang waktu (ketika itu) kami sentiasa merancang, memikirkan, merangka, mencari penyelesaian terbaik demi iluvislam, demi forum, demi user, demi Islam tentunya. Bersama-sama bergabung tenaga, saling bergandingan dan membantu antara satu sama lain. Bila ada yang terluka, atau kaki menjadi lemah untuk terus melangkah, kami saling mengubati dan memimpin tangan antara satu sama lain. Indahnya ukhwah sesama kami, sehati sejiwa berbakti kepada Islam melalui iluvislam.

Masa terus berlalu. Dua tahun lamanya saya berbakti kepada iluvislam. Angka bilangan user juga terus menaik. Walaupun user datang dan pergi, kami tetap cuba untuk bertahan.

Lain user, lain keletahnya. Lain user, lain pemikiran dan cara penerimaanya. Lain user lain matlamat dan kehendaknya. Lain user lain cara melontarkan pandangan. Lain user lain pegangan dan fahaman. Bermacam-macam. Suka atau tidak, kami tetap jua cuba untuk terus bertahan.

Bilangan moderator tetap di takat yang sama. Namun, tugas kami para moderator kian bertambah. Search, bagi link, lock dan move thread, edit tajuk, mengingatkan user yang melanggar etika forum, memeriahkan lagi forum dengan perbincangan yang ilmiah dan menarik, meraikan user, menjawab pertanyaan-pertanyaan user, dan pelbagai lagi, berterusan dan berulang-ulang bagai tiada tanda-tanda mahu berhenti, ada masanya mampu membuat kami tertekan.

Sebagai orang tengah antara Presiden iluvislam dan para moderator, akhirnya saya menyuarakan rungutan saya, "Kasihan moderator dah penat, asyik buat kerja yang sama berulang tanpa henti,"

Kata Presiden iluvislam, "Sabar kak, tak lama lagi kita akan ada forum baru, insyaAllah kerja-kerja mod jadi mudah"

Subhanallah, betapa terubat hati saya ketika itu. Bersemangat kembali. Dan yakin bahawasanya 'penderitaan' kami di forum lama pasti akan berakhir jua tidak lama lagi setelah hadirnya forum baru. Sejak itu, saya ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu forum baru ini.

================

Dan akhirnya. Setelah penantian setahun lebih membuahkan hasil, Allah izinkan jua komuniti iluvislam (forum baru) ini dilancarkan jua.

Namun, dalam kegembiraan meraikan 'bayi baru' kami ini, kami sedikit kecewa dengan penerimaan sahabat user sekalian.

Begitu mudah kalian merungut, seolahnya, pihak iluvislam membuat apa-apa perubahan terhadap iluvislam.com tanpa sebarang perancangan rapi dan teliti. Seolah-olah pihak iluvislam merancang hari ini kemudian esok terus laksanakan. Seolah-olah pihak iluvislam tidak pernah memikirkan sebarang pro dan con dan mengabaikan suara hati para user yang kami kasihi. Kalian silap.

Jika dulu ada yang merungut bahawasanya forum tidak ilmiah. Dikuasai remaja dan kanak-kanak bawah umur. Menyebabkan perbincangan di forum menjadi tidak serius dan tiada info bermanfaat. Sekadar tempat luahan dan perkongsian masalah. Kalian juga pernah merungut, sikap sesetengah user yang tidak mematuhi etika forum. Membuka thread berulang. Thread rehatkan minda. Perbincangan entah apa-apa.

Kalian kecewa dan bersuara.

Tahukah kalian, mengapa forum kini tidak seperti dulu?

Kenapa tidak dipaparkan semua thread terkini pada halaman pertama agar mudah untuk di akses oleh sesiapa jua?

Antara sebab adalah agar para user dapat memilih kategori yang mereka minati, terlebih dahulu sebelum meneruskan apa-apa bacaan atau perbincangan. Umpama tapisan awal di peringkat pertama.

Maknanya, jika anda tidak minat sastera atau puisi, tidaklah anda sengaja meng-klik kategori cerpen/puisi. Dan seharusnya juga, anda tidak lagi merungut bahawasanya forum hanya tempat orang bersastera. Andai anda tidak meminati perbahasan politik, maka anda seharusnya tidak klik kategori berkenaan, dan sepatutnya juga, anda tidak akan merungut bahawasanya iluvislam kini menjadi lubuk mereka berkenaan berpolitik.

Demikian antara faktor, kenapa komuniti iluvislam adalah seperti sekarang.

Dan ketahuilah juga, komuniti sekarang ini jauh lebih canggih teknologinya. Lebih banyak tools menarik, yang boleh dimanfaatkan oleh user dan mod juga. Kini kerja-kerja mod menjadi lebih mudah, dengan features2 yang ada, alhamdulillah dan insyaAllah mod tidak lagi terbeban seperti dulu kala. Jika dulu, segalanya seolah-olah memerlukan tindakan secara manual, sekarang tidak lagi. Alhamdulillah.

Kenapa iluvislam seperti facebook?

Ini kerana, ini adalah sebahagian daripada cara untuk mencapai misi dan visi iluvislam yakni;

To Be The World's Leading Islamic Media of Choice

Saya pernah menulis DI SINI.. Mimpi Buat Iluvislam..

Mimpi untuk iluvislam

Jika Facebook berkembang pesat dalam beberapa tahun, begitu juga google, kenapa tidak iluvislam? Jika Facebook, dan Google mampu mendapatkan pulangan wang yang lumayan, kenapa tidak iluvislam? Jika Facebook, YouTube dan Google memiliki pekerjanya sendiri, kenapa tidak iluvislam? Tiada yang mustahil, dengan izin Allah, kita juga mampu.

Benar, wang bukanlah segala-galanya, tapi segala-galanya memerlukan wang. Untuk menyebarkan syiar Islam, membantu golongan fakir miskin, memantapkan ilmu pengetahuan orang Islam, membangunkan ummah, mewujudkan suatu legasi yang dikagumi, mengembalikan kegemilangan Islam; kita juga perlukan wang.

Saya bermimpi, iluvislam mampu memberikan peluang kerja kepada ratusan orang Islam, suatu masa nanti. Dan saya tahu, tiada salahnya saya bermimpi. Dan saya optimis, mimpi ini mampu menjadi kenyataan.

Dan jika selama ini, kehidupan seharian kita berkisar dengan segala ciptaan dan hasil kerja orang bukan Islam, dengan acuan mereka sendiri, kenapa tidak, melalui iluvislam, kita mencipta suatu acuan baru, acuan kita sendiri, sebagai orang Islam dan seterusnya ia diwarisi hingga ke generasi akan datang, tidakkah kita berbangga? Tidakkah itu lebih baik? Buang tepi MySpace yang galakkan pergaulan bebas, tolak tepi Facebook yang melalaikan, sampahkan segala web hiburan yang merosakkan iman! Pantang klik, ada saja gambar-gambar lucah, itukah yang kita mahu anak kita warisi kelak?

Saya optimis, iluvislam mampu pergi lebih jauh. Dan saya juga pasti, kakak saya atau sesiapa sahaja yang pada masa ini tidak dapat melihat iluvislam sebagai suatu wadah yang bermanfaat, insyaAllah, suatu hari kelak, anak-anak mereka yang akan berterima kasih kepada iluvislam.

Saya mungkin tiada apa-apa kepakaran, sumbangan saya teramat sedikit untuk iluvislam, tetapi, sokongan saya tidak berbelah bagi untuk iluvislam dan doa saya juga sentiasa mengiringi iluvislam. Ayuh, sahabat sekalian, bermimpilah bersama saya, berikan sokongan kepada iluvislam dan berdoalah.

Semoga Allah menjadikan impian kita ini suatu kenyataan. Amin..
Dan mengapa kita tidak boleh bermimpi? Dan mengapa kita tidak boleh pergi lebih jauh? Mengapa kita harus tetap di takuk yang lama sedangkan kita seharusnya berlari dan melompat lebih jauh untuk merealisasikan mimpi-mimpi kita?

Kebanyakan orang memang sukar menerima perubahan. Sejarah turut membuktikan, betapa Muhammad saw pernah dituduh orang gila bila menyampaikan ajaran baru yang sebenarnya dari Tuhan yang Esa. Ramai juga jiwa yang terkorban kerana Revolusi.

Jangan gentar. Jangan mengalah. Jangan undur ke belakang. Seharusnya, kita terus mara ke depan. Jika sebelum ini kita pernah berbakti, memperjuangkan iluvislam, jangan sekarang kita melepaskan pautan tangan kita dan membiarkan iluvislam terkapai-kapai. Jangan sampai ia lemas. Iluvislam perlukan kita semua.

Andai ombak mampu mengubah pantai. Jangan pula hati kita berubah dengan penambahbaikkan yang sedang dilalui oleh iluvislam.com kini. Jujur, kini iluvislam sedang melalui saat-saat sukar, dan tentunya, iluvislam perlukan kita semua. Peganglah 'tangan' jangan lepas.

Teruskan bertahan. Dan berdoa. Moga-moga detik sukar ini segera berlalu. Dan iluvislam kembali 'ceria' seperti dulu kala. Kita sayangkan iluvislam. Dan moga-moga anak cucu kita kelak juga berpeluang untuk menyayangi iluvislam.

===============================

Teman yang baik adalah teman yang sentiasa ada bila mana ia diperlukan.

Melarikan diri, meninggalkan iluvislam, atau sekadar memandang dari kejauhan tidak mampu mengubah apa-apa. Teruskan setia bersama iluvislam, berusaha untuk membiasakan diri dengan 'peralatan-peralatan' baru yang ada. Manfaatkan sebaik mungkin insyaAllah kebaikan dunia dan akhirat. Belum cuba belum tahu. Mula-mula mungkin sukar insyallah lama kelamaan, terbiasa juga. =)

Sekali lagi, saya menulis sekadar melontarkan sisi pandang saya sendiri. Tiada kena mengena dengan mana-mana pihak.

Apapun, saya percaya, semua yang sudi membaca entri ini, hingga ke perenggan ini, sama seperti saya, sangat menyayangi iluvislam.com.

Mimpi saya masih jua tetap sama.. Anda pula bagaimana?

Moga Allah merahmati kita semua. Amin ya rabb. Mohon maaf segala salah dan silap, salam permisi.

Wassalam.





Monday, August 30, 2010

Insan Pertama dan Kedua yang Menyintaiku

Jujurnya, saya tidak pernah ingat tarikh ulang tahun kelahiran ayah. Apa yang membuatkan saya lebih bersikap tidak peduli adalah kerana ayah sendiri pernah beritahu, kad pengenalannya di buat secara 'pukal' bersama penduduk kampung yang lain, di mana saya percaya, tarikh kelahiran ayah pada kad pengenalannya juga mungkin sekadar rekaan semata-mata. Silap saya, tidak selidik lebih terperinci. Saya kesali, namun semuanya sudah terlambat, kerana ayah sudah tiada. Pada siapa lagi saya boleh bertanya, kalau bukan dia?

Abaikan seketika tarikh ulangtahun kelahiran ayah. Bagi saya, itu sudah tiada maknanya lagi.

Entah, saya ini anak yang bagaimana. Ulangtahun kelahiran ayah tidak pernah saya hafal, namun tarikh pemergian ayah, tidak mungkin akan pernah saya lupakan.

4 September 2006, tarikh keramat, hari bersejarah, ayah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Pergi yang tidak mungkin akan kembali. Hari itu, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan memejamkan matanya rapat, kembali ke pangkuan Sang Pencipta. Dari-Nya ayah datang, kepada-Nya jualah, ayah telah kembali. Meninggalkan dunia ini, isterinya, dan anak-anaknya. Pergi meninggalkan saya.

Ketika hidupnya sihat tidak sakit, ayah yang kami kenali adalah seorang yang bengis, garang dan pemarah. Namun anehnya, dia tidak pernah mengasari saya. Tidak pernah pukul saya, tangankan saya, cubit pun tidak, tengking juga tidak. Paling teruk, bila ada kelakuan saya yang dia tidak senangi, dia meninggikan sedikit suaranya, atau memasamkan mukanya dan diam, maka tahulah saya waktu itu, ayah marah. Jika tidak menangis, saya akan pujuk ayah. Tidak sanggup saya biarkan ayah terus berjauh hati.

Ramai orang kata, saya anak kesayangan ayah. Ayah mudah lembut hati bila berhadapan dengan saya. Saya orang yang paling dipercayainya, hinggakan saya pernah dilantik menjadi 'bankers' bila tiba musim mengutip hasil tuaian padi. Tolong simpankan duit hasil padi bagi pihak emak dan ayah.

Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi emak dan ayah. Ketika zaman kecil saya, sering juga mereka bertengkar. Selalu juga saya jadi pendamai. Dan kadang-kala saya menjadi orang tengah, tolong sampaikan pesan emak kepada ayah bila mereka tidak bertegur.

Ayah pergi buat selamanya, setelah beberapa minggu saya tamatkan pengajian di universiti. Belum pun sempat saya menyumbang atau berbakti kepada ayah, dia pergi tidak kembali.

Seingat saya, ketika ayah masih hidup, saya tidak pernah beri ayah apa-apa. Duit tidak, baju pun tidak. Hadiah juga tidak. Namun saya sendiri tidak tahu mengapa, ayah sangat sayangkan saya. Sedang kakak sulung saya selalu dimarahi, adik lelaki saya selalu disebat, saya di tengah-tengaj dimanja dan ditatang bagai minyak yang penuh. Saya sendiri tidak tahu apa yang ada pada saya waktu itu, yang telah berjaya mengikat hati ayah. Bukan saya tidak pernah melukai hati ayah, bukan saya tidak pernah memberontak, namun ayah tetap jua sayangkan saya.

Tangan ayah yang membelai kepala saya masih terasa kehangatannya.

Saya tidak tahu. Apakah ayah beruntung atau apakah ayah menyesal kerana menyayangi saya sepenuh hatinya, mempunyai saya sebagai salah seorang daripada anaknya?

Saya tahu, matinya ayah, bermakna terpisah semuanya yang ayah miliki, kecuali sedekahnya ketika hidup, ilmunya yang bermanfaat, dan juga anak-anaknya yang masih hidup di muka bumi ini. Yakni saya.

Apakah saya merupakan saham kebaikan buatnya? Atau apakah saya menjadi saham yang mendatangkan mudarat kepadanya di sana?

Saya bimbang, andai saya di dunia ini hanya mampu menambah derita ayah di sana. Saya bimbang, saya hanya menjadi penyebab kepada ayah untuk ke neraka. Naauzubillahiminzalik.

Jika saya anaknya yang paling disayanginya, mengecewakan dia, apalah agaknya nasib ayah di sana?

Saya mahu memimpin tangan ayah, dan emak, ke syurga. Saya mahu kami sekeluarga, kembali bersatu di syurga nan indah, apakah saya mampu?

Saya perlu menjadi anak yang solehah. Wajib perbaiki diri, bersihkan diri dari segala dosa, perbaiki amalan agar doa-doa saya dimakbulkan, agar ibadah saya diterima, agar saya diizinkan ke syurga, bersama seluruh keluarga dan sahabat saya. Saya ingin menjadi hamba yang solehah. Tapi apakah saya mampu melakukannya?

Apa yang membezakan hidup dengan mati? Apa yang menjadi batas antara syurga dan neraka. Saya bagaimana?

Saya takut, dalam keghairahan mengejar duniawi, saya lupa akhirat. Saya takut, dalam memenangi hati manusia, saya mendatangkan kemurkaan Sang Pencipta. Saya takut. Saya tidak tergolong dalam golongan yang disayangi ALLAH. Saya takut doa saya tidak termakbul, saya takut tidak dapat bersama dengan mereka yang menyayangi saya lagi.
Saya takut, saya tidak dapat bertemu ayah lagi.

Allah, ampunkan dosa-dosa kami, kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku masih kecil.

Merekalah insan pertama dan kedua, yang menyintai aku sepenuh hati, dan seharusnya, cinta dan kasihku ini juga selayaknya milik mereka.





