+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, March 17, 2012

Hidup Biarlah Bermatlamat

"Aku hidup untuk makan" dengan "Aku makan untuk hidup" sangat besar bezanya. Bunyinya hampir sama tapi ternyata maksudnya berbeza kerana matlamat antara keduanya itu jauh berbeza.

Dalam tiap apa yang kita lakukan, perlu ada matlamat. Bayangkan dua pasukan bola sepak berentap di atas padang, tapi tiang golnya tiada. Bagaimana agaknya permainan mereka? Berlari ke sana sini tanpa haluan akhirnya terduduk lelah. Bayangkan juruterbang menerbangkan kapal terbang tapi tidak tahu ke mana arah hendak di tuju. Berkelana di awang-awangan hingga akhirnya bahan bakar habis lalu ia akan jatuh terhempas.

Begitu jugalah kita manusia yang hidup di dunia ini, perlu ada matlamat hidup. Ada misi dan visi. Ada tujuan dan keinginan. Ada haluan dan panduan. Ada destinasi yang ingin di tuju. Ada keinginan yang ingin dicapai.

Sebagaimana firman Allah swt, Dia menciptakan kita sebagai hamba untuk beribadah kepadaNya. FirmanNya juga, manusia adalah khalifah di muka bumi.

Bandingkan kita dengan gajah, siapa yang lebih kuat? Tapi kenapa kita yang terpilih. Bandingkan kita dengan kuda, siapa yang lebih pantas, tapi kenapa kita yang terpilih? Bandingkan kita dengan katak, di darat hidup, di air tak lemas, tapi kenapa kita yang terpilih? Bandingkan kita dengan malaikat, siapa yang lebih taat, tapi kenapa kita yang terpilih sebagai khalifah? Jawabnya, kerana Allah lebih mengetahuì segalanya.

Bagaimana pula menjadi khalifah tapi pada masa yang sama juga hamba?

Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui. Maka Dia tidak membiarkan kita termanggu, kebingungan. Dia mengirimkan rasul untuk memimpin dan memberikan contoh yang terbaik. Dia juga menurunkan al-quran, lengkap sebagai panduan hidup agar tidak sesat.

Sebagai seorang muslim, kita perlu percaya dan yakin akan adanya hari akhirat, adanya syurga dan neraka. Dalam membina matlamat, jangan sekali-kali lupa matlamat kita yang paling utama yakni syurga.

Tidak salah andai kita punyai matlamat yang variasi, tapi ingat, apakah matlamat kita 'yang lain-lain' itu akan membawa kita kepada matlamat yang paling utama?

Janganlah kita jadi seorang yang hebat, berjaya - tapi sekadar untuk duniawi. Selepas mati, kita pun tidak tahu bagaimana nasib kita kerana matlamat kita yang utama kabur.

Islam bukan agama yang menyekat ummatnya mencapai kejayaan di dunia, tapi lebih dari itu, Islam menganjurkan umatnya agar berjaya di dunia dan di akhirat. Matlamat kita tidak terhenti setakat mati, tapi dilanjutkan hingga ke alam barzakh, alam akhirat yang kekal abadi.

Oleh itu, sebagai makhluk Allah yang istimewa, buatlah pilihan dengan bijak. Pilih dan doronglah matlamat kita dengan sebaik-baiknya.

"Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan di akhirat."

No comments: