+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, October 20, 2010

Dan Rindu Pun Berlabuh

Dengarkanlah rintihanku,
Jeritanku, suara hatiku,
Bisikkan padanya, aku rindu.

Rindu pada insan pertama menyintaiku. Sepenuh hatinya menyintaiku, sebelum sempat aku melihat dunia. Biarpun tidak pernah bertemu muka, bertentang mata, bertatap wajah. Dia sentiasa mengasihiku setiap waktu. Aku rindu pada insan yang melindungiku setiap masa, menenangkan aku tatkala aku kegelisahan. Menyapu airmata yang murah mengalir di pipi. Memeluk aku di saat aku ketakutan.

Bila aku terjatuh, dialah insan pertama yang menghulurkan tangan untuk menarikku kembali ke atas. Bila aku terluka, dialah insan pertama yang membalut luka, menuang seribu penawar biarpun luka itu tiada berdarah. Bila aku gentar mendongak kepala memandang ke hadapan, dia memimpin tanganku, menerangi jalan buatku.

"Nak, jangan takut. Ibu sentiasa ada bersamamu. Allah itu Satu. Dia Maha Mengetahui."

Ibu, kau dicipta sempurna oleh-Nya. Dikaulah 'malaikatku' yang sentiasa aku kasihi dan aku rindui. Moga kita kekal bahagia, sampai syurga.

Ibuku. Aku sayang kamu.

Rinduku bertebaran. Berlabuh pula pada seorang insan yang setia di sisiku. Dia yang mendokong aku, menyokong aku, mengajar aku bertatih, mengajarkan aku alif ba ta. Dia yang menghiburkan aku, menyanyikan lagu bila aku berduka. Dia yang mengusap kepalaku dengan tangan kasarnya penuh kasih. Dia yang tak betah melihat aku menangis.

Dialah ayah yang aku kasihi.

Biarpun susah, demi melihat segaris senyuman di wajahku, ayah sanggup mengalah. Biarpun penat dan lelah, demi melihat aku gembira ayah sanggup berbuat apa sahaja. Kita bergurau senda, ketawa sama-sama. Dan ayah, anakmu kini sudah dewasa.

Ayah. Anakmu kini sudah mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Belum sempat aku berbakti padamu ayah, kau pergi dulu tinggalkan kami. Rinduku tinggi melangit buatmu ayah. Kasihku tidak bertepian biarpun tanah menjadi sempadan antara kita.

Moga kau aman bersemadi di sana duhai ayah yang amat aku cintai. Sungguh aku rindu..


Oh Tuhan.
Rindu ini terlalu indah.
Teramat suci.
Kau jadi saksi.

Oh Tuhan.
Hanya Kau yang Maha Kuasa.
Kau yang ciptakan rasa ini.
Kau yang campakkan rindu ini.
Semuanya dari Engkau.

Allah berfirman;

Demi matahari dan sinarnya pada pagi hari.
Demi bulan apabila mengiringinya.
Demi siang apabila menampakkannya.
Demi malam apabila menutupinya.
Demi langit serta seluruh binaannya.
Demi bumi serta hamparannya.
Demi jiwa serta penyempurnaannya.

Allah mengilhamkan sukma.
Kefasikan dan ketaqwaan.
Beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu).
Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

[Surah as-Syams : Ayat 1-10]


Friday, October 15, 2010

Berperang dengan Perasaan

Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

(Iblis) menjawab, " Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiii mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."

[Surah Al-A'raf : Ayat 16-17]


Ia (Iblis) berkata, "Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih di antara mereka."

[Surah Al-Hijr : Ayat 39-40]


Demikianlah antara 'dialog' dan kisah mengenai keingkaran Iblis yang telah tercatit dalam kitab suci Al-Quran. Begitulah sumpah yang telah dibuat dan sesungguhnya, ia bukanlah sumpah yang sebarangan. Ini kerana Allah telah memperkenankan dan membenarkan sumpah Sang Penderhaka itu, dan seperti yang dijanjikan oleh-Nya, kita sebagai anak cucu Nabi Adam a.s tidak terkecuali daripada 'terbabit' dalam sumpahan tersebut. Naauzubillahiminzalik..

Mungkin bukan perkara asing bagi kita. Berperang dengan perasaan sendiri. Hati kata ke kanan, akal mahu ke kiri. Hati mahu ke depan, iman mahu ke belakang. Hati meronta-ronta, menjerit dan merintih, namun malangnya akal dan iman sering menghalang dan menidakkan. Maka tercetuslah peperangan dalam diri kita yang hanya kita dan Allah sahaja yang tahu.

Allah berfirman;

"Dan sungguh, Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan."

[Surah An-Naml : Ayat 74]

Kemudian Allah menegaskan sekali lagi. Firman Allah SWT;

"Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan."

[Surah Al-Qasas : Ayat 69]

Dalam perjuangan dan pertaruhan itu. Ada yang menang dan ada yang tewas. Ada yang terjerat dan terpengaruh dengan godaan dan hasutan syaitan. Dalam persimpangan ketika memilih antara kebaikan dan kejahatan, mereka cenderung untuk memilih kejahatan. Bukan sedikit yang hanyut dan lemas dalam godaan nafsu. Ramai yang terpedaya dan kekal dalam kesesatan dan kemaksiatan. Mereka menjadi tuli dan buta, tidak mendapat cahaya dan petunjuk dari Ilahi.

