+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, June 11, 2010

Rahsia Jodoh Siapa yang Tahu?

Saat-saat sibuk begini, saya sering rindukan zaman persekolahan juga zaman di mana saya dalam usaha menamatkan pengajian di universiti. Ketika bergelar pelajar, masalah yang digalas adalah berbeza dengan permasalahan yang ditanggung kini. Masa lapang juga banyak. Kelas bukan sentiasa penuh dari pagi ke petang. Kadang-kadang, kelas cuma 4 hari seminggu. Banyakknya masa lebihan.

Itu dulu...
Berbeza dengan sekarang. Bergelar seorang pekerja yang makan gaji. Bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Pagi-pagi seawal jam 7 pagi sudah keluar dari rumah. Waktu bekerja tamat pukul 5. Itu jika tiada urusan kerja yang perlu disegerakan, jika tidak, selagi matahari tidak tenggelam, selagi itulah kaki tidak melangkah pulang kembali ke rumah. Sebaik tiba di rumah, badan pula lesu. Pakaian perlu dicuci, digosok. Bilik perlu dikemas. Tugas-tugas di iluvislam menanti. Sahabat-sahabat di ruangan blog menunggu. Teman-teman difacebook juga bertanya khabar. Belum lagi semak e-mel dan macam-macam lagi.

Masa cepat berlalu tanpa sedar. Hari ke hari, minggu ke minggu, begitulah perjalanan hidup ini. Jarang benar punyai masa untuk diri sendiri bersantai, apatah lagi berkhayal dan berangan.
Oleh kerana masa saya sangat singkat. Selalunya ketika memandu otak saya ligat berputar. Berfikir tentang pelbagai perkara. Macam-macam. Jarak tempat kerja saya dari rumah adalah kira-kira 30 km, jadi saya perlu mengambil masa lebih 30 minit untuk tiba ke tempat kerja. Masa untuk diri sendiri.

Ketika memandu pulang dari kerja petang semalam, saya tersenyum saja.. Actualy for no reason, cuma terfikir.. Indahnya ciptaan Ilahi, ajal dan jodoh sudah ditentukan tp kenapa ia dirahsiakan? Ada yg berkahwin tp bercerai, kononnya tiada jodoh, apatah lagi yg bertunang dan bercinta, bila2 masa saja terpisah, jodoh belum tentu.. Rahsia. Tiada siapa yang tahu.. Uniknya! Agak-agaknya.. Apa ibrah di sebalik ketentuan Allah yang satu ini?

Saya percaya, setiap dari kita pastinya mempunyai jawapan masing-masing yang tersendiri.

Sungguh kita tidak tahu, siapa jodoh kita. Tidakkah kita pernah terfikir dan berasa hairan, bagaimana seseorang yang asalnya dari Selatan Tanah Air bisa bernikah dengan pasangan yang asalnya dari Utara Tanah Air. Pernahkah anda berasa hairan, melihat si suami yang tampan mempunyai isteri yang kurang dari segi paras rupanya. Dan pernahkah pula anda berasa hairan melihat dua orang yang sangat berbeza karektornya, akhirnya bersatu dengan ikatan pernikahan yang suci? Maha suci Allah.

Sungguh akal kita benar-benar terbatas. Kadang-kadang tidak terjangkau dek akal kita perihal 'keunikan' dalam sesebuah jodoh pertemuan. Ada yang sejak kecil seperti anjing dan kucing, pantang bertemu ada saja pergaduhan tapi bila dewasa rupanya takdir mereka untuk bersama. Tiada siapa yang tahu perancangan Tuhan.

Setiap apa yang Allah ciptakan, tiada yang untuk sia-sia. Segalanya pasti bersebab dan punyai hikmahnya yang tersendiri. Apa agaknya ibrah di sebalik rahsia jodoh?

Saya tersenyum, punya jawapan yang pelbagai. Anda pula bagaimana?


Tuesday, June 8, 2010

Hidup Ini Indah

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Tepat jam 3.32 petang, pada tarikh 5 June 2010, kakak saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat comel. Setelah beberapa jam di tahan di wad bersalin, Tropicana Medical Centre, akhirnya, kun fayakun, maka pada saat dan masa yang ditetapkan, suara tangisan sang bayi memenuhi ruang bilik. Kakak saya bersalin ditemani suaminya manakala saya bersama emak dan dua orang anak saudara (anak-anak kakak saya) menanti di luar bilik bersalin.

Telinga emak cepat saja menangkap suara tangisan, ada titik jernih mengalir dari kelopak mata emak, syukur semuanya selamat dan bahagia, keluarga kami bertambah lagi. Alya dan Ashraf lebih-lebih lagi. Gembira bukan kepalang. Dapat adik baru.

Setelah lebih kurang setengah jam, kami dibenarkan melihat bayi. Subhanallah, indahnya ciptaan Ilahi. Bayi yang suci jernih, tanpa sebarang dosa dan noda. Ibarat kain putih yang kini tersedia siap untuk dicorakkan dan diwarnakan. Lahir dalam dunia yang penuh pancaroba, pelbagai godaan dan ujian menanti di hadapan, namun saya berharap dan mendoakan, moga dia menjadi anak yang solehah. Membahagiakan kedua ibu bapanya dan kami sekeluarga. Dialah penyeri. Moga rahmat Allah sentiasa mengiringi kami.

Tidak lama kemudian, saya dan emak dibenarkan bertemu kakak. Pelik juga rasanya, baru beberapa jam yang lepas, di dalam perutnya ada satu nyawa dan satu jasad lain, kini ia sudah tiada. Beberapa jam yang lepas, saya cuma ada dua orang anak saudara, kini jadi tiga. Baru beberapa jam yang lepas bayi itu tiada, kini dia di hadapan mata, dan dia lahir dari perut kakak saya. Janggal perasaan itu. Betapa hebatnya ciptaan Allah. Tiada apa yang mustahil bagi-Nya. Dan saya bersyukur kepada Allah, atas segalanya.

Hidup ini sungguh indah. Kita benar-benar punyai banyak sebab untuk gembira dan bahagia. Jangan bersedih, berbahagialah. Life is beautiful, and wonderful. :)

Alhamdulillah, terima kasih ALlah

Saturday, June 5, 2010

'Honeymoon' Sebelum Tiba Masanya

Segala puji hanya milik Allah, Tuhan sekelian alam. Maha Suci Allah yang menciptakan kami ummat manusia, yang punyai akal, punyai emosi juga nafsu. Terima kasih Allah, dan ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Allah, sungguh kami makhluk yang mudah benar lupa dan alpa. Lalai dalam melaksanakan amanah dan suruhan. Mudah pula membuat kerosakan dan melanggar suruhan-Mu. Astagfirullahalazim...

Dewasa ini, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir setiap hari kita dijamukan dengan berita yang menyedihkan, kes buang bayi. Bunuh bayi. Campak bayi. Bakar bayi. Tanam bayi. 'Flush' bayi dan macam-macam hal lagi yang tidak terfikir dek akal. 'Hebatnya' akal ciptaan Allah namun mengapa manusia sering menyalahgunakannya? Mana perikemanusiaan? Mana rasa takut dan gentar kepada hukuman-hukuman Tuhan? Mana perasaan belas? Allahurabbi.

Mungkin bukan perkara baru. Buang bayi sudah lama sinonim dengan masyarakat kita. Namun apa yang kian menyedihkan adalah kerana kebelakangan ini, masalah keruntuhan moral ini kian merebak dan menular ke dalam masyarakat kita, ibarat barah yang tidak mampu dikawal, menyelinap dan melibatkan pelbagai lapisan umur.

Menakutkan. Banyak kes buang bayi melibatkan remaja bawah umur. Apatah lagi mengandung anak luar nikah. Astagfirullahalazim. Apa sudah jadi. Apa nak jadi?

Mana salahnya, mana silapnya?

Adakah kerana silap kita sebagai masyarakat yang tidak cakna dan bersikap tidak ambil peduli? Merujuk kes kanak-kanak yang didera sampai mati. Bukankah ibunya bersekedudukan dengan kekasihnya ketika suaminya dipenjara? Apakah masyarakat terutama ibubapa kepada wanita tersebut tidak pernah ambil kisah? Bersikap tidak peduli dan lepas tangan? Itu baru satu contoh, sedangkan disekeliling kita, banyak lagi kes-kes yang lebih kurang serupa. Apa peranan kita sebagai masyarakat dalam usaha membanteras gejala masalah sosial yang makin memburuk?

Remaja (kanak-kanak) berusia semuda 13 tahun juga buang anak!

Bayangkan, adik-adik kita di rumah, anak-anak kita yang berbaju kurung bertudung putih ke sekolah, sopan dan manis sekali, tapi hakikatnya mereka terdedah dengan pelbagai kemungkinan. Jangan terlalu yakin bahawa anak-anak dan adik-adik kita itu kekal selamanya bebas dari anasir-anasir jahat? Jangan terlalu berpuas hati dan percaya kepada mereka bulat-bulat.

