+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, October 8, 2010

Jiwa yang Sakit

Sedar atau tidak, rupanya sudah hampir 5 bulan saya berkhidmat dan mencari rezeki di sini. Beralih bidang pekerjaan secara total bukanlah perkara yang mudah, namun tiada apa yang mustahil selagi ada keinginan, dengan izin Allah tentunya.

Jika dulu kerja saya banyak mengadap komputer. Sekali sekala perlu turun ke 'site' meninjau keadaan kilang dan memastikan semuanya seperti yang diharapkan. Kini keadaan sudah berubah. Di tempat baru ini, saya tetap punyai meja sendiri, kerusi, komputer dan lain-lain kelengkapan yang hampir serupa dengan tempat lama, namun persekitarannya, orang-orang sekeliling, bidang kerja dan peranan saya jauh berbeza. Berputar 180 darjah.

Tidak mungkin saya lupakan tempat kerja lama kerana ketika berada di situ saya telah pelajari banyak perkara. Pengalaman dan ilmu yang tidak mampu saya beli dengan wang. Namun tidak juga saya lupakan, betapa ketika di saat-saat akhir saya berada di sana, hampir setiap hari bibir saya ini merungut, tidak lagi sanggup terus berkerja di situ. Hari ke hari, jiwa semakin kosong, tiada semangat dan keinginan untuk ke tempat kerja. Keyakinan diri merosot begitu teruk. Allahu..

2010 benar-benar menguji kekuatan diri ini.

Bagi mereka yang mengenali diri ini. Mungkin mereka lebih mengerti. Saya bagai mencipta gua dan hanya saya sendirian di dalamnya. Perlahan-lahan saya kian menjauh. Mengasingkan diri dan mengelakkan berhubung dengan sesiapa. YM tidak dionline. SMS para sahabat tidak terbalas. Perjumpaan dan aktiviti bersama dielakkan. Tanggungjawab saya di forum juga kerap terabai. Sesungguhnya saya nyaris lemas dalam gelora yang melanda.

Bukan itu sahaja, dalam kebanyakan masa, saya menjadi 'rimas' dengan kebanyakan orang. Otak saya kian berserabut dan kacau bila mendengar butir bicara, buah pandangan orang. Saya lebih gemar memprotes. Cara pemikiran saya lebih bercorak negatif. Segalanya buruk pada pandangan mata saya. Makin dipujuk, diberi nasihat, makin membuatkan saya tertekan dan memberontak. Allahu, ini bukan mudah untuk saya lalui, tapi malangnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menanganinya.

Sudahnya, tiada cara lain yang boleh saya ambil. Terpaksalah saya menjauhkan diri dan mengelak sebelum saya menyakiti lebih banyak orang. Sungguh, saya tidak tahu berpura-pura. Dan menjadi saya seperti ini benar-benar menakutkan.

Takut saya bukan sedikit. Saya seolah-olah bukan lagi saya. Merenung ke dalam diri bagai ada makhluk asing di dalam jiwa dan minda saya. Terlalu mudah makhluk asing itu berprasangka. Berfikiran negatif dan berburuk sangka. Bagai ada suatu bebanan di dalam kepala yang menghalang segala saraf daripada bersambungan dan berfungsi dengan baik. Menjadikan saya manusia yang jahat dan antagonis. Saya jahat!

Mungkin, ini salah satu petanda penghidap penyakit mental. Allahu....

Kau pernah berfirman bahawa tidak masuk syurga seseorang itu selagi dia tidak diuji. Apakah aku juga insan terpilih, yang kini sedang diuji oleh-Mu? Agar di negeri abadi kelak aku bisa memasuki syurgamu yang indah? Sungguh aku takut Ya Allah... Bagaimana kiranya aku gagal dalam ujian ini? Ke manakah agaknya aku akan ditempatkan? Apakah syurga atau neraka?

Ya Allah. Aku benci segala sifat mazmumah yang ada dalam diriku ini. Sungguh aku tidak sanggup memikul dan membawanya ke mana saja pergiku. Jangan sampai aku membenci aku Ya Tuhan...

Hanya kerana aku masih punya Kamu maka aku masih lagi menulis di sini... Hanya kerana aku ada Kamu, aku masih lagi mampu berfikir dengan waras. Hanya kerana aku percaya bahawa Engkau sentiasa ada bersama mereka yang sabar dan beriman, aku akan terus bertahan. Sampai kelak ajalku sampai.



Thursday, October 7, 2010

Seimbangkah Kita?

Bayangkan kita sedang berjalan merentasi jambatan Pulau Pinang, atau mana-mana jambatan yang lebarnya beberapa meter. Tentunya kita dapat merentasinya dengan mudah tanpa perlu bimbang terjatuh ke bawah. Dan cuba bayangkan pula, kita sedang merentasi sebuah sungai dengan meniti di atas sebatang kayu yang diletakkan diantara dua tebing.

Saya percaya, tidak semua orang mampu melakukannya dengan mudah. Mungkin banyak orang akan jatuh ke dalam sungai kerana gagal mengimbangi badan atau tersilap langkah atau mungkin tergelincir. Tersilap langkah biarpun sedikit, tentunya memberi impak yang sangat besar!


Dan kini cuba bayangkan pula bagaimana Titian Siratulmustakim. Halusnya lebih halus daripada rambut. Di 'tebing seberang' syurga menanti dan dibawahnya api neraka yang panas menyala menunggu masa mahu menyambar manusia berdosa yang terjatuh ke dalamnya.

Ada orang merangkak-rangkak, ada juga yang mengengsot tidak kurang banyak juga yang terjatuh ke bawah. Ada yang berlari-lari di atas titian tersebut dan ada juga yang terbang seperti kilat, sesuai dengan amalan mereka ketika hidup di bumi yang fana. Siapa yang banyak melakukan kebaikan dipermudahkan perjalanannya menitian titian sirat, dan berbeza dengan mereka yang banyak melakukan kejahatan. Api yang menyambar menantinya di neraka. Naauzubillahiminzalik.

Syurga atau neraka. Di antaranya ada garisan yang membataskan. Banyak orang cenderung memilih kemaksiatan, lalu menjuruskan diri mereka ke neraka. Dan ada juga yang banyak melakukan kebaikan, namun dengan sekelip mata telah melanggar batasan antara syurga dan neraka. Mereka gagal membezakan dosa dan pahala, akhirnya mereka telah menganiaya diri mereka sendiri dengan melakukan kemaksiatan.

Dan sesungguhnya hanya neraka sebaik-baik tempat bagi mereka yang mengingkari perintah Tuhan.

Dunia dan akhirat. Syurga dan neraka. Dosa dan pahala. Kejahatan dan kebaikan. Semoga kita sentiasa jelas, tidak lupa diri dan tidak lupa akan garisan yang membentengi antara keduanya agar kita sentiasa berpijak pada bumi yang nyata, gentar untuk melakukan dosa dan gembira bila dapat berbuat kebaikan.

Ada orang terlalu sibuk mengejar dunia sehingga terlupa untuk mengumpul bekalan untuk dibawa ke negeri abadi. Dan ada juga sesetengah orang yang terlalu sibuk mengejar akhirat sehingga terlupa pada bumi yang sedang dipijaknya. Mereka adalah orang-orang yang tidak tahu menyeimbangkan antara keduanya dan ini adalah bercanggah dengan tuntutan syariat Islam.

Ada orang bahagia di dunia. Dikurniakan harta yang banyak, anak-anak yang bijak dan comel, isteri yang cantik, kereta besar, rumah besar dan segalanya mewah. Namun sayangnya bila di akhirat, mereka dimasukkan ke neraka sebagaimana firman Allah dalam Surah Al -Qasas..

"Maka apakah sama orang yang Kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik(syurga) lalu dia memperolehnya, dengan orang yang kami berikan kepadanya kesenangan hidup duniawi, kemudian pada hari kiamat dia termasuk orang2 yang diseret (ke dalam neraka)??" Surah Al-Qasas: Ayat 61.


Mereka adalah golongan yang rugi. Naauzubillahiminzalik. Semoga kita dilindungi dan tidak tergolong dalam golongan yang diseret ke neraka itu. Seharusnya kita berbuat amal kebajiikan dan kebaikan, berusaha untuk mengejar akhirat namun pada masa yang sama, tidak pula melupakan dunia sebagaimana firman Allah dalam ayat berikut;

"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dengan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." [Al-Qasas : Ayat 76]

Kebahagiaan dan kesenangan di dunia, kadang kala menjadi barah yang memakan diri, mengundang kecelakaan buat diri kita sendiri di akhirat kelak. Ini kerana lumrah manusia mudah lupa diri bila dilimpahi dengan kesenangan. Oleh itu, tidak kira dalam apa jua yang kita lakukan, haruslah kita sentiasa ingat kepada Allah, selalu ingat mati, ingat dosa dan pahala, juga ingat syurga dan neraka. Jangan biarkan kealpaan dan kelalaian kita membinasakan diri kita di negeri akhirat kelak.

Dan Allah swt juga telah berfirman;

"Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang. Dan Dia yang maha mendengar lagi maha mengetahui."
[Al-Ankabut: Ayat 5]

"Barangsiapa datang dgn membawa kebaikan, maka dia akan mendapat pahala yang LEBIH BAIK drp kebaikannya itu; dan barangsiapa yg membawa kejahatan, maka orang2 yg telah mengerjakan kejahatan itu HANYA diberi balasan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan. "
[Al-Qasas : 84]


Akal yang waras tentunya tahu memilih syurga. Namun nafsu yang jahat, serta godaan dan hasutan syaitan sering membuat kita cenderung untuk melakukan kemaksiatan dan meninggalkan kebaikan. Andai iman senipis kulit bawang, akhirnya dengan begitu mudah benteng yang membataskan antara syurga dan neraka hancur dan musnah.. Begitu mudah keseimbangan antara dunia dan akhirat juga terkhianati.

Andai iman dan akal gagal berfungsi dengan baik. Batasan dan garisan yang membezakan antara dosa dan pahala seolah-olah tidak kelihatan.

‎"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku." Surah Al-Qasas : Ayat 16

Mari renungkan. Sama-sama kita muhasabah diri. Saling mengingatkan antara satu sama lain kerana lumrah manusia mudah alpa dan leka. Semoga kita dapat mengimbangkan dunia dan akhirat dengan sebaik yang mungkin sebagaimana firman Allah swt..

"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dengan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." [Al-Qasas : Ayat 76]

Kita idamkan syurga, dan semoga syurga menjadi milik kita. Berdoalah sebagaimana Musa a.s berdoa dan memohon petunjuk daripada Tuhan,

"Mudah-mudahan Tuhanku memimpin aku ke jalan yang benar."
[Surah Al-Qasas : Ayat 22]

Amin ya rabb..

Tuesday, October 5, 2010

Doa-doa Nabi Musa [Al-Qasas]

Sesungguhnya Al-Quran adalah seindah-indah anugerah dari-Nya... Firman Allah SWT:


"Dan sungguh, (Al-Quran) itu benar-benar menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman."

Surah An-Naml : Ayat 77



Kali ini suka saya kongsikan beberapa doa, yang di ambil dari Surah Al-Qasas.. Moga-moga kita sama-sama peroleh manfaat darinya, InsyaAllah..

Bismillahirrahmanirrahim....

‎"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku."

Surah Al-Qasas : Ayat 16


‎"Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari orang-orang yang zalim."

Surah Al-Qasas : Ayat 21


"Mudah-mudahan Tuhanku memimpin aku ke jalan yang benar."

Surah Al-Qasas : Ayat 22


"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan (rezeki) yang Engkau turunkan kepadaku."

Surah Al-Qasas : Ayat 24


Banyak-banyakkan berdoa dan memohon daripada-Nya. Sesungguhnya hanya pada Dia kita berserah diri dan hanya kepada-Nya jualah seharusnya, kita memohon pertolongan dengan penuh keyakinan.

Bukankah Dia yg memperkenankan doa org yg dlm kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan menghilangkan kesusahan, dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (pempimpin) di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan yang lain? Sedikit sekali nikmat Allah yang kamu ingat.

[An-Naml:62]

Monday, October 4, 2010

Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri

Versi asal.

Hari itu saya meninjau kedai-kedai buku di PKNS. Demi menunaikan amanah seorang sahabat, sebaik sahaja pulang dari kerja, saya lansung ke situ tanpa terus pulang ke rumah. Kononnya mahu menjimatkan duit tol dan duit minyak.

Penantian suatu penyeksaan. Demi meminimakan rasa penyeksaan itu, saya membuat keputusan untuk membeli beberapa buah buku. Buku demi buku dibelek, akhirnya dua buah buku berjaya menarik perhatian saya, yakni buku karya nukilan Amru Khalid, judulnya Suara Hati. Buku yang kedua yang saya beli adalah "Ya Allah, aku tak ingin sendiri."


Memandangkan buku kedua itu agak nipis, maka saya membuat keputusan untuk membaca buku buku itu sementara menanti ketibaan adik sahabat saya yang bertolak dari Uitm Puncak Alam dengan menaiki bas rapid kL. Memandangkan saya seorang diri waktu, maka saya telah memilih surau sebagai tempat untuk bernaung buat seketika waktu.



Versi B.M, di ambil dari Sini



"Motivasi bagi mereka yang masih sendiri"


Antara isu yang dikupas dalam buku tersebut adalah;

1. Pendapat ulama tentang cara menghadapi hidup sendiri yang pastinya
membantu anda memotivasikan diri.

2. Tips bagaimana cara terbaik dalam menghadapi dilema membujang.

3. Petikan kisah kehidupan untuk dikongsi bersama bagi mereka yang bujang.

Alhamdulillah, sedikit sebanyak hati saya terubat dan termotivasi dengan pengisian yang dicoretkan di dalam buku itu. Tidak rugi saya membeli buku tersebut walaupun mengambil masa yang singkat untuk memilihnya.

Pesanan saya kepada mereka yang masih belum berumah tangga, teruskan berusaha dan berdoa.. Ingat firman Allah swt dalam surah An-Naml ayat yang ke-62;

"Bukankah Dia yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan menghilangkan kesusahan, dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (pempimpin) di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan yang lain? Sedikit sekali nikmat Allah yang kamu ingat. "


Dan juga selalulah amalkan doa ini; di petik daripada Surah An-Anbiya', ayat 89;

Bismillahirrahmanirrahim..

"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”.


Dan kepada mereka yang sudah berumahtangga dan tidak lagi hidup sendirian, cubalah untuk mengerti dan memahami. Anda mungkin tidak mengerti sepenuhnya kerana anda tidak berada di dalam kasut mereka yang belum bernikah, tapi ingatlah jangan lupa, sebelum bergelar isteri atau suami, anda juga dulunya tidak punyai sesiapa. Amda juga pernah hidup sendiri.

Mungkin rencah dan ragamnya tidak sama, tapi setidaknya, cubalah untuk mengerti. Jangan berikan tekanan dan desakan kepada mereka yang berkenaan. Kerana lumrah manusia normal semuanya ingin berpasangan dan bukanlah pinta mereka untuk tidak bernikah. Cuma mungkin, Tuhan masih ingin mahu menguji dan menduga mereka, melambatkan pernikahan mereka.

Dan kepada yang berkenaan juga, terutamanya wali contohnya ayah dan abang. Silalah mainkan peranan anda sebaik yang mungkin. Bantu anak-anak anda, carilah jodoh yang baik untuk mereka. Jangan biarkan mereka hidup sendiri. Sesama sahabat dan masyarakat juga tidak harus bersikap lepas tangan, hulurkanlah tangan, ringankan beban. Ikhtiarkan dan usahakan agar mereka segera mendirikan rumah tangga. Besar ganjarannya membantu insan lain membina masjid dan moga-moga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran.

Demikianlah sedikit sebanyak komentar saya terhadap buku tersebut, jika mahu tahu lebih lanjut, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan buku itu di pasaran.

Wassalam.



P/S: Selesai membaca buku itu, saya telah pos buku tersebut jauh nun ke seberang. Moga buku itu dapat memujuk dan menjadi motivasi yang bermanfaat kepada dia yang berkenaan. Wallahua'alam.

