+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22
Showing posts with label iLuvislam. Show all posts
Showing posts with label iLuvislam. Show all posts

Wednesday, July 24, 2013

Ya Rasulullah, Kami Rindu Padamu.

"Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau rapat padaku."

Ayahanda saya kembali ke rahmatullah, beberapa minggu sebelum Ramadhan. 4 September, tahun 2006.

Aturan Allah swt itulah yang terindah. Waktu itu, saya baru tamat pengajian di Universiti. Maka, kesempatan itu saya guna untuk menemani emak saya di kampung. Sepenuh masa di rumah. Tanpa sebarang komitmen.

Seingat saya, ketika arwah ayah meninggal. Kira-kira dua atau tiga hari saja saya mengalirkan air mata di hadapan khalayak ramai. Selain itu, saya hanya menangis ketika di dalam bilik air, sewaktu atau selepas solat dan baca Al Quran.

Seumur hidup saya. Ramadhan itu adalah kali pertama dan terakhir (teruknya aku!) saya sempat khatam Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan.

Baca. Sekadar baca. Sebelum itu juga pernah beberapa kali khatam Quran, tapi sekadar baca. Apa intipati, kandungan di dalam Al Quran, saya tidak tahu. Maka, walaupun beberapa kali khatam Quran, saya tetap tidak mengenal Allah, saya tetap jauh denganNya. Dosa pahala masih dipandang enteng.

Namun benarlah. Aturan Allah itulah yang terindah.

Tahun 2007. Seorang sahabat mengetuk akal saya. Tentang peri pentingnya memahami Al Quran. Bermula dari situ, saya mula belajar untuk lebih mendalami Islam. Lucu. Di lahirkan dalam Islam, tapi, pengetahuan tentang Islam sangat cetek. Bahkan, maksud surah Fatihah yang dibaca berulang kali di dalam solat juga saya tidak tahu. Cetek ilmu saya.

Selangkah ku dekat padaMu. Seribu langkah Kau dekat padaku.

Dalam usaha mencari dan mendalami ilmu. Saya bertemu dengan iluvislam.com. Alhamdulillah. Ruang untuk saya berukhwah dengan saudara seagama yang lebih baik terbuka luas. Saya berubah hampir 180 darjah. Sudah sampai masanya saya berhijrah.

Sebagai salah seorang tenaga kerja iluvislam.com, saya dihantar untuk menghadiri latihan ESQ. Alhamdulillah. Bertambah kecintaan saya kepada Allah dan Rasulullah. Ketika latihan ESQ, tahun 2009, saya akhirnya membeli sebuah tafsir Quran. Allah yang menggerakkan hati.

Sejak itu, saya mula membaca Quran berserta dengan tafsirnya. Pertama kali dalam hidup saya, saya baca Quran dan memahami maknanya. Hampir dua tahun lamanya, barulah saya khatam. Biar lambat, tak perlu tergesa-gesa, yang penting, apa yang saya baca melekat dalam ingatan saya. Apa yang saya baca, saya cuba amalkan.

Kerana tahu makna Al Quran jugalah. Saya tahu bagaimana keadaan hari akhirat. Saya tahu bagaimana keadaan di neraka. Saya tahu bagaimana nasib orang yang dicampakkan neraka. Saya takut! Tak apalah tak masuk syurga, tapi saya tak mahu masuk neraka! Kerana Al Quran, saya takut neraka.

Kerana Al Quran, saya berusaha untuk jadi insan yang lebih baik. Walaupun saya tidak sempurna, walaupun saya cenderung untuk melakukan kesilapan, namun, seupaya saya ikhtiar untuk menyelamatkan diri dari azab neraka.

Dengan membaca Al Quran, saya rasa bagai sedang 'berbicara dengan Allah'. Baca ayat ke ayat, dari Surah ke Surah, seolah-olah Al Quran itu ditujukan khas buat kita. Seolah-olah mengetahui isi hati kita. Apa yang sedang saya rasakan.

Pendosa yang banyak melakukan dosa. Pelupa yang sering melupakan. Juga jarang bersyukur.

Lalu, saya secara peribadi mengiktiraf al Quran sebagai warkah cinta dari Ilahi.. Istimewa untuk saya, dan seluruh alam.

Tahun 2011. Dengan izin Allah swt. Akhirnya, saya menjejakkan kaki ke Gua Hira'. Tempat di mana Rasululah saw menerima wahyunya yang pertama.

Allahummasolliala saiyyidina Muhammad. Waalaa alisayyidina Muhammad. Tak pernah ku tatap wajah mu. Ya rasululllah ya habiballah. Ku rindu padamu.

Wednesday, April 20, 2011

Seperti Malam

Hari ini saya ke tempat kerja seperti biasa. Tiada yang luar biasa. Beginilah rutin hidup seharian saya semenjak bertugas di bidang perindustrian ini. Sedar atau tidak, 17 Mei nanti, genaplah setahun saya mencari rezeki di sini. Susah saya bekerja 5 hari setengah setiap minggu, susah lagi mereka yang lansung tidak mempunyai pekerjaan. Maka, dengan itu, saya terus memujuk hati supaya lebih banyak bersyukur.


Tuesday, March 29, 2011

Tuli dan Buta!

Aku berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Maka apakah sekiranya kamu berkuasa, kamu akan berbuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?

Thursday, February 24, 2011

Bukan Seperti PSP

Ketika zaman kanak-kanak saya dahulu kala, tiada Game Boy, tiada PSP, tiada computer, tiada video games. Kalau ada pun waktu itu, orang tersebut tentunya sangat kaya. Video games dan brick games sudah wujud pada ketika itu. 

Memandangkan saya orang susah, dan kawan-kawan saya pun tiada yang punya permainan canggih-manggih itu, maka kami membesar waktu itu dengan cara kami sendiri.


Tuesday, November 30, 2010

Bukan Senang Mahu Senang?

Kadang-kadang (baca: selalu) saya cemburu dengan mereka yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang Islamik. Islamik di sini maksud saya, keluarga yang sangat menitik beratkan soal agama, meliputi akidah, tauhid, akhlak, semua sekali memandangkan Islam adalah syumul. Dari soal berpakaian, keutamaan mendirikan solat, mengaji al-Quran, pergaulan dengan bukan muhrim, bab penjagaan makanan dan lain-lain. Semuanya berlandaskan syariat yang telah digariskan dalam agama kita, Islam.

Bukan saya tidak bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini. Saya syukuri nikmat Islam dan Iman. Saya syukuri kerana setidak-tidaknya saya dilahirkan dalam Islam. Saya bersyukur kerana tidak perlu bersusah payah mencari cahaya Allah, alhamdulillah saya beragama Islam. Namun saya akui, sedikit sebanyak saya mengalami banyak kesukaran, yang terpaksa saya tempuhi untuk menjadi 'muslim yang sejati' . Saya perlu kuatkan semangat, tabahkan hati, tetapkan pendirian. Perlukan sokongan, namun ada masanya saya goyah juga. Kadang-kadang terjatuh dan terluka, pernah juga terpesong dari jalan yang sepatutnya.

Lihat saja mereka yang berpakaian sopan, menutup aurat sejak kecil. Kerana terbiasa, diasuh sejak kecil, pakaian yang dibeli juga 'sefesyen', semuanya labuh dan menutup aurat, maka pada pendapat saya, tiada masalah timbul untuk mereka kekal sentiasa berpakaian menutup aurat. Melainkan terkena 'kejutan budaya', terpengaruh dengan 'hijrah songsang'. Tiada yang mustahil, dari bertudung labuh, tiba-tiba tidak bertudung. Bertudung labuh tapi cenderung berbuat maksiat. Tuhan yang membolak-balikkan hati. Kun fayakun, maka jadilah.

Lupakan soal seketika soal mereka yang bertudung labuh, yang saya cemburui.

Kembali kepada diri saya sendiri, muhasabah kekurangan dan kelemahan diri ini. Yang saya percaya, bukan hanya saya mempunyai dilema ini.

Ingin berubah, tapi bagaimana?

Ingin berhijrah, tapi tidak punya kekuatan!

Ingin bertudung labuh, tapi tidak mendapat sokongan dari orang sekeliling.

Ingin menutup aurat, tapi kadang-kadang teringin berfesyen mengikut fesyen semasa.

Aduh! Harus bagaimana nih?


Teringat ketika mula-mula bertudung agak labuh, kawan-kawan sekerja memanggil saya ustazah. Saya hanya mampu tersenyum. Biarlah orang nak kata apa. Perubahan saya yang agak mendadak itu juga memberi suatu 'kejutan' kepada rakan sekerja, mereka kelihatan kekok untuk berurusan dengan saya, terutamanya pekerja lelaki. Masalahnya juga, saya bagai 'manusia dua alam'. Kadang-kadang tersasul, kadang-kadang terbabas. Allah sedang menguji saya.

Sendirian 'berjuang' kadang-kadang melemahkan kaki. Bahkan saya kadang-kadang 'terlupa' apa yang sepatutnya saya lakukan dan apa yang tidak. Contohnya terlupa memakai stoking, atau kadang-kadang menyelak tudung yang labuh sehingga menampakkan bahu dan sebagainya. Bukan senang 'pandai-pandai sendiri'. Ada masanya juga bila terlihat pakaian kegemaran lama yang tergantung, hati teringin benar menyarungnya semula. Benar-benar cubaan.

Baju lama yang kecil, ketat dan singkat disisihkan. Saya membuat 'reformasi' secara beransur-ansur. Menambah koleksi pakaian baru yang lebih longgar dan labuh. Jalan selamat adalah memakai baju kurung. Selipar yang menyukarkan saya memakai stokin juga diganti. Begitulah sedikit sebanyak usaha yang telah saya lakukan.

Ada hikmah yang tersembunyi.

Kebetulan waktu itu, berat badan saya naik mendadak. Alhamdulillah. Allah membantu saya dan mempermudahkan niat saya untuk cuba mendekatinya. Dek kerana saya tidak lagi sekurus dulu, tidak cantik berpakaian singkat dan ketat, alhamdulillah, kegemukan ini juga menjadi pendorong kepada saya untuk mengubah penampilan diri.

Saya juga bersyukur kerana keluarga saya tidak melayan saya seperti 'makhluk asing'. Walaupun tidak menyokong saya secara total, tapi mereka tidak melarang saya 'berhijrah'. Malahan, bila bersama-sama membeli pakaian, mereka juga turut membantu. Alhamdulillah.

Saya akui, bukan mudah berhijrah. Sungguh kita tidak akan mampu melakukannya seorang diri. Saya harus bersyukur kepada Allah, dan berterima kasih kepada sahabat dan keluarga iluvislam.com. Tanpa mereka, saya mungkin bukan saya hari ini. Krew iluvislam terutamanya sahabat forum team, tak kurang user dan pengisian di dalam iluvislam.com antara pemberi semangat buat saya untuk terus kekal hijrah ke jalannya. Alhamdulillah. Moga semuanya akan terus di sisi saya, memberi sokongan dan doa untuk saya meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Pegang tangan ini, jangan biar jatuh. Pimpin tangan ini jangan biar lemah. Tunjukkan jalan jangan biar sesat. Ingatkan diri ini jangan biar lupa. Perbaiki diri ini jangan biar salah. Kita kawan sampai syurga. InsyaAllah.

Aturan Allah adalah terindah buat saya. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.

Allah berkuasa atas segalanya. Dan Dia juga berkuasa mengubah hati manusia menurut kehendak hati-Nya.

"Barangsiapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barangsiapa dikehendaki-Nya sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang2 yang tidak beriman."
(Surah Al-An'am : Ayat 125)

Katakanlah (Muhammad), "Alasan yang kuat hanya pada Allah. Maka kalau Dia mengkehendaki, niscaya kamu semua mendapat petunjuk".
(Surah Al-An'am : Ayat 149)

Hidayah Allah datang dalam tidak disangka-sangka. Namun kadang-kadang kita sengaja palingkan wajah. Tidak mahu membuka hati dan mengizinkan hidayah itu singgah ke hati kita. Mungkin kita masih tercari-cari, atau barangkali kita kata, nanti-nantilah. Tapi jangan kita lupa, mati itu pasti dan kita tidak tahu bila. Jangan lupa bahawa sesungguhnya dunia hanya sementara, akhirat itu yang abadi. Bantu membantulah kita ke arah kebaikan. Dan janganlah kita bantu membantu ke arah keburukan. Pandang kiri dan kanan. Mungkin di satu sudut, sahabat kita perlukan sokongan dan bimbingan dari kita. Toleh kanan dan kiri, mungkin di sebelah kita, sahabat kita meraba-raba dalam kegelapan menunggu kita memimpin tangannya.

Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).
(Surah Al-'Ankabuut 29:57)

Masuk syurga sama-sama. Biar di syurga kita bertemu lagi. Tanamkan niat dan keinginan itu di dalam hati kita. Andai kita mahu ke syurga, ingatlah juga sahabat-sahabat kita. Apakah kita tergamak membiarkan dia ke neraka? Atau barangkali ketika kita sedang cuba melangkah ke syurga, dia menarik kita bersamanya ke neraka, kerana khilaf kita ketika di dunia, membiarkan dia dalam kesesatan, Naauzubillah.

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-'Ankabuut 29:64)

Saya sendiri sedang mencari kekuatan. Memperbaiki diri sendiri dan cuba semampu saya untuk mengingatkan sahabat-sahabat sekalian tentang pentingnya ingat-mengingatkan, bantu-membantu ke arah kebaikan. Kerana saya tahu, bahawa 'kekuatan' saya cuma di sini, di medan tulis ini. Dan saya berdoa dan berharap, agar sesiapa yang membaca, mendapat manfaat darinya. InsyaAllah.

Ini baru soal pakaian. Kan? Lain-lain pula bagaimana? Bukan senang mahu 'senang', jika punya kelapangan, insyaAllah akan disambung lagi. Sementara itu, selamat membaca dan menkaji Quran. Jadikan ia teman baik kita. Setiap waktu setiap ketika. Baca maksudnya dan cuma renungkan, bayangkan, kita sedang membaca 'warkah cinta' dari Kekasih yang Agung. Berbahagialah..

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk) sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan. Mereka itulah orang-orang yang akan mendapat seksaan buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling rugi."

[ Surah An-Naml : Ayat 4&5]


"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

[Surah Al-Imran : Ayat 8]

Wallahua'alam. Hanya ALlah yang Maha Mengetahui.

Thursday, October 21, 2010

Jauh Di Mata, Bertemu Di Syurga

Aku bukanlah sang pujangga,
Bisa mengarang seribu puisi cinta.

Aku bukanlah karyawan,
Arif membuat kau tertawan.

Di matamu aku sirna,
Di depanmu aku tiada,
Namun jauh di lubuk jiwa,
Setia aku bertakhta.

Wahai teman wahai adinda,
Semoga Allah limpahkan kasih-Nya,
Untuk kita, kepada semua,
Biarlah bahagia sampai syurga.

-Hasniza Ibrahim-

Saturday, September 4, 2010

Mimpi Buat iluvislam Pecah Berderai???

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Yang menghidupkan dan mematikan. Yang pertama dan terakhir. Yang memiliki hari pembalasan.

Allahu Allah. Seiring masa berlalu, tidak pernah berhenti walau sedetik, kadang-kadang kita terlupa untuk berhenti sejenak, merenung dan muhasabah semula bekas jejak telapak kaki yang telah kita tinggalkan, jalan-jalan yang kita selusuri. Berlumba dengan masa kadang-kadang membuatkan dada kita sempit, terlupa dan tertinggal banyak perkara.

Saya juga, dalam mengejar sesuatu, ada sesuatu yang lain pula terciciran. Dalam mengehar mimpi, ada yang terluka dan terkorban. Allahu Allah. Mungkinkah itu sebuah harga yang perlu dibayar atau itulah bukti kelemahan diri ini?

Entri kali ini, saya ingin 'mengikut jejak' sahabat krew dan user iluvislam yang lain.

Di mana-mana saja, sering saya terbaca mengenai rungutan, luahan, pandangan, perkongsian mereka terhadap forum baru iluvislam. Luahan kerana sayang. Saya mengerti dan saya terima baik.

Mungkin silap saya, kelemahan saya sendiri sehingga saya tidak pernah terbaca apa-apa penjelasan dari pihak admin iluvislam terhadap luahan-luahan tersebut. Dan akhirnya, membiarkan para user tertanya-tanya dan penasaran. Luahan demi luahan dilontarkan.

Apapun, apa yang bakal saya tuliskan di sini, adalah bukan mewakili mana-mana pihak.

Antara luahan user adalah;

1. Status yang bersifat seperti FB. Jadi apa bezanya iluvislam dengan fb? Jujur, baik saya lepak FB. ahahaha. (Add friends, comments)

2.Warna tak menarik.

3.Sistem penyusunan forum. Tiada pop-ups.

Segalanya macam sudah 'mati'.Saya tidak lagi merasakan aura Iluvislam yang kuat seperti dahulu.

Kadang-kadang, saya bertanya kepada diri sendiri."Untuk apa aku lakukan kerja sukarela di Iluvislam ini?"

Jika dahulu, kita sememangnya berkobar-kobar untuk membantu.Membantu perjuangan Islam katanya. Tapi sekarang, mana perginya?Benarlah kata orang, dunia boleh melekakan kita, dunia boleh mengaburi.

Jika dulu, saya anggap Iluvislam sebagai madah ilmu yang baru.Tapi kini tidak lagi. Semangat saya kian luntur.

Iluvislam sudah banyak berubah. Forum yang saya 'bernafsu' untuk masuk kini pudar ditelan zaman. Forum interface berubah 100%. Daripada warna tema yang menarik kini bertukar persis Facebook. Dengan adanya ruangan status yang nampaknya semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan user Iluvislam.

Iluvislam hilang serinya. Mungkin pada orang lain, warna itu tidak penting. Tetapi bagi saya, warna mampu memberikan satu kesan yang besar kepada user. Dan tertariknya saya kepada Iluvislam ialah kerana warnanya di samping keinginan besar untuk berkongsi pendapat.

Mohon izin, saya berkongsi sesuatu. Dan awal-awal saya maklumkan. Saya menulis kali ini bukanlah mewakili mana-mana pihak, tapi ikhlas luahan dan pandangan saya sendiri.

====================================================

Sebagai salah seorang tenaga penggerak forum iluvislam.com. Yang pernah menyayangi iluvislam sepenuh hati, menatangnya bagai minyak yang penuh. Meluangkan banyak masa dan tenaga, menyerahkan jiwa dan mental untuk forum tersayang, jatuh atau bangun iluvislam, forum terutamanya, banyak memberi impak kepada diri saya dan sahabat moderator yang lain.

Manakan tidak, dikalangan kami, setiap masa, sepanjang waktu (ketika itu) kami sentiasa merancang, memikirkan, merangka, mencari penyelesaian terbaik demi iluvislam, demi forum, demi user, demi Islam tentunya. Bersama-sama bergabung tenaga, saling bergandingan dan membantu antara satu sama lain. Bila ada yang terluka, atau kaki menjadi lemah untuk terus melangkah, kami saling mengubati dan memimpin tangan antara satu sama lain. Indahnya ukhwah sesama kami, sehati sejiwa berbakti kepada Islam melalui iluvislam.

Masa terus berlalu. Dua tahun lamanya saya berbakti kepada iluvislam. Angka bilangan user juga terus menaik. Walaupun user datang dan pergi, kami tetap cuba untuk bertahan.

Lain user, lain keletahnya. Lain user, lain pemikiran dan cara penerimaanya. Lain user lain matlamat dan kehendaknya. Lain user lain cara melontarkan pandangan. Lain user lain pegangan dan fahaman. Bermacam-macam. Suka atau tidak, kami tetap jua cuba untuk terus bertahan.

Bilangan moderator tetap di takat yang sama. Namun, tugas kami para moderator kian bertambah. Search, bagi link, lock dan move thread, edit tajuk, mengingatkan user yang melanggar etika forum, memeriahkan lagi forum dengan perbincangan yang ilmiah dan menarik, meraikan user, menjawab pertanyaan-pertanyaan user, dan pelbagai lagi, berterusan dan berulang-ulang bagai tiada tanda-tanda mahu berhenti, ada masanya mampu membuat kami tertekan.

Sebagai orang tengah antara Presiden iluvislam dan para moderator, akhirnya saya menyuarakan rungutan saya, "Kasihan moderator dah penat, asyik buat kerja yang sama berulang tanpa henti,"

Kata Presiden iluvislam, "Sabar kak, tak lama lagi kita akan ada forum baru, insyaAllah kerja-kerja mod jadi mudah"

Subhanallah, betapa terubat hati saya ketika itu. Bersemangat kembali. Dan yakin bahawasanya 'penderitaan' kami di forum lama pasti akan berakhir jua tidak lama lagi setelah hadirnya forum baru. Sejak itu, saya ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu forum baru ini.

================

Dan akhirnya. Setelah penantian setahun lebih membuahkan hasil, Allah izinkan jua komuniti iluvislam (forum baru) ini dilancarkan jua.

Namun, dalam kegembiraan meraikan 'bayi baru' kami ini, kami sedikit kecewa dengan penerimaan sahabat user sekalian.

Begitu mudah kalian merungut, seolahnya, pihak iluvislam membuat apa-apa perubahan terhadap iluvislam.com tanpa sebarang perancangan rapi dan teliti. Seolah-olah pihak iluvislam merancang hari ini kemudian esok terus laksanakan. Seolah-olah pihak iluvislam tidak pernah memikirkan sebarang pro dan con dan mengabaikan suara hati para user yang kami kasihi. Kalian silap.

Jika dulu ada yang merungut bahawasanya forum tidak ilmiah. Dikuasai remaja dan kanak-kanak bawah umur. Menyebabkan perbincangan di forum menjadi tidak serius dan tiada info bermanfaat. Sekadar tempat luahan dan perkongsian masalah. Kalian juga pernah merungut, sikap sesetengah user yang tidak mematuhi etika forum. Membuka thread berulang. Thread rehatkan minda. Perbincangan entah apa-apa.

Kalian kecewa dan bersuara.

Tahukah kalian, mengapa forum kini tidak seperti dulu?

Kenapa tidak dipaparkan semua thread terkini pada halaman pertama agar mudah untuk di akses oleh sesiapa jua?

Antara sebab adalah agar para user dapat memilih kategori yang mereka minati, terlebih dahulu sebelum meneruskan apa-apa bacaan atau perbincangan. Umpama tapisan awal di peringkat pertama.

Maknanya, jika anda tidak minat sastera atau puisi, tidaklah anda sengaja meng-klik kategori cerpen/puisi. Dan seharusnya juga, anda tidak lagi merungut bahawasanya forum hanya tempat orang bersastera. Andai anda tidak meminati perbahasan politik, maka anda seharusnya tidak klik kategori berkenaan, dan sepatutnya juga, anda tidak akan merungut bahawasanya iluvislam kini menjadi lubuk mereka berkenaan berpolitik.

Demikian antara faktor, kenapa komuniti iluvislam adalah seperti sekarang.

Dan ketahuilah juga, komuniti sekarang ini jauh lebih canggih teknologinya. Lebih banyak tools menarik, yang boleh dimanfaatkan oleh user dan mod juga. Kini kerja-kerja mod menjadi lebih mudah, dengan features2 yang ada, alhamdulillah dan insyaAllah mod tidak lagi terbeban seperti dulu kala. Jika dulu, segalanya seolah-olah memerlukan tindakan secara manual, sekarang tidak lagi. Alhamdulillah.

Kenapa iluvislam seperti facebook?

Ini kerana, ini adalah sebahagian daripada cara untuk mencapai misi dan visi iluvislam yakni;

To Be The World's Leading Islamic Media of Choice

Saya pernah menulis DI SINI.. Mimpi Buat Iluvislam..

Mimpi untuk iluvislam

Jika Facebook berkembang pesat dalam beberapa tahun, begitu juga google, kenapa tidak iluvislam? Jika Facebook, dan Google mampu mendapatkan pulangan wang yang lumayan, kenapa tidak iluvislam? Jika Facebook, YouTube dan Google memiliki pekerjanya sendiri, kenapa tidak iluvislam? Tiada yang mustahil, dengan izin Allah, kita juga mampu.

Benar, wang bukanlah segala-galanya, tapi segala-galanya memerlukan wang. Untuk menyebarkan syiar Islam, membantu golongan fakir miskin, memantapkan ilmu pengetahuan orang Islam, membangunkan ummah, mewujudkan suatu legasi yang dikagumi, mengembalikan kegemilangan Islam; kita juga perlukan wang.

Saya bermimpi, iluvislam mampu memberikan peluang kerja kepada ratusan orang Islam, suatu masa nanti. Dan saya tahu, tiada salahnya saya bermimpi. Dan saya optimis, mimpi ini mampu menjadi kenyataan.

Dan jika selama ini, kehidupan seharian kita berkisar dengan segala ciptaan dan hasil kerja orang bukan Islam, dengan acuan mereka sendiri, kenapa tidak, melalui iluvislam, kita mencipta suatu acuan baru, acuan kita sendiri, sebagai orang Islam dan seterusnya ia diwarisi hingga ke generasi akan datang, tidakkah kita berbangga? Tidakkah itu lebih baik? Buang tepi MySpace yang galakkan pergaulan bebas, tolak tepi Facebook yang melalaikan, sampahkan segala web hiburan yang merosakkan iman! Pantang klik, ada saja gambar-gambar lucah, itukah yang kita mahu anak kita warisi kelak?

Saya optimis, iluvislam mampu pergi lebih jauh. Dan saya juga pasti, kakak saya atau sesiapa sahaja yang pada masa ini tidak dapat melihat iluvislam sebagai suatu wadah yang bermanfaat, insyaAllah, suatu hari kelak, anak-anak mereka yang akan berterima kasih kepada iluvislam.

Saya mungkin tiada apa-apa kepakaran, sumbangan saya teramat sedikit untuk iluvislam, tetapi, sokongan saya tidak berbelah bagi untuk iluvislam dan doa saya juga sentiasa mengiringi iluvislam. Ayuh, sahabat sekalian, bermimpilah bersama saya, berikan sokongan kepada iluvislam dan berdoalah.

Semoga Allah menjadikan impian kita ini suatu kenyataan. Amin..
Dan mengapa kita tidak boleh bermimpi? Dan mengapa kita tidak boleh pergi lebih jauh? Mengapa kita harus tetap di takuk yang lama sedangkan kita seharusnya berlari dan melompat lebih jauh untuk merealisasikan mimpi-mimpi kita?

Kebanyakan orang memang sukar menerima perubahan. Sejarah turut membuktikan, betapa Muhammad saw pernah dituduh orang gila bila menyampaikan ajaran baru yang sebenarnya dari Tuhan yang Esa. Ramai juga jiwa yang terkorban kerana Revolusi.

Jangan gentar. Jangan mengalah. Jangan undur ke belakang. Seharusnya, kita terus mara ke depan. Jika sebelum ini kita pernah berbakti, memperjuangkan iluvislam, jangan sekarang kita melepaskan pautan tangan kita dan membiarkan iluvislam terkapai-kapai. Jangan sampai ia lemas. Iluvislam perlukan kita semua.

Andai ombak mampu mengubah pantai. Jangan pula hati kita berubah dengan penambahbaikkan yang sedang dilalui oleh iluvislam.com kini. Jujur, kini iluvislam sedang melalui saat-saat sukar, dan tentunya, iluvislam perlukan kita semua. Peganglah 'tangan' jangan lepas.

Teruskan bertahan. Dan berdoa. Moga-moga detik sukar ini segera berlalu. Dan iluvislam kembali 'ceria' seperti dulu kala. Kita sayangkan iluvislam. Dan moga-moga anak cucu kita kelak juga berpeluang untuk menyayangi iluvislam.

===============================

Teman yang baik adalah teman yang sentiasa ada bila mana ia diperlukan.

Melarikan diri, meninggalkan iluvislam, atau sekadar memandang dari kejauhan tidak mampu mengubah apa-apa. Teruskan setia bersama iluvislam, berusaha untuk membiasakan diri dengan 'peralatan-peralatan' baru yang ada. Manfaatkan sebaik mungkin insyaAllah kebaikan dunia dan akhirat. Belum cuba belum tahu. Mula-mula mungkin sukar insyallah lama kelamaan, terbiasa juga. =)

Sekali lagi, saya menulis sekadar melontarkan sisi pandang saya sendiri. Tiada kena mengena dengan mana-mana pihak.

Apapun, saya percaya, semua yang sudi membaca entri ini, hingga ke perenggan ini, sama seperti saya, sangat menyayangi iluvislam.com.

Mimpi saya masih jua tetap sama.. Anda pula bagaimana?

Moga Allah merahmati kita semua. Amin ya rabb. Mohon maaf segala salah dan silap, salam permisi.

Wassalam.





Wednesday, March 17, 2010

Forum Team : Kita NADI iLuvislam.com

[Entri kali ini, istimewa buat sahabat forum team]

Bismillahirrahmanir rahim..

Assalamualaikum wbt..

Apa khabar semuanya, khabar apa hari ini? Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam, mudah-mudahan amal ibadat kita juga kian bertambah berkadar lansung dengan bertambahnya usia kita di muka bumi ini, amin...

Sekadar 'singgah' bertanya khabar, lama juga saya 'menyepikan' diri di ruangan YG Mod. Apatah lagi kotak YM setiap moderator untuk bertanya khabar... Maaf beribu-ribu maaf dipinta. Saya menyusun sepuluh jari, mohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan keterlekaan diri ini. Hingga mungkin ada di kalangan sahabat moderator umum rasa terabai, tidak dipedulikan atau dilupakan. Na na na~ Sorry yer.. ;)

Jujurnya, kalian sentiasa dekat dihati, cumanya, kekangan-kekangan tertentu seperti keterbatasan kemudahan internet dan 'mencari ruang untuk diri sendiri' sedikit sebanyak menjadi penghalang. Mana yang buruk saya akui silap saya sendiri dengan izin Allah jua adanya. Sama-sama kita bermohon kepada Ilahi, agar kelemahan ini dapat diatasi dan tidak memudaratkan kita semua di masa hadapan, insyaAllah.

Perkara kedua, saya ingin mengucapkan tahniah, dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua moderator yang selama ini bersusah payah, meluang masa, mengerah keringat, mencetus idea, bersengkang mata demi memastikan forum berjalan lancar. Alhamdulillah. Terima kasih. Jasa kalian semua sangatlah besar dan penuh makna. Sehinggakan secara peribadinya, saya sendiri sukar untuk mencari di mana kesilapan moderator sekarang ini.

Sejujurnya saya kagum dan bangga dengan sikap dan sifat positif yang ditonjolkan dan dipamerkan oleh setiap moderator. Paling membanggakan adalah sikap kerja berpasukan dan saling bantu membantu kalian semua, tidak kira apa jua permasalahan yang timbul. Subhanallah. Kalian semuanya ibarat satu jasad, peka dan prihatin antara satu sama lain, cubit paha kanan, bahu kiri terasa. Eheh~
Semoga tautan hati yang terbina ini berterusan dan dapat diperkukuhkan lagi.. Amin ya rabb..

Sebelum mengundur diri, suka saya ingatkan sahabat yang dirahmati Allah...bahawasanya iLuvislam kian mara ke hadapan. Mungkin ada di antara kita terdetik sejenak di fikiran, "forum kian diabaikan, team event lagi berjasa, ruangan artikel lagi diminati."

Sorry.. itu tak benar, buktinya Presiden iLuvislam sendiri ada turun padang untuk menjawab persoalan user di forum baru-baru ini.. (Terima kasih bos!)

I would like to say, no matter what will happen, we must set in our mind, we are the best and still the best among the rest. Kita team yang terbaik!

Biarlah apa yang jadi di luar sana.. Moga kecintaan kita terhadap forum tidak pernah pudar. Tidak goyah. Moga keikhlasan kita untuk terus berbakti kepada ummah melalui forum tetap kembang mekar berseri-seri tidak pernah layu.

Mereka punyai cara mereka tersendiri dan kita juga ada cara kita yang tersendiri. Semuanya punyai niat dan visi yang sama cuma mungkin caranya agak berbeza. Keep on moving, we are on the right track, insyaAllah, sentiasa bermohon drp Allah... tunjukilah KAMI jalan yang lurus ya rabb..

Believe it or not, belive it.. Kita (forum team) adalah nadi kepada iluvislam.com. Believe it!

Mungkin benar, kita bukan urat leher yang boleh menyebabkan kematian serta merta kpd iluvislam.com andai terputus, tapi jika nadi itu terputus, perlahan-lahan iluvislam.com akan mati juga (Dengan izin Allah).

Jangan biarkan iluvislam.com 'mati' kerana kita. Teruskan bersemangat dalam menuai amal di iluvislam.com. Bangkitkan passionate dan momentum dalam diri masing2 untuk terus memberi kepada ummah melalui iluvislam.

Malaikat kanan dan kiri tidak pernah berehat walau sesaat, setiap detik amalan kita dicatat dan dihimpunkan untuk ditimbang diakhirat kelak. Ini rukun iman yang wajib kita percayai..

Mungkin kita miskin wang, kita tidak kaya dengan harta, tapi ingat hadis nabi..

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan. " (riwayat al-Bukhari)

Jadi, kita masih boleh bersedekah tenaga, ilmu atau buah fikiran. Bukan semua orang yang berilmu itu kaya tetapi mereka boleh sedekahkan ilmu untuk kebaikan orang lain.

Jangan pula kita lupa bahawa sedekah itu antara pahala yang mampu sampai kepada kita selepas kita mati kelak.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Ayuh sahabat forum! Selagi termampu, kumpullah sebanyak mungkin amal ibadat dan kebaikan. Berhenti memberi alasan, berusahalah mencari penyelesaian.

Moga kita terus bersatu hati, mengembling tenaga, meluang masa bersama forum team, demi ganjaran syurga yang kita idam-idamkan.

Ya Allah ya Tuhan kami, satukanlah hati2 kami yang berhimpun demi menegakkan agama-Mu.

Amin ya rabb..


Tuesday, March 16, 2010

Gay/Lesbian : Maaf Saya Tak Faham

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya doakan agar kita semua selamat sejahtera di bawah naungan kasih dan limpah rahmat Ilahi, Amin..

Merujuk kepada tajuk entri kali ini, cetusan idea dari perbincangan yang terdapat di ruangan forum iluvislam.com. Bukan perkara baru, bukan masalah baru, malahan dari dulu hingga kini, masalah ini seakan-akan tidak kunjung padam dan kian berlarutan. Allahu Allah, bagaimanakah penyelesaian yang terbaik? Kami mohon petunjuk dari-Mu ya Allah.

Mudah bagi mereka yang berkata-kata. "Abaikan sahaja perasaan itu." Mudah bagi mereka yang tidak melalui permasalahan itu untuk berkata, " Itu cuma bisikan syaitan dan nafsu jahat, jangan dilayan." Sungguh mudah mereka berkata, "Puasa boleh mengawal nafsu.." Allahu Allah, kami tidak berada di tempat yang sama, sungguh, kami sebenarnya mana mungkin dapat memahami permasalahan mereka sepenuhnya.. Hanya mereka yang memikul bebanan itu, yang tahu betapa beratnya dugaan itu.. Kami mohon ya Allah, Kau bantulah mereka melawan gelora nafsu mereka ya Rabb..

Saya kira, mereka yang berkongsi masalah nafsu songsang mereka di iluvislam adalah antara insan yang agak bertuah, jika mahu dibandingkan dengan insan senasib mereka di luar sana, yang berterusan melakukan kesalahan tanpa sedikit rasa kekesalan.. Setidaknya mereka di iluvislam tahu mana dosa mana pahala, setidaknya mereka memberi peluang untuk dibantu dan sama-sama mencari penyelesaian. Moga Allah membantu mereka kembali ke jalan yang lurus..

Satu sudut lain pula, sebagai salah seorang 'tukang jaga forum', saya juga mengambil kira pendapat sesetengah user yang tidak gemar masalah sedemikian terus dibincangkan dan dipaparkan berterusan. Saya tidak memandang ringan dan cuba untuk memikirkannya secara serius, alangkah bagusnya Allah, sekiranya saya perolehi petunjuk dan jawapan yang jelas, terang dan nyata. Saya faham dan mengerti apa yang mereka bimbangkan, saya juga begitu namun sebelah bahu lagi berat untuk mengatakan tidak.. Tidak kepada jangan meneruskan perbincangan mengenainya.

Ini kerana pada pandangan saya, saya dan mereka, tidak berada dalam situasi yang sama, tidak berada dalam kasut mereka yang mengalami masalah itu, jadinya kami bukanlah orang yang tepat untuk membantu.. Oleh itu, mungkin untuk seketika waktu, eloklah sekiranya kami berikan peluang kepada mereka yang senasib untuk sama-sama membantu di kalangan mereka, memberi kekuatan dan saling mengingatkan, kerana saya positif, mereka lebih memahami.

Mungkin, untuk sementara waktu, ini keputusan yang terbaik, biarkan dahulu mereka mencari penyelesaian.. Esok atau lusa, bergantung kepada situasi, mungkin tindakan lain pula yang patut kami laksanakan.. Allah ya Allah.. Semoga Kau merahmati dan memberkati, tunjukilah kami jalan yang lurus..

Ayuh, doakan kesejahteraan dan keselamatan, buat mereka, dan kita juga.

Wassalam.

Tuesday, February 23, 2010

Mutiara Beguguran Di Raudhatus Sakinah

Bismillahirrahmanirrahim..

