+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, August 31, 2010

Allah Tidak Memberati....


.... Melainkan Kita Mampu


Semalam saya sempat berbalas SMS dengan seorang sahabat. Usia perkenalan kami masih baru, namun celotehnya sering menghiburkan saya. Mungkin kerana sikapnya yang menghormati saya selayaknya seorang kakak, membuatkan saya berasa senang dengannya.

Selayaknya seorang adik, dia sering meluahkan rasa sedih dan kecewanya, kononnya hidup dia sering dilanda musibah, sering diuji dengan pelbagai cubaan, dan impiannya juga di awang-awangan belum menjadi realiti. Selalu juga dia mengadu, mahu berputus asa dan ingin saja sekadar diam berpeluk tubuh.

Jenuh juga saya memujuk, memberi kata-kata semangat. Dalam dunia ini, bukan dia seorang sahaja yang susah, banyak lagi orang lain yang jauh lebih susah darinya. Dan dia juga seharusnya bersyukur, kerana sebenarnya dia memiliki sesuatu yang banyak orang tidak memilikinya. Antaranya, dekat dengan keluarga yang penuh dengan kasih sayang, juga anugerah akal yang bukan calang-calang orang mampu.

Dia sebenarnya beruntung, dan bertuah. Tidak seharusnya dia menyesali hidupnya kini.


Berkali-kali dia meluahkan rasa hatinya, dan berkali-kali juga saya memujuk. Ada masanya dia pasrah namun bila sekali lagi diuji, dia tewas lagi hingga akhirnya saya mengaku, kenyataanya, hidup saya jauh lebih sedih dan susah jika hendak dibandingkan dengannya.

Dia hairan, kemudian bertanya, "Orang happy macam akak pun sedih ke?"

Saya yang dia kenal, sentiasa senyum dan periang. Peramah dan suka berceloteh. Tentu sekali sukar untuk dia percaya. Saya tidak salahkan dia yang tidak mengerti.

Perbualan antara kami masih panjang. Namun izinkan saya untuk kisahkan cerita antara saya dan dia hingga sampai di situ saja.

Sebagaimana saya pernah menulis dalam entri sebelum ini.. "Jangan Pilih Airmata"

Sebenarnya hidup saya bukanlah seindah mana. Sejak kecil, meniti remaja hingga ini, ujian dan dugaan tidak pernah berhenti menguji dan menduga diri ini. Jika mahu diikutkan kehendak hati, sejujurnya saya mampu menangis setiap hari. Biarkan pipi ini sentiasa basah dengan airmata sepanjang masa, andai itu yang saya pilih.

Namun saya bersyukur kerana saya dilahirkan dan dibesarkan dalam Islam. Saya bersyukur kerana saya percaya dan yakin kepada 6 rukun Iman. Saya bersyukur kerana saya yakin bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, setiap masa dan waktu malaikat rakib dan atib sentiasa mencatit amalan saya, saya percaya dan yakin dengan Al-Quran yang di turunkan oleh-Nya, saya percaya dan yakin bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, saya juga percaya adanya hari kiamat serta saya juga yakin dan percaya, setiap apa yang berlaku, tidak kira baik atau buruk, manis atau pahit, semuanya adalah mengikut ketetapan Qada' dan Qadar Ilahi.

Alhamdulillah. Kerana keyakinan dan kepercayaan itulah, setiap hari saya mampu memilih untuk tersenyum, bukan menangis.

Saya berharap dan berdoa, agar kita semua, sahabat yang membaca entri ini mahupun tidak, supaya dapat memilih senyuman. Jangan biarkan kesedihan, kedukaan, merosakkan dan memusnahkan kudrat dan semangat juang kita.

Jangan biarkan kekecewaan dan kesakitan menjadi penyebab kepada kita untuk tidak berjaya.

Kita makhluk ciptaan Allah yang diberi kebebasan untuk memilih. Bukan seperti pepohon. Bukan seperti haiwan. Mereka hidup dengan ketentuan yang telah ditetapkan buat mereka. Makan, minum, mengawan, mati. Sama sepanjang masa. Tidak seperti kita, yang diberi akal, yang membolehkan kita memilih, mana yang terbaik buat kita.

Oleh itu, pilihlah dengan sebaik yang mungkin dan buatlah keputusan yang terbaik.

Percayalah dengan janji-janji Allah.

Allah telah berfirman dalam Surah Al-Mukminun, ayat 62;

"Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya; dan di sisi Kami ada sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya."


Firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286;

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."


Mengapa masih ragu?

Mengapa masih goyah?

