+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, May 16, 2009

Ada Dalam Tiada.

"Kau nampak angin?" dia bertanya kepadaku. Aku menggelengkan kepala, maknanya, aku tidak nampak angin.

"Jadi, bagaimana kau tahu angin itu ada?" Dia bertanya lagi, lagak seorang professor cap ayam. Aku sekadar tersengih, menampakkan kesemua 32 batang gigiku yang tersusun kemas, owh, mungkin tak cantik, tapi cukup tanpa rongak dan tidak hitam. Aku kerdipkan mataku berulang-ulang kali. Sengaja menarik perhatian dia.

Dia membulatkan mata, marah dengan sikapku yang keanak-anakan. Aku mengerti panahan matanya itu. Aku kemudian tersenyum. Cuba untuk kembali serius. Lalu menarik nafas dalam-dalam.

"Aku tahu kerana aku dapat merasakannya..aku tau kerana aku dapat melihat dedaun kering berterbangan..aku tahu kerana ada kalanya angin yang lemah itu mampu berubah menjadi taufan yang kejam, angin itu juga mampu membunuh kau dan aku!" Aku menjawab, panjang lebar tanpa menggerakkan kedua tanganku sebagai lagak seorang pendebat. Kedua tanganku aku letak kemas di riba ku. tidak terangkat walau seinci. Tenang.

Dia kembali senyum kepadaku.

" Jadi, maksud kau..tidak nampak tidak semestinya tiada, kan?" Sekali lagi dia bertanya, kali ini bukan lagi berlagak sebagai seorang profesional, tapi gayanya bagai kucing lapar yang sedang memujuk tuannya memberikan ikan segar. Menggesel-geselkan badan di kaki tuannya. Untung dia bukan kucing itu, tidak pula bergesel denganku, cuma sekadar melunakkan dan merendahkan suaranya sahaja. Aku tergelak kecil melihat sikapnya yang tiba-tiba menjadi comel. Aku sekadar menganggukkan kepala. Setuju.

"Sekiranya aku tiada kelak, aku harap kau tahu, bahawa aku sayangkan kau kerana Allah. Kau jaga dirimu baik-baik, jadi muslimah yang solehah..ingat aku dalam doamu" Pantas dia menyambung kata-kata, sebelum sempat aku bersuara. Dia memalingkan wajahnya membelakangi aku namun aku sempat menangkap riak wajahnya yang berubah menjadi suram. Bukan sehari aku mengenalinya. Bukan setahun malah sejak kecil kami saling mengenali. Dia bukan sekadar sahabat baikku, malah aku menganggapnya seperti saudara kandungku sendiri. Dialah teman bergurau dan dialah teman bergaduh. Bila aku menangis dia yang memujuk dan bila dia terluka, aku yang membalut lukanya. Kami sering meluangkan masa bersama-sama. Mengaji sama-sama, dan lari sama-sama bila di kejar anjing Ah Leong yang terputus rantainya.

Suasana petang itu kian suram, aku ingin bertanya namun dia terus mengunci bibir, menyimpan sejuta rahsia. Aku kian gelisah namun cepat-cepat dia menarik hujung tudungku lalu ketawa berlari-lari anak keluar dari bilikku, sengaja memancing aku agar mengejarnya dari belakang..Haih....Maka terjadilah adegan kejar mengejar, pelakonnya adalah dua gadis yang kini sedang meningkat remaja. Aku dan dia.

______________________________


Bunga kemboja jatuh di hadapanku mengejutkan lamunanku. Aku menyapu air mata yang membasahi pipi. Semua hadirin sudah pulang, meninggalkan aku sendirian di pusara yang masih merah tanahnya. Aku tunduk, cuba menggapai kemboja yang gugur itu, angin petang menderu kuat menyentuh pipiku. Makin kuat ingatanku pada dia, sahabat sepermainanku sejak kecil.

" Jadi, maksud kau..tidak nampak tidak semestinya tiada, kan?"

Kata-kata itu bergema lagi di telingaku.. Ya, dia sudah tiada, pergi meninggalkan aku dan seluruh alam fana ini. Dia telah kembali menemui Sang Pencipta, tinggalkan aku yang masih hidup. Aku kini tidak mungkin dapat melihatnya lagi...namun di hatiku, dia tetap ada. Bagai angin yang sentiasa menemani aku tanpa pernah aku melihat jasadnya.

Selamat beradu di pusaramu sahabatku. Selamat tinggal sahabat. Semoga rohmu di tempatkan di dalam golongan hambaNya yang dikasihi. Amin ya rabbal alamin.




Friday, May 15, 2009

Gua Untuk Aku.

I built my own cage..
Only me inside..
Dark and silent covered me..
No body can touch me..
No body can hurt me..

Lets tears be my best friends,
I just wanna be alone..just alone...
Just only me.

Pernahkah anda berasa terlalu kecewa dan sedih, perit dan pedih. Benar-benar putus harapan dan merasakan dunia ini seolah-olah sudah hilang serinya? Terasa bagaikan masa hadapan tidak mungkin lagi mendatangkan sinar kebahagiaan. Umpama hari esok bukan lagi milik kita.

Pernahkah anda merasa bagaikan satu dunia sedang mengejek dan menghina. Bagaikan ke mana saja kaki melangkah, seluruh mata sedang memandang serong dan jijik terhadap anda. Walau apa jua yang sedang anda lakukan, semuanya terasa kekok dan tiada sebarang makna. Lalu anda benar-benar hilang keinginan untuk meneruskan kehidupan. Lalu terdetik di hati kecil..
"Mati lebih baik.."

Ah, sampaikan anda lupa, betapa alam kubur itu lagi menyeksakan, lupa tiada lagi u-turn setelah jasad kembali ke liang lahad, lupa bekalan ke alam sana mencukupi atau tidak. Anda cuma ingin pergi jauh dari segala sengsara yang memberat di jiwa.

Anda benar-benar ingin lari dari kehidupan yang sedang anda lalui kini. Terlalu banyak derita, sudah banyak airmata yang tumpah. Barat atau selatan, semuanya menyakitkan. Anda ingin pergi jauh, tetapi tidak tahu ke mana harus kaki melangkah. Anda ingin tinggalkan semua namun leher bagai dirantai. Langkah terhenti, tiada upaya keluar dari kepompong duka. Anda bagaikan ingin menjerit melaungkan kepada dunia.

"Aku ingin bebas dari derita!!!"
"Aku sudah penat menangis.."

Pernahkah anda? Jika pernah berasa demikian, bangkitlah. Sapu airmata. Senyumlah. Hidup ini mesti diteruskan walau apa jua dugaan yang datang menguji. Layakkah kita meminta bahagia sedangkan kita tidak pernah berasa sengsara? Dan adakah kita akan tahu bagaimana nikmatnya sebuah kebahagiaan andai kita tidak pernah kenal erti penderitaan?

"Hidup ini penjara bagi orang yang beriman.."

Sudah namanya kehidupan, tidak mungkin akan pernah sunyi dari diuji. Siapa saja pasti pernah melalui saat-saat genting dan sukar dalam kehidupan. Tiada bumi yang tidak dibasahi hujan dan tiada pipi yang tak pernah dibasahi airmata. Semakin kita kian mengerti makna sebuah kehidupan, semakin banyak pula makna kehidupan itu menduga kita. Ini lumrah yang terpaksa kita tempuhi dan perlu dicatat dalam diari kehidupan menuju hari dewasa. Bukankah pengalaman itu mendewasakan?

Setiap dari kita pasti mempunyai masalah yang tersendiri. Cuma bezanya, bagaimana kita menghadapi masalah tersebut dan bagaimana kita menyelesaikannya. Ada yang sentiasa bersifat optimis dan tidak pernah mengalah, ada juga yang sekadar berpeluk tubuh membiarkan waktu menjadi penawar dan ada juga yang ingin melarikan diri setiap kali berhadapan dengan sesuatu permasalahan.

"Aku ciptakan gua untuk aku..untuk aku bersembunyi, lari dari realiti.. jauh dari kenyataan duka. Biarlah aku sendirian, tiada siapa di sisi, hanya sepi dan kegelapan menyelubungi aku.. dan biarlah airmata menjadi temanku yang paling setia"

Menangislah bila hati sedang terluka. Tapi ingat kita bukanlah manusia yang paling malang. Dan janganlah kerana kegagalan semalam membuatkan kau terus berputus asa lalu tidak mahu bangkit dari kesedihan. Sentiasa bersangka baik kepada Allah dan yakin setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi, kerana Dia tidak pernah menganiaya hambaNya.

"Gua itu gua aku, aku ciptakannya agar tiada siapa pun mampu melukai aku lagi, tapi janganlah kerana gua itu aku menjadi manusia yang kian pesimis. Jangan jadikan gua itu sebagai benteng penghalang untuk aku melangkah lebih jauh kehadapan, janganlah terus bersembunyi di dalam gua ciptaan itu untuk selamanya, realiti haruslah dihadapi, masalah haruslah diatasi. Ingatlah.. gua itu tidak akan kekal selamanya"



Thursday, May 14, 2009

Cerita Tentang Ayah

Selesai bungkus makanan, saya balik ke rumah, sendirian. Teman serumah keluar bekerja dan seorang lagi ke rumah makciknya di Ampang. Masa untuk privasi. Saya membaca novel “If You Could See Me Now-Cecelia Ahern”. Beberapa helaian muka surat dibaca, kemudian saya terasa ingin makan nasi lemak yang di beli. Sambil makan air mata ini tiba-tiba mengalir laju, kemudian teresak-esak. Entah..