Peserta DK2 Bergambar Kenangan

Alhamdulillah, pada hari Sabtu yang lepas, bersamaan 20 Februari 2010, saya bersama beberapa orang krew dan user iLuvislam.com antara insan terpilih, untuk menziarah Raudhatus Sakinah (RS).

RS yang ditubuhkan sejak Ogos 1998 di bawah pengendalian wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) bagi membantu remaja yang terlibat dalam masalah gejala sosial meningkatkan keyakinan mereka untuk menjadi individu yang berguna.


Antara matlamat RS ialah membantu remaja menghayati Islam sebagai cara hidup, semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan yang sihat.
RS yang didaftarkan secara rasminya di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bertanggungjawab untuk merealisasikan nahi mungkar ke arah membanteras gejala sosial.

Program kali ini sebenarnya adalah anjuran Team Event Malaysia, yang juga dikenali sebagai Dialog Krew 2 (DK2). Jika sebelum ini, DK1 kami lebih fokus kepada krew iluvislam.com sahaja, kali ini kami luaskan skop dan turut mengajak beberapa orang user terpilih untuk ikut sama menikmati dan bersama-sama masyarakat bagi menguatkan ikatan ukhuwah di samping mendedahkan peserta DK dengan persekitaran yang mempunyai pelbagai cabaran dan dugaa yang harus ditempuhi.


Kami tiba di Raudhatus Sakinah kira-kira jam 10.30 pagi, disambut mesra oleh Pengarah RS, Rosmawati Zainal, Puan Yusnani Abdul Hamid dan warden-warden bertugas di situ. Sebelum memulakan program, kami bertakruf dan diberikan sedikit taklimat ringkas oleh Puan Yusnani, berkenaan etika dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di RS.

Aktiviti berjalan lancar seperti apa yang dirancangkan, dengan izin Allah jua adanya. Alhamdulillah, bukan sedikit pengalaman berharga yang dikutip pada hari bersejarah itu. Bermula dengan ucapan kata aluan dari Presiden iLuvislam.com, penyampaian kata-kata amanat dari Pengarah RS, sesi takruf bersama penghuni RS, dan paling tidak dilupakan, sesi 'one to one', krew/user iLuvislam.com bersama penghuni RS.

Taklimat sebelum mula program.

Saya terpilih untuk melalui sesi 'heart to heart' tersebut bersama seorang penghuni yang dikenali sebagai Zue (Bukan nama sebenar) .
Berdua-duaan, kami memilih penjuru rumah sebagai tempat berkongsi cerita.

Banyak yang beliau kongsikan termasuk jadual harian para penghuni di RS. Setiap hari tidur jam 11 malam, bangkit semula jam 3 pagi, zikir pagi kemudian menunaikan Qiamullai. Membaca quran dan beribadat mengabdikan diri kepada Allah sehingga selesai menunaikan solat Subuh.

Terus berzikir, membaca mathurat, kemudian melaksanakan tugasan harian masing-masing seperti mengemas, masak dan sebagainya.
Jam 9 pagi, mereka sekali lagi berkumpul untuk bertadarus dan sekiranya ada sukarelawan datang untuk mengajar, mereka akan meluangkan masa untuk menghadiri kelas. J

am 12 tengah hari mereka dibenarkan rehat selama 3o minit sebelum makan tengah hari. Selepas makan, kira-kira jam 1 tengah hari mereka bersiap-siap untuk tunaikan solat Zohor berjemaah.
Begitulah aktiviti seharian mereka, di isi dengan usrah, taklim, membaca surah-surah pilihan, mengaji tilawah Quran, dan setiap malam sebelum mengakhirkan hari mereka, setiap dari mereka dilatih untuk berucap didepan khalayak ramai. Mereka diwajibkan untuk memberikan tazkirah ringkas, rumusan seharian aktiviti mereka pada hari tersebut.

Subhanallah, kagum saya melihat cara hidup mereka, ternyata, jauh lebih baik dari diri saya sendiri. Mereka mungkin pernah melakukan dosa, namun sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Seandainya kita sebagai hamba Allah, tidak kira sebesar mana dosa kita, seandainya kita segera bertaubat yang bersungguh-sungguh setelah menyedari kesilapan kita, insyaAllah, Allah akan ampunkan dosa-dosa kita. Selagi nyawa masih dikandung badan.


Kita mungkin tidak melakukan dosa besar, tidak berzina tapi jangan mudah berasa senang hati. Jangan terlalu yakin bahawa kita lebih baik daripada mereka, barangkali, dosa kecil yang kita lakukan terlalu banyak, tanpa kita sedari, ibarat titik-titik hitam yang akhirnya, lama-kelamaan berjaya menghitamkan diri kita. Naauzubillahiminzalik. Segeralah muhasabah diri, perbaiki segala kelemahan diri.


Ketika sesi 'heart to heart', mulanya saya banyak bertanya kepada Zue, dia banyak bercerita, berkongsi pengalaman hidupnya, bagaimana dia boleh terjebak dengan pergaulan bebas, bagaimana penerimaan keluarga dan saudara maranya setelah mendapat tahu bahawa dia sudah hamil luar nikah sehingga akhirnya, ayahnya sendiri yang menghantar Zue ke RS.


Saya kira, Zue agak bertuah kerana mempunyai keluarga yang tetap terus menyokongnya walaupun hati ibubapa mana yang tidak hancur berkecai melihat si anak yang ditatang bagai minyak yang penuh 'binasa' di tangan lelaki durjana. Walaupun pernah berniat mahu menggugurkan kandungannya, namun oleh kerana keluarganya menentang keras, tidak sanggup melihat si anak menambah dosa membunuh setelah melakukan dosa zina, akhirnya di RS Zue di hantar untuk diberi perlindungan dan melalui sesi pemulihan.
Zue turut mengaku, ketika mula-mula tiba di RS, dia benar-benar memberontak. Waktu itu dia hamil 6 bulan.

Namun ujarnya, akhirnya dia merasa ketenangan yang sebenarnya, seolah-olah hidayah Allah singgah dihatinya setelah 4 bulan berada di RS. Segala puji hanya milik Allah. Kini dia dapat menerima segala ketentuan Ilahi dengan hati yang redha dan berusaha untuk memperbaiki diri menjadi muslimah yang lebih baik.


"Saya tidak mahu, kerana saya ayah dan ibu saya tidak dapat masuk syurga," Luah Zue sambil menitiskan airmata penyesalan.

"Saya takut nanti bila keluar dari sini saya tidak istiqamah, saya takut saya tak cukup kuat, saya takut berhadapan dengan masyarakat," Ujar Zue lagi. Manik-manik jernih mula mengalir dari kelopak matanya.

Saya benar-benar tersentuh, namun cuba untuk memberi kekuatan kepadanya, memberi sedikit kata-kata nasihat di samping mengingatkan diri sendiri, Allah beri dugaan hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Lama kami menangis berpelukan. Saya biarkan Zue menangis di bahu saya, meluahkan segala perasaan yang tersimpan di dalam dadanya sambil membisikkan kata-kata semangat.

Sungguh, dia kelihatan tabah cuma luaran, namun hatinya masih serapuh kaca. Paling tidak dapat dilupakan, sebelum mengakhirkan sesi 'heart to heart' kami, dia sempat katakan pada saya.. "Saya sayang akak.." Subhanallah, indahnya perasaan itu, perasaan saling mengasihi sesama hamba Allah, kerana Allah.


Doa dan harapan saya, agar Zue dan seluruh penghuni RS terus istiqamah dalam jalan taubat dan menjadi anak yang solehah, menarik tangan ke dua ibu bapa mereka ke syurga di akhirat kelak, amin ya rabb...


Selesai sesi 'heart to heart', kami sekali lagi berhimpun untuk majlis penutup. Setelah bacaan puisi oleh seorang krew iLuvislam.com, semua user dan krew iluvislam.com berdiri untuk menyanyikan lagu nasyid "Puteriku Sayang", dihadiahkan khas kepada seluruh penghuni RS. Maha suci Allah, sepanjang lagu itu dinyanyikan, bukan sahaja penghuni RS, malahan kebanyakan dari krew dan user turut mengalirkan airmata, dorongan seribu satu perasaan yang bercampur baur.

Selesai menyanyikan lagu tersebut, salah seorang co-founder iLuvislam.com dijemput untuk membacakan doa penutup.
Allah ya rabb, kami menadah tangan, berdoa dan memohon kepada Ilahi... Kini mutiara dari kolam mata kami makin lebat berguguran, mengalir laju di pipi kami tanpa mampu terbendung.

Moga, airmata ini tanda kasih sesama manusia, airmata keinsafan dan airmata yang mampu memadamkan api neraka di akhirat kelak.


Allah menyaksikan segalanya, hati-hati ini telah bersatu di bawah naungan-Nya, moga Dia terus memimpin hati-hati kami ini, agar terus setia di jalan-Nya.


Raudhatus Sakinah menyimpan seribu satu rahsia, menjadi kenangan terindah yang tersimpul kemas dalam ingatan.
Moga segala pengalaman yang diperolehi, memberi seribu satu manfaat dan pengajaran kepada seluruh peserta DK2. Dengan izin Allah.

Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.. Ampunkanlah dosa-dosa kami wahai Tuhan.

Wallahua'alam

Thursday, February 4, 2010

Takrif Amanah Bagimu Apa?

Tulisan kali ini mungkin sampah, awal-awal saya menyusun sepuluh jari, mohon keampunan dari semua. Sekadar nukilan kosong, luahan hati barangkali.

