Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
"Saya ingin bertanya tentang satu kenyataan yang mengatakan islam menggalakkan perkahwinan yang sama taraf(sekufu) kerana kebahagiaan rumahtangga bergntung kpd persefahaman dan kerjasama yg dpt mengelakkan kemungkinan timbul masalah pasangan suami isteri. bolehkah beri saya perbincangan atau rumuasan yang mendalam mengenai masalah ini?"
Demikian soalan salah seorang user di ruangan forum iluvislam.com, di ambil dari SINI.
Semoga semuanya di bawah naungan kasih, limpah rahmat Ilahi. Alhamdulillah, panjatkanlah rasa syukur kepada Ilahi, kerana limpah rahmat dan kekuasaan-Nya, kita masih lagi hidup hingga detik ini, nyawa kita masih lagi dipinjamkan oleh-Nya, jasad kita masih lagi berfungsi dengan baik, sungguh nikmat Allah tidak terhitung banyaknya. Biarpun kita menggunakan tujuh lautan air sebagai dakwat, belum lagi mencukupi untuk kita menulis segala nikmat yang Allah berikan kepada kita, maka nikmat Tuhan yang manakah yang telah kita dustai?
Kerana kita masih hidup, kita masih punyai peluang untuk beribadat, berbuat amal kebajikan mengumpul bekalan ke negeri yang abadi.
Kerana kita masih hidup, kita masih mempunyai kesempatan untuk memohon ampun dan bertaubat, agar kita suci dari segala dosa sebelum nyawa berpisah dengan badan.
Kerana kita masih hidup, kita masih diizinkan Allah, untuk berjalan di muka bumi ini, menikmati keindahan alam, menghidu wangian bunga, menatap bulan dan bintang, meluangkan masa bersama insan-insan yang kita kasihi.
Sebelum ajal tiba. Sebelum semuanya terlambat, hargailah segala apa yang kita miliki sebaik yang mungkin.
Saya pernah bercerita di sini "Kerana Kita Mampu" tentang anak sepupu saya yang masih kecil, yang berbulan lamanya terlantar di ward ICU, di IJN. Setelah sekian lama berkelana di tempat orang, akhirnya kedua ibubapanya membuat keputusan untuk pindahkan si anak ke hospital di Alor Setar, Kedah. 27 April, mengikut plan asal, mereka akan bertolak ke Kedah dengan menggunakan ambulan jam 6 pagi kerana keadaan si anak yang masih belum stabil.
Kerana Allah lebih menyayanginya. Dia pinjamkan Muhammad Aiman Bin Muhammad Zain ke dunia ini cuma sehingga tarikh 27 April 2010, jam 6 petang akhirnya dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dari-Nya Aiman datang, kepada-Nya Aiman kini kembali buat selamanya. Berbahagialah duhai ibu dan ayah, penderitaan anakmu sudah berakhir, moga syurga menanti si anak yang masih suci dari sebarang dosa. Al-fatihah buat semua.
Doakan, agar keluarga Muhammad Aiman tabah dan redha dengan ujian dan dugaan yang diberikan.
Di dunia ini, tiada satu pun milik kita, semuanya hanyalah pinjaman. Dia berhak mengambilnya, bila-bila masa sahaja. Kerana kita cuma seorang hamba.
"Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menyerah diri, hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.Selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat, jauhkanlah kami dari azab api neraka.. Amin ya Rabb.."
Adat orang bercinta, semuanya nampak yang elok. Adat orang menyayangi, yang buruk pun nampak lawa. Bak kata orang tua-tua, ramai yang menjadi buta kerana cinta. Sampai ada yang sanggup terkorban kerana cinta. Wallahua'alam.
Cinta bukan terhad kepada kekasih. Tafsiran cinta meluas. Cinta kepada ibu dan ayah. Cinta kepada sahabat. Cinta kepada rakan sepasukan. Cinta kepada ketua. Cinta kepada dunia. Cinta kepada harta dan kekayaan. Cinta kepada pangkat dan kuasa. Cinta kepada Allah dan rasul dan macam-macam lagi.
Hanya cinta kepada Allah yang kekal abadi.
Sejujurnya. Saya bukanlah orang yang layak untuk mengulas secara panjang lebar, namun cukup sekadar berkongsi pandangan dan pendapat tentang cinta yang melampaui batas. Cinta kepada sahabat.
Cinta ibarat pohon hidup, yang perlu ditanam benihnya, dibaja, disiram dan dibelai. Ada pasang surutnya. Ada masanya kembang mekar, harum mewangi. Ada masanya akan layu terkulai dan mungkin mati. Sedarlah, cinta yang kekal dan hakiki hanya milik Allah. Oleh itu, berpada-padalah dan jangan berlebih-lebih. Kerana ketahuilah, cinta selain dari Allah, suatu hari nanti, pasti mati.
Jangan terlalu memuja dan menyanjung ketika di hati penuh rasa cinta. Jangan terlalu nampak keindahan ketika di hati sarat dengan rasa cinta. Kerana ketahuilah, bila rasa cinta itu hilang, tidak mustahil kita akan mengeji. Bila rasa cinta itu hilang, kawan bisa jadi lawan. Madu menjadi pahit. Gula terasa tawar. Yang nampak cuma kesalahan dan keburukan.
