+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, June 11, 2009

Aku atau Dia??

Gua ini sangat gelap, aku duduk di satu sisi, mengenang nasib diri, aku sedang terluka, masih mengalirkan darah merah. Aku baru saja terjatuh dek tersepak akar. Mungkinkah kerana aku cuai, atau mungkin kerana aku terlalu leka mendongak ke langit hingga terlupa tanah tempat aku berpijak. Atau mungkin juga kerana aku dalam kegelapan yang nyata. Tiada cahaya walau sekelumit, jalanku di hadapan masih jauh namun aku buntu tidak tahu berbuat apa. Tiada haluan tiada panduan. Argh!

Suasana sunyi bertukar rupa apabila dia datang tanpa diundang. Tiba-tiba dia datang mengganggu aku yang sedang merenung diri . Dia tidak pernah senang melihat aku sendirian. Pantang ada peluang pasti mengambil kesempatan, kesempatan untuk menyakiti hati aku, kesempatan untuk menambahkan lagi sakit di kepalaku, kesempatan untuk membuat aku makin keliru, resah, gelisah dan serba salah. Aduh. Dia memang selalu begitu, aku sudah lama mengenalinya, aku sudah arif benar dengan peelnya, kadang-kala, terbit rasa benci terhadap dia. Namun ada kalanya, aku pernah juga termakan pujuk rayunya. Dia.. Datang dan pergi, sentiasa mencari peluang untuk berperang dengan aku. Mencari titik kelemahan diri aku.

Aku cuba untuk tidak mengendahkannya. Tidak mempedulikan kehadirannya. Namun dia tidak berpuas hati melihat keletah aku lalu terus memulakan bicaranya, meluahkan kata umpama menusuk duri ke jantung hatiku. Aduh.. Dia tetap sama tidak berubah, masih serupa.. Selalu menyakitkan hati dan akalku.

“How nonsense, kau memang bodoh, buang masa, buang tenaga bergaul dengan budak-budak baru mengenal dunia. Tengok, kau berdarah kerana mereka!” Dia membuka mulut meluah butir bicara walau tanpa disuruh. Dia sengaja memanaskan hati aku yang sememangnya sedang panas mendidih. Aku tiada minat untuk melayaninya bersembang. Aku biarkan saja dia di situ, sedikit pun aku tidak endahkan. Namun dia seolah-olah tidak berpuas hati dengan reaksi aku, terus menyimbah minyak ke dalam api yang sedang membara di hati ku.

“ Kau siapa, mereka siapa? Kau dah lalui pelbagai onak duri kehidupan, mereka masih mentah, baru belajar merangkak, apalah mereka tahu tentang makna kehidupan? Kau Cuma membuang masa saja!”

“Kerana aku tahu mereka tidak tahu, maka aku masih di sini. Kerana aku pernah berjalan, berlari dan pernah terjatuh, maka aku ingin memimpin tangan mereka agar tidak terjatuh di tempat yang sama. Kau tak perlu berhujah di sini. Aku yakin dengan apa yang sedang aku lakukan!” Aku sudah tidak mampu bertahan, lalu aku meluahkan isi hati yang terpendam.

“Apa yang kau yakin?? Kau siapa? Mereka siapa? Kau jurutera, kau dah ada kehidupan kau sendiri, ada gaji, ada increment, dapat bonus setiap tahun, yang kau susahkan diri untuk mereka kerana apa? Apa kau dapat? Duit? Pangkat? Popular? Atau apa?? Apa mereka boleh berikan pada engkau? Sampah! Kau tak untung apa-apa. Kau Cuma membuang masa.. Kau membuat sesuatu yang sia-sia malah merugikan kau sendiri.. Sudahlah, hentikan kerja karut kau nih!” Dia masih belum berpuas hati. Masih lagi mahu memusnahkan kudrat sebesar kuman yang masih bersarang di dada ini.

Sungguh tajam kata-kata itu menggigit telingaku sehingga menusuk terus ke dasar jantungku. Muka ku merah menahan amarah. Ingin saja aku menumbuk dia, biar dia tahu betapa aku tidak suka butir bicaranya. Ingin juga aku tenyeh-tenyeh mulutnya dengan cabai, biar dia tahu hatiku juga pedih mendengar kata-katanya itu. Dia memang takkan berpuas hati selagi aku tidak mengaku kalah. Dia akan terus menyakiti aku lagi dan lagi, sehingga aku benar-benar tidak berdaya, lalu akur pada kehendaknya.

Namun kali ini dia mungkin tersilap perhitungan. Aku bukanlah manusia sama yang pernah dia kenali dulu, yang mudah mengalah, tidak! Aku sudah berubah, seiring dengan peredaran masa. Aku juga ada prinsip dan matlamat aku yang tersendiri, kata lah dia nak kata apa, sedikit pun tidak menjejaskan aku . Aku masih berpegang pada paksi yang asal.

“Memang aku tak diberi ganjaran duit, tapi tak mengapa kerana aku idamkan syurga! Aku tak kejar pangkat kerana aku sedar ia tidak lebih dari sekadar memikul amanah! Ah, ada apa dengan popular, siapa aku yang sebenar pun tak ramai yang tahu. Untuk apa popular? Kalau hanya untuk menambahkan lagi bebanan amanah? Aku tak perlukan apa-apa balasan daripada mereka kerana aku ikhlas dalam memberi. Terserah kepada semua orang untuk menilai. Aku lebih tahu apa yang aku sedang lakukan dan aku juga percaya, Allah juga tahu. Hanya itu yang aku harapkan. Dalam memberi jangan mengharapkan balasan. Jika tidak, kelak kita akan kecewa, aku sudah maklum, aku sudah arif, aku sudah bersedia menghadapi segala natijah, aku kental." Aku bermonolog pula. Dan aku tahu dia mendengarnya.

"Kau yakin kau dapat ganjaran syurga? Kalau di kalangan mereka ada yang membenci kau!" Dia masih lagi gah dengan niatnya untuk menggoncang semangat aku, dia masih belum mahu mengalah. Aku mengetap bibir menahan rasa. Mataku mula berkaca-kaca, perasaanku tiba-tiba bertukar sebak pula.

Benar juga apa yang dia katakan, selama aku bersama mereka, tak semua yang senang dengan aku, malahan ada yang membenci ku, menaruh dendam terhadapku barangkali. Apa yang aku lakukan, ada saja yang tidak kena. Malah menuduh aku dengan pelbagai tuduhan yang sedikit pun tidak pernah terlintas dalam benakku. Mereka tidak menghargai sedikit pun malah melukai hati aku dengan kesilapan serupa, mengguris hati aku dengan tuduhan yang tidak berasas, benci benarkah mereka terhadap aku?

Benarkah mereka akan lebih gembira dan bahagia jika aku tiada lagi? Mungkin benar, aku tidak mungkin mendapat ganjaran pahala.. takut juga dosa yang aku dapat, dosa kerana membuat mereka benci kepadaku.. Aduh.. aku menutup muka ku dengan kedua belah tanganku. Kepalaku sarat dengan pelbagai pertelingkahan. Semuanya gara-gara dia yang galak menguji keimanan aku. Aku sepi seketika sebelum akhirnya aku bersuara lagi.

"Tidak mengapa di benci manusia, aku tidak peduli, jangan di benci Tuhan, kerana kelak tiada siapa yang akan kasihkan kita!" Tiba-tiba aku mendapat kekuatan untuk meluahkan kata-kata itu. Kata-kata yang akhirnya mampu membangkitkan semula semangatku yang baru saja luntur sekejap tadi. Aku tersenyum puas. Yakin dengan apa yang baru sahaja aku lafazkan.

Dia terdiam. Mungkin mencari akal untuk membuat serangan balas.. Aku bingkas bangun. Aku biarkan sahaja dia di situ kerana kau tahu, walau sesukar mana aku menghalau dia pergi, dia pasti kembali lagi dengan citanya membinasakan semangat aku. Kali ini, untuk seketika detik, aku mendapat kemenangan itu, dan barangkali, selepas ini, dia akan kembali menyerang aku. Aku harus persiapkan diri, aku tidak boleh biarkan dia menang, walau apa pun.

Dia memandang aku dengan pandangan matanya yang tajam, masih tidak mahu berganjak pergi.. Dan aku sekadar membalas panahan matanya dengan sebuah senyuman.. Aku senang hati, aku yakin dengan apa yang sedang aku lakukan.

Semoga Allah bersamaku, walau apa jua dugaan mendatang, aku tidak akan mengalah sebegitu mudah.. Berikan aku kekuatan Ya Tuhan, agar aku yakin dan percaya, jalan yang di pilih ini adalah jalan yang terbaik. Lindungilah aku Tuhan, selamatkan juga aku di dunia dan akhirat.

Amin ya rabbal alamin..
Dia masih galak menyimbah racun pada luka yang masih berdarah. Kata-katanya menyakitkan hatiku. Aku tidak boleh diam saja, aku tidak boleh berpeluk tubuh, aku harus suarakan apa yang terpendam di hati, ahh..

Wednesday, June 10, 2009

Pembangkang Itu Perlu Di Mana-Mana Saja.

Assalamualaikum wbt..

Saya tertarik dengan keratan akhbar ini, kenyataan mantan Perdana Menteri:

Pembangkang tetap perlu: Dr M

SHAH ALAM: Kerajaan perpaduan berasaskan satu parti pemerintah tanpa pembangkang, tidak baik untuk politik negara, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, negara memerlukan pembangkang bagi memberi keseimbangan terhadap pentadbiran kerajaan yang memerintah supaya ada pihak membuat teguran.

"Ini sesuatu yang tidak sihat... tanpa pembangkang adalah umpama seseorang itu tidak mempunyai cermin untuk melihat sama ada dia cantik atau tidak," katanya selepas merasmikan pelancaran dan demonstrasi produk petroleum dari sisa plastik oleh Greenbase Utama Sdn Bhd di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, Pas juga perlu memperjelaskan maksud kerajaan perpaduan bagi mengelakkan kekeliruan yang kerjasama dicadangkan itu hanya membabitkan satu kaum.

Beliau berkata, cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum jelas sama ada kerajaan perpaduan itu hanya membabitkan Pas dan Umno serta tidak pihak lain.

"Jika begitu tidak baguslah, jika mahu perpaduan tidak bolehlah antara Melayu dan Melayu saja, nanti kaum Cina akan berpakat dengan Cina pula, begitu juga kaum India.

"Ini akan menyebabkan kita makin berpecah," katanya

Dr Mahathir juga berkata, kerajaan perpaduan tidak mendapat sokongan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menyebabkan Pas bergerak berseorangan ke arah melaksanakan impiannya.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim pula membidas sikap DAP dan PKR yang tidak setuju dengan tindakan Pas untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

Rais berkata, beliau percaya Pas mempunyai pendirian sendiri dan berpendapat DAP serta PKR tidak perlu memberi nasihat kepada Pas.


Persoalan:

1) Benarkah PAS bergerak seorang diri?
2) Wajarkah PAS bergabung dengan UMNO?
3) Pembangkang itu perlu, kalau PAS+UMNO, siapa pembangkang?
4) Apakah ciri-ciri pembangkang yang baik?
5) Jika pembangkang tiada, apakah impaknya?

Jom, aplikasikan ke dalam dunia forum pula.. pembangkang itu memang perlu supaya dapat check and balance, kadang-kadang kita susah nak nampak kesalahan sendiri, maka dengan itulah, kita perlukan pandangan orang lain, yang mungkin berbeza cara memikir dan menilai agar dapat mencapai solusi yang terbaik.

Dalam memberi pendapat, tiada siapa pun yang benar atau salah. Namun, memaksa orang lain menerima pendapat kita adalah suatu sikap yang sangatlah tidak wajar dan patut dijauhi. Berlapang dada dan berbaik sangka selalu. Optimis dan positif. InsyaAllah, walau apa jua kejadian, pasti ada hikmah yg tersembunyi, wallahua'lam.

Tuesday, June 9, 2009

Jika Tiada Lebih Baik Siri 2

Assalamualaikum wbt..

Merujuk kepada entri ini... sukacita saya ingin memaklumkan, mulai hari ini, acces internet ke komputer saya di tempat kerja sudah dihentikan. Entah kali ke berapa saya memohon agar dihentikan, akhirnya hari ini terlaksana sudah.. Alhamdulillah, walaupun hati ini terasa berat, tapi saya optimis, positif jika tiada lebih baik.. ^_^

Arakian dengan itu, penglibatan saya dalam dunia maya juga pastinya akan berkurangan. Namun begitu, insyaAllah, semampu dan seboleh upaya saya, saya akan cuba yang terbaik agar blog ini tidak bersawang tidak terupdate. Dan tugas sebagai moderator forum juga akan saya cuba laksanakan sebaik mungkin selagi saya mampu, insyaAllah..

Kepada semua yang berkenaan, yang sering hantar PM dan emel, serta reply di blog ini, terima kasih banyak-banyak. Terima kasih atas sokongan kalian, saya benar2 hargai. Teruskan bersama saya, jika ada sebarang persoalan (yang mampu saya jawab) boleh ajukan ke kotak emel saya, skyredbutterfly@gmail.com. InsyaAllah jika ada kelapangan, saya akan membalasnya, moga Allah izinkan.

Sekian dulu untuk kali ini.. Segala salah dan silap, terkasar bahasa mohon dimaafkan yer, saya cuma insan biasa yang ada banyak kelemahan. Hingga bertemu lagi.

Wassalam.

Monday, June 8, 2009

Terlalu Cinta.

Rossa – Terlalu Cinta

Jangan dekat atau jangan datang kepadaku lagi
Aku semakin tersiksa karena tak memilikimu
Kucuba jalani hari dengan pengganti dirimu
Tapi hatiku selalu berpihak lagi padamu

Mengapa semua ini terjadi kepadaku

Tuhan maafkan diri ini
Yang tak pernah bisa menjauh dari angan tentangnya
Namun apalah daya ini
Bila ternyata sesungguhnya aku terlalu cinta dia…

Tapi hatiku selalu berpihak lagi padamu
Mengapa semua ini terjadi kepadaku

Tuhan maafkan diri ini
Yang tak pernah bisa menjauh dari angan tentangnya
Namun apalah daya ini
Bila ternyata sesungguhnya aku terlalu cinta dia

Mengapa semua ini terjadi kepadaku

Tuhan maafkan diri ini
Yang tak pernah bisa menjauh dari angan tentangnya
Namun apalah daya ini
Bila ternyata sesungguhnya aku terlalu cinta dia…

Aku terlalu cinta dia…

Assalamualaikum wbt..

Lirik lagu di atas tiada kena mengena dengan saya, dan mungkin tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. Cuma, ketika sedang 'blog walking' saya terjumpa satu blog, di dalamnya ada entri, cerpen mengenai seorang wanita yang menolak pinangan dari pihak lelaki kerana hatinya telah terjatuh suka kepada seorang lagi hamba Allah yang lain, mungkin kisah itu sekadar rekaan, namun saya percaya, dalam realiti, tidak mustahil ada juga yang melalui cobaan dan ujian sedemikian. Buktinya, di ruangan Tanya Dr Cinta di iLuvislam, ada muslimah yang turut ajukan soalan yang serupa.. Dan di kalangan sahabat saya sendiri, ada yang menangguh pernikahan (tolak pinangan) kerana hati sudah terjatuh suka kepada muslimin yang lain.

Ada apa dengan cinta? Kenapa kita terlalu yakin dengan cinta kita? Ada apa dengan cinta? Kenapa kita terlalu inginkan ia menjadi milik kita? Yakinkah kita akan bahagia dengan cinta itu? Yakinkah kita pasti bahagia setelah memiliki cinta itu? Dan yakinkah kita, bahawa dia sememangnya tercipta untuk kita? Bagaimana kita boleh meyakininya sedangkan ketentuan qada' dan qadar Tuhan, hanya Dia yang tahu!

Kadangkala, sesuatu yang kita sangka baik itu tidak semestinya baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya. Madu jangan terus ditelan dan hempedu jangan terus dibuang, siapa tahu, di sebalik kepahitan itu akan ada manis yang tersembunyi dan siapa tahu, di sebalik manis itu mungkin tersimpan sejuta duka yang setia menanti? Tiada siapa yang tahu kecuali Dia yang Esa. Oleh itu, jangan terlalu mudah membuat keputusan tanpa memikirkan kesan baik buruknya terlebih dahulu. Usah bertanya kepada dada tapi tanyalah iman, insyaAllah, jawapan yang bakal diperolehi itulah yang terbaik.

Terlalu cinta.. Suatu 'tragedi' yang sering menimpa kita sebagai hamba yang punyai perasaan dan nafsu. Terlalu cinta.. Sehingga terlupa bahawa diri dan hati ini milik Dia yang Esa. Menangis dan merintih kerana tidak dapat memiliki si dia. Menangis merintih kerana mengharapkan belas dan kasih dari si dia. Menangis dan merintih kerana memikirkan masa hadapan tanpa dia di sisi. Menangis merintih takut seandainya diri ini tidak dicintainya sebagaimana diri ini menyintainya.. Aduhai...

Kerana terlalu cinta kepada seseorang, kita sanggup menolak segala pinangan. Ya, kerana terlalu cinta dan terlalu yakin diri ini tercipta untuknya. Kerana percaya diri ini tercipta untuknya dan dia juga tercipta untuk kita! Subhanallah, alhamdulillah, Allahuakbar.. Astaghfirullahalazim... Beratnya dugaan mendatang.. Sampai bila bahu sanggup memikul? Sungguh, menolak pinangan dari lelaki yang baik agama dan akhlaknya bukanlah suatu keputusan yang bijak dan tidak wajar di lakukan. Gantunglah harapan kepada Allah, mohonlah petunjuk hanya dari Dia. Jangan terlalu mudah mengikut kata hati kerana bila diri terlalu cinta, kadangkala akal gagal membuat keputusan yang wajar. Tidak rasional dan terlalu mengikut emosi.

Pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih... Tapi, jikalau hati telah dipengaruhi perasaan 'terlalu cinta', adakah hati itu masih boleh di takrifkan sebagai bersih? Wallahua'alam.

Jika berhadapan dengan dua pilihan, hendaklah kita melakukan istiqarah, tapi bila hati terlalu cinta, kadang-kadang ia mampu mengaburi petunjuk dari Ilahi. Jangan mengalah, jangan mudah berputus asa. Mohon restu dan nasihat dari ibu dan ayah, mereka yang melahirkan dan membesarkan kita, pasti mahukan yang terbaik untuk kita. Boleh juga serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan yang terbaik, pastinya mereka juga akan memohon petunjuk dari Allah, dan mudah-mudahan, istiqarah yang tidak di bayangi perasaan terlalu cinta bakal mendapat petunjuk yang terbaik.

Sekian dulu untuk kali ini, mana yang baik elok dijadikan tauladan yang buruk, harap dijadikan sempadan. Wassalam..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sunday, June 7, 2009

Bila Monitor dan Keyboard Bersatu.

Monitor ditatap sesungguh hatiku, kaku. Mulanya ada sesuatu yang ingin dicatatkan namun setelah siap di hadapan monitor, kesepuluh-sepuluh jari ini sekadar tersusun di atas keyboard, cuma berdiam kaku. Mata ini masih lagi terpaku menatap skrin. Kosong. Jari ini masih berkira-kira dan teragak-agak, tidak bergerak. Masih tidak bisa menari-nari menekan-nekan butang di atas keyboard. Irama belum bergema. Lagu belum tercipta. Kaku, masih menunggu arahan dari 'bos'...Diam seketika, sepi lagi...

"Ah..'bos' buntu pula saat ini, tadi sepanjang memandu kononnya idea berlumba-lumba ingin melompat keluar, nah! sekarang monitor di hadapan mata, keyboard juga sudah ada, tunggu apa lagi???" Semua 'pekerja-pekerja tidak bergaji' akhirnya merungut. Adeii..Aku lalu menggenggam jari jemari ku, kemas. Aku harus menulis, paling tidak, sedikit pun jadilah..

Demikian al-kisah, betapa kata hati dan akal ini beku saat ini. Berperang sesama mereka. Hati, naluri, akal dan seluruh anggota tubuh ini. Berteka-teki. Menanti arahan selanjutnya, harus bagaimana huruf disusun, ayat diatur, kata diluahkan tanpa suara, agar cerita hati dapat disampaikan kepada insan-insan yang sudi meluang masa membaca coretan di teratak buruk ini. Kelu. Sepi. Harus bagaimana? Jika sebelum ini saya selalu menulis, meluahkan apa yang terpendam di hati, terlintas difikiran. Kali ini perasaan ini diulit resah. Gundah gulana, berkecamuk..

Jarang benar saya membuat kajian terlebih dulu atau merujuk kepada mana-mana sumber rujukan. Kecuali bila perlu menggunakan petikan ayat Quran barulah saya membuka buku tafsiran. Pernah juga saya menaip entri blog sambil tertidur, terjaga kemudian menyambung lagi sehingga ke perenggan penamat, lalu menutup laptop dan menyambung tidur.. Aduh..adakah saya tidak serius? Atau bagaimana perkataan yang lebih elok dan sesuai untuk gambarkan sikap saya? Kuantiti kian bertambah, tapi bagaimana dengan kualiti? Saya harus merenung kembali, bermuhasabah diri semula..