Kadangkala, perasaan ingin tahu, curiga dan syak wasangka itu perlu. Luangkan masa, siasat dengan siapa anak kita berkawan. Periksa beg sekolah anak-anak. Jika ada henfon, tengok senarai nama dalam telefon anak-anak. Periksa apa ada dalam henfon anak-anak. Selidik ada apa dalam bilik anak-anak. Itu tanggungjawab ibu dan bapa, sebagai usaha mencegah sebarang kemungkinan buruk yang mungkin terjadi. Tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan, oleh itu, langkah pencegahan perlu dilakukan dan setiap dari kita harus sentiasa berhati-hati.

Mungkin hari ini kita bertudung labuh, tidak pernah bergaul dengan lelaki apatah lagi berzina. Tapi tahukah anda? Bukan perkara mustahil, malahan di IPTA juga kita sering 'dikejutkan' dengan kes gadis bertudung labuh ditangkap berkhalwat dengan teman lelaki. Naauzubillah.

Bukan niat saya ingin memburuk-burukkan mereka yang bertudung labuh, atau berkopiah (baik budi pekerti). Namun apa yang saya ingin tekankan adalah, kita manusia mudah terpedaya dengan pujukan dan hasutan syaitan dan nafsu jahat. Jangan mudah berpuas hati dengan amalan yang kita ada. Jangan terlalu yakin dengan 'tahap keimanan' kita. Paras keimanan kita sentiasa berubah-ubah, ada naik dan turun. Mungkin hari ini kita terpelihara oleh-Nya dari sebarang kemungkaran tapi esok lusa siapa tahu? Mungkin juga kita menjadi hamba nafsu dan syaitan. Naauzubillah.

Oleh yang demikian. Teruskanlah dan kekalkanlah. Sentiasa berhati-hati dan menjaga diri. Jangan biarkan diri terdedah apatah lagi terjebak dalam gejala zina. Perbuatan haram yang dilarang oleh Allah pastinya bersebab. Namun begitu, kita manusia sering merasa 'lazat' ketika memilih yang haram. Mengapa dan kenapa terjadi begitu? Apakah kerana ketika melakukan kemungkaran syaitan ikut sama? Bergembira dan bersorak sorai? Jadi dengan itulah kenikmatannya berganda-ganda? Bahagiakah hati jika menjadi hamba dan sahabat syaitan?

Bahagiakah jiwa yang dicipta oleh Sang Pencipta dengan kenikmatan yang sementara itu?

Jangan dekati zina. Ibarat menagih dadah, sekali terkena menjadi gian dan ketagih. Mahu lagi dan lagi, sampai bila? Sedangkan mati bila-bila masa saja akan datang berkunjung. Layakkah kita mencium haruman syurga apatah lagi menjadi penghuni syurga jika kita mati dalam kemungkaran? Cukup kuatkah kita untuk diseksa dan diazab di neraka? Naauzubillah.

Bersyukur jika kita tidak pernah terjebak dengan zina. Dan seandainya kita sudah atau telah terlibat, segerakanlah bertaubat. Jangan bertangguh. Mohon ampun dan kemaafan dari-Nya.

Ramai orang (merujuk kepada thread-thread yang dibuka di iluvislam.com) risau dan runsing memikirkan masa depan, siapa yang sudi mengambil diri sebagai isteri. Bagaimana penerimaan orang akibat daripada keterlanjurannya. Dan ramai yang lupa, hidup di dunia cuma sementara. Akhirat jua yang kekal abadi.

Apalah sangat pandangan orang jika hendak dibandingkan dengan pandangan Allah? Bertaubatlah, mohon ampun dari Allah. Selebihnya, serahkan kepada Dia untuk tentukan jalan hidup kita. Moga-moga ada sinar bahagia menanti di hadapan, tapi usah terlalu berharap. Andai kebahagiaan selamanya tidak menjadi milik kita di dunia, berbaik sangka, mungkin Allah ingin terus menguji dan mungkin juga Allah sedang 'menyucikan' kita dari dosa-dosa silam. Biarlah sengsara di dunia yang sementara, asalkan di negeri abadi kelak, syurga menjadi tempat kita mengutip bahagia.

Mari. Sebagai mereka yang cakna dan peduli tentang nasib ummah, masyarakat sekeliling kita. Ayuh. Kita berganding bahu, membantu selagi termampu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keburukan dan kewajipan untuk menjauhi dan mencegah zina.