Thursday, August 26, 2010

Itulah Gunanya Kawan

Saya fikir, saya cuma sekadar "gagal memujuk diri sendiri". Seperti biasa, suka saya ingatkan diri saya sendiri, bahawasanya kita adalah teman baik kepada diri kita sendiri. Kita yang paling mengerti dan memahami kehendak hati kita. Dan seandainya bukan kita yang mampu memujuk diri kita, maka siapa lagi yang mampu?

Pada saya, jatuh atau bangun, susah atau senang, semuanya bergantung kepada diri saya sendiri, selain Allah swt.

Namun kali ini terbukti saya silap.

Dalam saya tertanya-tanya dan tercari-cari. Persoalan demi persoalan menerjah kotak fikiran namun tiada satu pun yang mampu saya jawab. Akhirnya saya tersedar dari lena yang panjang. Owh. Rupa-rupanya saya tidak selalunya betul.

Terima kasih sahabat kerana mengingatkan diri ini yang lupa. Terima kasih kerana menerangi diri ini yang dalam kegelapan. Terima kasih kerana memimpin tangan ini yang kian longlai. Terima kasih kerana sentiasa ada untukku tidak kira susah atau senang.

Saya fikir, saya cuma "gagal memujuk diri sendiri" akibat kepenatan kerana telah terlalu lama memujuk diri sendiri selama ini. Namun anehnya, saya tetap gagal memujuk diri sendiri, gagal membisikkan kata-kata positif demi menaikkan semangat diri, akhirnya saya kemurungan berhari-hari. Tiada semangat untuk meneruskan aktiviti seharian, tidak banyak bercakap dan lebih banyak termenung, pesimis dan sering bersangka buruk.

Sungguh. Jika diberi pilihan, saya tidak akan memilih sikap yang sebegitu. Lalu saya tertanya-tanya dan tercari-cari, bagaimana lagi saya boleh memujuk diri? Saya buntu, kematian akal.

Akhirnya, suatu pagi yang indah, saya mendapat pesanan SMS dari beberapa orang teman. Dan salah seorang diantaranya berjaya menyedarkan saya, membuka mata saya. Sebuah pesanan ditujukan kepada seseorang yang sedang berputus asa. PUTUS ASA. Bagai terjaga dari lena, saya akhirnya sedar, rupa-rupanya saya selama ini bukan sahaja gagal memujuk diri, namun hakikatnya, saya sudah terjerumus dalam lembah keputus asaan. Astagfirullahalazim. Saya khilaf.

Saya lupa betapa besarnya rahmat Allah. Betapa Allah Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Yang Maha Pengampun lagi Maha Pemakbul doa. Saya khilaf! Astagfirullahalazim. Sungguh hina diri ini kerana tergamak berputus asa. Ampunkan dosa-dosaku Tuhan. Akan ku buang jauh perasaan putus asa itu kerana sesungguhnya, aku percaya dan yakin pada kekuasaan-Mu. Aku percaya dan yakin pada janji-janji-Mu. Aku percaya dan yakin pada syurga dan neraka-Mu. Ampunkan dosa-dosaku Tuhan.

Terima kasih sahabat kerana sudi mengingati dan mengingatkan diri ini. Tanpa kalian mungkin diri ini kian alpa dan lupa. Hanyut dan sesat. Sesungguhnya saya bukanlah manusia sempurna dan punyai banyak kekurangan. Tunjukilah jalan andai saya tersesat. Perbetulkanlah andai saya tersilap. Berilah peringatan andai saya lupa. Bimbinglah saya andai saya khilaf.

Sahabat yang sejati adalah sahabat yang sentiasa berkata-kata benar, biarpun sepahit mana kebenaran itu.

Terima kasih sahabat.

Wallahua'alam.




Tuesday, August 24, 2010

Aku Tidak Tahu

Kian lama
Langkah kaki ini
Semakin pincang.

Tarianku juga
Semakin sumbang.

Serba tak kena
Semuanya tak betul

Ya Allah..
Masihkah kuat
Untuk aku terus melangkah?
Masihkah mampu
Untuk aku terus bertahan?

Soalannya..
Sampai bila?

Jawapannya..
Aku pun tidak tahu..

Apa yang aku cari
Apa yang aku mahu
Apa yang aku tunggu
Aku pun tidak tahu

Namun..
Di sudut hatiku
Sedang terluka
Menahan derita
Sengsara
Merana

Oh..
Barangkali
Tuhan sengaja menduga aku
Dan mungkin
Inilah
Anugerah cinta dari-Nya
Buatku
Ataukah juga mungkin
Inilah
Hukuman buatku

Agar kesakitan ini
Menjadi penawar
Penyuci segala dosa

Atau kenapa?
Aku pun tidak tahu

Sungguh
Aku tidak tahu apa-apa
Namun kesakitan ini
Terus mendera aku
Rasanya pedih
Menghiris
Aku derita
Aku sengsara

Oh Tuhan
Aku tahu Kau tahu
Hapuskanlah
Airmataku ini
Kerana Kau Maha Mengetahui

Wednesday, August 4, 2010

Pesanan Buat Hasniza

Hari ini saya berasa 'kelakar' dengan diri sendiri. Semenjak dua menjak kebelakangan ini, saya seolah-olah sengaja mencipta duka dan rasa sedih dalam diri sendiri. Normalnya, saya suka senyum. Namun sejak peristiwa itu, saya terasa seperti sangat sukar untuk mengukir senyuman. Ah. Bila sendirian, sambil-sambil menyiapkan tugasan, saya suka menyanyi-nyanyi, atau bercakap sendirian. Dan 'penyakit' itu selalu saja hadir, bila jiwa dan mental saya dalam keresahan. Ya. Saya sakit.