Merenung ke hadapan, merancang masa depan, saya terkedu, buntu. Apa yang harus saya lakukan? Bagaimana caranya? Siapa akan bersama saya? Bila semuanya akan terlaksana? Allahu.. Siapa yang akan menjawab semua persoalan yang datang dan pergi bertali arus? Soalan yang tiada jawapan, barangkali, agaknya!

Bercakap soal amanah.

Antara ciri-ciri orang munafik adalah bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir dan bila diberikan amanah, dia tidak laksanakan! Kita bagaimana? Astagfirullahalazim. Saya juga banyak kelemahan. Banyak kekurangan dan sering juga melakukan kesilapan.

"Ya Allah, jangan Kau kirakan aku salah, andai aku terlupa, andai aku tidak tahu...ampunkan dosaku, kasihanilah aku.."

Sahabat yang dirahmati Allah, kadang-kadang, sejujurnya saya kecewa. Bilamana anda sanggup mengenepikan amanah yang terpikul di bahu kerana kelemahan diri sendiri, kerana kekurangan yang ada pada diri, kerana masalah-masalah peribadi yang lain, yang sepatutnya di selesaikan sendiri tanpa mengorbankan amanah yang sudah sedia ada.

Kesanggupan anda menerima amanah yang diberikan, sepatutnya waktu itu juga anda faham, walau apa jua sekalipun, kecuali perkara yang benar-benar mendesak (ie: Exam), amanah itu mesti di laksanakan. Tidak boleh sekadar bersikap sambil lewa lalu mengalah, tidak boleh bersikap lemah, tidak boleh lepas tangan, tidak boleh berputus asa, jangan campur adukkan amanah dengan masalah kehidupan harian yang lain, be profesional.. please..

Entahlah, kelemahan ini mungkin puncanya dari saya sendiri, insyaAllah, peluang yang mendatang, akan dimanfaatkan sebaik yang mungkin, agar kepincangan ini dapat ditangani sebaik yang mungkin, insyaAllah, insyaAllah..

Saturday, January 30, 2010

Suatu Penghinaan??? Demi Cintaku, Aku Pertahankan

Suatu Penghinaan.

Alhamdulillah, hampir 3 dekad lamanya saya hidup di atas muka bumi ciptaan Ilahi, akhirnya baru kini saya dikurniakan kesempatan untuk menikmati ‘indahnya’ perasaan itu. Perasaan bagaimana diri ini diperlakukan bagai terlalu hina dan jijik, keji dan kotor. Maha Suci Allah yang menciptakan segalanya. Aku bersyukur seadanya atas segala kurniaan.

Mungkin saya terlalu ‘exaggerate’. Tapi hakikatnya, pengalaman pertama ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya untuk tafsirkannya. Emosi bercampur baur. Walaupun sudah banyak kali terjatuh dan bangun, banyak kali sesat dan meraba-raba mencari jalan keluar, sudah banyak kali menangis dan ketawa, namun ternyata, perasaan ini suatu perasaan yang ‘unik’, benar-benar lain dari yang lain. Dan hanya Allah jualah yang lebih mengetahui.

Saya bukanlah seorang yang suka mengungkit, apatah lagi berdendam. Syukur kerana Tuhan tidak mengurniakan rasa benci dan dendam itu ke dalam jiwa saya yang serba kekurangan ini. Waima pernah dikhianati setelah ‘berikrar’ dengan nama Allah, sedikit pun saya tidak membenci malahan hingga kini kami bersahabat baik. Pernah dikhianati ditikam dari belakang, namun beberapa hari kemudiannya saya menghubungi dia yang pernah menjadi sahabat baik demi menyatakan rasa rindu dan sayang. Saya tak benci, apatah lagi dendam.

Inikan pula sekadar dia yang terkilas kata tergigit lidah sendiri, sedikit pun tidak memberi apa-apa kesan kepada saya, Cuma malangnya, sikapnya yang berterusan seolah menjadikan saya sebagai musuhnya benar-benar mengecewakan saya. Hampa. Sedih.

Bayangkan bagaimana perasaan anda, jika anda dijadikan sebab untuk dia tidak menghadirkan diri dalam apa-apa majlis. Bagaimana perasaan anda, jika kerana anda hadir di situ, maka dia memberi seribu satu alas an untuk menguzurkan diri? Tidakkah ini suatu penghinaan? Jika sekali mungkin boleh diterima akal, tapi sekiranya berterusan bagaimana? Hinanya diri ini!

Saya bukan sesiapa untuk menghakimi apatah lagi menghukum. Namun sungguh, kesabaran saya juga ada batasnya.

Gara-gara Forum.

Saya lupa bagaimana ‘pertelingkahan’ ini terjadi, siapa pencetus, bagaimana prosesnya, namun saya tetap tidak lupa apa puncanya. Semuanya kerana forum yang saya kasihi dan cintai.

Pernah suatu ketika, ruangan forum dihujani thread-thread yang tidak bermanfaat, thread santai, topic cinta dan kapel hingga menenggelamkan thread-thread lain yang jauh bermanfaat. Bagi kami yang mengawasi forum, ini bukan fenomena luar biasa, malahan kami sering berhadapan dengannya dan sentiasa bermusyawarah tentang bagaimana berhadapan dengannya.

Bukan sedikit tenaga dan usaha yang telah kami curahkan demi mengekalkan ‘kestabilan’ forum. Namun dengan jumlah user yang ternyata jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan bilangan moderator, kadang-kadang kami kalah, tidak menang tangan. Tambahan pula, ada masanya, user seolah berpakat beramai-ramai untuk memperlakukan forum bagai ‘rumah sendiri’.

Etika dan peraturan forum diabaikan, merek bertindak sesuka hati mereka. Hendak disalahkan seratus peratus pun tidak boleh kerana kami faham, pengunjung forum terdiri dari pelbagai lapisan umur, jadi selayaknya, bagi remaja yang baru mengenal dunia, maka begitulah cara pemikirannya. Cuma tahu berseronok.

Demi Tuhan, saya mewakili forum team tidak pernah merestui ‘huru-hara’ yang dicetuskan oleh user. Malahan kami sering bermesyuarat bagi membincangkan permasalahan yang timbul dan mencari jalan penyelesaian. Kami tidak berpeluk tubuh sekadar memerhatikan gerak geri user, kami tidak bersikap lepas tangan, sentiasa mencari penyelesaian dan bukan sedikit pengorbanan kami demi forum yang kami cintai.

Dan saya juga tahu, pengunjung setia forum, yang sayangkan forum, juga tidak merestui keadaan itu. Saya percaya, mereka menentang keras sikap pengunjung yang seolah-olah tidak menghormati ruangan forum. Saya yakin, mereka yang sayangkan forum tidak senang hati melihat gejala tidak sihat yang melanda forum waktu itu, apatah lagi dengan status sebagai krew iluvislam, pastinya perasaan tidak senang itu berganda-ganda. Terima kasih saya ucapkan. Saya benar-benar hargai.

Namun, amat mengecewakan tatkala diri dan rakan sepasukan sedang berusaha keras, sana sini terpapar, ungkapan dan kata-kata seolah-olah merendah-rendahkan forum, “forum entah apa-apa, forum tidak bermanfaat”. Di ruangan blog, status Facebook dan status YM, tertulis kata-kata tidak enak mengenai forum. Jujur demi Tuhan, saya yang siang dan malam bertungkus lumus menjaga forum benar-benar rasa terguris, terluka setelah berulang kali kata-kata serupa ditayangkan.

Bukan saya tidak mengerti, kata-katanya ditujukan kepada user yang baru mengenal dunia forum. Namun caranya, seolah-olah menghasut dan mengajak orang lain ikut sama perlekehkan forum dan moderator. Bukan saya tidak tahu tanda protesnya ditujukan kepada mereka yang tidak menghormati etika forum, tapi caranya seolah membayangkan bahawa kami barisan modetor tidak bertindak dan tidak melaksanakan amanah dengan baik.

Bukankah lebih elok, andai kritikan dan teguran itu disertakan dengan cara-cara untuk menanganinya, dengan bantuan dan sokongan, dengan kata-kata motivasi pembakar semangat kepada kami. Bukan kata-kata yang melumpuhkan. Kami juga manusia biasa yang punyai kelemahan, perlu tidur dan makan, perlu belajar dan bekerja. Bukan sepanjang masa menghadap forum, kami juga perlukan ruang.

Bukankah lebih baik, andai teguran sinis itu tidak di jaja sana sini, manfaatkan YM atau PM, kami bersedia menerima teguran seadanya. Kami juga tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan sahabat krew dan semua pengunjung iluvislam. Dan dalam menegur juga, kita ada adab dan caranya. Apa salahnya belajar untuk beradab?

Cukuplah Allah Sebagai Penolong.

Entahlah, mungkin benar sayalah yang terlampau emosional. Sensitif. Tapi sungguh, cinta dan kasih saya terhadap forum bukan sedikit. Jika dulu Presiden iLuvislam pernah kata, hatinya sakit bilamana banyak orang mengutuk forum, nah, kini baru saya tahu bagaimana rasanya sakit itu.

Kepada dia yang berkenaan, teruskan dengan sikap yang kamu yakini betul itu. Kamu dan Allah lebih mengetahui. Aku hanya pertahankan cintaku, demi forum yang aku kasihi. Suatu penghinaan? Itu antara kau dan Penciptamu. Di dunia ini kita tiada apa apa hutang, tapi di akhirat sana, di hadapan Tuhanmu, kau jawablah.

Wednesday, January 6, 2010

Jangan Berhenti Mengayuh

Life is like riding a bicycle. To keep your balance, you must keep moving.
~ Albert Einstein~

Konklusinya, teruskan mengayuh, jangan berhenti, tapi sebelum itu, jangan lupa 'strecthing' dan 'warming up' sebelum memulakan perjalanan. Takut nanti kaki kejang di tengah jalan. Lansung kaku tak dapat bergerak, terjatuh tergolek-golek.

Teruskan mengayuh, tapi ingat, kena ada target dan sasaran ke mana ingin di tuju. Jangan redah sebarangan tanpa hala tuju, nanti tersesat, buang masa dan tenaga, terjatuh bukit termasuk lubang, kita yang parah, kita yang payah.

Teruskan mengayuh, tapi mata jangan dipejam. Buka mata, pandang ke depan. Jangan pejam takut kelak terlanggar pokok terlanggar tembok. Kita yang sakit, lutut berdarah kepala terluka. Pedih.

Teruskan mengayuh, jangan henti selagi kau mahu bergerak ke hadapan. Berhenti, cuma bila destinasi sudah tiba.

Wallahua'alam.

Friday, December 25, 2009

Kenangan Setahun Bersama iLuvislam

Kenangan Bersama Sahabat iLuvislam.com

2009 bakal melabuhkan tirainya, lagi beberapa hari. Alhamdulillah, masih bernafas hingga kini. Mengimbas kembali, nostalgia sepanjang tahun ini. Menyelak kenangan lalu mencatit semula di sini. InsyaAllah, mana yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Pengalaman mendewasakan, adakah benar saya sudah dewasa? Atau sudah tua? Hanya ALlah yang tahu.

Pahit manis selama setahun. Antaranya, kenangan bersama iLuvislam.com. Mengenali iluvislam lalu terus berdaftar sebagai user pada tarikh 6 Mei 2008. Saat itu, saya khayal dengan dunia friendster saya, namun iLuvislam mengubah segalanya. Sebagaimana saya menganggap friendster sebagai dunia maya saya, begitu juga tanggapan awal saya terhadap iLuvislam.com. Namun ternyata, saya silap. iLuvislam bukan sekadar dunia maya, malahan, berani saya mengaku, hidup saya kini hampir sepenuhnya berkisar dengan iLuvislam.com. Entahlah.. bagaiamana ia bermula. Saya sendiri tidak sedar, namun jauh di sudut hati saya berdoa, pengakhirannya kelak menjanjikan suatu anugerah yang terindah. Mudah-mudahan.

Melalui iLuvislam.com. Saya ketemui ukhwah kerana Allah. Indahnya anugerah itu. Pertama kali bertemu dengan sahabat maya dari iLuvislam.com di UIA, kalau tak silap saya pada bulan Januari. Insan pertama yang saya temui adalah Nisa aka Nisa_88. Dan insan kedua yang saya temui, sekitar bulan Mac (mungkin) juga di UIA adalah Atul aka Ukhwah. Alhamdulillah. Pemberian dari ALlah yang sangat tinggi nilainya. Kasih dan sayang sesama saudara seagama. Tidak mungkin boleh dibeli dan dibayar dengan wang ringgit.


Seterusnya, insan ketiga yang saya temui adalah presiden iLuvislam sendiri yakni Imran aka Im Koyube. Bulan April di PWTC, ketika pesta buku berlansung. Pertama kali melihat dia ketika kaki mencecah masuk ke PWTC, dia sibuk mengagihkan broucher kepada pengunjung yang hadir.

Saya menyapa beliau bertanya jalan lagak seperti pengunjung yang lain, beliau ramah dan murah dengan senyuman menunjuk jalan menuju ke gerai Nuffair, di sana saya SMS beliau mengatakan kehadiran saya di situ, tidak lama kemudian beliau hadir bersama seorang lagi krew iLuvislam yakni Syawal aka Adv_Red. Subhanallah. Impian apakah ini yang akhirnya menjadi kenyataan? Dia yang menentukan segalanya.

Pertemuan Di PWTC, Sempena Pesta Buku'09

Demikian antara 4 orang pertama sahabat dari iLuvislam yang saya temui. Pertemuan kami bukan setakat di situ, seterusnya lebih banyak pertemuan yang hadir, pertemuan di Pesta Buku PWTC, lawatan ke Karangkraf, aktiviti ketika Muktamar PAS, B2B sempena raya, B2B pertama dan kedua, berbuka puasa bersama-sama, menghadiri latihan ESQ, perlawanan futsal persahabatan, pertemuan untuk program KPO, program DK1, pertemuan untuk riadah di Bukit Cherakah, forum-forum yang dianjurkan di HUKM, di INSPEN, dan banyak lagi. Semuanya aturan Allah.

Lawatan Pertama Ke Karangkraf


B2B Raya Di Karangkraf

Bersama Moderator Di Bukit Cerakah

DK1 Di Masjid Usamah, Wangsa Maju


Latihan ESQ Angkatan 37 KL

Antara kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan sepanjang bergelar salah seorang krew iLuvislam.com adalah apabila saya diberi peluang untuk menghadiri latihan ESQ di PICC. Semuanya ditaja oleh pihak pengurusan iLuvislam.com. Terima kasih kepada ESQ dan iLi.com, terutamanya Imran kerana memberi peluang berharga itu kepada saya.

Untuk saya rasai sendiri dan menikmatinya. Alhamdulillah. ESQ mengubah cara saya melihat. Syukur hanya kepada Allah. ESQ meningkatkan lagi rasa cinta dan kasih kepada Allah, rasul, al-quran dan agama. Setiap orang dari kita berpeluang masuk ke syurga. InsyaAllah.

Selain itu, pada tanggal 1 Julai 2009, hari ulangtahun kelahiran saya, tidak putus-putus saya mendapat panggilan telefon dan kiriman sms dari sahabat iLuvislam.com. Alhamdulillah. Sudah lama rasanya tidak diraikan sedemikian rupa. Bahagia rasanya. Rasa disayangi, dikasihi. Subhanallah. Malahan ada yang sanggup post buah tangan jauh dari seberang, sebulan lebih awal. Subhanallah.

Terima kasih atul. Dan Nisa juga, bertungkus lumus, berusaha keras menyiapkan video sempena ulang tahun saya, KLIK SINI. Terima kasih kepada semua, terutamanya adik-adik dan sahabat-sahabat dari forum team. Tak dilupakan Syawal yang bersungguh-sungguh mahu jadi orang terakhir untuk wish pada hari itu. Terima kasih semuanya. Saya benar-benar menghargai.

Setahun bukanlah masa yang singkat, tapi kadang-kadang dirasakan bagai terlalu cepat berlalu. Pejam celik pejam celik. Kita menghampiri penghujung.

Berbuka Puasa Di rumah Keluarga Saya

Selain dari itu, saya juga bertuah kerana rumah saya sering dijadikan tempat berteduh buat para sahabat iLuvislam.com. Almaklumlah, program sering diadakan di sekitar Shah Alam, dan satu kelebihan buat saya kerana saya memiliki kenderaan.

Alhamdulillah, peluang ini dapat saya manfaatkan untuk lebih mendekati dan mengenali sahabat-sahabat krew. Antara yang pernah bermalam di rumah saya, Surinah, Saidah, Aqilah, Najah, Nisa, Asma', Ina, Pika, Suhana, Fizah dan err.. sorry kalau terlupa, ehe.. Alhamdulillah, peluang yang ada di guna sebaik yang mungkin, masak bersama-sama, berkongsi cerita, Subhanallah, terima kasih iLuvislam.com kerana menyatukan kami. Berbeza latar belakang dan usia tidak menjadi penghalang buat kami. Alhamdulillah.

Di Teratak Buruk Hamba

Kenangan yang paling manis selama bergelar krew iLuvislam.com adalah apabila saya berpeluang untuk menyertai Kursus Pengurusan Organisasi yang berlansung selama 4 hari 3 malam, walaupun saya memikul amanah sebagai salah seorang jawatankuasa, tidak bersama sahabat peserta yang lain, namun senyuman yang terlukis di wajah setiap peserta memberi seribu kepuasan kepada saya. Syukur kerana program berjalan lancar, gembira dapat bertemu dengan lebih ramai krew iluvislam.com.

Ada juga yang pertama kali bertemu, menatap wajah bertukar senyuman, namun bila bersama, kemesraan itu tiada tandingnya. Indahnya ukhwahfillah





Paling manis lagi apabila moderator Suhana aka Ya Habibi sanggup terbang dari Sabah semata-mata kerana ingin bersama sahabat krew yang lain. Subhanallah. Saya kagum dengan semangat dan pengorbanannya. Saya kira, jika saya di tempatnya, belum tentu lagi saya mampu berbuat demikian. Kerana kasih dan sayang, saat menghantar beliau di lapangan terbang, airmata laju benar mengalir.

Bukan kerana menyalahkan pertemuan ataupun perpisahan, tapi saya bimbang, bimbang andai pertemuan ini adalah pertemuan yang terakhir. Tidak! Saya harus optimis, moga Allah izinkan, semoga kami dipertemukan lagi. InsyaAllah.

Rehlah Di Bukit Cerakah

Pizza Yang Dibelanja Oleh Lisam, Yummy~!!

