+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, October 31, 2010

Jangan Kerana Cinta

Jatuh cinta itu indah, lagi indah sekiranya cinta itu jatuh dan tumpah kepada 'orang' yang tepat untuk dicintai, 'orang' yang berhak dicintai, 'orang' yang layak dicintai, dan 'orang' yang turut mencintai kita sepertimana cintanya kita kepada 'dia'.

Benarlah cinta Allah adalah cinta yang teragung. Cinta hakiki. Cinta abadi. Namun Allah juga berfirman dalam Surah Ar-Ruum Ayat 21 yang bermaksud;

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Maha Suci Allah. Setiap manusia yang normal tentunya perlukan cinta namun soalnya, bagaimana mendapat cinta yang 'tepat'? Haruskah hanya dengan menunggu atau patutkah kita mencari? Bilakah masa yang sesuai untuk memupuk dan menyemai perasaan cinta dan kepada siapakah cinta itu patut dicurahkan? Keliru mencari jawapan.

Tanpa lelaki bergelar suami, seorang wanita terasa kekurangan. Tanpa wanita bergelar isteri lelaki bagaikan tidak sempurna. Sesungguhnya lelaki dan wanita itu saling memerlukan dan saling melengkapi, sesuai dengan fitrah yang diciptakan oleh Ilahi. Sebagaimana Adam memerlukan Hawa biarpun di syurga semuanya indah belaka. Apatah lagi di dunia yang penuh cubaan dan dugaan ini.

Cinta adalah suci. Cinta adalah fitrah. Cinta adalah suatu anugerah yang diciptakan oleh Sang Pencipta dan seharusnya cinta layak dimuliakan. Sang Pencinta seharusnya dipandang tinggi dan bukan dipandang hina. Sang Pencinta seharusnya berbahagia bukan sahaja ketika hidupnya di dunia, tapi juga di akhirat.

Namun sayangnya, kerana cinta, manusia selalu lupa dan alpa. Cenderung untuk melakukan kemaksiatan dan mengingkari perintah Tuhan.. Cinta sering disalah tafsir, di salah guna dan menjadi penyebab manusia kian menjauhi Tuhan. Mereka melupakan soal syurga dan neraka. Membuat kemungkaran atas nama cinta. Sang Pencinta menjadi hina dina.

Atas nama cinta segalanya dihalalkan. Atas nama cinta, Para Pencinta malahan sanggup berzina. Itu yang terjadi, biarpun atas nama cinta, kerana cinta itu hanyalah cinta yang berlandaskan nafsu, bertuhankan syaitan. Cinta yang serong hanya mampu memakan diri dan membinasakan. Mengundang kemurkaan Allah dan menempah tempat di neraka. Naauzubillahiminzalik.

Kita juga tidak akan terkecuali. Hari ini atau esok, saat itu pasti tiba. Detik di mana rasa cinta itu terbit dari dalam jiwa. Atau dilontarkan oleh-Nya ke dalam sanubari kita. Bagaimanakah agaknya 'rupa' cinta kita kelak? Cinta yang melayakkan kita ke syurga atau sebaliknya? Cinta yang diredhai dan direstui Allah atau bagaimana?

Sabarlah menanti. Saat itu pasti tiba. Dan semoga, bila ianya hadir, kita tidak gentar dan tidak lemah. Teruslah mara melangkah dengan gah, berpimpin tangan dengan 'dia' yang dicintai, teruslah hingga ke syurga. Jangan kerana cinta, kita merana. Berbahagialah kerana dicintai dan mencintai. Kerana cinta itu indah.

Wallahua'alam.


Thursday, October 28, 2010

Mahkota Dijulang

~*Puteriku Sayang*~

Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana,
Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama.

Tiada siapapun akan boleh merampasnya,
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri.

-Hijaz-


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah Tuhan masih memberi keizinan untuk saya mencoret sepatah dua kata di teratak buruk ini. Semoga dengan perkongsian kali ini, kita sama-sama dapat muhasabah diri dan insyaAllah, saling mengingati dan cuba untuk perbaiki diri kita. InsyaAllah.

Entri kali ini, mungkin lebih sesuai untuk kaum hawa, sahabat muslimah yang di kasihi Allah. Namun tiada salahnya andai anda sebagai kaum adam untuk ikut serta menelaah perkongsian kali ini. Moga-moga bermanfaat untuk kita sebagai anak perempuan, sebagai ibu, sebagai seorang kakak atau sebagai seorang isteri. Dan moga turut bermanfaat kepada anda yang bertanggungjawab ke atas anak perempuan anda, ibu anda, kakak anda mahupun isteri anda, insyaAllah. Moga Tuhan mengizinkan.