Saya teringatkan Arwah Ayah..Mungkin kerana bubur di kedai makan tadi telah menyebabkan saya rindu teramat kepada Ayah.

Ayah sudah kembali ke rahmatullah lebih dua tahun yang lepas. Dan saya juga bukan lagi seorang kanak-kanak. Tapi, tiap kali teringat pada arwah ayah, air mata ini mudah benar mengalir. Saya benar-benar rindukan Ayah. Sentiasa rindukan Ayah.

Ayah.

Ayah saya bernama Ibrahim Bin Abdullah. Dia membesar dengan penuh kesusahan. Arwah ibunya kembali ke rahmatullah sejak dia bayi. Arwah ayahnya bernikah lain dan hidup bersama ibu tiri menambah derita ayah. Ayah hidup berpindah randah dan akhirnya dia membesar bersama bapa saudaranya di Besut.

Mungkin kerana dia tidak pernah dimanjakan, dia tidak berapa reti memanjakan anak-anak. Saya anak ke dua, kami empat beradik. Kakak sulung saya 3 tahun lagi tua drpd saya. Adik lelaki saya muda setahun dari saya dan adik bongsu saya lebih muda 4 tahun dari saya. Kami bukan keluarga senang. Pekerjaan utama ibu dan ayah adalah menanam padi dan waktu itu, padi di tanam mengikut musim hujan, setahun sekali saja. Jadi, masa sengkang ayah bekerja kilang yang letaknya kira-kira 10 kilometer dari rumah. Berbasikal. Saya masih ingat, ayah masuk kerja jam 4 petang dan pulang jam 12 malam.

Ayah sangat garang. Terutama dengan kakak sulung dan adik lelaki ke-tiga. Ada saja yang tidak kena. Selalu sahaja mereka berdua di marahi. Malah pernah juga mereka dipukul. Berbeza dengan saya. Ayah melayan saya dengan baik sekali. Saya selalu didukung. Diajak bergurau dan bermain. Ayah benar-benar sayangkan saya. Kadang-kadang, jika saya menangis, kakak saya akan di marahi walaupun sebenarnya saya yang bersalah. Kerana ayah benar-benar sayangkan saya.

Saya memang anak emas ayah. Semenjak kecil, jarang benar saya di marahi, kecuali jika saya sendiri yang sengaja mencari masalah. Prinsip saya sejak kecil, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar. Dan itu yang sentiasa saya tegakkan walaupun ia melibatkan ayah atau ibu sendiri. Kemiskinan juga sering menjadi punca pergaduhan ibu dan ayah, selalunya saya menjadi orang tengah antara mereka berdua. Mungkin kerana waktu itu, ayah mudah sejuk jika melihat saya. Agaknya..

Meningkat Dewasa.

Saya tinggalkan keluarga, ibu dan ayah setelah mendapat tawaran masuk ke MRSM tingkatan 4. Seminggu saya homesick menangis setiap hari di asrama. Sejak ke asrama, masa bersama ayah dan ibu semakin kurang. Selesai SPM, saya menetap dengan kakak di Kuala Lumpur. Setelah mendapat keputusan SPM, saya sambung pengajian ke Universiti. Masa bersama ayah semakin kurang.

Saya mengambil masa enam tahun untuk menamatkan pengajian di university, ayah juga mungkin sudah penat menunggu. Ayah saya disahkan menghidap penyakit stroke sejak saya tahun dua di university. Hari makin hari, kesihatan ayah kian teruk. Dia tidak lagi mampu berbuat kerja berat. Pernah sekali dia di kejarkan oleh ambulan ke hospital. Sesak nafas. Saya segera membeli tiket pulang ke kampong dari Johor ke Kelantan. Paginya saya sampai bertemu ayah, malamnya saya kembali ke university kerana ada ujian. Saya sayangkan ayah.

Detik-detik Terakhir.

Tamat pengajian, saya kembali ke kampong. Ingin luangkn lebih lama masa bersama ayah dan ibu. Dan sebenarnya waktu itu saya sudah merasakan sesuatu-seolah-olah waktu bersama ayah sudah hampir berakhir. Ayah memang sudah banyak berubah. Badannya kurus kering. Sayu saya melihat dia. Dia masih mampu berjalan dan menguruskan diri, namun sering sesak nafas dan sakit kepala, dia kelihatan begitu lemah.