Alhamdulillah. Ukhwah kerana Allah, bertemu jangan berasa jemu, berpisah jangan berasa gelisah. InsyaAllah, kalian semua berada dalam doa saya. Atul yang baru sekali bertentang mata. Tidak pernah dilupakan. Suhana juga. dan semua sahabat krew yang lain. Saya sayang kamu semua. Kerana Allah, kerana perjuangan kita di iLuvislam. Kerana misi dan visi kita sama. Syurga yang sama.

iLuvislam.com, bagai suatu misteri yang saya sendiri gagal mencari jawapannya. Misteri kerana saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Misteri kerana sentiasa penuh dengan kejutan. Ada 'sesuatu' di dalamnya. Yang mengikat kami. Yang menyatukan kami. Berakhirlah setahun, esok lusa bagaimana?

'Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah)Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah ikatan-Nya ya Allah.

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjuklah kepada hati-hati ini dengan limpahan iman jua keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan pengetahuan sebenar tentang-Mu.

Jika Engkau mentadirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga dan para sahabat baginda semuanya. Amin."

Sunday, December 20, 2009

19 Disember

ALhamdulillah, Tuhan masih izinkan saya dan kita semua untuk menyambut maal hijrah, menyambut tahun baru, tahun 1431 H, Alhamdulillah, umur kita dan bumi ini masih ada. Syukur kerana kita masih ada kesempatan untuk mengumpul bekalan ke akhirat, syukur kerana kita masih ada kesempatan untuk memohon kemaafan daripada mereka yang pernah kita sakiti dan lukai, syukur kerana kita masih dikurniakan peluang untuk memperbetulkan kesalahan kita pada masa lampau. Alhamdulillah..

Segala pujian hanya bagi Allah, alhamdulillah, semalam (19 Disember) saya telah berpeluang menghadiri satu lagi program anjuran iluvislam, dengan kerjasama Karangkraf dan INSPEN yakni FEWWIT, Fun & Exciting Weekend With iLuvislam Team (FEWWIT) : Mencari Cinta Sempurna.


Di samping agenda utama yakni forum "Mencari Cinta Sempurna", pada hari tersebut juga berlansung pra-perasmian akhbar mingguan iLuvislam.com. Para penonton juga disajikan dengan persembahan bertenaga dan menginsafkan oleh penyanyi nasyid Muadz dan juga acara optional : Ramah Mesra bersama krew iLuvislam.com yang berlansung di surau INSPEN yg dikendalikan sendiri oleh presiden iLuvislam.com.

Selaku salah seorang krew iluvislam, saya dan seorang lagi krew ditugaskan untuk menanti ketibaan peserta di stesen komuter serdang, dari situ, tiga buah bas disediakan untuk menghantar peserta ke tempat program di INSPEN. Bertolak dari rumah yang terletak di Shah Alam kira-kira jam 6.50 pagi, singgah di Jalan Templer dan tiba di INSPEN kira-kira jam 8 pagi. Kami juga tiba di stesen komuter lebih awal dari para peserta, oleh itu kami berkesempatan untuk sarapan pagi di stesen komuter.

Dari INSPEN saya ke Kuala Lumpur, menghadiri kelas terjemahan di Jalan Maharajelela. Ditemani hujan yang agak lebat, berpandukan panduan dari sahabat iluvislam, saya beranikan diri meredah jalan ke sana. Sesat itu lumrah, namun saya bersyukur kerana tiba juga ke kelas walaupun agak lewat. Topik hari itu adalah "Iklan dan teks ucapan" dikendalikan oleh En Syednurakla.

Dari kelas terjemahan di Jalan Maharajalela, saya singgah menjemput Ina di stesen monoreal Jalan Maharajalela. Kami seterusnya menghala ke Shah Alam, dan lebih tepat lagi, Masjid Shah Alam.

Untuk aktiviti seterusnya, saya akan sambung ke entri yang berikutnya, InsyaAllah. Di masjid, kami berpeluang mengikuti solat maghrib berjemaah yang di Imamkan sendiri oleh Prof Yusuf Qardawi. Selepas solat maghrib, beliau turut menyampaikan ceramah sempena maal hijrah. Alhamdulillah. Banyak pengisian penuh makna di dalam ucapannya. Kami meluangkan masa di Masjid Shah Alam sehingga kira-kira jam 10 malam.

Alhamdulillah, malam kian larut, seharian penuh makna menutup tirainya. Sampai sini dulu, hingga bertemu lagi.

Wassalam.



Tuesday, December 15, 2009

Rehlah Muslimat iLuvislam

Alhamdulillah, Tuhan izinkan, tanggal 14 Disember 2009, saya bersama 11 orang sahabat dan seorang adik kecil berkesempatan ber-rehlah di Bukit Cerakah, Alhamdulillah, segala pujian dan syukur hanya milik Allah..

Rancangan bermula cetusan idea Ina yang juga salah seorang krew iLuvislam. Mulanya saya berniat ingin membawa dia bersiar-siar, mengenal Shah Alam memandangkan dia berasal dari Perak, kemudian terfikir untuk mengajak beberapa orang teman lain sehinggalah akhirnya dia mencadangkan saya untuk buka thread baru, mengwar-warkan rancangan ini kepada kelompok yang lebih ramai. Perancangan yang singkat, dalam masa beberapa hari sahaja namun hasilnya sangat memberangsangkan.

Persiapan sehari sebelum program, kami membeli belah bahan-bahan untuk memasak, juga makanan ringan dan kek. Risau sahabat-sahabat lain tak cukup makan, keke.. Dengan izin Allah, mulai Jumaat, kesihatan saya agak tidak memuaskan, Sabtu menjadi kian teruk. Ujian tarbiyah dari Allah.

Dalam keadaan yang 'mamai', saya gagahkan jua diri ini untuk hadiri kelas Terjemahan Bahasa pada petang Sabtu, yang masih bersisa beberapa sessi sebelum ujian akhir. Syukur kerana Ina sudi menemani saya hingga ke Kuala Lumpur, setia menanti saya selama kelas berlansung. Ya, dengan kesihatan yang tidak memuaskan, saya cuma mampu meletakkan jasad saya di dalam kelas itu, mata terpejam rapat, cuma menanti masa untuk menyiapkan tugasan amali, di mana markah caring mark ada di situ. Sebelum kelas berakhir, sempat saya memohon maaf kepada pengajar, maaf kerana tidak dapat menumpukan perhatian kepada topik hari itu yang agak berat, Law dan Undang-undang.

Pagi Ahad tiba, selesai solat subuh, Ina segera masuk dapur untuk memasak. Saya yang tidak berapa sihat hanya mampu memerhati, kacau mihun sekali sekala, Aina juga sekadar tolong tengok.. ehe.. ^_^

Kira-kira jam 7.50 baru bertolak dari rumah, menuju ke UiTM Shah Alam, menjemput Puteri dan Jeda.. dan kami tiba di Bukit Cerakah kira-kira jam 8.30 pagi. Orang sudah ramai, berpusu-pusu. Perasaan ingin masuk ke dalam membuak-buak lalu tanpa berlengah lagi, kami terus membeli tiket masuk. RM 3 per person. Basikal masih banyak, tempat menunggu bas masih kosong, tapi sahabat2 lain masih belum tiba, terpaksa kami menahan niat. Sabar menanti kehadiran teman-teman yang lain.

Ukhwah fillah, kami bertemu kerana perjuangan yang sama melalui iLuvislam.com. Walaupun berbeza latar belakang, bidang pendidikan dan umur, bila bersama-sama, semua itu dilupakan. Seolah-olah tiada jurang wujud antara kami. Subhanallah, betapa indahnya pertemuan dan kebersamaan ini. Berkongsi cerita, berkongsi senyuman, berkongsi kebahagiaan, bukan boleh dibeli dengan wang ringgit, tinggi nilainya dan tak mampu dijual beli.

Kami di sana tidak lama, lebih kurang 5 jam, tapi sungguh banyak pengalaman dikutip. Berjalan kaki berama-ramai menuju ke Rumah 4 Musim, singgah di taman haiwan menghiburkan hati. Membahagiakan, lupa seketika segala masalah, senyuman terukir di setiap bibir. Aqila, atikah, jeda, masyitah, intan, atin, afdhal, ina, aina, puteri, ila dan adik. Seronok. Beri rusa makan, main kejar-kejar dengan burung peacock. Comel belaka ^^


Masuk ke rumah salji, hati kian girang. Biarlah mereka yang sudah jemu dengan putihnya salji, kami tidak. Masing-masing teruja menikmati kesejukan di dalam rumah salji. Bermain salji hingga seketika, ada yang t'erlupa,' hehehe~ kejap je kan.. duk dalam tu pun tak sampai 10 minit.. =p


Usai bersiar-siar, kami naiki bas turun ke tempat asal kami berkumpul. Sekali lagi kami berhalaqah. Jasad sudah diberi makan, emosi sudah diberi makan, tiba masa untuk pengisian rohani pula. Perbincangan kami pada tengah hari itu berkisar kepada Ukhwah Fillah.. Alhamdulillah, masing-masing bersuara, berkongsi ilmu yang ada, bertukar-tukar pandangan, Alhamdulillah, kenyang jugak rohani kita pada hari itu :)

Kepada semua yang sudi hadir, terima kasih banyak-banyak. Doakan ya, semoga diizinkan Allah untuk membuat aktiviti serupa lagi, lebih baik dari hari ini dan disertai lebih ramai lagi.

Sudah lama teringin untuk beraktiviti bersama user.. masih menanti, bilakah masanya akan tiba? Wahai Tuhan, izinkanlah kami bertemu, izinkan hati kami bertaut..

Wahai teman, semoga pertemuan kita tercatit sebagai salah satu kenangan yang terindah. Jangan dilupakan aku, ingat aku dalam setiap bait doamu.. kerana aku sahabatmu, saudaramu yang menyayangimu kerana Allah.

Wassalam.