Tidak kira apa jua yang kita lakukan, bersederhanalah.
Baru petang tadi, teman serumah saya bertanya, apa bezanya cinta, kasih dan sayang?
Diam, tiada jawapan.
Kini izinkan saya menjawab. Cinta adalah sesuatu yang sangat 'gila' dan sukar dijangka. Easy to come, easy to go. Sayang milik semua insan yang punyai hati dan perasaan. Kasih pula memerlukan masa untuk dipupuk, bertakhta jauh di dasar hati, kesannya sangat mendalam dan untuk membuangnya terlalu sukar. Sekadar pandangan saya yang serba tidak tahu.
"Sabar ya, mereka tak faham, insyaAllah semuanya baik-baik belaka."
"Tak mengapa, apa yang kamu buat ni memang betul."
"Tak perlu risau, semua orang suka kamu."
Anda bagaiamana? Selalu dengar kata-kata tesebut? Semuanya positif. Tidak kira apa kita lakukan, segalanya disokong dan dianggap betul. Semuanya tidak salah sehingga kita merasa kita benar-benar menghampiri kesempurnaan. Kitalah yang terbaik, kitalah yang sentiasa di pihak yang benar.
Salam takziah, jika hanya kata-kata positif yang mencecah telinga anda. Anda menghampiri kemusnahan. Tanpa anda sedari.
Manusia diciptakan bersama dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Semuanya rahsia Allah yang hanya Dia yang Maha Tahu. Banyak manusia tidak nampak kesalahan dan kekurangan sendiri, bak kata orang tua, kain sendiri koyak tak nampak, kain orang koyak, mudah ternampak. Kita mudah nampak kesalahan orang lain, dan begitu juga orang-orang sekeliling kita. Mereka sepatutnya nampak apa kekurangan kita.
Jika sepanjang masa mereka sentiasa menganggukan kepala, itu tandanya mereka penipu! Malangnya kita kerana tiada siapa yang sudi memperbetulkan kesalahan kita. Malangnya kita kerana tiada siapa yang sudi mengingatkan kita, mengejutkan kita dari kelekaan.
Sahabat yang baik adalah cermin kepada sahabatnya. Jangan berpura-pura, nyatakan kebenaran biarpun kepahitan. Jika benar sahabat kita melakukan kesalahan, tegurlah dengan berhemah. Jangan biarkan dia terus hanyut atau sesat, dengan perasaan sentiasa betul aka 'syok sendiri'.
Duhai kawan, aku mungkin terlupa, ingatkan aku. Aku mungkin tersesat, tunjukilah aku jalan. Aku mungkin terjatuh, pimpinlah aku. Aku mungkin terleka, kejutkanlah aku.... Jangan lepaskan tanganku, jangan biarkan aku binasa tanpa aku sedar.
Matahari kian melabuhkan layarnya, alam yang terang kini menjadi kelam. Langit bertukar warna. Ibu burung resah gelisah, memandang ke utara, ke selatan, ke timur dan ke barat, namun bayang-bayang bapa burung tetap juga tidak kelihatan. Burung-burung lain semuanya sudah pulang ke sarang, tapi di manakah suamiku? Getus ibu burung di dalam hatinya, tertanya-tanya. Oh Tuhan! Barangkali dia ditimpa kecelakaan. Apalah nasib kami kelak? Sedih. Hampa. Kecewa dan resah.
"Cip! Cip! Cip!" Suara anak-anak burung mengejutkan ibu burung dari lamunan panjang.
"Cip! Cip! Sabar nak, ibu tahu kamu lapar, perut ibu pun serupa, tapi ayahmu belum pulang membawa makanan.." Ibu burung cuba memujuk namun hatinya sendiri tiada siapa yang memujuk. Dia memeluk erat anak-anaknya di bawah kedua belah kepaknya. Kenangan bersama sang suami segar diingatan. Betapa selama ini mereka saling mencintai, hidup bahagia bersama. Betapa mereka bersusah payah mengembeling tenaga membina sarang untuk mereka berteduh, bertelur dan kini mempunyai anak, segalanya susah dan senang diharungi bersama-sama namun kini... Tinggal dia sendirian bersama anak-anak yang baru sehari mengenal dunia. Tanpa insan yang paling dikasihinya. Hatinya hiba dan pilu.
"Oh.. Apalah nasibku ini.." Ibu burung terus merintih meratap sedih.
Suria mengintai dari celahan awan. Masa untuk mencari rezeki sudah tiba. Untuk anak-anaknya meneruskan kelansungan hidup dia harus keluar mencari rezeki. Bimbang anak-anaknya mati kelaparan. Ibu burung menatap wajah anaknya satu persatu. Sayu. Berat hati ingin meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil. Namun dia terpaksa, demi sesuap makanan. Demi anak-anak yang dikasihi.
Anak-anak baru mengenal dunia, sedang menangis kelaparan.