Jauhilah perbuatan 'honeymoon' sebelum tiba masanya. Ketahuilah, persetubuhan antara lelaki dan wanita juga merupakan antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Namun janganlah kita kotorinya dengan memilih untuk berzina. Bersabar dan pelihara diri dan kemaluan. Tunggu masa yang betul untuk melunaskannya. Yakni selepas nikah. Jangan mengambil mudah soal dosa dan pahala kerana akibatnya buruk, hanya Allah yang lebih tahu. Jangan beri peluang kepada syaitan untuk menggoda dan menghasut kita melakukan kemungkaran. Sesungguhnya syaitan itu benar-benar licik dan berpengalaman dalam menyesatkan umat manusia. Marilah kita saling mengingatkan.. Moga Allah melindungi kita dan seluruh muslimin dan muslimat.

Ingat mati. Ingat mati. Ingat mati.

Dunia hanya sementara. Mati itu pasti. Akhirat itu kekal abadi.




Thursday, June 3, 2010

Kisah Cinta Nurul

5 orang gadis duduk berteduh di bawah pohon angsana yang rendang. Awan mendung berarak lesu. Burung-burung masih riang terbang berkawan. Mencari rezeki. Mencari teman. Ada seekor burung berkepak hijau, tubuhnya berbulu kuning sedang terbang sendirian. Merentas angin sendirian. Agaknya terpisah dari kawanannya.

"Lihat burung itu. Kasihan." Ilyani menunding jari ke arah seekor burung yang sedang terbang sendirian. Semua mata tertumpu tepat ke arah burung yang ditunjukkan oleh Ilyani.

"Kenapa pula kasihan? Setidak-tidaknya dia masih boleh terbang, sayapnya tidak patah." Sahut Aryssa pula.

"Ya laaa.. Kasihan dia, seorang diri, tiada kawan, sepi. Apa-apa jadi nanti, tiada kawan yang boleh bantu. Sahabat tu perlu sangat tau... " Insyirah pula meluahkan rasa. Simpati membuak-buak.

"Tak kesah la kot tak ada kawan, asalkan dia masih mampu cari makanan, teruskan hidup, life must goes on, biarpun seorang diri, tak gitu? " Sambung Syuhada pula sambil matanya masih fokus kepada burung tersebut. Dia bingkas bangun sambil membetulkan bajunya.

"Alhamdulillah.. Korang semua betul belaka. Tiap apa yang Allah ciptakan, semuanya bukan untuk sia-sia, pasti bersebab. Semua terjadi hanya dengan izin Allah. Dan burung itu juga, terbang sendiri, mungkin Allah mahu kita merenung dan berfikir tentang alam dan hidupan ciptaan-Nya. Tengok awan, cantik kan? Kalau awan ni tiada, entah bagaimana agaknya nasib kehidupan kita.. Subhanallah..." Seperti selalu, Jannatul sentiasa menjadi yang terakhir berkata-kata. Semua sahabatnya mengalih pandangan tekun mendengar butir bicaranya. Di dalam hati ikut sama mengucapkan kalimah suci, Maha Suci Allah.

5 sahabat, berbeza karektor, namun sering bersama meluangkan masa. Ada yang terlalu cintakan cita-cita dan mengejar kerjaya impian. Ada pula yang terjatuh cinta dan mabuk cinta dengan makhluk bergelar adam. Seorang lagi tidak percayakan kewujudan cinta, dan lagi seorang terlalu cintakan keluarga dan sahabat sehingga dirinya sendiri terabai. Bagaimana pula cerita seorang lagi gadis? Apa takrifan cinta baginya?

"Kalian percaya cinta tu wujud? Kalau benar cinta ada, kenapa manusia bersengketa dan sengsara?"

" Oh! Apalah sangat cinta dalam dunia material ini, semuanya sementara, sia-sia belaka.."

" Haishh.. Cinta memang ada. Aku percaya. Cuma sering dikaburi nafsu jahat. Cinta suci seperti Adam dan Hawa, begitu juga kita. Cinta itu fitrah manusia."

"Itu Adam dan Hawa. Berbeza. Kita pula siapa? Sering leka dan alpa, hanyut dan lupa. Itu sebab perlunya sahabat dalam kehidupan kita, biar ada yang sudi mengingatkan."

"Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah telah banyak bukti cinta-Nya, di depan mata kita, dalam sedar kita mahupun luar sedar kita. Bersyukurlah. Bukankah kita ditemukan, dan menjalin ukhwah juga bukti cinta-Nya? Sungguh tidak terhitung banyaknya cinta Dia. Segala puji hanya milik Allah pemilik segalanya. Termasuk cinta."

