+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, May 5, 2010

Kita Punyai Kelemahan

Allah berfirman;

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). [Surah At-Tiin: Ayat 4]

Jadi, seharusnya tidak timbul kalimah ini.. "Nobody perfect!" Benarkah? Kerana kita dicipta sebaik-baiknya oleh Dia yang Maha Mencipta. Namun mengapa, melainkan Nabi Muhammad SAW, setiap dari kita pasti mempunyai kelemahan dan kekurangan masing-masing? Tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Benarkah kita tidak sempurna?

Saya sendiri, punyai banyak kelemahan. Saya bukanlah manusia yang sempurna. Ada banyak kekurangan.

Mudah hilang sabar, cepat naik marah. Bukan baru, tapi dari dulu, sejak kecil tapi mengapa hingga kini sifat buruk itu masih belum dapat saya kikis dan buang? Pantang silap mula mengamuk. Hilang kawalan diri. Seminit kemudian berasa menyesal.

Risau dan bimbang melampau. Bahkan pernah demam teruk semata-mata kerana risaukan sesuatu perkara yang belum pasti kesahihannya. Fikiran mudah menjadi tidak rasional. Saya sedar soal ini sejak dahulu lagi, tapi hingga kini masih bersarang dalam diri.

Terlalu memikirkan apa yang orang fikir. Bukan saya tidak tahu ia cuma perbuatan yang sia-sia kerana saya bukanlah nujum, dan saya juga tahu saya bukanlah sesiapa untuk jadi bahan 'fikiran' orang, tapi saya juga tidak berdaya menanganinya. Lebih suka menjaga hati dan perasaan orang sedang diri sendiri mendapat susah. Membataskan pergerakan dan aktiviti seharian, kerana terlalu memikirkan apa orang kata.

Bibir laju berkata-kata, tangan laju menulis dan menaip sedang otak tertinggal di belakang. Bertindak tanpa berfikir. Bukan sedikit, banyak benar kelemahan saya. Itu baru sebahagianya. Lain-lain pula bagaimana?

Allahu Allah.

Aku percaya, Kau ciptakan aku sempurna tapi aku begini kerana khilafku sendiri. Kau anugerahkan aku akal agar aku berfikir dan memanfaatkannya sebaik yang mungkin tapi sering saja aku sia-siakan dan salah gunakannya. Kau anugerahkan aku naluri, emosi dan nafsu dengan seribu satu hikmahnya tapi aku sering tersilap dalam percaturanku sendiri.

Kau tak pernah biarkan aku sendirian. Kau tak pernah biarkan aku terkontang kanting. Kau kirimkan kami Nabi dan Rasul sebagai penunjuk jalan. Kau turunkan pula Al-Quran sebagai pedoman. Tapi mengapa aku masih lagi tersesat?

Kau ciptakan racun dan Kau juga pencipta penawar. Kau ciptakan sakit dan Kau juga pencipta ubat. Kau izinkan terjadinya setiap musibah dan dengan kehendak-Mu jua masalah itu selesai. Sungguh sesungguhnya, tiap apa yang Kau ciptakan tiada yang sia-sia.

Ketidaksempurnaan bukanlah sesuatu yang hina. Bukan bererti dunia ini sudah berakhir. Bukan penghujung bagi sesebuah kehidupan. Hidup mesti diteruskan. Sesungguhnya ketidak sempurnaan itu lah yang menjadikan kita ciptaan-Nya yang unik dan pelbagai. Kita istimewa. Saling melengkapi.

Jika kita hari ini tidak bertambah baik daripada hari semalam, ternyata kita orang yang rugi. Mungkin kita tidak mampu untuk mencapai kesempurnaan sepenuhnya, tapi setidaknya, kita seharusnya berusaha untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Kita punyai kelemahan, tapi itu bukanlah penghalang untuk kita capai kejayaan dan kebahagiaan. Allah ciptakan kita sebaik-baik ciptaan, tapi bagaimanakah usaha dan inisiatif kita untuk menjadi 'sebaik-baik ciptaan?'

Wallahua'lam, hanya Allah yang Maha Mengetahui.




Tuesday, May 4, 2010

Setia Pada Janji


Hari ini,saya menggantikan ibu yang balik bercuti di kampung, menemani dua orang anak saudara saya di rumah mereka. Kakak dan suaminya bekerja,
jadi hari ini giliran saya menjaga ke duanya.