Mengapa masih bersedih?


Berdoalah..

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Kerana kita mampu. InsyaAllah. Percaya dan yakinlah.

Love 1

Asalnya kedua-dua pohon Love 1 dan Love 2 adalah daripada pohon induk yang sama. Memandangkan pohon tersebut membiak melalui batang pucuk, saya telah memotong sebahagian batangnya. Kemudian, saya potong kepada dua bahagian, batang yang telah dipotong tersebut.

Bahagian pucuk dimasukkan ke dalam pasu Love 1 dan bahagian lebih bawah saya masukkan ke dalam bekas Love 2.


Hari ke hari. Pohon Love 1 membesar begitu pesat. Pucuk baru tumbuh lagi dan lagi. Menghijau dan rimbun. Manakala pohon Love 2 pula kekal sama, asalnya hanya ada tiga helai daun, dan begitulah juga walaupun bulan berganti bulan.

Daunnya tetap juga tiga helai dan tiada pucuk baru yang keluar.

Saya mula pasrah. Dalam hati berbisik. Tidak lama lagi pohon Love 2 akan mati, kerana tiada pucuk baru yang boleh meneruskan hayatnya. Salah saya kerana telah memotong dan mengasingkan pucuk tempat seharusnya dia membiak. Oh..

Namun akhirnya..

Suatu hari, saya seakan terlihat keajaiban pada pohon Love 2. Walaupun pucuk asalnya sudah dipotong, dan seolahnya dia tiada peluang untuk memucuk lagi, tapi dengan izin Allah jua adanya, akhirnya pohon Love 2 mengeluarkan pucuk baru. Subhanallah. Kini ia bukan lagi 3 helai, tapi sudah menjadi 4 helai dan bakal keluar satu lagi pucuk baru tidak lama lagi. Maha Besar Allah.

Love 2

Betapa tinggi semangat juangnya untuk meneruskan kelansungan hayatnya, kita pula bagaimana?








Monday, August 30, 2010

Insan Pertama dan Kedua yang Menyintaiku

Jujurnya, saya tidak pernah ingat tarikh ulang tahun kelahiran ayah. Apa yang membuatkan saya lebih bersikap tidak peduli adalah kerana ayah sendiri pernah beritahu, kad pengenalannya di buat secara 'pukal' bersama penduduk kampung yang lain, di mana saya percaya, tarikh kelahiran ayah pada kad pengenalannya juga mungkin sekadar rekaan semata-mata. Silap saya, tidak selidik lebih terperinci. Saya kesali, namun semuanya sudah terlambat, kerana ayah sudah tiada. Pada siapa lagi saya boleh bertanya, kalau bukan dia?

Abaikan seketika tarikh ulangtahun kelahiran ayah. Bagi saya, itu sudah tiada maknanya lagi.

Entah, saya ini anak yang bagaimana. Ulangtahun kelahiran ayah tidak pernah saya hafal, namun tarikh pemergian ayah, tidak mungkin akan pernah saya lupakan.

4 September 2006, tarikh keramat, hari bersejarah, ayah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Pergi yang tidak mungkin akan kembali. Hari itu, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan memejamkan matanya rapat, kembali ke pangkuan Sang Pencipta. Dari-Nya ayah datang, kepada-Nya jualah, ayah telah kembali. Meninggalkan dunia ini, isterinya, dan anak-anaknya. Pergi meninggalkan saya.

Ketika hidupnya sihat tidak sakit, ayah yang kami kenali adalah seorang yang bengis, garang dan pemarah. Namun anehnya, dia tidak pernah mengasari saya. Tidak pernah pukul saya, tangankan saya, cubit pun tidak, tengking juga tidak. Paling teruk, bila ada kelakuan saya yang dia tidak senangi, dia meninggikan sedikit suaranya, atau memasamkan mukanya dan diam, maka tahulah saya waktu itu, ayah marah. Jika tidak menangis, saya akan pujuk ayah. Tidak sanggup saya biarkan ayah terus berjauh hati.

Ramai orang kata, saya anak kesayangan ayah. Ayah mudah lembut hati bila berhadapan dengan saya. Saya orang yang paling dipercayainya, hinggakan saya pernah dilantik menjadi 'bankers' bila tiba musim mengutip hasil tuaian padi. Tolong simpankan duit hasil padi bagi pihak emak dan ayah.

Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi emak dan ayah. Ketika zaman kecil saya, sering juga mereka bertengkar. Selalu juga saya jadi pendamai. Dan kadang-kala saya menjadi orang tengah, tolong sampaikan pesan emak kepada ayah bila mereka tidak bertegur.