Jika dulu, saya menulis untuk meluahkan rasa hati, memujuk jiwa ini, mengingatkan diri sendiri dengan kata-kata semangat agar sentiasa teguh berdiri dan berlari. Memujuk diri sendiri..Jika bukan kita, siapa lagi? Kerana hanya Allah dan kita sahaja yang tahu, apa yang hati dan jiwa ini perlukan dalam meneruskan kehidupan. Kita yang lebih tahu apa yang menggembirakan diri kita dan apa yang sebaliknya, maka dengan alasan itu juga, sering saya ulangkan ke dalam jiwa ini, "kalau bukan aku yang pujuk diri aku, siapa lagi?" Lalu terhasillah blog ini. Luahan kata ukiran jiwa. Dari jiwa yang gagah perkasa kepada jiwa yang sedang gundah gulana. Dari aku untuk aku..

Benarlah kite cuma merancang, Allah jua yang Maha Mengetahui. Tanpa saya duga, pengunjung blog ini kian ramai. Angka di kotak VVIP kian meningkat.. Subhanallah. Terkelu diri ini. Hingga detik ini, jumlahnya kurang satu mencukupi 100. Sungguh, ada rasa takut dalam diri ini. Kenapa mereka di situ? Mahu apa?

Ya Allah..saya rasa takut. Takut anda saya mengecewakan mereka. Takut andai saya tidak dapat memberi apa yang mereka mahukan. Takut andai saya terkilas lidah tersilap bicara. Takut andai saya menulis lalu berkongsi fakta yang salah. Sungguh, saya takut.. Tuhan sedang menghitung dan sentiasa menghitung. Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Saya impikan ganjaran pahala namun saya juga takut andai apa yang bakal saya perolehi adalah sebaliknya.

Mahu Ke Mana?

Kekuatan atau kelemahan. Positif atau negatif? Saya sepatutnya mempunyaijawapannya. Saya seharusnya tahu bagaimana mengemudi bahtera kapal ini kerana saya nakhodanya. Saya tidak mahu biarkan bahtera saya sesat, atau hanyut tanpa arah. Saya tidak ingin biarkan bahtera ini karam atau binasa. Saya tidak sanggup biarkan anak-anak kapal mati kehausan. Air laut tidak akan kekeringan namun untuk meneruskan hidup, anak-anak kapal tidak mungkin boleh meminum air yang masin. Saya harus bijak, agar anak-anak kapal ini terbela dan tidak pula meminum air yang masin, bagaimana..bagaimana...bagaimana?

Berfikir lagi dan lagi, jangan berhenti wahai Hasniza. Berkatalah yang benar dan yang baik sahaja, atau jika tidak, lebih baik kau diam. Terlajak perahu masih bisa di undur, terlajak kata dan laku tak mungkin boleh dipadam lagi. Mungkin kita boleh melupakan tapi untuk mengandaikan orang lain juga serupa dengan kita adalah suatu yang tidak wajar dan mustahil. Semoga apa yang kau kongsikan, mampu memberi manfaat kepada insan yang lain, jangan sekadar menulis omongan kosong atau mengukir coretan sampah. Jika tidak, kau bakal tergolong dalam golongan yang rugi, yang tidak reti memanfaatkan anugerah Tuhan. Segalanya pinjaman, segalanya sementara, bila tiba masanya, semuanya akan sirna. Oleh itu, janganlah kau leka, jangan alpa. Dan jangan pula tersilap langkah.

Antara Keyboard dan Monitor

Silakanlah..
Menarilah wahai jari jemariku.
Ukirkanlah ayat-ayat yang terindah.
Luahkanlah segala resah dan gundah.
Biar menjadi sejarah terindah.

Ada hasrat berbisik tanpa suara.
Lafazkanlah dengan setulus hatimu.
Biar jari-jari ini mengukir makna.
Bisu tanpa nada, tanpa suara.

Bila keyboard dan monitor bersatu.
Lalu akal dan hati bersepakat.
Mata dan jari mengangkat ikrar.
Bersumpah setia menyumbang bakti.

Mencari sebuah destinasi.
Ke barat, ke timur, ke selatan, ke utara.
Masih tidak ku ketemui.
Di manakah destinasi aku?
Semoga sampai syurga.

Amin ya rabbal alamin