Ashraf genap 6 tahun pada 29 April yang lepas. Alya pula 19 September ini genaplah 9 tahun. Pagi seawal jam 7.15, van sekolah akan menjemput mereka di hadapan rumah. Ashraf ke tadika. Alya ke sekolah agama. Selepas mereka berdua ke sekolah, ibu bapa mereka pula ke tempat kerja.

Saya tiba di rumah mereka tepat jam 11.15 pagi. Beberapa minit sebelum van mereka tiba menghantar mereka pulang. Dalam perjalanan saya sempat membungkus sedikit nasi dan lauk pauk, mengisi perut kami bertiga sementelah, Alya perlu ke sekolah kebangsaan, jam 12 tgh hari van akan datang menjemput.

Alya sudah ke sekolah, tinggal saya dengan Ashraf. Sambil tengok kartun, melukis sonic dan pooh, kadang-kadang kami tergelak melihat lukisan dia yang menakutkan tak nampak rupa sonic. Bersembang. Saya beritahu dia, jam 5 petang saya kena pulang ke rumah saya. Dia akan tinggal seorang. Dia cuma diam. Angguk kerana faham, ketika emak saya ada, waktu itu saya akan bertolak pergi. Dia angguk setuju.

Tiada bantahan. Walaupun riak wajahnya terbayang kerisauan.'Kena tinggal seorang diri?'

Jam 3 petang. Ashraf mengadu lapar. Minta saya gorengkan roti celup telur. Saya masuk ke dapur. Roti putih pula tiada. Ada donut jem strawbery. Ada biskut.

Ada roti kismis. Tapi roti putih tiada. Ashraf pula, kalau itu yang dia mahu, hanya itu saja. Dia sudah keluarkan mayonis dari peti. Dia sudah ambil pinggan ari rak.

Ke hulu ke hilir membawa pinggan, tapi rotinya tiada. Dia minta saya keluar belikan roti, saya menolak. Malas pula mahu keluar. Saya pujuk dia.

'Biar Mak Ngah gorengkan lempeng telur sedap. Rasa macam roti telur. Adik rasa dulu. Kalau tak sedap kita pergi beli roti.' Dia angguk. Setuju.

Saya masukkan beberapa sudu tepung gandum saja. Sebiji telur. Sedikit air dan garam. Panaskan kuali. Goreng. Bau telur menusuk hidung. Ashraf tidak sabar menanti dengan pinggannya. Bersama mayonis. Makan. Tak cukup pula. Lapar lagi. Nasi ada lagi. Sup ayam ada lagi. Sudahnya, saya suapkan dia nasi. Kenyanglah dia petang itu.

Jam hampir 4 petang. Hujan turun lebat. Ashraf takut-takut. 'Adik takut hujan. Kalau hujan Mak Ngah jangan balik dulu tau.' Pujuk dia. Saya angguk. 'Ya'.

Hampir pukul 5. Kedua ibu dan ayahnya belum pulang. Kakaknya Alya juga belum pulang. Hujan sudah reda. Saya beritahu Ashraf. Hujan sudah reda. Mak Ngah dah boleh balik. Dia angguk. 'Okeylah.' Kata Ashraf.

'Adik tak takut ke duk sorang?' sengaja saya menduga.

'Takpe. Adik dah janji ngan Mak Ngah pukul 5 Mak Ngah balik.' Kata Ashraf pula.

'Kalau orang jahat datang, adik nak buat camne?'tanya saya lagi. '

Adik lawan la.' Sambut Ashraf pula.

'Camne?' Duga saya pula.

Ashraf menyelongkar bakul mainannya. Mencari sesuatu. Akhirnya dia datang dekat dengan saya. 'Adik ada pedang ni, cuba Mak Ngah rasa, tajam kan?' Kata Ashraf sambil mencucuk sebatang pedang mainan berwarna emas ke lengan saya, panjangnya separuh daripada panjang sebatang pensel. Saya hampir tergelak, tapi melihat dia serius, saya tahankan.

'Aah, tajam.' Kata saya menyedapkan hati dia. 'Tapi takkan pedang ni je dik?' soal saya lagi mahu menguji. Mana pernah dia tinggal seorang diri di rumah,ke tandas pun mintak berteman, berani ke dia nak duduk seorang diri? Ashraf bangkit. Membuka kotak mainannya yang lain pula. Mencari-cari sesuatu.

Kemudian datang lagi dengan sebatang pen. 'Tajam?' tanya dia sambil mencucuk pen ke tapak tangan saya. Saya cuma angguk. Terharu melihat kesungguhan dia, benar-benar mahu tinggal seorang diri walaupun takut, kerana sudah berjanji sanggup tinggal seorang diri.

Macam-macam lagi saya menguji dia. Benar-benar dia bersedia mahu tinggal seorang diri. Tapi hakikatnya, manalah saya tergamak tinggalkan dia. Sekadar mahu menduga.Ternyata, kanak-kanak tidak pandai menipu. Kanak-kanak, setia pada janji. Kita pula bagaimana?

Makin akal kita bijak, makin hebat kita mereka cerita, menipu dan mencari helah. Jika dulu kita pernah menjadi kanak-kanak.. Hati kita bersih,kenapa, makin banyak nikmat Allah yang kita manfaatkan, makin kita melupakan Dia?

Muhasabah diri jom..



Monday, May 3, 2010

~Pekat Malam~

Bicara diri pada angin, bertemankan malam nan sepi. Kelam. Gelap. Bulan sembunyi malu. Bintang entah di mana. Sendiri aku menghitung waktu berlalu pantas. Tidak terkejar oleh langkah kakiku. Kerap kali cuba berlari lebih laju namun sering saja aku jatuh tersungkur. Tersilap membuat perkiraankah aku? Atau gopoh mengejar bayangan yang aku sendiri tidak tahu ke mana?

Saat demi saat. Detik waktu berlalu pergi meninggalkan aku. Kaku tidak berdaya. Meraba-raba dalam kegelapan tanpa kudrat. Tanpa cahaya. Setiap hembusan nafas, degupan jantung ini. Setiap kerdipan mata, denyutan nadi ini. Segalanya bukan milikku. Semuanya pinjaman. Entah sampai bila. Mungkin esok akan diambil semula. Lalu matilah aku. Pergilah nyawa, tinggalkan jasad. Tinggalkan aku memburuk ditelan tanah. Sendirian.

Haruskah aku terus mengalah. Berserah pada takdir. Nak jadi apa jadilah. Mahu binasa, binasalah. Sungguh, aku ketakutan. Selepas Tuhanku Yang Esa, aku paling banyak bergantung pada diriku sendiri. Selain mengadu kepada Tuhan yang Maha Mendengar, aku merintih sendirian, memujuk diriku sendiri. Mencari kekuatan, mengumpul kudrat. Akulah pembakar semangat. Akulah pendorong. Aku yang menjadi kekuatan kepada diriku sendiri.

Tapi kini. Ke mana semuanya pergi? Hilangkah meninggalkan aku. Tergamak biarkan aku terkapai-kapai. Nyaris tenggelam. Lemas. Aku mahu kekuatanku. Kembalilah! Jangan pergi. Tanpa kau aku bisa musnah. Datanglah.

Cahaya, datang dekat, suluhlah aku. Bawa aku pulang. Jangan biar aku sirna dalam pekat malam. Terangilah aku, aku takut binasa. Ya Tuhan. Pimpinlah aku.

Aku tanpa aku bukanlah aku. Aku tanpa Kau tak mungkin. Jangan biarkan aku. Peganglah aku dekat dengan-Mu Tuhan. Sungguh aku takut.

Dingin malam mendera. Air mata mahu gugur membasahi pipi. Bertahan. Jangan jatuh! Aku tak ingin menangis. Tapi aku tidak berdaya. Dayuskah aku? Lemahkah aku? Mudah benar mengalah. Berserah pada takdir. Jatuh tidak mahu bangkit.

Beredarlah malam, datanglah siang.
Pergilah kelam, datanglah terang.







Ranjau Sepanjang Jalan


"Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah swt"

Itulah pegangan yang tersemat kemas dalam jiwa dan diri anak tani, Lahuma dan isterinya Jeha. Memiliki 14 relung sawah, hidup mereka sepenuhnya bergantung kepada padi. Bagi mereka, hidup dan mati mereka adalah padi-padi itu, yang mengisi perut mereka sekeluarga, yang mengenyangkan dan membesarkan anak-anak yang seramai tujuh orang. Tanpa padi, mereka akan kelaparan. Anak mereka akan kelaparan.

Hidup petani seperti mereka sememangnya beranjau. Ada sahaja ujian dan masalah mendatang, seolah-olah menghalang padi mereka tumbuh subur, masak menguning.