Bilik saya bersebelah bilik ayah. Suatu petang ayah memanggil saya, “Za, tengok siapa kat belakang rumah” Dia berdiri di tingkap biliknya. Saya menjenguk dari tingkap bilik saya ke arah yang ditunjukkan. Tiada apa-apa. Arwah masik tidak berpuas hati dan yakin dia melihat seseorang. Jadi saya ke biliknya untuk melihat dari dekat. Tiada apa-apa. Namun ayah masih bersungguh-sungguh, yakin dengan apa yang dia nampak..”Betul, ada orang putih baju putih belakang pokok..” kata arwah ayah, yakin.

Melihat dia yakin, saya turun lalu pergi ke belakang rumah, tempat yang ditunjukkan. Ternyata tiada. Ayah masih tidak berpuas hati turut ke tempat itu. Kemudian dia tersenyum-senyum..”Ayah ngigau kot, tak de orang pun..” dia gelak dan saya pun turut gelak.

Saya ceritakan kepada ibu. Kami sama-sama gelak, tapi sebaliknya, jiran saya maklumkan, ibu risau dengan ‘peristiwa’ petang itu. Saya masih tidak dapat tangkap apa-apa.

Bubur Nasi.

Pernah suatu petang ayah tiada selera makan, dia mahu makan bubur nasi, lalu saya bersusah payah masakkan bubur nasi untuknya, ada lauk, ada sayur, supaya ayah kembali sihat. Penat saya memasak, saya menjemput arwah makan, namun dia menolak, katanya bukan bubur itu yang dia mahu, saya berkecil hati dan merajuk. Ayah tak sentuh langsung. Rupanya bubur yang dia inginkan adalah bubur nasi bersantan..Saya silap tapi memandangkan saya dah penat masak, banyak pula, saya tidak tunaikan permintaan arwah, hingga kini, saya sangat menyesalinya.

Setelah dua minggu di kampong, saya kembali ke rumah kakak saya. Seminggu saya di rumah kakak. Kemudian kakak dan keluarga balik bercuti di kampong. Saya ikut balik ke kampong sekali lagi. Seminggu kami di kampong..Ayah kelihatan ceria. Anak cucu ada di rumah menghiburkan hatinya. Setelah seminggu di kampong, kami kembali ke Kuala Lumpur.

Berita Sedih.

Seminggu di Kuala Lumpur, tiba-tiba kami dikejutkan panggilan oleh ibu jam 12 malam, “Ayah dah tiada”.Kakak menangis teresak-esak. Kemudian memaklumkn kepada saya. Lutut saya tiba-tiba terasa lemah. Saya jatuh terduduk.” Tipu, tipu..ayah ada lagi..” saya ulang berkali-kali. Air mata mengalir laju. Sukar menerima kenyataan itu. Beberapa ketika menangis tersedu-sedu, kakak bangkit bangun dan menyuruh saya mengemas, kakak menelefon adik kami yang tinggal di shah alam dan keramat. Untung ada abang ipar yang masih terkawal emosi.. Dia yang banyak membantu dan alhamdulillah dia mampu memandu.

Kami pulang satu kereta. Penuh. Kami keempat-empat beradik semuanya di dalam kereta itu. Dalam perjalanan pulang. Perjalanan mengambil masa lebih lapan jam tapi sedikit pun saya tak dapat lelapkan mata. Saya tidak dapat berhenti menangis. Bukan saya sahaja, kesemuanya teresak-esak bersahutan. Semuanya menangis. Saya tidak boleh berhenti menangis. Wajah ayah terbayang-bayang di fikiran saya. Tak dapat saya gambarkan, hidup ini tanpa ayah..Saya tak mungkin dapat melihat dia ketawa lagi, saya tak mungkin dapat melihat dia lagi...Hati saya benar-benar sedih.

Kami sampai kira-kira jam 10 pagi. Jiran-jiran ramai berkumpul. Kedua adik lelaki saya sempat memandikan jenazah, siap di kafankan, kami diizinkan mengucup arwah seorang demi seorang. Dan giliran saya yang terakhir, saya tidak mampu melakukannya kerana air mata ini terlalu mengalir laju, tidak mahu berhenti.

Kali Terakhir.

Lama saya melutut di tepi jenazah, cuba menyeka air mata seketika sebelum mengucup dahi jenazah, susahnya airmata ini hendak berhenti. Puas saya memaksa airmata ini supaya berhenti mengalir kemudian cepat-cepat saya mengucup dahi ayah kerana tidak ingin airmata ini jatuh ke jenazah, dan itulah kali terakhir saya menatap wajah ayah.

