+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, September 30, 2009

Al-Infitaar

Apabila langit terbelah;

Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;

Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;

Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -

(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? -

Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;

Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.

Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.

Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,

(Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);

Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

(Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;

Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,

Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.

Sunday, September 27, 2009

Planet Kita Berbeza

Dia segak berbaju melayu putih. Kulitnya tidak gelap tidak cerah. Langkah kakinya jitu penuh keyakinan, bagaikan begitu pasti dengan hala tujunya. Dia makin menghampiri. Ini kali pertama aku menatapnya dengan lebih dekat. Itu pun sekadar mencuri pandang sekali-sekala.

Aku lebih banyak menundukkan wajah. Dadaku bagaikan mahu pecah. Jantungku berdegup begitu kencang. Sangat sukar untuk aku tafsirkan. Aku diam membisu. Rakan-rakan dan saudara-mara senyum-senyum memandang. Sekali sekala sepupuku Nafisa mencubit lenganku. Aku masih tunduk. Menahan resah di jiwa.

Wajahnya tenang dan jernih. Dia duduk bersila di tengah-tengah majlis. Lagaknya bersahaja bagai tiada apa yang berlaku sedangkan aku yang duduk bersimpuh tidak jauh darinya bagai cacing kepanasan. Jiwa ini bagai dilanda taufan Nargis. Namun ada masanya sedamai Tasik Kenyir. Di saat 'getir' sebegini, berulang-ulang kali aku menyebut nama Allah.

"Ya Allah, semoga keputusanku kali ini terbaik buatku, masa depanku dan agamaku. Lapangkanlah hatiku Ya Tuhan, hanya pada-Mu aku berserah..."

"Aku terima nikahnya Nurul Raudhatul Iman dengan mas kahwin RM 80 tunai.." Suara itu berjaya mengejutkan lamunanku. Di sambut "sah" oleh saksi-saksi yang hadir. Dia tersenyum lega, mencuri pandang ke arahku. Bagaikan tarikan magnet, serentak itu juga aku mengangkat wajahku, menatap si dia yang kini sah bergelar suami.

------------------------------------------------

EDITED: 28/09/2009 (7.40 am)

"Terima kasih kerana sudi mengambil saya sebagai isteri.." Hanya itu yang mampu aku lafazkan. Aneh rasanya berdua-duaan dengan lelaki asing yang sebelum ini tidak pernah aku dekati. Perasaanku bercampur baur. Dia sekadar tersenyum memandang ke arahku. Aku tertunduk malu.

"Terima kasih juga kerana sudi jadi isteri abang.." Balasnya pula sambil meraih tanganku. Aku membiarkan sahaja kerana aku sedar sepastinya aku bahawa aku kini sudah sah menjadi isterinya. Dia berhak ke atasku. Aku juga tidak lupa pesan ibu, syurga isteri di bawah telapak kaki suami. Selagi aku isterinya, dan dia suamiku, akan ku persembahkan yang terbaik untuknya.

Ya Allah, lindungi kami dari godaan syaitan dan azab api neraka. Moga Kau bimbing aku agar aku jadi isteri yang solehah. Agar aku menjadi penawar buat suamiku dikala dia resah, agar aku menjadi bidadari terbaik untuknya di dunia ini, agar aku menjadi sayap kiri untuknya, bersamanya berjuang demi agamamu. Agar kami menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah, taat setia hanya pada-Mu. Ya Allah, moga rumahtangga kami ini berkekalan dalam bahagia, hingga ke syurga. Amin ya rabbal al alamin..

Hari itu mencatat sejarah paling besar buatku. Hari di mana aku melangkah selangkah ke alam baru. Alam berumah tangga. Hari di mana aku kini bergelar isteri kepada Muhammad Firdaus. Sedikit pun tidak pernah terlintas di fikiranku selama ini bahawa aku akan bernikah dengan sahabat karib abangku sendiri.. apa pun, aku percaya, Allah Maha Penentu segalanya. Setiap apa yang berlaku, semuanya hanya dengan izin Allah. Maha suci Allah.

-----------------------------------------------------------

Aku menatap jam di dinding, hampir jam 7 petang. Aku kian lincah, masa untuk berbuka puasa kian suntuk. Sekali sekala aku menjenguk ke ruang tamu, menanti kepulangan suami tersayang. Namun aku hampa, bayangnya tetap juga tidak kelihatan.

7.10 pm, aku dengar suara memberi salam..Aku segera bergegas ke pintu seperti lazimnya menyambut kepulangan sang suami. Sebaik sahaja pintu di buka, dia tersenyum manis. Segera aku salami dan kucupi tangannya.

"Mana santan?" Soalan pertama yang terpacul di bibirku. Muhammad Firdaus yang berdiri di hadapanku mengerutkan keningnya.

"Sayang tak tanya pun khabar abang, santan lagi penting dari abang yer?" Balas suamiku pula. Aku terpana. Aduh, memang silapku..Gelojoh..

"Astagfirullah..Maafkan Iman bang, tapi waktu berbuka dah hampir ni, kari Iman belum masak lagi, Iman tunggu santan.. err.. tunggu abang.."Jawabku pula, tak betah rasanya andai suami yang aku sayangi itu merajuk hati.

"Ye lah, Abang tahu Iman masak pun untuk abang.. Mari sini abang peluk, rindu pulak sehari tak jumpa.." Dia cuba meraih pinggangku, tapi cepat-cepat aku mengelak. Aku gelak kecil.

"Abang puasa, masam pulak tu seharian kat opis tak mandi, lagipun Iman kejar masa ni bang, sorry yer.." Cepat-cepat aku mengatur langkah kembali ke dapur. Menjinjit plastik santan yang di bawa pulang. Suamiku terdiam. Mungkin berkecil hati atau buat-buat merajuk. Aku tak sempat memikirkan dia kerana waktu berbuka puasa tinggal lagi 15 minit.


--------------------------------------

EDITED : 28 September 2009 (12.00 pm)



Selesai solat Isyak berjemaah aku salami suamiku, seperti biasa aku tunduk mengucup tangannya. Dia mengusap-usap lembut kepalaku seperti lazimnya. Terasa kasih dan sayang seorang suami meresap ke jiwaku, membuatkan aku kian bahagia. Hari ini dia kelihatan berbeza, tidak seperti hari-hari biasa, dia tidak banyak bercakap. Sejak berbuka puasa hingga kini, dia lebih banyak mendiamkan diri. Selalunya, dia pantang melihat aku, ada saja yang ingin disakatnya. Suka sangat mengusik aku, katanya dia suka melihat aku merajuk.

Aku tidak berani menegur Muhammad Firdaus, tidak berani untuk bercanda dengannya. Aku biarkan saja dia lansung membaca quran. Aku membaca sekadar dua muka surat, kemudian naskah quran itu aku tutup lalu aku kucup Quran itu sebelum meletakkannya kembali di rak buku. Telekung dan sejadah aku lipat lemah sambil mataku berkali-kali mencuri pandang ke arah suamiku. Mengharap sedikit perhatian darinya. Dia masih kusyuk membaca Quran seolah-olah aku tidak wujud dalam ruang bilik itu. Wahai diri, janganlah berkecil hati. Aku memujuk diri sendiri namun ternyata aku gagal mengawal emosi.

Di sudut dapur, aku sibuk membancuh the buat suami tersayang. Kepalaku berlegar-legar memikirkan kenapa sikap suamiku berubah. Adakah dia benar-benar marahkan aku kerana sikapku petang tadi? Astagfirullahalazim.. ampunkan dosaku Tuhan.. Atau dia sudah tidak perlukan aku? Adakah sayangnya sudah tiada untukku? Atau hatinya sudah beralih arah kepada wanita lain? Sungguh banyak persoalan menerjah kotak fikiranku, bercelaru bercampur aduk. Tanpa sedar airmata mengalir dari kedua kelopak mataku.

