Selain daripada mendapat keputusan semua A dalam PMR dan SPM - tiada apa yang boleh saya banggakan dalam hidup saya pada kehidupan yang lepas.
Saya berasal daripada keluarga yang miskin. Zaman kanak-kanak saya susah. Syukurnya saya punya keluarga yang sangat menyayangi diri saya seadanya. Silap dan salah saya, tidak dipersoalkan. Tidak dipertikaikan. Begini saya, begitulah yang mereka terima.
Zaman remaja saya juga berliku-liku. Dari sudut agama dan akhlak, juga pencapaian dalam akademik sangat teruk. Saya seorang yang pesimis. Sering menangis berjam-jam tak mahu berhenti. Seharian pun pernah. Terfikir mahu bunuh diri pun ada. Dunia terasa sangat sempit. Masalah saya dirasa sangatttt besar. Saya tak mampu berfikir jauh, semuanya dirasakan negatif - hitam.
Bukan niat saya sengaja nak buka keaiban diri. Sekadar berkongsi moga jadi iktibar kepada orang lain. Bahawasanya, tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan. Semua orang juga ada masalah masing-masing. Besar atau kecil. Itu bergantung kepada cara penerimaan kita.