Ayah pergi buat selamanya, setelah beberapa minggu saya tamatkan pengajian di universiti. Belum pun sempat saya menyumbang atau berbakti kepada ayah, dia pergi tidak kembali.

Seingat saya, ketika ayah masih hidup, saya tidak pernah beri ayah apa-apa. Duit tidak, baju pun tidak. Hadiah juga tidak. Namun saya sendiri tidak tahu mengapa, ayah sangat sayangkan saya. Sedang kakak sulung saya selalu dimarahi, adik lelaki saya selalu disebat, saya di tengah-tengaj dimanja dan ditatang bagai minyak yang penuh. Saya sendiri tidak tahu apa yang ada pada saya waktu itu, yang telah berjaya mengikat hati ayah. Bukan saya tidak pernah melukai hati ayah, bukan saya tidak pernah memberontak, namun ayah tetap jua sayangkan saya.

Tangan ayah yang membelai kepala saya masih terasa kehangatannya.

Saya tidak tahu. Apakah ayah beruntung atau apakah ayah menyesal kerana menyayangi saya sepenuh hatinya, mempunyai saya sebagai salah seorang daripada anaknya?

Saya tahu, matinya ayah, bermakna terpisah semuanya yang ayah miliki, kecuali sedekahnya ketika hidup, ilmunya yang bermanfaat, dan juga anak-anaknya yang masih hidup di muka bumi ini. Yakni saya.

Apakah saya merupakan saham kebaikan buatnya? Atau apakah saya menjadi saham yang mendatangkan mudarat kepadanya di sana?

Saya bimbang, andai saya di dunia ini hanya mampu menambah derita ayah di sana. Saya bimbang, saya hanya menjadi penyebab kepada ayah untuk ke neraka. Naauzubillahiminzalik.

Jika saya anaknya yang paling disayanginya, mengecewakan dia, apalah agaknya nasib ayah di sana?

Saya mahu memimpin tangan ayah, dan emak, ke syurga. Saya mahu kami sekeluarga, kembali bersatu di syurga nan indah, apakah saya mampu?

Saya perlu menjadi anak yang solehah. Wajib perbaiki diri, bersihkan diri dari segala dosa, perbaiki amalan agar doa-doa saya dimakbulkan, agar ibadah saya diterima, agar saya diizinkan ke syurga, bersama seluruh keluarga dan sahabat saya. Saya ingin menjadi hamba yang solehah. Tapi apakah saya mampu melakukannya?

Apa yang membezakan hidup dengan mati? Apa yang menjadi batas antara syurga dan neraka. Saya bagaimana?

Saya takut, dalam keghairahan mengejar duniawi, saya lupa akhirat. Saya takut, dalam memenangi hati manusia, saya mendatangkan kemurkaan Sang Pencipta. Saya takut. Saya tidak tergolong dalam golongan yang disayangi ALLAH. Saya takut doa saya tidak termakbul, saya takut tidak dapat bersama dengan mereka yang menyayangi saya lagi.
Saya takut, saya tidak dapat bertemu ayah lagi.

Allah, ampunkan dosa-dosa kami, kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku masih kecil.

Merekalah insan pertama dan kedua, yang menyintai aku sepenuh hati, dan seharusnya, cinta dan kasihku ini juga selayaknya milik mereka.





Friday, August 27, 2010

Himpunan Doa Para Nabi dan Insan Terpilih

Bismillahirrahmanirrahim...

Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta lagi Maha Agong..


Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". [Surah Al-Kahfi : Ayat 109]


Kali ini suka saya kongsikan sedikit doa para nabi dan insan terpilih, yang terkandung di dalam al-Quran. Moga dapat sama-sama dijadikan panduan. InsyaAllah.. Walaubagaimanapun, suka saya ingatkan sahabat sekalian agar merujuk kepada Al-Quran untuk bacaan doa yang lebih tepat ya... :)

Saya sekadar berkongsi, moga sama-sama peroleh manfaat, insyaAllah.

Thursday, August 26, 2010

Itulah Gunanya Kawan

Saya fikir, saya cuma sekadar "gagal memujuk diri sendiri". Seperti biasa, suka saya ingatkan diri saya sendiri, bahawasanya kita adalah teman baik kepada diri kita sendiri. Kita yang paling mengerti dan memahami kehendak hati kita. Dan seandainya bukan kita yang mampu memujuk diri kita, maka siapa lagi yang mampu?

Pada saya, jatuh atau bangun, susah atau senang, semuanya bergantung kepada diri saya sendiri, selain Allah swt.