Syukur pada Allah kerana akhirnya Dia membuka mata saya, membuka pintu hati saya, menyedarkan saya, bahawasanya, hidup ini tidak selalunya indah. Dalam dunia ini, mustahil semua orang gembira dengan kehadiran kita. Mustahil semuanya serupa, menghargai kita seadanya. Namun begitu, itu sepatutnya tidak menjadi alasan kepada diri ini untuk tidak mensyukuri segala anugerah dan pemberian-Nya. Sakit juga anugerah. Musibah juga pemberian dari-Nya. Jangan hanya bersyukur bila senang dan bahagia, tapi juga bersyukur bila diri ditimpa ujian. Alhamdulillah.

Jangan kerana sedikit luka kita membinasakan diri kita. Jangan kerana secubit sakit kita memusnahkan diri sendiri. Bermuram dan bersedih tidak akan membawa kita ke mana-mana. Malahan ia hanya mampu merosakkan diri. Memenatkan dan merugikan. Tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Sepatutnya, saya haruslah sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif. Saya tidak hidup kerana pujian dan tidak mungkin akan mati kerana kejian. Biarlah apa kata orang, asalkan kita tetap teguh dan yakin dengan apa yang kita laksanakan, tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, biarlah ribut taufan melanda sekalipun, semuanya akan mampu saya redah, walaupun seorang diri.

Bersangka baik itu baik, bersangka buruk itu buruk. Ingat Hasniza, jangan lupa!

Jika selama ini lautan duka telah saya redahi, berkali-kali jatuh saya tetap kembali bangun. Mengapa kini saya perlu menjadi lemah? Apakah wajar saya hari ini lebih buruk dari hari semalam? Bukankah saya berhati waja? Tidak mudah menyerah diri pada cubaan mendatang? Teruslah bertabah. Jangan mengalah.

Positif. Pujuklah diri sendiri, jika bukan kita, siapa lagi mampu? Hanya kita yang lebih memahami diri kita sendiri, selain daripada Allah. Hanya kita yang tahu kelebihan dan kekurangan diri, sisi gelap dan sisi cerah jiwa kita, oleh itu, berhentilah bergantung dan berharap kepada orang lain. Berdirilah di atas kaki sendiri. Berdikari.

Jika seorang membenci, ingatlah, ramai lagi yang mengasihi. Saya punya seorang kakak yang sangat garang namun hatinya baik. Anak-anak saudara yang sangat comel dan sentiasa mengalu-alukan kehadiran saya. Ibu yang sangat memahami. Saya punyai teman-teman yang selalu bersama sejak sepuluh tahun yang lalu. Sangat memahami diri ini. Saya punyai sahabat-sahabat, adik-adik yang sangat menghargai diri ini, yang saya kenali melalui alam maya, iluvislam.com, blog dan facebook. Saya punya Allah yang sentiasa ada bersama saya.

Saya punya banyak alasan untuk berbahagia. Untuk tersenyum dan ketawa. Dan saya percaya, kita sebenarnya sama. Kalian juga punya banyak alasan untuk berasa bahagia.



Pesanan ini buat diri sendiri;


Duhai Hasniza..

Ingatlah Allah sentiasa. Mengadu dan bermohonlah hanya kepada Dia. Dia tidak pernah tidur, tidak pernah lalai. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Hasniza, jaga diri baik-baik. Tiada siapa pun yang akan mampu memusnahkan engkau, melainkan engkau sendiri yang mengizinkannya dengan izin Allah. Kau ibarat sehelai kertas putih, yang begitu mudah untuk dikotori. Kau ibarat sehelai kertas nipis, yang mudah terkoyak. Kau ibarat kertas yang lemah, namun mampu melukakan. Kau ibarat kertas kosong, terserah kepadamu bagaimana mahu mencorakkan dirimu sendiri.

Duhai Hasniza..

Ingatlah, ayah kau sudah tiada. Kau juga tiada suami. Abang-abangmu tiada di sisi. Adik-adik lelakimu pula masih terkapai-kapai mencari diri. Tiada siapa yang dapat membelamu di dunia ini. Maka, lengkapkan dirimu dengan iman dan ilmu. Agar diri kau terbela. Terpelihara. Di dunia dan akhirat.

Jangan jadi lemah, kerana kau bukan dilahirkan semata-mata untuk menangisi hidupmu. Kau harus tabah. Kau harus teguh. Kalau kau jatuh, bangunlah. Kalau kau menangis, kau kesatlah airmatamu. Jangan menunggu tangan-tangan lain menarikmu ke atas. Usah tunggu tangan-tangan lain menyapu airmatamu. Ingat, biarpun seorang diri, hidupmu harus kau teruskan.

Teruskanlah langkahmu. Mara kehadapan. Jangan toleh ke belakang, andai itu hanya mampu menambah luka. Allah sentiasa ada bersama mu. Sunnah nabi dan sabdanya sempurna untuk kau jadikan teladan. Jadikanlah Al-Quran sebagai temanmu.

Kau istimewa. Bukan kerana kau cantik. Bukan kerana kau kaya. Bukan kerana kau bijaksana. Tapi kerana keinginanmu mencari redha Allah.

Hasniza, hargailah dirimu sendiri. Berjuanglah. Senyumlah.


Wednesday, July 28, 2010

Istimewa atau Makhluk Asing?


Setiap pagi saya perlu melalui kira-kira 30km jarak perjalanan dari rumah ke tempat kerja. Perjalanan tersebut mengambil masa paling minimum 30 minit, bergantung kepada jalan yang saya pilih.


Sungguh, terdapat beberapa jalan alternative, terserah kepada saya untuk memilihnya. Ada jalan yang licin dan lancar, namun perlu membayar lebih untuk tol dan jalannya pula lebih panjang. Ada jalan yang lebih pendek, namun terpaksa lalui banyak lampu isyarat, bulatan dan kesesakan lalu lintas. Tersilap pilih jalan, terperangkap dalam kesesakan, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 5 minit boleh jadi lebih setengah jam.


Benarlah, kita tidak tahu apa yang menanti kita di hadapan. Kita juga tidak tahu apa yang bakal kita hadapi. Dan sesungguhnya, hanya Allah yang lebih mengetahui segalanya.


Memandu kira-kira 35 minit pergi ke tempat kerja dan 40 minit balik dari tempat kerja, ternyata, saat-saat memandu adalah waktu yang agak signifikan buat saya. Selain hanya mampu mendengar radio, cd atau mp3, saat-saat memandu juga adalah salah satu “masa untuk diri saya sendiri.”


Masa untuk otak saya berkeliaran. Masa untuk saya berfikir tentang diri, tentang persekitaran, tentang kerja, tentang masa depan, tentang keluarga, arwah ayah, ibu yang kian meningkat usia, adik-adik yang entah bagaimana nasibnya, kakak-kakak, abang-abang, semuanya. Bersilih ganti. Rupanya, hidup ini ternyata bukanlah mudah. Tidak semudah kata, bukan semudah tulisan.


Teringat saya, suatu malam ketika sedang makan malam bersama teman serumah, sambil bersembang mana yang terlintas di fikiran kami pada waktu itu. Singkatnya, dia sedang merancang untuk bertunang, saya gembira untuk dia namun bila saya ditanya tentang perancangan nikah mudah saya menjawab seperti selalu, “As takpe, tak perlu risau apa-apa sebab As belum ada calon.” Lebih kurang begitulah kata saya.


Asyik makan dan bersembang, tiba-tiba sang teman bertanya, “As ada penyakit anoreksia seksual ke?”. Waktu itu saya ketawa, itu pertama kali saya mendengar istilah itu namun, saya dapat mengagaknya, sikit-sikit. Mahu tahu lebih, saya bertanya kepada dia. Ringkas dia menjawab, “Macam penyakit anoreksia yang takut gemuk tu lebih kurang, tapi anoreksia seksual takut kepada seks.”


Diizinkan Tuhan, malam tadi saya berkesempatan untuk melayari internet. Dengan keadaan yang agak merangkak-rangkak, saya membuat carian, sempat menziarahi satu laman web berkenaan anoreksia seksual. Ringkasan dari web tersebut, saya simpulkan, penyakit itu mungkin berpunca daripada kenangan silam contohnya dirogol ketika kanak-kanak, mengakibatkan seseorang itu trauma dengan seks sehingga menyebabkan dia membenci dirinya sendiri dan menyalahkan dirinya yang menjadi sebab dirogol.


Pesakit anoreksia seksual sanggup makan terlalu banyak, hingga menyebabkan dirinya menjadi gemuk agar dirinya tidak lagi menarik dan tiada daya tarikan seksual. Wallahua’alam.


Sekian dulu cerita tentang anoreksia seksual, untuk tahu selanjutnya, boleh lakukan carian, insyaALlah anda ketemu jawapannya. Menjawab persoalan teman, jawapan saya adalah tidak.


Itu cuma sebahagian soalan, asam garam yang terpaksa saya lalui. Sejujurnya bukan mudah menjadi seorang wanita yang hidupnya sendirian, tanpa teman bergelar suami. Tambahan pula, usia kian meningkat, rakan-rakan kebanyakkanya sudah berumah tangga, malahan mereka sudah berbahagia bersama anak-anak, pastinya keadaan saya ini menimbulkan seribu satu persoalan. Ramai yang hairan. Ramai juga yang tertanya-tanya dan tak kurang dari itu, ramai juga yang mendoakan, agar saya segera dipertemukan jodoh. Kepada semua yang berkenaan, terima kasih daun keladi saya ucapkan.


Saya juga menyusun sepuluh jari memohon maaf, kerana jawapan saya selalunya tidak mampu memuaskan hati banyak orang. Hingga ada yang ‘berteka-teki’. Kononnya saya sedang menghukum diri, menyucikan diri. Kononnya pula saya fobia dan trauma pada lelaki.


Kononnya lagi saya terlalu memilih dan cerewet. Tidak berusaha dan tidak mahu berusaha. Dan macam-macam lagi yang kadang-kadang membuat saya hanya mampu tersenyum. Harus bagaimana saya menjawab persoalan-persoalan mereka sedangkan saya sendiri tidak punyai jawapan yang jitu? Atau mungkin jawapan saya terlalu banyak hinggakan saya sendiri menjadi keliru?


Oleh kerana saya juga tidak tahu, apakah yang sebenar-benarnya. Saya serahkan segalanya kepada Allah yang maha kuasa.


Bicara mengenai jodoh. Setiap dari kita pasti punyai persepsi masing-masing. Ada jawapan dan penilaian yang tersendiri. Pandangan dan pendirian. Lain tempat, lain adatnya. Menonton filem atau drama luar Negara, jarang benar perbezaan umur menjadi isu. Tapi bagi orang melayu, ia dipandang pelik. Begitu juga bagi mereka, siapa yang memulakan langkah pertama bukanlah persoalan besar, namun bagi orang kita, adalah kurang manis sekiranya wanita yang menjadi pemula, hingga wujud peribahasa, “perigi mencari timba.”


Saya tidak larat lagi bercerita mengenai soal jodoh. Sebelum ini sudah banyak saya menulis mengenainya dan di mana-mana jua kita juga sering membaca mengenainya. Saya kira, cukuplah sampai di situ sahaja. Usah ditanya bila dan siapa, insyaALlah bila Allah telah tentukan, bila tiba masanya nanti, kahwinlah saya.


Lagipula, saya bukanlah ‘manusia normal’ seperti yang kalian selalu jumpa. Saya punyai ambisi dan impian yang agak berbeza dari mereka yang ‘normal’. Kisah saya telah terukir dan tertulis, berbeza. Dan kesinambungannya juga tentulah berbeza. Kadang-kadang, terbit rasa bahawa saya adalah makhluk asing, namun, itulah saya.


Mungkin orang normal, punyai impian, bila dewasa mahu belajar tinggi-tinggi, punyai kerjaya yang bagus, bernikah kemudian punyai keluarga yang bahagia. Namun saya tidak. Bukan bermakna saya anti dengan pernikahan, Cuma saya berbeza dari mereka yang normal. Saya ada sebab saya yang tersendiri dan dari situ, saya punyai perancangan yang tersendiri. Yang pastinya, bernikah bukanlah satu-satunya impian saya. Dan satu lagi yang pasti, saya bukanlah pengidap anoreksia seksual. Cuma, saya berdoa, agar diri ini terlindung dan dilindungi dari pada fitnah.


Kerana sesungguhnya menjadi saya bukanlah mudah. Wallahua'alam.

Saturday, July 3, 2010

Andai Ku Pergi

Andai Ku Pergi

Derita hidup kian berlalu,
Membawaku ke penghujung,
Kaku langkah kian lemah,
Kelu lidah untuk bicara.

Langit jingga warna senja,
Desir bayu membisik duka,
Kealpaan nan semalam,
Inginku lepaskan luka silam.

Bersama rayu doa,
Damba keampunanNya.

c/o

Andai diriku pergi,
Tinggalkan mu sendiri,
Usah kau sedih,
Usah tangisi duga dari Ilahi.

Andai ku pergi dulu,
Tiba tika dan waktu,
Telah tertulis takdir untukku,
Perjanjian yang Maha Agung.

Doakanku sejahtera disisiNya.

Rasa gentar, rasa rindu bertarung di fikiranku,
Wajah ceria, senyum manja kisah kita menghapus resah.

Maafkan diriku kasih kerana buat kau menangis,
Restuiku dengan cinta, jangan kau titiskan air mata.

Pintaku redhailah,
Terima kasih atas segalanya.

Hidup ini sementara,
Ujian pasti setia hati,
PadaMu kekasih.

Moga rahmat hidayahMu,
Mengiringiku, menemaniku,
Saat akhir waktu.

Bersaksi diriku,
Tiada lain hanya Kau satu,
Memiliki cintaku,
Ku serah segalanya kepadaMu

-Mirwana-

Download KLIK SINI

Sunday, June 27, 2010

Luka Duka Sang Ibu

Aku..
Ibarat ibu yang pekak telinganya,
Letih anakku menangis,
Namun aku tak mendengar.

Aku..
Umpama sang ibu bisu,
Seribu kata ingin ku ucap,
Namun lidahku kelu tak mampu bicara.

Aku..
Bagai ibu yang kudung kakinya,
Tak mampu mengejar anakku,
Pergi tinggalkan aku.

Aku..
Ibu yang lemah,
Tak punya kudrat,
Hanya mampu mengeluh.

Aku..
Ibu yang kalah,
Tak punya motivasi,
Kini menyembah bumi.

Aku..
Ibu yang terluka,
Ibu yang berduka,
Kerana anakku,
Pergi dariku.

Wednesday, June 23, 2010

Politik Malaysia dan Saya?

Saya kira, saya antara insan yang bertuah, dilahirkan pada awal tahun 80-an, sempat 'menikmati' dan melalui sendiri pengalaman 'diperintah' oleh tiga orang Perdana Menteri yang berbeza. Saya juga berasa bahawa saya adalah bertuah, kerana membesar dengan persekitaran yang membantu saya mencambahkan pemikiran, bergaul dengan mereka yang luas cara berfikir, dilahirkan dan membesar di bumi bertuah Kelantan Darul Naim, pastinya saya yakin, sayalah antara insan yang bertuah.

Dulu-dulu tidak seperti kini. Saya mula belajar mengenal komputer ketika saya di tingkatan empat, belajar bagaimana mahu 'Start', kemudian bagaimana pula mahu 'Shut down'. Hanya perkara-perkara asas yang kami pelajari. Cara-cara menggunakan Microsoft Word dan Excel. Itu saja. Takut-takut mahu mencuba walau berulang kali cikgu komputer menegur, "Jangan takut, komputer tu takkan meletup!", namun saya tetap juga begitu. Buta internet.

Sumber ilmu dan maklumat ketika saya membesar dulu-dulu, banyak berpandukan pada buku. Saya memang suka membaca. Tidak kira apa jua bahan. Alhamdulillah. Selain itu, TV dan radio serta 'wartawan bergerak' menjadi sumber maklumat kami. Untung rakan-rakan saya juga kebanyakannya gemar membaca, mengorek ilmu dan mengkaji. Ada masa lapang kami 'berdiskusi' dan 'berdebat'. Masing-masing punya hujah masing-masing. Seronok!