Sunday, October 3, 2010

Bukan Seindah Impian

Masih terngiang-ngiang di telinga ini. Bagai baru semalam saya berkata, "Nanti tahun 2010 aku akan......". Sedar tak sedar, pejam celik pejam celik, rupa-rupanya hari ini sudah menjangkau tarikh 3 Oktober 2010. Maknanya sudah lebih 3oo hari telah kita lalui sepanjang tahun ini, dan kini tinggal lebih kurang 60 hari lagi, 2010 pula akan berlalu pergi meninggalkan kita semua, jika Allah izinkan. Apakah misteri di sebalik semua ini?

Bagi sesetengah orang, 2010 mungkin membawa seribu satu makna, mengukir kenangan terindah sepanjang kehidupan mereka. 2010 mungkin akan terpateri dan terpahat kukuh dalam ingatan dan tidak mungkin akan dilupakan selamanya. Banyak juga orang berlumba-lumba mencipta sejarah, antaranya mendirikan rumah tangga pada tarikh 'unik', 10.10.10, 10. Dan mungkin juga ada diantara kita yang menikmati pengalaman indah pertama kali bergelar ibu atau ayah, pertama kali memandu kereta sendiri, pertama kali memiliki rumah sendiri, pertama kali mendapat anugerah, dan pelbagai lagi.

Namun begitu, saya percaya, dunia ini tidak diciptakan semuanya indah. Mungkin 2010 juga menyimpan kenangan paling pahit bagi sesetengah daripada kita. Namun yakinlah. Andai ada sinar mentari pasti ada hujan. Andai ada bahagia, pasti ada duka. Lumrah kehidupan sememangnya begitu. Kadang-kadang Allah mengizinkan kita untuk merasa kesakitan agar kelak kita lebih menghargai anugerah sihat yang Dia pinjamkan kepada kita.

Dan ada juga antara kita yang 'terpilih' untuk merasai keperitan akibat melakukan dosa, agar kelak kita tahu bagaimana nikmatnya kemanisan rasa keinsafan dan indahnya perasaan taubat. Pernahkah kita terfikir? Meminum air kosong ketika sangat dahaga tidak sama dengan minum air yang sama dalam keadaan tidak haus. Setiap apa yang Dia ciptakan, biarpun sebesar zarah, tiada apa yang sia-sia.

Seiring dengan peredaran masa, usia kita juga meningkat dari hari ke hari. Saya juga, dari detik ke detik, kian menghampiri garisan penamat yang saya tidak tahu di mana letaknya. Yakni mati. Sesungguhnya Allah telah berfirman, "Setiap yang hidup pasti akan merasai mati."Maka benarlah. Saya dan kita semua pasti akan merasa mati. Mungkin esok, atau lusa. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Pernah beberapa kali saya ditanya. "Apakah rahsia saya sentiasa kekal bermotivasi?"

Allahu Allah. Sekali lagi izinkan saya menulis. Mengukir bait-bait kata, memateri ungkapan rasa, meluahkan rahsia yang tersemat dalam dada. Kerana sesungguhnya, saya juga tidak lain dan tidak bukan, hanyalah manusia biasa, hamba Allah yang hina dan tidak pernah lepas dari melakukan dosa dan noda.

Mungkin bezanya saya dengan manusia lain, adalah bagaimana saya mengekspresikan kesesengsaraan dan penderitaan dalam jiwa. Mungkin bezanya saya dengan anda yang lain adalah keinginan dan kemahuan saya untuk mencegah dan mengingatkan sahabat yang lain agar tidak mengulangi kebodohan dan 'kesilapan' yang pernah saya lakukan selama hidup saya di muka bumi ciptaan Ilahi ini.


Mohon ampunkan dosa-dosa kami Ya Tuhan, dan peliharalah kami dari azab api neraka. Ya Allah, janganlah Kau palingkan hati-hati kami setelah Engkau memberikan limpah hidayah-Mu kepada kami. Amin ya rabb.

Hidup saya hari ini, bukanlah seindah impian. Semangat dan keinginan saya ketika masih kecil masih bermain-main di ruang mata. Kesungguhan saya menuntut ilmu agar dapat mengubah nasib keluarga bukan calang-calang impian. Kerana keinginan itu jugalah, saya mengutip semua A dalam setiap peperiksaan, PMR dan SPM. Segala puji dan syukur kepada Ilahi.

Namun itu puluhan tahun dahulu. Kini dunia saya sudah berubah. Kehidupan saya juga telah berubah. Dengan izin Tuhan, saya dapat apa yang saya impikan ketika zaman kecil. Namun, tanpa panduan yang teguh, tanpa pedoman, bimbingan dan didikan yang betul, dalam pertengahan jalan saya jatuh tersungkur, terluka dan berdarah. Saya hanyut terumbang-ambing dan lemas berulang kali. Sungguh. Hidup ini tidak selalunya indah. Namun Allah juga telah berjanji, "Sesudah kesusahan ada kemudahan."

Mungkin, ketika kecil saya tidak diajar untuk melihat kehidupan dengan kacamata yang lebih luas dan lebih tajam. Apa yang saya tanamkan dalam minda dan jiwa saya rupanya tidak memadai untuk saya menempuhi kehidupan yang kian hari kian mencabar seiring dengan peredaran usia. Rupanya setelah tersungkur barulah saya tahu, untuk menang kita bukan sekadar perlu tahu bagaimana untuk jadi orang pertama yang tiba di garisan penamat. Rupa-rupanya untuk menang kita perlukan semangat dan kesungguhan, sokongan dan dorongan, usaha dan doa, dan banyak lagi.

Akhirnya barulah saya tahu. Walaupun agak lambat, tapi setidak-tidaknya nyawa ini masih lagi ditanggung jasad. Peluang untuk saya perbaiki kesilapan silam masih ada. Ruang taubat juga masih ada. Dengan keyakinan yang ada itu jugalah, saya cuba bangkit dari kekalahan dan mencuba untuk perbaiki diri. Mengisi ruang yang ada untuk menebus segala dosa masa lampau. Bimbang andai dosa tidak terampun sebelum dijemput menghadap Ilahi.

Saya pernah menangis. Dan ketika saya menangis, saya tidak lupa bahawa pada suatu masa dahulu saya pernah ketawa. Saya menderita menanggung sengsara dan ketika saya kesakitan, saya tidak lupa bahawa Allah telah banyak berbuat baik kepada saya. Tidak terhitung oleh diri ini yang hina lagi lemah.

Saya hidup hari ini, kerana apa yang telah saya lakukan pada hari kelmarin. Dan hari esok, terserah kepada apa yang saya lakukan pada hari ini.

Semalam adalah suatu sejarah yang tidak akan berulang lagi. Walaupun sejarah itu mengajar kita berlari lebih laju, atau melompat lebih tinggi, namun sejarah tidak mungkin akan dapat mengubah apa-apa pada hari esok. Apa yang paling penting adalah usaha dan iltizam kita pada hari ini. Belajar dari kesilapan dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik. Menjadi Muslim yang terbaik. Menjadi 'bintang' yang paling terang 'kemilaunya' di hadapan Sang Pencipta. Apa yang manusia suka, belum tentu disukai Allah. Tapi apa yang Allah cinta, pastinya dicintai seluruh manusia. Dengan itu, berusahalah untuk melaksanakan segala suruhan-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Semoga dicintai Allah.

Jaga hubungan sesama manusia dan begitu juga hubungan dengan Allah. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka luas. Allah maha pengasih lagi maha penyayang. Sentiasa bersikap positif dan optimis. Jangan biarkan diri sendiri hancur dan musnah kerana kebencian dan kata-kata nista manusia lain. Janganlah bersedih andai diri tidak disayangi makhluk bergelar manusia, namun bersedihlah andai diri tidak disayangi Allah.

Biar sejuta manusia membenci, asalkan Allah mengasihi. Berbahagialah. Mungkin realiti kebahagiaan itu terlalu pahit buat kita di dunia, bukanlah seindah impian kita, namun mudah-mudahan, kebahagiaan hakiki di negeri abadi kelak menjadi milik kita. InsyaAllah.