“Sayang potong bawang ke?” Tiba-tiba, suara dari belakang mengejutkan lamunanku. Cepat-cepat aku menyapu airmata, lantas menggeleng-gelengkan kepala.

“Eh mana ada, buat air untuk abang..” Kelam kabut aku menjawab, tanganku makin laju mengacau air dalam teko.

“Oh, jadi mata sayang masuk habuk la eh?” Dia makin menghampiri. Sejak bila dia berada di situ sungguh aku sendiri tidak sedar.

“Erm.. haah, masuk habuk..” Aku sekadar mengiyakan, berharap agar dia tidak tahu aku menangis.

“Laa.. yeke, kesian isteri abang, meh sini abang tengok,” Katanya lagi. Belum sempat aku bersuara dia sudah merangkul aku ke dalam pelukannya. Aku sekadar membiarkannya, mengelak tidak, membalas pelukannya pun tidak.

“Abang mintak maaf yer buat sayang kecik hati, abang penat sangat hari ni, banyak kerja kat ofis, dah, jangan nangis lagi yer..” Suaranya menyentuh gegendang telingaku. Mendayu-dayu penuh rasa kasih. Tidak semena-mena airmataku mengalir lagi.

“Iman yang patut minta maaf, Iman yang salah dengan abang, Iman tak layan abang dengan baik petang tadi, maafkan Iman, bang. Bila abang tak pedulikan Iman, Iman takut abang dah tak sayang Iman lagi..”
Aku meminta maaf seikhlasnya lalu meraih tangan suamiku. Aku kucup tangannya berulang kali sebagai tanda penyesalan yang bergunung.

Muhammad Firdaus tergelak kecil, entah apa yang mencuit hatinya pun aku tidak tahu. Aku kehairanan menatapnya.

“Inilah orang perempuan, sensitive sangat. Suka fikir bukan-bukan pulak tu, kan dah membazir airmata,” Ujarnya sambil menyapu airmata yang masih berbaki di pipiku.

“Iman pulak.. abang tak mahu cakap ngan Iman dulu kenapa..” Aku mengomel. Belum sempat aku menyambung kata, dia meletakkan jari telunjuknya di bibirku.

“Shh.. abang haus ni, takkan tak siap lagi sayang buat teh,” Dia sudah menukar topic perbualan. Orang lelaki memang selalu begini. Escapisme. Memang betul kata John Gray, planet kami berbeza, dia tak mungkin fahami aku. Aku tidak jadi menyambung omelan, mengerti bahawa dia tidak mahu panjangkan cerita, namun di dalam hati masih juga bermonolog. Aku tarik muka buat-buat merajuk. Dia masih tersengih memandang ke arahku.

“Dah, tak mau merajuk lagi.. Lainkali kalau abang diam, sayang kena faham abang mungkin penat, dan abang mahu sayang tahu, penawar segala penyakit abang ni satu jer… it is you! Senyuman sayang buat abang bahagia, peluk sayang buat semua masalah abang terbang jauh,” Panjang bicaranya. Satu-persatu butir katanya meresap ke jiwaku. Sungguh aku benar-benar bersyukur di kurniakan suami yang sepertinya, walaupun planet kami berbeza, dia tetap cuba mencari titik persamaannya. Alhamdulillah, aku bersyukur pada-Mu Tuhan.

“Dan Iman pun mahu abang tahu, Iman bukan nujum, Iman tak boleh baca hati abang, Iman tak boleh baca apa yang abang fikir. Iman mohon pada abang, luahkan dan kongsikan semua yang abang fikir, agar Iman tahu, agar Iman dapat berkongsi kegembiraan abang, apatah lagi kedukaan abang, Iman mohon..” Giliran aku pula meminta pengertian. Berkali-kali suamiku menganggukkan kepalanya.