Paling mudah namun paling sukar. Menutup aurat.

Seperti yang ramai tahu. Melalui penulisan saya sebelum ini atau mungkin melalui perkongsian pengalaman menjadi kenalan saya di alam nyata, saya bukanlah 'semulajadi' bertutup litup mahupun bertudung labuh. Saya juga pernah melalui zaman remaja, pernah berasa bangga dengan anugerah yang Allah pinjamkan kepada saya. Waktu itu saya lupa soal dosa dan pahala. Dan di fikiran saya, mungkin juga anda..

"Rambut aku cantik, kenapa harus disembunyikan?"

"Body aku lawa, pakai ketat macam ni mesti ramai orang pandang"

Allahu Allah. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Berilah keampunan-Mu Ya Rabbi. Tanpa keampunan-Mu sungguh aku tergolong dalam golongan yang merugi...
Astagfirullahazim.

Adik-adik, kakak-kakak, sahabat-sahabat dan yang paling utama, diri ini sendiri. Peringatan ini untuk kita.

Pernahkah kita terfikir, siapakah yang menciptakan jasad kita? Mata kita yang cantik menawan, bibir kita yang merah merekah, hidung kita yang mancung, rambut kita yang penuh pesona, lenggok tubuh kita yang menggiurkan?

Siapa yang Maha Mencipta?

Dan pernahkah kita terfikir, semuanya itu adalah pinjaman dari-Nya semata-mata. Dia yang memberi dan Dia juga yang berhak mengambilnya semula, bila-bila masa yang Dia kehendaki. Kun fayakun, maka jadilah seperti mana yang dikehendaki Allah Yang Maha Berkuasa.

Jadi, apa yang tinggal? Apa yang sebenar-benarnya milik kita?

Tubuh badan yang menggiurkan, lama kelamaan akan susut, kita makin tua. Rambut yang menawan, lama kelamaan akan putih beruban. Kulit kita yang putih melepak, tegang bergetah juga lama kelamaan akan mengendur, akan mengecut juga. Tiada apa pun yang kekal melainkan Allah swt.

Paling tragis lagi sekiranya kita kehilangan semuanya itu dalam sekelip mata saja. Elok-elok sempurna kaki dan tangan, bersiar-siar dengan memandu sebuah kereta, tiba-tiba sebuah bas berpusing di hadapan, hilang kawalan lalu merempuh kereta kita. Dunia menjadi kelam dan sebaik saja mata dibuka, gigi kita semuanya luruh, kepala kita botak berjahit, kaki tangan kita kudung!

Bayangkan andai kita di tempat itu, maka tanyalah diri kita sendiri, apa sebenarnya milik kita?

Tiada.

Wahai diri.

Allah telah berfirman, dalam Al-Qur’an menerusi ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:

30.”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” sehingga akhir terjemahan ayat ini.


Wahai diri. Tolonglah, jangan ingkari perintah Tuhanmu, patuhlah pada suruhan-Nya.

Bersyukurlah...

Allah ciptakan kita sempurna, cantik, rambut kita, mata kita, bibir kita, tubuh badan kita. Semuanya cantik. Subhanallah. Namun untuk siapakah kecantikan itu kita tayangkan? Apakah dengan kecantikan itu kita mengutip pahala dari-Nya atau menempah tempat di neraka? Tutuplah aurat sejajar dengan ajaran islam, mudah-mudahan, kecantikan itu bukan menjadi penyebab kita menjadi ahli neraka. Mudah-mudahan kecantikan kita itu tidak mengheret kita ke neraka kelak.

Naauzubillahiminzalik..


Ibarat sang nenas.

Source

Kulitnya kasar menggerutu. Namun isi di dalamnya kuning ibarat emas yang tinggi nilainya. Daunnya tajam, gah bagai pendinding melindungi diri.
Biarpun hidupnya sendirian, namun itu bukan alasan untuknya rebah. Ia menjaga diri, mempersiapkan diri, terus meningkat dewasa hingga ke akhirnya disunting orang. Selama ia hidup, mahkotanya dijulang tidak pernah jatuh.
Dan bila ia sudah tiada, mahkotanya tetap terus bertakhta, meneruskan legasi membina empayar baru penuh kehormatan.

Itulah nenas. Mahkotanya dijulang hingga ke akhir hayat. Kita bagaimana?

Ya Allah, selamatkanlah kami dari azab kubur dan azab api neraka.

Amin ya rabb.

Tuesday, October 26, 2010

Bunga Di Laman Orang

Ramadhan telah lama berlalu meninggalkan kita. Syawal juga. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kita diberi keizinan oleh-Nya untuk menikmati bulan yang penuh keberkatan untuk tahun ini. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.

Ramadhan membawa erti dan makna yang berbeza-beza bergantung kepada individu masing-masing. Mungkin ada di antara kita yang melaluinya dengan sepenuh-penuh penghayatan. Melatih diri, memperbaiki amalan dan mendidik keperibadian. Menjadi hamba Allah yang lebih baik sesudah Ramadhan berlalu.

Dan mungkin juga ada di antara kita sekadar melepasi Ramadhan hanya seperti anak-anak yang baru berusia 7 tahun. Di ajar niat puasa, mereka berniat. Dikejutkan untuk bangun bersahur, mereka bangun bersahur. Dilarang makan dan minum, mereka tidak makan dan minum. Bila tiba azan Maghrib, barulah mereka makan dan minum seperti yang disuruh oleh kedua-ibu bapa. Ramadhan bagi mereka hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum. Tidak lebih dari itu.

Kita bagaimana? Saya bagaimana? Sesungguhnya, hanya saya dan tentunya Allah yang lebih tahu...

Mengimbas kembali kenangan di bulan Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah, banyak pengalaman indah yang telah saya nikmati. Alhamdulillah. Antaranya pengalaman terindah sepanjang Ramadhan yang lepas adalah, saya diberi keizinan oleh-Nya untuk menikmati keindahan panorama ciptaan-Nya. Terima kasih Allah. Tidak akan saya lupakan, setiap pengalaman yang telah saya kutip ketika saya dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Bertolak dari rumah kira-kira jam 7 pagi dan menempuhi perjalanan kira-kira 30km banyak baik dan buruknya. Lupakan seketika soal tol yang perlu dibayar, atau wang ringgit yang perlu dikeluarkan untuk mengisi petrol. Saya cuba mengambil ibrah dari setiap apa yang Tuhan izinkan berlaku ke atas saya. Alhamdulillah, memandu lebih kurang 30 minit melalui lebuhraya sebenarnya memberi lebih ruang buat diri saya untuk muhasabah diri sendiri, memberi lebih banyak masa untuk saya 'berbicara dengan Tuhan'. Dan juga ibarat kata orang-orang tua, jauh perjalanan, luas pengalaman.

Terima kasih Allah. Suatu hari yang indah. Ketika memandu menuju ke tempat kerja, Allah telah izinkan saya untuk menyaksikan dengan mata saya sendiri. Matahari seolah-olah tidak sabar untuk berbakti sedangkan bulan masih belum jemu menyinari alam. Bayangkan, di belakang kereta saya, mentari mula memancarkan cahayanya, mengintai dari celah-celah bangunan dan di hadapan kereta saya, bulan mengambang penuh masih lagi menghiasi langit. Subhanallah. Perasaan saya ketika itu sungguh indah tidak tergambar oleh kata-kata. Ibarat saya mengejar rembulan dan saya pula dikejar mentari. Maha suci Allah yang menciptakan semua itu, untuk kita umat manusia yang tahu berfikir, sekaligus mengakui kebesaran dan keesaan-Nya.



Juga tidak saya lupakan. Suatu pagi yang indah juga, di bahagian kiri lebuh raya, berdekatan dengan Plaza Tol Setia Alam, saya ternampak sebatang pohon berdiri megah. Uniknya pohon itu, bunganya yang berwarna merah jambu sangat lebat sedang kembang mekar, menenggelamkan warna hijau dedaun. Kelihatan dari jauh, seolah-olah pohon itu berdaun merah jambu. Subhanallah. Sungguh indah. Hati saya bagai meronta-ronta mahu singgah untuk mengambil gambar buat kenang-kenangan. Dua hari berturut-turut mata saya tidak berkerdip memandang pohon itu sambil tangan memegang stereng kereta. Sunggu-sungguh saya menghargai dan mahu menikmati keindahan pohon yang indah itu.

Sayangnya, bunga itu kembang tidak lama. Hari ketiga lalu di situ, saya dapat lihat bunganya mulai layu. Terbit rasa kesal kerana hari semalam saya tidak singgah untuk mengambil gambar pohon itu. Bukan sengaja tidak singgah, tapi kedudukannya di tepi lebuhraya yang membantutkan niat saya dan akhirnya, saya tiada apa-apa 'memori' bersamanya. Sungguh, ada rasa kecewa dalam diri.

Hari itu saya pulang kerja seperti biasa. Melalui jalan yang sama, dari jauh melihat pohon itu kian bertukar warna...

Setelah lebih setengah jam memandu, akhirnya saya hampir tiba di apartmen tempat saya berteduh. Lampu isyarat kereta dinyalakan, kemudian saya membelokkan kereta, memusing stereng kereta menuju masuk ke tempat kediaman. Sebelum kereta saya benar-benar memasuki laman apartmen, saya sempat menjeling sebelah kiri jalan.

Allahu Allah. Rupa-rupanya pohon yang sama, yang pernah saya kagumi ada di seberang jalan apartmen saya sekian lama. Rupa-rupanya pohon yang indah itu ada berhampiran dengan saya namun selama ini saya tidak pernah menyedarinya. Dan hari itu, akhirnya saya menyedari kewujudannya, namun sayang, bunganya telah layu, menanti masa mahu gugur ke bumi...




Thursday, October 21, 2010

Jauh Di Mata, Bertemu Di Syurga

Aku bukanlah sang pujangga,
Bisa mengarang seribu puisi cinta.

Aku bukanlah karyawan,
Arif membuat kau tertawan.

Di matamu aku sirna,
Di depanmu aku tiada,
Namun jauh di lubuk jiwa,
Setia aku bertakhta.

Wahai teman wahai adinda,
Semoga Allah limpahkan kasih-Nya,
Untuk kita, kepada semua,
Biarlah bahagia sampai syurga.

-Hasniza Ibrahim-

Wednesday, October 20, 2010

Dan Rindu Pun Berlabuh

Dengarkanlah rintihanku,
Jeritanku, suara hatiku,
Bisikkan padanya, aku rindu.

Rindu pada insan pertama menyintaiku. Sepenuh hatinya menyintaiku, sebelum sempat aku melihat dunia. Biarpun tidak pernah bertemu muka, bertentang mata, bertatap wajah. Dia sentiasa mengasihiku setiap waktu. Aku rindu pada insan yang melindungiku setiap masa, menenangkan aku tatkala aku kegelisahan. Menyapu airmata yang murah mengalir di pipi. Memeluk aku di saat aku ketakutan.

Bila aku terjatuh, dialah insan pertama yang menghulurkan tangan untuk menarikku kembali ke atas. Bila aku terluka, dialah insan pertama yang membalut luka, menuang seribu penawar biarpun luka itu tiada berdarah. Bila aku gentar mendongak kepala memandang ke hadapan, dia memimpin tanganku, menerangi jalan buatku.

"Nak, jangan takut. Ibu sentiasa ada bersamamu. Allah itu Satu. Dia Maha Mengetahui."

Ibu, kau dicipta sempurna oleh-Nya. Dikaulah 'malaikatku' yang sentiasa aku kasihi dan aku rindui. Moga kita kekal bahagia, sampai syurga.

Ibuku. Aku sayang kamu.

Rinduku bertebaran. Berlabuh pula pada seorang insan yang setia di sisiku. Dia yang mendokong aku, menyokong aku, mengajar aku bertatih, mengajarkan aku alif ba ta. Dia yang menghiburkan aku, menyanyikan lagu bila aku berduka. Dia yang mengusap kepalaku dengan tangan kasarnya penuh kasih. Dia yang tak betah melihat aku menangis.

Dialah ayah yang aku kasihi.

Biarpun susah, demi melihat segaris senyuman di wajahku, ayah sanggup mengalah. Biarpun penat dan lelah, demi melihat aku gembira ayah sanggup berbuat apa sahaja. Kita bergurau senda, ketawa sama-sama. Dan ayah, anakmu kini sudah dewasa.

Ayah. Anakmu kini sudah mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Belum sempat aku berbakti padamu ayah, kau pergi dulu tinggalkan kami. Rinduku tinggi melangit buatmu ayah. Kasihku tidak bertepian biarpun tanah menjadi sempadan antara kita.

Moga kau aman bersemadi di sana duhai ayah yang amat aku cintai. Sungguh aku rindu..


Oh Tuhan.
Rindu ini terlalu indah.
Teramat suci.
Kau jadi saksi.

Oh Tuhan.
Hanya Kau yang Maha Kuasa.
Kau yang ciptakan rasa ini.
Kau yang campakkan rindu ini.
Semuanya dari Engkau.

Allah berfirman;

Demi matahari dan sinarnya pada pagi hari.
Demi bulan apabila mengiringinya.
Demi siang apabila menampakkannya.
Demi malam apabila menutupinya.
Demi langit serta seluruh binaannya.
Demi bumi serta hamparannya.
Demi jiwa serta penyempurnaannya.

Allah mengilhamkan sukma.
Kefasikan dan ketaqwaan.
Beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu).
Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

[Surah as-Syams : Ayat 1-10]