Namun kali ini terbukti saya silap.

Dalam saya tertanya-tanya dan tercari-cari. Persoalan demi persoalan menerjah kotak fikiran namun tiada satu pun yang mampu saya jawab. Akhirnya saya tersedar dari lena yang panjang. Owh. Rupa-rupanya saya tidak selalunya betul.

Terima kasih sahabat kerana mengingatkan diri ini yang lupa. Terima kasih kerana menerangi diri ini yang dalam kegelapan. Terima kasih kerana memimpin tangan ini yang kian longlai. Terima kasih kerana sentiasa ada untukku tidak kira susah atau senang.

Saya fikir, saya cuma "gagal memujuk diri sendiri" akibat kepenatan kerana telah terlalu lama memujuk diri sendiri selama ini. Namun anehnya, saya tetap gagal memujuk diri sendiri, gagal membisikkan kata-kata positif demi menaikkan semangat diri, akhirnya saya kemurungan berhari-hari. Tiada semangat untuk meneruskan aktiviti seharian, tidak banyak bercakap dan lebih banyak termenung, pesimis dan sering bersangka buruk.

Sungguh. Jika diberi pilihan, saya tidak akan memilih sikap yang sebegitu. Lalu saya tertanya-tanya dan tercari-cari, bagaimana lagi saya boleh memujuk diri? Saya buntu, kematian akal.

Akhirnya, suatu pagi yang indah, saya mendapat pesanan SMS dari beberapa orang teman. Dan salah seorang diantaranya berjaya menyedarkan saya, membuka mata saya. Sebuah pesanan ditujukan kepada seseorang yang sedang berputus asa. PUTUS ASA. Bagai terjaga dari lena, saya akhirnya sedar, rupa-rupanya saya selama ini bukan sahaja gagal memujuk diri, namun hakikatnya, saya sudah terjerumus dalam lembah keputus asaan. Astagfirullahalazim. Saya khilaf.

Saya lupa betapa besarnya rahmat Allah. Betapa Allah Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Yang Maha Pengampun lagi Maha Pemakbul doa. Saya khilaf! Astagfirullahalazim. Sungguh hina diri ini kerana tergamak berputus asa. Ampunkan dosa-dosaku Tuhan. Akan ku buang jauh perasaan putus asa itu kerana sesungguhnya, aku percaya dan yakin pada kekuasaan-Mu. Aku percaya dan yakin pada janji-janji-Mu. Aku percaya dan yakin pada syurga dan neraka-Mu. Ampunkan dosa-dosaku Tuhan.

Terima kasih sahabat kerana sudi mengingati dan mengingatkan diri ini. Tanpa kalian mungkin diri ini kian alpa dan lupa. Hanyut dan sesat. Sesungguhnya saya bukanlah manusia sempurna dan punyai banyak kekurangan. Tunjukilah jalan andai saya tersesat. Perbetulkanlah andai saya tersilap. Berilah peringatan andai saya lupa. Bimbinglah saya andai saya khilaf.

Sahabat yang sejati adalah sahabat yang sentiasa berkata-kata benar, biarpun sepahit mana kebenaran itu.

Terima kasih sahabat.

Wallahua'alam.




Tuesday, August 24, 2010

Aku Tidak Tahu

Kian lama
Langkah kaki ini
Semakin pincang.

Tarianku juga
Semakin sumbang.

Serba tak kena
Semuanya tak betul

Ya Allah..
Masihkah kuat
Untuk aku terus melangkah?
Masihkah mampu
Untuk aku terus bertahan?

Soalannya..
Sampai bila?

Jawapannya..
Aku pun tidak tahu..

Apa yang aku cari
Apa yang aku mahu
Apa yang aku tunggu
Aku pun tidak tahu

Namun..
Di sudut hatiku
Sedang terluka
Menahan derita
Sengsara
Merana

Oh..
Barangkali
Tuhan sengaja menduga aku
Dan mungkin
Inilah
Anugerah cinta dari-Nya
Buatku
Ataukah juga mungkin
Inilah
Hukuman buatku

Agar kesakitan ini
Menjadi penawar
Penyuci segala dosa

Atau kenapa?
Aku pun tidak tahu

Sungguh
Aku tidak tahu apa-apa
Namun kesakitan ini
Terus mendera aku
Rasanya pedih
Menghiris
Aku derita
Aku sengsara

Oh Tuhan
Aku tahu Kau tahu
Hapuskanlah
Airmataku ini
Kerana Kau Maha Mengetahui