+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, March 26, 2010

Secubit Garam

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulilllah, Selasa lepas saya berkesempatan makan tengah hari bersama-sama rakan-rakan sekerja. Makan di kedai makan yang berhampiran dengan opis, makan masing-masing, bayar sendiri-sendiri. ^_^

Sambil-sambil makan kami bersembang, pelbagai isu antaranya mengenai kewangan, cara menguruskan wang, masalah anak-anak, orang gaji, kenaikan gaji dan sebagainya. Sekali-sekala berbeza pendapat namun itu lumrah yang sudahnya diakhiri dengan gelak tawa. Ketika bersembang, saya tertarik dengan kata-kata Kak Hamidah, perumpamaan yang beliau berikan sangat mencuri perhatian saya.


"Bandingkan secubit garam yang dimasukkan ke dalam cawan dengan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sebatang sungai"

Secubit garam.

Garam seperti yang kita tahu, fitrahnya larut dalam air dan rasanya masin. Jika dibandingkan air garam di dalam cawan dengan air garam di dalam sungai, tentu sekali air di dalam cawan jauh lebih masin sedangkan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sungai, lansung tidak memberi sebarang kesan. Setuju atau tidak?

Logiknya begitulah kerana ketumpatan dan kepekatan garam berkadar lansung dengan jisim garam tersebut dan berkadar songsang dengan isipadu air. Makin banyak air maka makin kurang ketumpatan dan kepekatan garam justeru makin kurang tahap kemasinannya. Sahih!

Garam vs Masalah

Aplikasikan secubit garam dengan kehidupan seharian kita. Andaikan garam itu adalah masalah yang sedang kita hadapi.

Setiap orang pasti mempunyai masalah masing-masing. Besar atau kecil sesuatu masalah itu bergantung kepada bagaimana kita menguruskan dan menyelesaikan masalah tersebut. Bergantung terhadap cara penerimaan kita, bagaimana kita berhadapan dengannya. 


Andaikan. Masalah ibarat secubit garam. Jika kita menganggapnya suatu masalah yang besar, maka besarlah ia, namun sebaliknya sekiranya kita menganggapnya suatu masalah kecil yang ada jalan keluarnya, insyaAllah, dengan izin Allah maka kecil jugalah masalah itu. Ia tetap masih lagi kekal sebagai secubit garam.

Secubit garam yang dimasukkan ke dalam air sungai tidak mampu memberi apa-apa kesan kepada sungai tersebut. Sesuatu masalah sekiranya diterima secara positif, optimis, berlapang dada dan berfikiran luas, insyaAllah tidak mampu memudaratkan tuan empunya diri. Ia sekadar datang dan kemudian berlalu dibawa waktu ibarat arus sungai yang mengalir menghanyutkan secubit garam itu.

Namun sebaliknya, sekiranya masalah yang serupa, sekiranya kita terima dengan dada yang sempit, terima dengan jiwa yang tertekan, hati yang tidak tenang, berfikiran negatif dan pesimis maka tidak mustahil, secubit garam itu mampu membinasakan keseluruhan air di dalam cawan. Masin! 

Benar. Masalah itu mempunyai kemampuan untuk memusnahkan hidup seseorang yang lemah dan tidak mempunyai daya tahan yang kuat untuk melawan segala ujian dan cabaran yang menimpa dalam kehidupannya. Tewaslah dan kecundanglah. Hanya kerana secebis masalah yang mendatang, yang tidak dapat ditangani dengan baik. Pelbagai impak negatif yang menanti di hadapan. Naauzubillah. Moga kita dijauhi.

Syukurlah kita sebagai ummat Islam, yang percaya kepada Allah dan hari kiamat. Percaya kepada Qada' dan Qadar Ilahi. InsyaAllah, walau apa jua ujian dan dugaan yang menimpa, selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, dengan izin Allah, semuanya akan dapat ditangani dengan baik. Sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Tiada penyakit (masalah) yang tiada penawar melainkan tua dan mati. Dan ingat, setiap apa jua yang kita lakukan, tidak kira baik atau buruk, semuanya ada balasan dari Allah. Walaupun sebesar zarah.

Mungkin ditakdirkan di dunia ini bukanlah tempat untuk kita menuai bahagia mengutip senyuman dan gelak tawa, tapi ingat, mati itu pasti, hari akhirat itu benar, syurga itu benar. Apalah sangat sakitnya di dunia ini, hidup cuma sementara namun yang abadi adalah akhirat sana.

Mungkin di dunia ini kita tidak kaya dengan harta atau wang ringgit, tidak punya kereta besar atau rumah besar, tapi ingat, pada pandangan Allah bukan harta kekayaan yang menjadi ukuran. Di sisi Dia, hanya Iman dan Takwa yang membeza-bezakan kita semua. Pilihlah. Mana mahu mu?

Terserah kepada kita untuk memilih, samada mahu memasukkan secubit garam ke dalam cawan atau ke dalam sungai kerana salah satu nikmat Allah yang Allah anugerahkan kepada kita, yang tiada pada makhluk ciptaannya yang lain adalah kita diberi kebebasan untuk memilih. Kanan atau kiri, baik atau buruk, kita berhak memilih tidak seperti pokok yang berterusan menghasilkan oksigen atau sungai yang berterusan mengalir. 

Apa gunanya anugerah yang diberikan andai kita tidak memanfaatkannya sebaik yang mungkin? Fikir-fikirkanlah. Antara syurga dan neraka sesungguhnya perbezaannya benar-benar terang dan jelas.

Ampun maaf saya pinta andai ada salah dan silap. Mohon ingatkan saya andai saya terlupa. Mohon doa daripada semua sahabat agar kita semua capai bahagia, bukan sahaja untuk di dunia, malahan untuk di akhirat sana.

Dengan lafaz mulia, Assalamualaikum wbt.. Saya berhenti dulu di sini.

Wassalam.





Thursday, March 25, 2010

Bila Diri Disayangi

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji bagi Allah, Tuhan pencipta seluruh Alam. Alhamdulillah. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad Saw, moga kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Allah yang Maha Pengasih, Allah yang Maha Penyayang. Kerana limpah kasih-Nya kepada hamba ciptaan-Nya, maka di dunia ini Dia tidak ciptakan kita keseorangan. Kita punya teman-teman, sahabat dan saudara mara. Kita pelbagai kaum dan bangsa, juga ada jantan betina. Bukan untuk saja-saja, tapi agar kita dapat bergaul, saling mengenal dan saling melengkapi. Allahu Allah. Betapa Engkau Maha Bijaksana.

Allah juga tidak biarkan kita terkontang kanting sendirian tanpa hala tuju. Kerana limpah rahmat dan kasih-Nya, maka Dia memilih beberapa insan terpilih sebagai nabi dan rasul, untuk menyampaikan wahyunya. Kita bertuah sebagai ummat Muhammad saw, kerana kasih dan sayangnya kepada ummatnya, maka alhamdulillah, kita hari ini tidak hidup dalam kegelapan. Kita dikurniakan cahaya iman dan islam kerana jasa-jasanya yang tidak terhingga. Maha suci Allah. Tidak cukup dengan itu, mukjizat al-Quran sesuai menjadi pedoman kita semua hingga ke akhir zaman. Baginda Nabi saw merindui kita sebelum kita wujud, bimbangkan kita, kasih dan sayangkan kita hingga ke hujung nyawanya menyebut ummati.. ummati.. ummati..

Betapa Allah dan rasul-Nya mengasihi dan menyayangi kita, kita pula bagaimana?


Kita juga tidak lahir dari sebatang buluh, kita tidak lahir dari seketul batu atau sekuntum bunga. Kita dilahirkan dari perut seorang wanita yang mulia, yang penuh kasih dan sayang. Sembilan bulan kita bersatu dengan jasadnya, tidur dalam keadaan yang paling lena. Bermimpi yang indah-indah. Dia yang paling dekat. Dialah yang sentiasa melindungi kita dengan izin Allah. Bukan sedikit kasihnya untuk kita. Dialah ibu yang melahirkan kita, membesarkan kita dan menyayangi kita sepenuh hatinya. Maha Suci Allah yang Maha Mencipta.

Dalam situasi yang agak sulit kebelakangan ini, sesungguhnya saya benar-benar bersyukur kerana saya dilahirkan dalam Islam. Kerana saya seorang Islam, saya yakin dan percaya, Allah sentiasa ada bersama saya. Saya yakin pada ketentuan Qada' dan Qadar Ilahi. Saya yakin dan percaya segala janji-janji Allah yang tercatit dalam Kitab Suci Al-Quran. Alhamdulillah, saya masih kuat kerana saya rasa saya disayangi Allah.

Tidak lupa juga ibu saya yang sedang meniti usia. Dari dulu hingga kini, sentiasa ada bersama saya. Sentiasa memberi kata-kata dorongan dan semangat untuk saya meneruskan kehidupan. Tidak pernah puas dan jemu untuk terus mendoakan saya dan anak-anaknya yang lain. Tempat saya berkongsi masalah. Yang pernah menangis kerana saya kemudian seikhlas hati memaafkan saya. Terima kasih Allah, terima kasih ibu, kerana sentiasa di sisi dan menyayangi diri ini.

Buat kakak dan adik-adik. Kita membesar sama-sama. Pernah susah bersama-sama. Pernah ketawa dan menangis bersama. Mandi sungai dan tali air, tangkap ikan di sawah. Panjat pokok rambutan dan manggis. Sesat di hutan bersama-sama. Walaupun kenangan zaman kecil kita tidak seindah sahabat-sahabat yang lain, namun itulah yang paling berharga buat diri ini. Mengajar kita erti kehidupan. Bukan semuanya manis. Ada pahit dan masinnya. Terima kasih kerana tidak henti menasihati, dan bimbangkan diri ini. Daku juga menyayangi kalian, di dunia ini kalianlah kakak dan adik-adikku.

Alya dan Ashraf, pengarang jantung, buah hati Mak Ngah. Bagai mimpi, kalian kini membesar di depan mata. Dari sebesar tapak tangan, kini hampir sama tinggi dengan Mak Ngah. Kadang-kadang buat perangai namun selalunya kalian membahagiakan. Walau bertemu setiap minggu tetap saling merindui. Seronok melayan keletah kalian. Dipeluk dan dimanja. Benar-benar diri ini rasa disayangi.

Juga kepada semua sahabat yang sentiasa ada saat susah dan senang. Yang rasa sakit bila diri ini sakit, yang mengerti dan memahami. Yang cuba membantu selagi terdaya. Sahabat yang sentiasa memberi dorongan dan kata-kata semangat. Sudi mendengar dan membaca segala permasalahan diri yang timbul.

Sahabat yang menghiburkan hati ini dan menenangkan jiwa ini. Walaupun ada yang tidak pernah bertemu tapi tetap terasa dekat. Terima kasih duhai sahabat, moga tautan ukhwah yang terbina dirahmati Allah. Terima kasih kerana mengizinkan diri ini merasai indahnya nikmat disayangi saudara seagama. Alhamdulillah.

Sebelum berundur, lagu ini untuk semua yang menyayangi diri ini..

Bila Diri Di Sayangi

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentara
Bermulanya siang berakhir malam ku
Tak akan ku jemu menyebut nama-Mu

Tiada batasan waktu
Tiada tempat mu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan
Kasih merubah takdir

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap nama-Mu, terasa diriku
Kembali dipandu

Engkau yang pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang-Mu
Ku berserah diri

Wassalam


Tuesday, March 23, 2010

Bebaskanlah Dirimu

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt..

Kesinambungan dari entri sebelum ini, Izinkan Aku Menangis, masih berbicara soal mencari kekuatan dalam diri. InsyaAllah. Moga diberi keizinan oleh-Nya.

Banyak orang makin dekat dengan Allah bila diuji dengan kesusahan dan banyak orang juga yang makin jauh dengan ALlah bila diuji dengan kesenangan. Kita bagaimana? Selama kita hidup di muka bumi ini, menggunakan segala anugerah Allah secara percuma, adakah kita benar-benar sedar, segalanya cuma pinjaman, semuanya milik Allah. Dia berhak memberi dan mengambilnya semula, bila-bila masa yang Dia kehendaki. Allahu Allah..

Muhasabah diri saya sendiri, kadang-kadang lemah bila diuji, sedangkan ujian itu tersangatlah kecil jika hendak dibandingkan dengan ujian para nabi, ah, terlalu jauh... tidak layak untuk dijadikan perbandingan.. Jauh sekali.

Benar, saya cuma manusia biasa. Kita hanyalah manusia biasa namun kita dicipta sebaik-baik manusia seperti yang tercatit dalam Surah At-Tin. Yang membezakan kita adalah keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah swt. Jika kita leka dan lalai, tidak melaksanakan suruhan Allah dan melakukan apa yang dilarang-Nya, ternyata, kita jauh lebih hina dari binatang. Naauzubillah..

Saya bagaimana? Kita bagaimana. Kasih sayang Allah kepada kita terlalu luas, nikmat dan anugerah yang Allah berikan kepada kita juga sangat banyak tidak terhitung. Allah berbuat baik kepada kita tapi adakah kita benar-benar bersyukur? Bila diuji sedikit mula merungut mengeluh. Merintih merayu menangis meratap. Apalah sangat kesusahan itu jika dibandingkan dengan kesenangan yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini tapi mengapa kita masih tidak bersyukur?? Nikmat Tuhan yang mana lagi yang ingin kita dustai?

Ada masanya kita leka dan lalai, lupa untuk menyebut nama Allah, lupa untuk merindui dan mencintai Allah. Tapi Allah tidak pernah melupakan kita.. Dia hadiahkan kita dengan ujian dan dugaan, agar hati kita tersentuh, agar jiwa kita terusik dan seterusnya kembali dekat dengan-Nya.. Makin merindui dan mencintai-Nya. Makin dekat dengan Dia.

Tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan. Tiada pipi yang tidak pernah dibasahi dengan airmata, tiada manusia yang tidak pernah diuji. Bersabarlah wahai diri dalam menempuh segala ujian dan cubaan dari-Nya. Tabahlah wahai jiwa milik insan bernama Hasniza. Teruskan melangkah kehadapan, jangan ragu, jangan mengalah. Kamu sudah menangis dan kamu tahu, airmata tidak mungkin mampu mengubah apa-apa. Usaplah airmatamu, jangan menangis lagi, kamu hanya membinasakan dirimu sendiri dengan menjadikan dirimu kian lemah. Bangkitlah.

Gari itu mengikat tanganmu, rantai itu membelenggu kakimu, musnahkan ia! Bebaskanlah dirimu, usah terkurung dalam penjara dunia ciptaanmu semata.

Duhai Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. hanya pada-Mu kami berserah diri dan meminta pertolongan Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus.. Ampunkanlah dosa-dosa kami, masukkanlah kami ke syurga bersama iman. Amin ya rabbal alamin..

Sunday, March 21, 2010

Izinkan Aku Menangis

Bismillah...

Re-publish, istimewa buat teman yang sedang berduka..

---------------------------------------------------

"Senyumlah!" Dia menegurku. Rupaku masih kelat. Mendung tanpa riak manis terukir di wajah. Muram. Tiada seri. Tidak bermaya. Terasa sungguh berat benar untuk aku menghadiahkan dia sekuntum senyuman.

" Senyumlah, sudah beberapa hari aku melihat rupa mu suram, tidak manis! Seolah-olah kau bukan lagi kau yang pernah aku kenal..Hey, mana hilangnya kau yang ceria dan optimis? Come on girl! " Dia masih tidak jemu menarik perhatianku. Tidak serik. Tidak mudah mengalah. Seperti selalu. Aku menolehkan wajahku padanya. Dia tersengih membalas renunganku. Dalam keterpaksaan aku cuba mengukir senyuman untuk dia. Tawar. Aku tahu dia tahu.

"Kau ni kenapa, ada masalah ke?" Dia bertanya kepadaku setelah melihat aku kembali membisu. Hanyut dalam khayalan. Diam tanpa kata, tanpa senyuman. Sungguh aku berbeza dari kebiasaan, mana mungkin dia tidak berasa aneh, dia memang wajar merasa pelik melihat keletahku kebelakangan ini. Dia memang prihatin terhadapku, dia benar-benar mengambil berat terhadap kebajikan ku. Dia memang benar-benar memahami aku. Dari dulu, kini dan selamanya. Aku tahu, dia pasti mengerti gejolak perasaan yang sedang melanda perasaanku kini. Kerana aku adalah dia.

"Aku tahu, kau tengah bersedih sekarang nie..aku faham, aku pun sedih juga..tapi janganlah diikutkan sangat perasaan tu.. " Dia masih lagi berkata-kata, namun kini rentak suaranya bertukar nada. Sayu pula jadinya. Mungkin benar-benar memahami kesedihan yang sedang melanda jiwaku atau barangkali sedih kerana aku seolah-olah tidak mempedulikan kehadirannya. Wajahnya juga kini murung sama seperti aku. Aku simpati namun aku tidak mampu berkata apa. Kali ini aku gagal memujuk diri, mana mungkin aku dapat memujuknya. Aku kini tewas dalam mainan perasaanku sendiri, mana mungkin aku mampu menghiburkan dia agar kembali senyum seperti selalu. Aku mengalah untuk hari ini.

Kami sama-sama diam membisu. Sunyi. Sepi.

"Awak, kite sedih.." Akhirnya aku memberanikan diri bersuara. Aku memalingkan wajahku mengadap ke arahnya. Dia membalas renunganku. Wajahnya juga tidak lagi ceria.

"Awak.. Kite dah tak tahu nak buat apa lagi, kite benar-benar sedih, kite kecewa, kite sudah tidak mampu berdiri lagi, kita penat, kite sudah kalah.." Aku menyambung kata. Kolam mataku mula bergenang... ah, beginilah selalunya aku bila bersembang soal perasaan. Ish! Aku mengutuk diri sendiri.

Dia menatap wajahku tenang. Sabar menanti aku menyambung kata-kata. Mulanya aku keberatan meluahkan, namun bebanan ini terlalu berat untuk aku menanggungnya sendirian. Akhirnya, dalam linangan airmata, aku meluahkan segala apa yang sedang membebankan fikiranku. Di hujung kata, aku menangis teresak-esak.

"Kadang-kadang, kite rasa dunia ini tidak adil terhadap kite.." aku masih menyambung kata. Cepat-cepat dia menutup mulutku.

"Shh.. jangan cakap begitu, tak baik! Istighfar, ingat Allah selalu.." Suaranya tegas, melarang.

"Kalau kau fikir kau malang, cuba kau fikirkan juga anak-anak yang dilahirkan ke dunia, tanpa dosa tanpa mengerti apa-apa, terbuang di jalanan tanpa ihsan, mereka jauh lebih malang.. bukan kau seorang yang menangis, semua orang juga pernah menangis. Sabarlah.." Dia memujuk. Namun jiwaku masih luka berdarah. Masih luka dan hancur remuk. Masih terasa peritnya. Pedihnya.

"Kite sudah lama bersabar, kite sudah penat bersabar, kite sudah bosan bersabar.. kite tidak tahu kite harus bersabar sampai bila. Kite tidak tahu kita masih boleh bersabar sampai mana! Kite takut suatu hari nanti bila kita juga akan musnah bila sabar itu tidak dapat dipertahankan lagi, kite takut...." Aku masih lagi meluahkan sisa-sisa perasaan yang masih berbaki. Air mata yang mengalir di pipi aku seka perlahan. Tidak mahu berhenti. Mengalir lagi dan lagi.

"Selagi kau hidup di dunia ini.. Selagi kau masih bernafas, selagi darahmu masih mengalir.. sabarlah.. Bukan sikit ganjaran Allah buat hamba-Nya yang bersabar.. Moga kau peroleh ganjaran dari Dia yang Esa, apa kau tidak mahu pahala?" Dia menguji aku. Aku menggelengkan kepala. Aku juga inginkan pahala itu. Tapi bagaimana? Aku sudah terlalu lemah, kian lemah. Lututku sudah longlai tidak berdaya untuk berdiri, apatah lagi untuk melangkah. Ah..

"Jika begitu, aku tidak mahu hidup lagi.. " Aku kembali bersuara, airmataku kini kembali mengalir laju. Deras. Dia memandang ke arahku, membulatkan matanya. Dia mengumpul kata untuk memujuk aku namun aku kini sudah hanyut dalam sendu airmata. Katalah apa kau mahu kata.. Kau selalu melihat aku ketawa, kali ini, cuma kali ini, izinkan aku menangis...

------------------------------------

Moral of the story, kadang-kadang kita perlu juga menangis... Jika tidak, untuk apa airmata diciptakan?

Wallahua'alam.

Thursday, March 18, 2010

Jalan Pintas Ke Syurga!

Allah berfirman dalam Surah Ar-Rad, ayat 21-24;

"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -

(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. "

-----------------------------------------------------

Siapa yang tidak mahukan syurga? Mudah saja caranya, kan?

Jom!

1- Sabar
2- Harapkan redha Allah semata-mata
3- Dirikan solat
4- Menderma
5- Tolak kejahatan dengan kebaikan

Ayuh! Jangan lepaskan peluang yang tidak ternilai ini..

Mari mengejar syurga! (",)