Selain daripada serangan ketam yang beribu, yang memusnahkan batang anak padi, mereka berhadapan dengan bahaya ular, serangan belalang, burung tiak, ada masanya mereka berperang dengan bencana alam. Hujan yang menenggelamkan sawah. Atau mungkin kemarau yang mengeringkan sawah. Semuanya di tangan Tuhan. Mereka cuma mampu berusaha mencari penyelesaian. Dan berdoa.

Lahuma lelaki. Kudratnya besar. Sejak dulu Jeha sentiasa membantu suaminya. Dia tahu sawah dan padi itu sangat bermakna bagi suaminya, Lahuma.

Ajal maut di tangan Tuhan. Lahuma dijemput menghadap Ilahi. Tinggal Jeha seorang bersama tujuh orang anak. Yang paling tua, Sanah, baru berusia 16 tahun.

Yang pergi tetap pergi. Hidup mesti diteruskan. Jenah mengambil peranan Lahuma. Berusaha. Bersungguh-sungguh. Sawah mesti dibajak. Padi mesti di semai, ketam mesti di lawan, semuanya dia harus lakukan. Tanpa Lahuma.

Sayangnya kepada Lahuma tinggi melangit. Sering saja dia termimpi-mimpikan Lahuma. Serangan ketam yang memaksa dia bersama anaknya Sanah dan Milah berperang di tengah sawah tanpa tidur, tanpa rehat, akhirnya mengubah Jeha menjadi seorang yang hilang kewarasan. Kudratnya tidak sekuat Lahuma. Jiwanya tidak seteguh Lahuma, lalu Jeha gila.

Bagaimana nasib sawah yang 14 relung? Apakah nasib anak-anaknya yang tujuh?

Lahuma sudah ditelan tanah. Jeha pula hanya tahu menjerit dan memekik.

Sebuah kisah yang penuh pancaroba, ranjau sepanjang jalan. Hidup sememangnya begitu. Selalunya susah, senang cuma sekali-sekala.

Tahniah kepada penulis Shahnon Ahmad, walaupun buku ini sudah lama, tapi baru kini saya berkesempatan membacanya. Alhamdulillah.

Saya suka cara tulisan dan lenggok bahasanya. Jelas dan terus menyentuh ke hati, mudah untuk meresap ke jiwa.

Sebelum meneruskan bacaan, saya sempat membaca sinopsis pada kulit belakang novel, "Lahuma dijemput menghadap Ilahi." Jadi saya awal-awal sudah tahu bahawa dalam novel itu, Lahuma akan mati.

Dek cara penulisan yang terlalu menyentuh, seolah-olah hidup di depan mata, sakit yang di rasa oleh watak-watak dalam buku turut saya rasai, membuatkan saya penasaran, resah, gelisah membaca dari muka surat ke muka surat. Saya risau bertembung dengan muka surat di mana Lahuma menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kerana saya takut saya juga terikut sedih akibat kehilangan insan yang disayangi. Sedang Lahuma terpijak duri nibung, kaki ini terasa sakitnya, apatah lagi seandainya Lahuma di jemput menghadap Ilahi?

Begitu sekali impaknya. Sekali lagi sekalung tahniah kepada penulis.

Harapan saya, moga lebih ramai penulis seperti beliau terus dilahirkan. Bukan penulis yang mengejar keuntungan dan populariti semata-mata. Banyak di pasaran, novel kisah cinta antara adam dan hawa, tapi buku ini, "Ranjau Sepanjang Jalan" sememangnya lain dari yang lain.

Jangan lepaskan peluang, jom baca! ^_^

Saturday, May 1, 2010

Seloka Bila Cinta Sudah Mati

Bila cinta sudah goyah,
Yang cantik jadi huduh,
Yang mudah jadi payah,
Yang kuat jadi lemah.

Bila cinta sudah hilang,
Yang gemuk tinggal tulang,
Dah beri mintak pulang,
Silap-silap tumbuk melayang.

Bila cinta sudah tiada,
Semua benda jadi lupa,
Segala janji takde makna,
Dulu lain sekarang tak serupa.

Bila cinta sudah mati,
Asal nampak terus cabut lari,
Buat apa pun sakit hati,
Cakap 'i love u' pun buat tak reti.

Itulah cinta sesama manusia.
Bukan rekaan, bukan rahsia.