+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, May 23, 2018

Bukan Senang Mahu Senang

Fakta berdasarkan pengalaman hidup sendiri.

1. Kelas corot biasanya pelajar dari keluarga miskin
2. Mak ayah seolah2 tidak faham bahawa pendidikan boleh ubah nasib keluarga.

Dua fakta ni sangat tepat, berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri, juga mereka di sekitar saya.



Saya asalnya daripada keluarga yang miskin. Tahun 90an jarang benar rumah di kampung saya bercahayakan pelita, tapi, rumah saya begitulah.

Tak ada elektrik, sehingga saya tingkatan 3, tahun 1997 baru merasa lampu eletrik, itupun belas ehsan jiran sebelah rumah. Kami mandi perigi atau mandi di sungai. Kami masak guna dapur kayu.

Sering juga di UTM dulu saya berkongsi kisah hidup dengan rakan sekelas, kata mereka, 'alah, mak saya dulu pun macam tu juga. Ya. Macam. Tapi mak awak membesar tahun 60an atau 70an, tapi saya membesar tahun 90an.

Mak ayah awak tak hidup dikelilingi jiran yang dah ada kereta, yang kat rumah mereka ada tv, boleh main game, yang mak atau ayah mereka ada kerja/makan gaji, yang selalu beli baju baru.

Mak ayah saya dulu susah, dan seperti lazimnya, orang miskin tak pentingkan pendidikan.

Iyalah. Nak makan pun susah, apatah lagi nak belajar?

Allah punya kuasa. Kesusahan mematangkan saya sangat cepat.

Ketika di darjah satu, saya minat ke sekolah. Saya suka membaca. Walaupun baju buruk kasut buruk, saya semangat bangun pagi untuk pergi ke sekolah. Saya tak suka ponteng sekolah, takut terlepas apa yang cikgu ajar.

Alhamdulillah. UPSR dpt 3A, mathematics dpt C mungkin sebab cuak kena 'tangkap' oleh pengawas periksa sebab bagi kawan sebelah tiru 😂

Naik tingkatan 1, saya makin rajin belajar. Dalam tingkatan ada 10 kelas, saya sentiasa di kelas pertama. Dan dalam kelas pertama tu, kedudukan saya tak pernah lebih drp no 10.

Alhamdulillah. Walaupun dalam kesusahan, dalam peperiksaan PMR, saya dapat semua A. Dan dari situ, jiran-jiran nampak potensi saya dan mula menyokong saya.

Aturan Allah sangat indah. Saya dikelilingi jiran-jiran yang sangat baik. Yang sampai bila-bila pun akan saya kenang jasa baik mereka.

Saya sambung pengajian ke MRSM.

Betullah. Orang miskin memang tak pentingkan pendidikan. Iyalah. Mak ayah belajar sekolah rendah pun tak habis. Apa mereka tahu tentang peperiksaan, tentang sekolah asrama, tentang universiti?

Saya sendiri yang isi borang memohon ke MRSM. Saya sendiri pergi ambil peperiksaan untuk ke MRSM. Dan apabila keputusan keluar, tawaran ke MRSM Serting nun jauh di negeri Sembilan, mak dan ayah keberatan.

Dan disinilah jiran-jiran mula memainkan peranan mereka.

Mereka pujuk mak ayah supaya benarkan saya belajar asrama. Mereka tidak lokek duit, tenaga dan masa untuk hantar saya ke asrama. Orang kampung yang tak pernah jauh dari keluarga, bukan pengalaman yang mudah untuk untuk saya lalui.

Seminggu dua juga saya menangis setiap malam rindukan keluarga, kampung halaman. Tiap kali makan yang enak di asrama, terkenang adik-adik di rumah entah apa yang mereka makan.

Biasanya di rumah cuma makan nasi dengan ikan masin. Atau nasi diletak air dengan gula. Atau kadang-kadang nasi dengan budu saja.

Di asrama makanan saya sedap-sedap. Hidup sangat selesa tak perlu fikir apa, cuma SPM. Dua tahun di MRSM, lansung tidur saya tiada mimpi. Sungguh. Saya berhenti bermimpi sepanjang dua tahun di MRSM.

Hidup umpama robot. Tidur jam 11 malam, bangun jam 5 pagi. Setiap hari. Rutin. Namun alhamdulillah, demi mengubah nasib keluarga, saya belajar bersungguh-sungguh dan dapat semua A dalam SPM..

Kenapa bersungguh sangat belajar? Kerana nak ubah nasib keluarga. dan saya sedar, saya miskin, kalau keputusan tak cemerlang susah nak dapatkan biasiswa. Tanpa biasiswa, sukar untuk saya sambung pengajian.

Allah permudahkan. Alhamdulillah. Dapat tajaan sepenuhnya daripada JPA. Dan dengan adanya pendidikan, alhamdulillah, saya berjaya keluar daripada kemiskinan, walaupun tak kaya.




Hingga kini, depan mata saya, saya lihat bahawa kemiskinan itu masih lagi diwarisi daripada emak ayah kepada anak-anak.

Saya sedih. Kerana saya tahu, ia bukanlah suatu 'kewajipan' yang perlu diwarisi. Dan saya sendiri menjadi bukti bahawa kemiskinan itu bukanlah 'harta pusaka' yang wajib diwarisi.

Di zaman serba canggih ni, seharusnya minda emak ayah terbuka. Dan anak-anak pula perlu disedarkan seawal yang mungkin bahawa nasib mereka boleh diubah menjadi lebih baik dengan adanya ilmu pengetahuan.

Cinta ilmu. Suka membaca. Cinta sekolah. Minat belajar. Mahu berubah.
Ini yang perlu dipupuk sejak dari kecil. Walau semiskin mana pun kita.

Dimana ada kemahuan, insyaAllah, Allah akan bukakan jalan. Dengan izinNya.



#Post ini saya copy dari FB saya

No comments: