Petang itu petang yang nyaman. Bumi masih lagi basah disimbah hujan, aku suka bau-bauan selepas hujan. Aku juga suka menghirup udara selepas hujan. Terasa segar. Manakan tidak, hujan yang lebat tadi bukan saja membawa rahmat ke seluruh alam, namun juga membawa pergi segala kotoran yang bertebaran di udara. Aku juga suka, kerana semuanya itu dari Allah.
Buku Biar Bidadari Mencemburui Dirimu karya Salim A. Fillah aku tutup rapat, lalu aku meribanya. Aku menjeling ke arah dia yang sedang duduk di sisi aku. Jauh benar dia mengelamun. Aku senyum. Ah, aku tahu dia. Kalau begitu gayanya, pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya saat itu.
"Hey... Lama betul kau tenung langit tu, bimbang pula aku. Takut-takut nanti langit runtuh gara-gara kau!" Aku cuba berseloroh. Dia tersentak lantas melontarkan jelingan tajam pada aku. Huhu. Tajam betul.
"Okey-okey. I'm sorry. Now, tell me. Apa yang sedang kau fikir ni?" Aku berlagak serius, cuba mengorek rahsia.
"Aku ada soalan. Kau rasa hijrah ni mudah ke?" Setelah diam sejenak, akhirnya dia bersuara.
Aku anggukkan kepala, kemudian menggelengkannya pula.
"Mudah, apabila hidayah Allah datang, dan kita benar-benar bersedia untuknya. Apa saja yang dilakukan kerana Allah taala, biarpun susah akan terasa mudah. Namun... "
Aku diam seketika. Dia menumpukan perhatiannya penuh kepada aku.
"Mujahadah bukan mudah. Kalaulah betul mudah, dah ramai orang buat, sudah tentu ramai yang masuk syurga dan tak ramai yang masuk neraka kelak.."
Dia menganggukkan kepalanya tanda setuju.
"Kau betul, hijrah daripada keadaan yang tidak baik, kepada keadaan yang lebih baik, hijrah daripada sikap jahiliah kepada sikap seorang muslim sejati itu bukan mudah... Perlukan kekuatan dan sokongan dari orang sekeliling juga.. Tapi, kau tahu tak, apa yang lebih susah daripada itu?" Tambah satu lagi soalan dari bibirnya mengetuk kotak fikiranku.
Aku membisu. Soalannya itu bukannya memerlukan jawapan daripada aku, aku tahu. Lalu aku kembali bertanya.
"Apa yang lebih susah daripada hijrah?"