+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22
Showing posts with label Umrah Ziarah Mekah dan Madinah. Show all posts
Showing posts with label Umrah Ziarah Mekah dan Madinah. Show all posts

Wednesday, July 24, 2013

Ya Rasulullah, Kami Rindu Padamu.

"Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau rapat padaku."

Ayahanda saya kembali ke rahmatullah, beberapa minggu sebelum Ramadhan. 4 September, tahun 2006.

Aturan Allah swt itulah yang terindah. Waktu itu, saya baru tamat pengajian di Universiti. Maka, kesempatan itu saya guna untuk menemani emak saya di kampung. Sepenuh masa di rumah. Tanpa sebarang komitmen.

Seingat saya, ketika arwah ayah meninggal. Kira-kira dua atau tiga hari saja saya mengalirkan air mata di hadapan khalayak ramai. Selain itu, saya hanya menangis ketika di dalam bilik air, sewaktu atau selepas solat dan baca Al Quran.

Seumur hidup saya. Ramadhan itu adalah kali pertama dan terakhir (teruknya aku!) saya sempat khatam Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan.

Baca. Sekadar baca. Sebelum itu juga pernah beberapa kali khatam Quran, tapi sekadar baca. Apa intipati, kandungan di dalam Al Quran, saya tidak tahu. Maka, walaupun beberapa kali khatam Quran, saya tetap tidak mengenal Allah, saya tetap jauh denganNya. Dosa pahala masih dipandang enteng.

Namun benarlah. Aturan Allah itulah yang terindah.

Tahun 2007. Seorang sahabat mengetuk akal saya. Tentang peri pentingnya memahami Al Quran. Bermula dari situ, saya mula belajar untuk lebih mendalami Islam. Lucu. Di lahirkan dalam Islam, tapi, pengetahuan tentang Islam sangat cetek. Bahkan, maksud surah Fatihah yang dibaca berulang kali di dalam solat juga saya tidak tahu. Cetek ilmu saya.

Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau dekat padaku.

Dalam usaha mencari dan mendalami ilmu. Saya bertemu dengan iluvislam.com. Alhamdulillah. Ruang untuk saya berukhwah dengan saudara seagama yang lebih baik terbuka luas. Saya berubah hampir 180 darjah. Sudah sampai masanya saya berhijrah.

Sebagai salah seorang tenaga kerja iluvislam.com, saya dihantar untuk menghadiri latihan ESQ. Alhamdulillah. Bertambah kecintaan saya kepada Allah dan Rasulullah. Ketika latihan ESQ, tahun 2009, saya akhirnya membeli sebuah tafsir Quran. Allah yang menggerakkan hati.

Sejak itu, saya mula membaca Quran berserta dengan tafsirnya. Pertama kali dalam hidup saya, saya baca Quran dan memahami maknanya. Hampir dua tahun lamanya, barulah saya khatam. Biar lambat, tak perlu tergesa-gesa, yang penting, apa yang saya baca melekat dalam ingatan saya. Apa yang saya baca, saya cuba amalkan.

Kerana tahu makna Al Quran jugalah. Saya tahu bagaimana keadaan hari akhirat. Saya tahu bagaimana keadaan di neraka. Saya tahu bagaimana nasib orang yang dicampakkan neraka. Saya takut! Tak apalah tak masuk syurga, tapi saya tak mahu masuk neraka! Kerana Al Quran, saya takut neraka.

Kerana Al Quran, saya berusaha untuk jadi insan yang lebih baik. Walaupun saya tidak sempurna, walaupun saya cenderung untuk melakukan kesilapan, namun, seupaya saya ikhtiar untuk menyelamatkan diri dari azab neraka.

Dengan membaca Al Quran, saya rasa bagai sedang 'berbicara dengan Allah'. Baca ayat ke ayat, dari Surah ke Surah, seolah-olah Al Quran itu ditujukan khas buat kita. Seolah-olah mengetahui isi hati kita. Apa yang sedang saya rasakan.

Pendosa yang banyak melakukan dosa. Pelupa yang sering melupakan. Juga jarang bersyukur.

Lalu, saya secara peribadi mengiktiraf al Quran sebagai warkah cinta dari Ilahi.. Istimewa untuk saya, dan seluruh alam.

Tahun 2011. Dengan izin Allah swt. Akhirnya, saya menjejakkan kaki ke Gua Hira'. Tempat di mana Rasululah saw menerima wahyunya yang pertama.

Allahummasolliala saiyyidina Muhammad. Waalaa alisayyidina Muhammad. Tak pernah ku tatap wajah mu. Ya rasululllah ya habiballah. Ku rindu padamu.

Friday, July 12, 2013

Kisah Kebijaksanaan Sang Pemikir

Beberapa hari kebelakangan ini menonton tv al hijrah mengenai kisah Nabi Allah Ibrahim a.s.

Saya kagum dengan hujah dan kebijaksanaannya. Berhadapan dengan Namrud dan kaumnya. Beliau seorang pemuda yang banyak berfikir. Tentang sembahannya. Bulan. Bintang. Matahari. Kemudian terbit keyakinannya kepada Tuhan yang kekal dan tidak pernah lenyap atau hilang.