Ketika di sekolah menengah rendah, waktu itu, negara kita dipimpin oleh Dr Mahathir Muhammad, dan Timbalannya adalah Anwar Ibrahim. Saya kira, saat itu adalah antara waktu kegemilangan politik negara kita.

Saya juga masih ingat dunia dan negara kita telah mengalami kegawatan/kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, kerana tahun itu saya menduduki peperiksaan PMR. Saya tak akan lupa kerana sebelum peperiksaan, pihak sekolah pernah menjanjikan kami ganjaran wang ringgit kepada pelajar yang mendapat 8A. Alhamdulillah saya antara yang mendapat 8A, namun kerana alasan kegawatan, ganjaran tersebut tidak menjadi milik kami.

Waktu itu, hanya setakat itu kesan kegawatan ekonomi memberi impak kepada seorang remaja seperti saya. Tiada ganjaran wang ringgit walaupun mendapat 8A kerana kegawatan ekonomi. Dan ketika di sekolah menengah rendah, saya antara peminat yang sangat mengagumi Dr Mahathir Muhammad. Futuristik. Berani. Berkeyakinan. Bijak. Petah berbicara. Segalanya tentang dia benar-benar mencuri perhatian saya. Dia idola saya. Saya penyokong kerajaan.

Masa terus berjalan. Saya juga makin dewasa barangkali.

Naik tingkatan empat, saya bersekolah di sebuah sekolah berasrama. MRSM. Kala itu, saya sudah jarang menonton tv, melihat berita. Cuma mendengar berita sipi-sipi dan membaca surat khabar perdana, namun anehnya, saya lupa bagaimana, perasaan kasih dan hormat kepada Perdana Menteri dan kerajaan kian pudar. Makin pudar. Tanpa internet. Tanpa blog. Tanpa emel berantai, keyakinan saya terhadap Dr Mahathir kian hilang. Antara penyebab utama adalah 'kes liwat' Anwar Ibrahim (DSAI).

Makin dibongkar 'kesalahan' DSAI dikaca tv, makin berkurangan hormat saya kepada pemerintah Malaysia pada waktu itu. Namun pada masa yang sama, saya turut 'mengecam' DSAI kerana pada saya, beliau penyebab bangsa Melayu berpecah. Reformasi sana-sini. Saya bencikan perpecahan itu walaupun pada masa yang sama, hati kecil saya menafikan dia bersalah terhadap tuduhan liwat tersebut.

Masa berjalan lagi. Yang di atas terus di atas. Yang berkuasa tetap berkuasa.

Saya kemudiannya masuk ke alam universiti. Di sini saya mula kenal internet. Tapi cuma sekadar untuk chatting dan saling berbalas emel. Lebih dari itu, saya masih kekok.

Ketika di universiti. Saya punya seorang teman baik yang sangat suka melihat saya marah. Entah apa 'hebatnya' saya ketika marah, tapi dia memang sering memancing kemarahan saya. Sengaja.

Walaupun waktu itu saya bukanlah tergolong dalam golongan yang suka berpolitik, malahan sering memandang remeh, tapi sikap dia yang suka membuat saya marah kadang-kadang memaksa saya untuk bersikap ambil tahu.

Mana tidak, mentang-mentang dia orang Johor (Kubu BN?) dan saya pula orang Kelantan (satu-satunya negeri pembangkang pada waktu itu), sering sahaja dia menggunakan PAS, Kelantan dan Nik Aziz (TGNA) sebagai modal untuk memancing kemarahan saya. Asal ada saja peluang, pasti dimanfaatkan untuk mengenakan saya. Saya pula bukanlah orang yang suka mengalah, selalunya berbalas hujah, berperang mulut dan berdebat. Untuk itu, saya harus perbanyakkan bahan bacaan, agar saya punya lebih banyak modal untuk membela Kelantan dan PAS dan seterusnya tidak kalah ketika berdebat.

Anehnya lagi, waktu itu saya sebenarnya tidak cenderung ke arah mana-mana parti politik. Bagi saya, BN atau PAS sebenarnya sama sahaja. Namun untuk menang, saya harus memberi hujah yang sepatutnya, demi pertahankan PAS dan Kelantan. Kelakar saja. Bila kalah berdebat, kadang-kadang muncung merajuk. Ada waktunya pula berkejar-kejaran mahu melepaskan kemarahan. Mungkin sebab itu dia suka membuat saya marah.

Walaupun keyakinan saya terhadap Dr Mahathir kian tipis, namun pada waktu itu, saya masih menganggap dia pemimpin terbaik di Malaysia. Selain dia, tiada yang mampu. Walaupun waktu itu Timbalannya adalah Abdullah Badawi, namun perbezaan keduanya sangat ketara dan saya cenderung mengatakan bahawa Abdullah Badawi tidak mampu memimpin tanpa bantuan Dr Mahathir.

Sembang-sembang kosong, saya pernah berharap agar Dr Mahathir 'turun takhta' dan melepaskan jawatannya kepada timbalannya sementara rakyat masih lagi mengenang jasa-jasanya. Berundur selangkah untuk memberi ruang kepada yang lebih muda, namun pada masa sama turut bergandingan dan membantu pemimpin yang baru untuk meneruskan teraju negara. Sementara masih ada yang sayang. Berundurlah.

======================

Cerita saya masih panjang. Namun saya terpaksa berhenti sampai di sini dulu. InsyaAllah jika diizinkan Tuhan saya akan kembali menyambung kisah ini lagi.

Hidup adalah pembelajaran tanpa henti.

Wassalam.