"Cip! Cip!" Anak burung menjerit-jerit, mulut mereka terbuka luas, kelaparan.
"Cip! Cip! Sabarlah anak, ibu akan pergi mendapatkan makanan untuk kita" Pujuk sang ibu. Anak-anak yang masih kecil tidak mengerti apa-apa. Mereka cuma tahu menangis.
"Cip! Cip! Ibu harus pergi dahulu anak. Untuk kamu semua." Ujar sang ibu lalu terus membuka sayapnya, terbang meninggalkan dahanan pohon tempat mereka sekeluarga berteduh.
Sedang ia berterbangan, dari jauh sang ibu ternampak pohon yang sedang berbuah lebat. Rezeki anak-anak. Syukurnya di dalam hati. Ibu burung terus singgah ke dahan pohon tersebut. Namun belum sempat dia mematuk buah-buahan yang masak ranum, dia ternampak kelibat suaminya terkulai di tanah. Segera dia terbang mendekat. "Cip! Cip!" Dia girang, gembira bertemu sang suami.
Bangkitlah suamiku, bukalah matamu.. Aku di sini memerlukanmu... Anak-anak kita sedang menanti kepulanganmu..
"Cip! Cip! Cip!" Sang ibu menangis sekuat hati setelah mendapati suaminya sudah tidak bernafas lagi. Hatinya hancur, pecah berkecai. Kecewa. "Cip!Cip!Cip!" Dia meratap hiba. Di bahagian perut suaminya ada kesan darah, pasti kerja budak-budak nakal, tidak berperikemanusiaan melastik sesuka hati. Kenapa manusia kejam? Soalan tiada jawapan. Ibu burung mundar mandir, beberapa kali menggerakkan suaminya dengan kakinya namun suaminya tetap kaku tidak bergerak-gerak. "Cip!Cip!Cip! Aku sayang kamu duhai suamiku. Jangan tinggalkan aku." Rintih sang isteri namun tiada siapa yang mendengar.
Hati mana yang tidak sedih, ditinggalkan engkau yang aku cintai. Pergilah kasih, pergilah sayang. Pertemuan kita cuma sampai di sini. Esok bukan lagi milik kita. Hari mendatang akan aku lalui seorang diri, tanpa kau. Monolog sang burung kehampaan.
"Cip! Cip! Cip!" Ibu burung mengucapkan selamat tinggal setelah dia tiba-tiba terkenangkan sang anak yang kelaparan yang sedang menantinya. Aku harus pergi. Bisiknya di dalam hati. Dalam kesayuan dan linangan air mata, ibu burung berlalu pergi meninggalkan jasad kaku suaminya. Selamat tinggal sayang. Ibu burung kemudian terbang kembali ke dahan pohonan berbuat lebat. Mengambil sedikit makanan untuk anak-anak yang setia menanti di sarang.
Sepenuh kudrat yang ada, ibu burung melebarkan sayapnya ingin segera sampai ke sarang. Pada paruhnya tersepit makanan untuk anak-anak. Tidak sabar rasanya ingin bertemu dengan anak-anak yang dicintai. Makin mendekat, makin hatinya berdegup resah. Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Ibu burung hanya mampu berharap, semoga anak-anaknya selamat.
"Cip!Cip!Cip!Cip!Cip!" Jerit pekik sang ibu sebaik tiba di dahan tempatnya membina sarang. Sarangnya kini tiada di tempat asal, terburai di tanah. Berselerakan. Kerja siapakah ini? Mana anak-anakku? Hancur luluh hatinya. Airmatanya kini mengalir laju, lebih laju. Kenapa ambil anak-anakku? Sang ibu terus meratap hiba. Tiada siapa yang mendengar. Tiada siapa yang memujuk. Sendirian. Tanpa suami, tanpa anak-anak. Keseorangan. "Cip.. Cip.. Cip..." suaranya kian tenggelam, pergi bersama harapan yang hilang.
Moral of the story.
Doa orang yang teraniaya sangat makbul. Daripada Abdullah bin Abbas r.a, Nabi saw bersabda: "Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab di antaranya dengan Allah." (Riwayat al-Bukhari)
Balasan terhadap orang yang zalim sangat buruk, Nabi Muhammad pernah bersabda : "Sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda nabi lagi : "Sesungguhnya Allah menangguhkan azab terhadap orang yang zalim, sehinggalah apabila Allah mengazabnya, ia tidak dapat melepaskan diri. (Riwayat al-Bukhari)
Kasihi sesama makhluk. Jangan pentingkan diri sendiri, jangan kerana kepuasan dan keseronokan diri kita, kita mengabaikan perasaan orang lain. Jangan kerana mengejar cita-cita kita, kita lupa bahawa orang lain juga punyai cita-cita dan impian mereka.
Jangan bina kebahagiaan daripada airmata orang lain kerana ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Adil, biar sebesar zarah pun, tidak kira kebaikan atau kejahatan, semuanya ada ganjaran.
Wallahua'alam. Mari kita sama-sama muhasabah diri kita.
Nota kaki: Gambar2 di ambil dari SINI.SITU. Terima kasih.