Semoga arwah ditempatkan di dalam golongan yang Allah kasihi, semoga Allah mencucuri rahmat buatnya..Semoga Allah mengampunkan segala dosa ayah..saya sayangkan ayah.

Dan kini, airmata masih tidak berhenti mengalir, basah baju saya sementara menyiapkan cerita tentang ayah..Semoga ayah di tempatkan di dalam golongan yang Allah kasihi. Saya anak ayah, saya sangat sayangkan ayah.

Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku masih kecil, amen ya rabbal alamin..

Tuesday, May 12, 2009

Kenapa Couple Tidak Difatwakan Haram?

Bismillah..

Sekadar memanfaatkan masa yang tersangat suntuk. Penjelasan dan pandangan ringkas dari saya mengenai hukum couple. Jika sebelum ini, saya cuba mengelak untuk mendefinasikan/meletak hukum bahawa couple adalah haram, tapi hari ini saya tergerak untuk mengulas seringkas yang mungkin.

Sekali lagi saya ingin jelaskan, saya bukanlah ustazah atau alim ulamak, untuk bercerita mengenai hukum saya bukanlah orang yang paling layak, ilmu di dada masih sedikit dan sangat cetek, namun, sebagai muslim yang tahu halal, haram, sunat, makhruh dan harus, saya kira, semua orang juga tahu mengenai persoalan ini.

Apa yang mencetus dan menggerakkan saya agar menulis di sini kali ini adalah apabila ada sahabat alam maya yang bertanya;

"Jika benar couple haram, kenapa majlis fatwa tidak keluarkan fatwa sebagaimana mengeluarkan fatwa merokok adalah haram?"

Naauzubillah, astagfirullahalazim.. Pada pendapat saya, sebagai muslim yang waras, kita sepatutnya tahu, apa peranan majlis fatwa dan bagaimana seseuatu fatwa itu dikeluarkan. Fatwa tidak di keluarkan sesuka hati begitu sahaja, ia pasti bersebab yang sahih dan mesti melalui proses dan perbincangan yang sangat panjang. (I'll try to explain later on if i got time, insyaAllah)

Saya tidak punyai banyak masa untuk mengulas mengenai majlis fatwa atau fatwa itu sendiri, cukup sekadar ingin berkongsi pandangan, kenapa couple tidak difatwakan haram.

Dengan menggunakan logik sahaja, rasanya kita boleh memikirkannya. Saya gunakan analogi yang paling mudah, MAKAN.

Kita diwajibkan makan sekiranya tanpa makan, kita pasti mati.

Kita disunatkan makan sekiranya dengan makan, kita dapat berbuat kebajikan membantu insan lain dan beribadat kepada Tuhan.

Adalah makhruh jika kita makan terlalu banyak sehingga memudaratkan kesihatan diri.

Adalah halal makan jika makanan itu halal, dari rezeki yang halal dan memenuhi tuntutan hidup.

Dan, sebaliknya makan menjadi haram sekiranya kita makan dengan niat, setelah selesai makan, setelah mendapat tenaga yang mencukupi, kita akan keluar merompak.

Begitu juga dengan couple..

Hukumnya tidak semestinya haram, tak kira pusing kanan pusing kiri, pusing atas pusing bawah ia tetap haram. Bukan begitu.... Couple menjadi haram sekiranya dengan hubungan tersebut, mampu mendorong kita mendekati maksiat dan melupakan Allah. Dan begitu juga hukum-hukum lain boleh di aplikasikan bersesuaian mengikut situasi, wallahua'alam.

Sekali lagi saya memohon maaf kerana menulis dalam kesuntukan masa, tidak berapa teratur dan kemas, saya persilakan sahabat sekalian untuk turut berkongsi dan bertukar-tukar pandangan, jika punyai masa, saya akan kemaskini semula. Dengan izin Allah.

Wassalam

Monday, May 11, 2009

Demi Masa: Manusia yang Rugi

Al-'Asr

[1]
Demi Masa!
[2]
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
[3]
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Dan sesungguhnya, terasa kaki penat mengejar dan dikejar, tidak pernah cukup dan puas, lelah tidak berkesudahan, masa kian suntuk atau kita yang tidak tahu memanfaatkan masa dengan sebaik yang mungkin?

Adakah aku tergolong dalam golongan manusia yang rugi?

Adakah aku beriman?

Adakah aku beramal soleh?

Adakah aku sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan?

Adakah aku seorang yang penyabar?