Dialog- dialog Nabi Ibrahim tercatit di dalam Al Quran. Antaranya, dialog ketika dia mempersoalkan bulan, bintang dan matahari yang disembah. Dialog sebelum dan selepas dia memusnahkan berhala-berhala kemudiannya meletakkan kapak pada berhala yang paling besar. Dan lain-lain, semuanya indah, padu, dan penuh kebijaksanaan.

Pagi ini dalam rancangan Kalamullah.. Ayat al Quran yang dibaca juga seputar dialog Nabi Allah Ibrahim.

Tuhanku adalah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, kata Nabi Ibrahim.

Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan, kata Namrud.

 Tuhanku menerbitkan matahari dari Timur, maka, terbitkanlah ia dari barat, kata Ibrahim pula.

Lalu tercenganglah musuh2 Allah.

Begitu antara hujah Nabi Ibrahim. Penuh 'helah' dan menuntut pemikiran yang sangat dalam. Sama seperti ketika mana dia meletakkan kapak di tangan berhala yang paling besar, kemudian berkata, berhala itulah yang memusnahkan berhala-berhala lain. Ini bukan sebuah pembohongan namun jelas sebuah rancangan rapi untuk mengetuk minda mereka2 yang mahu berfikir.

Begitulah hebatnya pengaruh dan kesan pemikiran seorang pemuda. Ayuh! Moga kita dapat menjadikannya sebagai idola dalam memandu cara kita berfikir yang seterusnya mendekatkan lagi kita ini kepada Allah taala.

 Kamasollaita'ala ibrahim, wa 'alaa aaliibrahim.. Doamu kami sahut, kota Mekah kami jejaki. Hingga kini, rindu tak pernah padam. 

Tuesday, November 13, 2012

Kota Suci Mekah dan Kemuliaannya

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.. Apa khabar sahabat yang dikasihi Allah? Moga sentiasa sihat walafiat, di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi. Semoga sentiasa tenang dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah dan ujian hidup. Semoga sentiasa dipelihara dan diberi petunjuk olehNya, agar dalam apa jua yang kita lakukan, mudah-mudahan, Allah sentiasa memimpin kita untuk memilih dan melakukan yang terbaik - untuk dunia dan akhirat. InsyaAllah. Amin ya Rabb...

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Baru beberapa minggu yang lepas, kita menyambut Hari Raya Korban, juga dikenali sebagai Aidul Adha dan Hari Raya Haji. 3 in one, ya? Alhamdulillah, wa syukurillah. Tahun ini (1433H) saya diberi keizinan olehNya untuk meraikannnya di kampung halaman, tempat saya dilahirkan dan dibesarkan. Diizinkan Allah untuk solat sunat Aidiladha di surau tua di kampung itu.

 Dan saya terkenangkan Masjidil Haram. Rindu ini membuak-buak.

 Bersama Bonda di hadapan Masjidil Haram.

Saturday, May 26, 2012

Selazat Air Zam-Zam

Hari itu merupakan hari kedua kami di bumi Madinah. Petang itu merupakan kali kedua kami bersolat Zohor di Masjid Nabawi. Selawat dan salam buat rasul junjungan, Muhammad saw, para sahabat dan seluruh keluarga.

Usai solat fardu Zohor, kami berpusu-pusu keluar daripada masjid menuju ke hotel penginapan kami, Mubarak Silver Hotel. Jaraknya tidak jauh, dekat saja. Terasa lebih dekat kerana sepanjang perjalanan, kiri dan kanan, juga di atas jalan - ada deretan kedai juga tak ketinggalan penjaja-penjaja di atas jalan. 

Ada pelbagai barang di jual di situ, antaranya, kedai pakaian, jubah, tudung, kedai barang kemas, kedai kurma, kedai makan, kedai buku, kedai kasut, kedai cenderahati dan macam-macam lagi. Di atas jalan juga, penjaja-penjaja membentangkan sehelai kain, melambakkan barang jualan mereka seperti stokin, tudung, jubah, sejadah, beg dan sebagainya. Ada juga penjaja yang menggunakan kereta sorong, menjual naskah Quran, buah-buahan, tasbih serta banyak lagi.



Monday, May 7, 2012

Cintaku Melangit Di Kota Suci Mekah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Semoga kita semua sentiasa di bawah naungan kasih, limpah rahmat Ilahi.

Lucu pula rasanya, lama saya menatap skrin berkira-kira untuk berkongsi pengalaman sepanjang di Kota Suci Mekah, tapi jari saya ini pula kaku, otak terasa beku bagai tiada idea untuk menulis. Allahu Allah. Saya mencuba, ya? InsyaAllah.


Saturday, May 5, 2012

Mimpi Terindah di Kota Madinah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Ilahi kerana atas izin dan limpah rahmat-Nya, saya dan ibunda tercinta dapat menjejakkan kaki ke Kota Suci Mekah dan Madinah. Alhamdulillah. Bagai suatu mimpi, mimpi yang begitu indah. Tidak terungkap dengan tinta mahupun kata-kata.

Manakan tidak, sebelum ini saya sendiri tidak pernah bercita-cita ingin ke Mekah dalam masa terdekat begini. Alasannya, duit selalu tidak mencukupi. Duit gaji sering saja habis bila tiba hujung bulan, tiada wang simpanan pula tu... Macam mana nak ke Mekah? Saya tidak mampu! Itulah yang bermain di fikiran saya waktu itu.

Namun, perancangan Allah di luar pengetahuan kita.