Lelaki dan wanita diciptakan berbeza, bak kata sesetengah orang, man are from mars, women are from venus. Masing-masing punyai kelebihan dan kelemahan agar dapat saling melengkapi antara satu sama lain. Rumahtangga ibarat bahtera yang berlayar di lautan luas. Lautan luas bukan boleh di duga, sekejap tenang sekejap bergelora. Samudera datang menduga bila-bila masa sahaja. Asalkan si nakhoda tahu mengemudi, anak kapal pula tahu memainkan peranannya, dengan izin Allah bahtera itu akan selamat berlabuh. Rumah tangga akan kekal bahagia.

“Abang cintakanmu kerana Allah,” Lafaznya sambil mengucup dahiku.

“Kami juga cintakan abang kerana Allah,” Balasku pula, menyebabkan dia kehairanan. “Kami?” Benar seperti telahanku, dia kembali bertanya kepadaku. Aku Cuma tersipu-sipu malu. Matanya bercahaya menjelajah seluruh jasadku. Aku senyum.

“Tahniah Encik Muhammad Firdaus, insyaAllah 7 bulan dari sekarang anda akan bergelar seorang ayah,” Lagakku bagai seorang doctor di dalam drama tv. Dia hampir melompat kegembiraan. Kedua tangannya di tadah ke langit, lafaz syukur berulang-ulang kali terbit dari bibirnya. Aku senang melihatnya.

Ya Allah, semoga sembilan akalnya dapat membimbing sembilan emosiku. Dan semoga sembilan emosiku dapat melunakkan sembilan akalnya. Ya Allah, hanya pada-Mu kami berserah. Hidupkanlah kami dalam iman, matikanlah kami dalam iman, masukkanlah kami kesyurga bersama iman.

Amin ya rabbal alamin.

------------------

TAMAT



P/S: takleh panjang2 nanti letih akak kena sakat, =p

Saturday, September 26, 2009

Wanita dan Airmata


Wahai wanita..

Sapulah airmatamu..

Bukan tiada yang mendengar..

Bukan tiada yang mengerti..

Bukan tiada yang mengetahui..

Jangan menangis lagi..

Senyumlah..

Percayalah..

Kau tidak sendirian..

Kau tidak pernah sendirian..

Allah sentiasa ada bersama kamu.

Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jangan bersedih.. ^_~

Friday, September 25, 2009

Erti Hidup Pada Helaian Kertas

Kegemaran saya ketika zaman kanak-kanak dan awal remaja adalah membaca. Hobi saya membaca. Tambahan pula waktu itu, hiburan seperti alat permainan video, komputer atau internet tiada. Jadi, saya ada banyak waktu untuk membaca.

Jika di sekolah rendah, saya suka membaca buku cerita dongeng, antara buku kegemaran saya adalah Buku Cerita Naga Kepala Tujuh dan seangkatan dengannya. Walaupun sudah berada di tingkatan menengah rendah, saya masih lagi membaca buku cerita kanak-kanak. Himpunan fairy tales Enid Blyton, siri penyiasatan Salma dan kawan2, dan banyak lagi. Himpunan buku antologi cerpen, sayembara puisi dan macam2, termasuk novel-novel cinta yang di pinjam dari sahabat.

Pendek kata, cita-cita saya ketika di Sekolah Menengah Kota adalah untuk memastikan saya telah semua buku di dalam perpustakaan sekolah. Pantang ada bahan bacaan, saya akan berhenti seketika untuk membaca, walau cuma sekeping surat khabar lama. Begitulah kegilaan saya dulu kala terhadap buku.

Namun semuanya berubah setelah saya berpindah sekolah ke MRSM. Terlalu fokus dengan SPM hingga saya tidak punyai ruang untuk lakukan perkara lain yang saya minati. Walaupun terpilih (baca: memohon dan terpilih) sebagai Pengawas Perpustakaan selama dua tahun, tak banyak buku yang telah saya baca. Saya di MRSM hanya untuk SPM. Sengkang waktu untuk membaca hanya untuk buku sejarah dan biologi. Pendidikan Islam dan Tasawur Islam. Fizik dan Kimia. Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Matematik Moden dan Matematik Tambahan. Itu saja. Lama-kelamaan minat saya terhadap bahan bacaan kian pudar.

Masa terus berjalan. Saya juga menginjak dewasa. Hidup tetap diteruskan.

Jika dulu saya suka membaca, menerima. Sekarang saya lebih gemar menulis, memberi. Walaupun hakikatnya saya sedar, ilmu yang saya miliki sangatlah sedikit atau lansung tiada. Bacalah dengan nama Tuhanmu... Baca! Jadi seharusnya, saya kembali kepada asas utama yakni perbanyakkan membaca, tambah ilmu, mantapkan pemikiran dan idea. Saya sedar.

Atas kesedaran itu juga. Saya cuba membeli dan mengumpul buku-buku. Banyak buku dibeli namun akhirnya, buku itu sekadar perhiasan di rak. Dibaca sehelai dua kemudian terbiar tidak tersentuh. Apa sudah jadi dengan saya? Mana keghairahan dulu?

Sebelum saya kembali mengumpul buku bacaan, di luar sedar saya (sekarang baru perasan) saya gemar mengumpul buku-buku kosong. Saya suka membeli dan menyimpan buku nota yang kosong, buku A4, kertas A4 dan segala yang kosong di dalamnya. Tiada cerita. Tiada kisah.

Apakah erti hidup?

Adakah buku mampu melambangkan erti sebuah kehidupan? Kehidupan seorang insan bergelar Hasniza?

Adakah kerana aku sudah penat menerima? Penat dengan kehidupan ini? Atau aku bosan membaca kisah yang dikarang sesedap hati oleh sang pengarang. Atau aku sudah tidak percaya pada sebuah kehidupan? Atau kenapa? Adakah kerana kehidupan aku yang terlalu berliku-liku tidak diketahui bagaimana penyudahnya maka aku benci novel-novel yang sungguh mudah ditamatkan? Entah.

Kerana aku penat membaca kisah manusia lain. Kerana aku rasa kisah aku jauh lebih tragis. Kerana aku sangka kisah aku jauh lebih 'menarik' untuk di bukukan. Kerana aku ingin menulis kisah-kisah yang tercatit sepanjang jalan kehidupan aku. Maka aku persembahkan helaian-helaian kosong di hadapan mataku. Namun apa yang jadi? Adakah aku menulis? Adakah aku mula menulis? Adakah buku itu tercatit cerita atau nostalgia? Epilog mahupun monolog? Tidak! Buku itu masih kosong.. Masih kosong..

Aduh buku...Aduhai kehidupan..

Alangkah indahnya andai kita mampu karang kehidupan kita, kita tentukan jalan ceritanya, kita tentukan watak-watak yang menemani jalan cerita kita. Kita tentukan penamat kisah kita. Ibarat sebuah buku cerita.

Namun aku sedar, seyakinnya aku. Setiap apa yang sudah terjadi, sedang terjadi mahupun akan terjadi, semuanya atas kehendak Ilahi. Segalanya sudah tertulis buatku. Tercatit untukku sebagai suratan takdir. Ketentuan Qada' dan Qadar. Sebagai hamba Allah yang hina lagi kerdil, aku pasrah dan berserah hanya kepada-Mu ya Allah.

Cuma pintaku ya Allah, berikanlah aku kekuatan, ketabahan dan keyakinan. Teguhkanlah langkahku ya Allah, agar aku dapat tempuhi segalanya dengan penuh redha dan pasrah. Ya Allah, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu. Sungguh aku penat dengan dugaan yang menimpa, namun aku mohon ya Tuhan, agar Kau bimbing aku, agar ujian ini menjadikan aku lebih dekat, lebih cinta pada-Mu.

Kau ampunkanlah segala dosaku. Kasihanilah aku ya Tuhan. Hidupkanlah aku dalam iman, matikanlah aku dalam iman, masukkanlah aku ke syurga bersama iman. Berikanlah aku cahaya petunjuk-Mu. Tingkatkan keimanannku dan kecintaanku hanya pada-Mu. Akhirkanlah hidupku dengan kesudahan yang baik, amin ya rabbal alamin.

Tuesday, September 22, 2009

Hakikat Cinta

Pada pagi hari raya ke-tiga, sempat saya luangkan masa untuk membaca akhbar. Diri sendiri sangat jarang membeli surat khabar, kalau pun baca surat khabar perdana, selalunya manfaatkan internet saja. Namun, abang ipar saya yakni suami kakak saya, tak boleh sehari tanpa surat khabar. Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk membeli surat khabar dan alang-alang ada di depan mata, maka sempat juga saya jeling-jeling (baca: baca sepintas lalu) surat khabar tersebut.

Lumrah, musim perayaan, surat khabar kita di isi penuh dengan berita mengenai kemalangan jalan raya, sana dan sini. Kemalangan ngeri, ada yang meninggal di tempat kejadian, ada yang meninggal sebaik saja tiba di hospital dan ada yang cuma putus tangan atau kaki. Naauzubillah. Moga dijauhi dari kecelakaan sedemikian. Saya berharap dan berdoa agar kita sentiasa dilindungi Allah, terselamat dari bencana. Selain itu, semoga kita semua sentiasa berhati-hati walau di mana jua berada.

Dalam surat khabar hari ini, dimuatkan kisah sepasang adik beradik yang berjalan kaki ke kedai bapa saudaranya. Si abang berusia 7 tahun dan adiknya berusia 5 tahun. Sudah begitu takdirnya, si adik terlepas tangan si abang lalu entah bagaimana di rempuh sebuah kereta proton saga. Si abang yang melihat si adik di seret meraung-raung memanggil nama si adik sambil mengejar dari belakang. " Adik aku! Adik aku!"..

Sebaik saja kereta tersebut 'melepaskan' adiknya di atas jalan, si abang meriba kepala si adik yg berlumuran darah, meraung-raung memanggil nama si adik.

Bayangkan bagaimana perasaan si abang yang menyaksikan sendiri adiknya dilenyek di hadapan mata. Bayangkan bagaimana sedihnya si abang melihat si adik terkulai tidak bernyawa, berlumuran darah. Dia menangis-nangis sambil memeluk jasad adiknya. Memanggil-manggil nama adiknya. Namun adiknya bisu, kaku tidak bersuara. Kasih seorang abang yang berusia 7 tahun. Naluri semula jadi manusia yang punyai perasaan kasih dan sayang, anugerah Ilahi, apatah lagi terhadap insan yang sedarah dengannya.

Dalam suratkhabar itu juga turut memuatkan kisah si peragut yang jatuh hati kepada mangsanya. Kisahnya, si peragut yang berusia 22 tahun, telah menikam mangsa sebelum meragut mangsa yang juga seorang jururawat berusia 18 tahun. Entah bagaimana, dalam tragedi ragut meragut itu, si jejaka sempat terjatuh hati kepada mangsa. Seminggu kemudian si peragut kembali ke tempat kejadian, menulis nota cinta kepada si gadis, dengan harapan si gadis sudi bertemu dengannya menjalinkan hubungan, malangnya, si gadis hadir di tempat yang dijanjikan bersama sepasukan polis, lalu akhirnya, si jejaka berjaya diberkas oleh pihak polis.

Begitulah hebatnya kuasa cinta. Hinggakan ada yang sanggup berbuat apa saja demi cinta. Entah apa yang menjadi pencetus cinta. Entah apa yang membuahkan rasa cinta. Entah bagaimana rasa cinta hadir. Entah bagaimana rasa cinta itu lahir. Tapi ternyata, dalam diri manusia, sememangnya mempunyai rasa cinta itu. Walaupun tanpa kita sedari, ia muncul begitu saja. Kerana ia suatu perasaan yang sangat istimewa, anugerah terindah dari Sang Pencipta Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Malangnya, ada juga manusia yang dicipta Allah serba sempurna, dikurniakan akal dan naluri namun sering saja alpa dan leka. Tidak memanfaatkan anugerah Allah sebaik mungkin. Tidak saling mengasihi malah berdendam dan saling membenci. Ada keluarga yang berpecah, bercerai berai kerana berebutkan harta, kerana mempunyai kepentingan masing-masing yang sering bercanggah. Ada juga yang berpatah arang hanya kerana perselisihan faham yang kecil, tapi sengaja diperbesar-besarkan.

Sesungguhnya tidak masuk syurga seseorang yang tidak mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri. Cinta itu perlu. Bukan hanya cinta buat kekasih hati namun cinta sesama manusia, cinta terhadap alam sekitar, cinta terhadap hidupan sekeliling kita, cinta kepada Allah dan rasul, cinta kepada al-quran dan kitab, cinta kepada kedua ibu bapa dan sanak saudara, cinta kepada negara dan tanah air.

Ramai yang suka sempitkan definisi cinta, cinta hanya tertakluk kepada cinta buat pasangan, cinta buat kekasih atau cinta kepada suami atau isteri. Maka sering terjadi, mereka yang jatuh cinta sering hanyut dan leka dalam khayalan cinta. Mabuk cinta hingga lupa segalanya. Lupa diri, lupa dunia dan lupa akhirat. Kerana cinta bagi mereka adalah buah hati pengarang jantung. 100 peratus hanya untuk dia.

Maka sering terjadi, bila si dia berubah hati, dunia bagaikan sudah berakhir. Kehidupan jadi tidak bererti. Bila si dia pergi meninggalkan, si kekasih bagaikan hilang pertimbangan, jadilah seperti Laila dan Majnun yang sanggup mati asalkan dapat terus bersama dengan kekasih hati. Begitulah cinta yang suci sering di salah tafsirkan. Cinta yang membuahkan derita sengsara. Cinta yang membinasakan. Cinta yang merosakkan. Cinta yang membunuh.

Walau begitu, saya masih percaya, cinta masih lagi punyai aura, kekuatan dan tenaganya yang tersendiri. Cinta mampu menjadi pendorong bagi seseorang untuk terus berusaha mengejar kejayaan. Cinta mampu menjadi pemangkin untuk terus tabah meneruskan kehidupan. Cinta berkuasa menghidupkan hati yang sekian lama mati.

Cinta yang mampu menjadi cahaya penunjuk jalan. Cinta yang membahagiakan. Cinta yang mempesonakan. Cinta yang membangkitkan rasa yakin diri. Cinta yang menerangi kehidupan. Cinta yang berlandaskan syariat Islam, cinta yang selari dengan tuntutak Islam, cinta yang berada di landasan yang benar. Cinta sebegitu masih ada, namun bukan mudah untuk dimiliki.

Cinta adalah fitrah yang suci. Cinta juga salah satu 'makanan rohani'. Jangan dicemari cinta dengan nafsu dan niat jahat. Jangan dicemari cinta dengan kelakuan yang tidak bermoral lagi tidak berakhlak. Jangan jadikan cinta sebagai senjata untuk membunuh, sebaliknya manfaatkanlah cinta untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang sudah mati.


Cinta kepada Allah itulah cinta yang paling hakiki.

Cinta kepada Allah itulah cinta yang pailing sejati.

Hanya aku dan Dia. Hanya Dia tempat aku berserah.

Aku menadah tangan bermohon daripada-Nya.

Aku tundukkan wajah, berbicara dengan-Nya.

Sungguh banyak aku mengadu, merayu dan memohon.

Airmata jatuh laju tidak tertahan lagi.

Ampunkan segala dosaku Ya Tuhan..