------------------------------------------

Kisah itu tergantung. Saya hanya merancang, tapi Tuhan penentu segalanya. Itu sinopsis novel saya yang terkandas di tengah jalan. Tidak pasti bila boleh disambung. Atau sekadar, tinggal mimpi.

Wednesday, June 2, 2010

Pedulikah Kita?


Lifeline 4 Gaza, atau Talian Hayat Untuk Gaza adalah satu usaha kerjasama di antara NGO-NGO di Malaysia untuk menyertai kempen antarabangsa bagi menembusi kepungan Israel terhadap Gaza. Lifeline 4 Gaza akan bergerak bersama Free Gaza Movement yang berpangkalan di Cyprus, IHH di Turki, MERC dan Kispa di Indonesia dan NGO-NGO lain dari USA, Greece, Perancis, Sweeden, Jerman, Itali, Venezuela dan lain-lain.

Konvoi tersebut dijangka akan berlepas dari Istanbul pada 15 Mei 2010, disertai 20 kapal dan bot kargo. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan tokoh-tokoh kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Di ambil dari SINI.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita penahanan kapal bantuan Mavi Marmara, ramai yang tertidur terus terjaga, lanjut boleh baca DI SINI..

Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan mendengar sendiri pengalaman beberapa rakyat Malaysia yang melalui peristiwa penahanan tersebut di kaca televisyen. Kata mereka, jika sebelum ini mereka cuma mendengar dan membaca mengenai kezaliman tentera Zionis, kali ini segalanya terbukti di hadapan mata.

Betapa mereka semua dilayan dengan teruk oleh tentera Israel seperti layanan terhadap penjenayah sedangkan terang-terangan mereka tidak membawa barang-barang yang mencurigakan seperti yang didakwa. Malahan, di atas kapal itu juga ada penumpang yang berusia 80 tahun dan seorang kanak-kanak yang berusia kurang daripada setahun.

Adakah tuduhan Israel terhadap konvoi tersebut boleh diterima akal? Tuduhan palsu semata-mata kerana ingin menghalalkan tindakan mereka, namun ternyata, yang benar tetap benar. Video yang menggambarkan keganasan Israel tersebar jua. Mereka yang menjadi saksi juga tidak mungkin akan berdiam diri. Apa agaknya yang berlaku pada episod seterusnya? Dalam debaran mendoakan, agar kebenaran tertegak. Dan jangan lupa juga mendoakan satu lagi kapal yang dalam perjalanan ke Gaza (insyaAllah tiba ke Gaza dalam masa 24 jam) agar selamat tiba dan misi mereka tercapai. Amin ya rabb.

Cuma sedikit sahaja yang mampu saya tulis. Kerana dengan rendah diri saya mengaku, saya kurang cakna terhadap isu ini. Sekadar alasan barangkali, namun ini yang terjadi, sibuk dengan dunia baru sendiri, kerja baru, rumah baru, maka banyak perkara yang terlepas dari sudut pandangan mata saya. Khilaf sendiri yang sepatutnya saya perbaiki.

Jika sebelum ini saya ada menulis mengenai Nakba, cuma hanya sekadar di situ, kemudian sekali-sekala 'update' berita dari komen sahabat2 melalui forum iluvislam. Sekadar membaca. Adakah saya juga Muslim bermusim? Yang tahu menjerit bila ramai orang menjerit. Tahu memekik bila ramai orang memekik? Rasa terpukul kerana mungkin saya adalah golongan itu. Bila keadaan sepi, tiada isu hangat dan sensasi, maka saya ikut sepi seperti debu-debu di jalanan yang terbang bila ditiup angin. Lansung tiada sebarang kesan kepada sesiapa dan apa pun. Malunya saya.

Kononnya saya mengaku mereka saudara saya. Kami sujud dan rukuk pada kiblat yang sama. Sembah Tuhan yang sama. Hamba kepada Pemilik yang Satu. Namun mengapa, tatkala mereka masih bergelut dengan kesengsaraan, saya bersikap tidak peduli dan lepas tangan? Malahan sibuk mengejar dunia saya dan sempat pula ketawa dan bergurau senda? Pedulikah saya?

Saya masih tertanya-tanya, pada diri sendiri. Adakah saya benar-benar peduli? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam? Atau sekadar bermuka-muka, kononnya saya juga seperti orang lain, juga ambil peduli? Atau apa? Benarkah saya juga peduli? Anda pula bagaimana?

Tanya diri sendiri, dan jawapannya, hanya kita dan Allah yang tahu. Allahu rabbi.. Aku malu...