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk) sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan. Mereka itulah orang-orang yang akan mendapat seksaan buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling rugi."

[ Surah An-Naml : Ayat 4&5]

Ternyata bukanlah mudah berperang dengan perasaan sendiri.

Lihatlah saja beberapa contoh mudah yang sering terjadi di persekitaran kita, dan mungkin juga turut kita alamai. Kita cenderung kelihatan cantik dan menarik perhatian banyak orang, lalu hati memberontak untuk membuka aurat, memilih pakaian yang ketat dan singkat.

Kita juga berkeinginan untuk mempunyai harta yang banyak lalu hati merayu agar kita berbuat apa sahaja demi mendapatkan kekayaan tanpa mengira halal dan haram.

Kita berkehendakkan seseorang yang dapat kita cintai dan membalas cinta kita lalu hati merelakan diri sendiri agar mengenepikan segala larangan Tuhan, tidak menjaga pergaulan dengan bukan muhrim dan mula mendekati zina.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Iblis sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan kita anak cucu Nabi Adam, tidak kira peluang itu besar atau kecil. Asalkan dendamnya untuk mengheret kita ke neraka bersama mereka tercapai.

Kita insan yang lemah. Setiap saat dan waktu, kita sering berperang dengan perasaan sendiri. Kerana setiap saat dan detik itu juga, kita sentiasa berdepan dengan keadaan dimana kita harus membuat pilihan dan keputusan yang segera.

Mahu menonton tv atau mahu solat. Mahu tidur atau mengaji Quran. Mahu ke kanan atau ke kiri? Semuanya adalah proses yang sentiasa berterusan. Sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir.

Persoalannya lagi.

Bagaimana ingin menang dalam perjuangan? Tepuk dada tanya iman dan akal.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

[Surah Al-Imran : Ayat 8]

Amin ya rabb..


Thursday, October 14, 2010

Hidayah Milik Allah

‎Aku berlindung kepada Tuhan daripada syaitan yang direjam.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

"Maka jika mereka berpaling, maka ketahuilah kewajiban yang dibebankan ke atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." Surah An-Nahl : Ayat 82

‎"Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan." Surah An-Nahl : Ayat 93

"Barangsiapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barangsiapa dikehendaki-Nya sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang2 yang tidak beriman." Al-An'am : Ayat 125

Katakanlah (Muhammad), "Alasan yang kuat hanya pada Allah. Maka kalau Dia mengkehendaki, niscaya kamu semua mendapat petunjuk".
Suran Al-An'am : Ayat 149

Tuesday, October 12, 2010

Salahkah Kami Bernikah?

"Salahkah aku menyintainya? Bukankah perasaan ini suci lahir dari hati yang ikhlas? Bukankah Tuhan yang menciptakan perasaan kasih dan sayang ini? Bukankah Dia yang meniupkan rasa cinta ke dalam jiwa ini? Apakah aku berdosa kerana membiarkan perasaan ini subur mewangi dalam sanubariku? Apakah aku bersalah kerana membaja dan membelai cinta ini? Sungguh. Aku mencintainya sepenuh jiwa dan ragaku. Biar lautan api sanggup aku redahi, biar seribu gunung dan lurah sanggup aku redahi."

Mungkin anda biasa mendengar dialog tersebut. Dan mungkin anda sendiri pernah merasai perasaan yang serupa. Lumrah manusia dicipta oleh-Nya sempurna, bersama akal dan naluri. Punya perasaan yang perlu dibelai dan dijaga. Ingin dicintai dan mencintai. Ingin dikasihi dan disayangi. Dan lumrahnya juga, hawa dicipta untuk adam. Jantan pasangannya betina. Sedangkan haiwan yang tiada akal juga berkemahuan kepada pasangan yang berlainan jantina, apatah lagi kita manusia yang dikurniakan akal dan iman. Seharusnya tahu memenuhi tuntutan nafsu dengan cara yang betul dan dibenarkan dalam Islam dan tidak melanggar normal kemanusiaan.

Hairannya. Biarpun sejarah (Kisah Nabi Luth) telah membuktikan bahawa hukuman dan seksaan terhadap kaum yang mempunyai keinginan (nafsu) terhadap kaum sejenis (gay atau lesbian) adalah amat dasyat, namun malangnya permasalahan ini tetap juga berpanjangan dan berlarutan tanpa tanda-tanda mahu berakhir. Lebih teruk dari itu, banyak juga pihak yang bangkit, memperjuangkan nasib golongan berkenaan, membenarkan pernikahan sesama jantina, membina kelab untuk kaum sejenis bersosial dan macam-macam lagi. Naauzubillahiminzalik.

Lanjutan daripada perbincangan di ruangan forum iluvislam.com.. Sebuah thread dibuka kononnya untuk mengutip undi, dan membuat kajian serta pemerhatian terhadap pengunjung forum, samada menyokong pernikahan sesama jantina ataupun tidak.

Jawapan saya, tentu sekali "TIDAK". Biarpun perkahwinan itu di kalangan non-muslim sekalipun.

Mengapa saya menentang pernikahan sesama jenis?

Pertama adalah kerana ianya melanggar norma kemanusiaan. Fitrah makhluk berjantina, jantan 'lawannya' betina. Lagipula salah satu sebab mengapa kita bernikah adalah kerana untuk mendapatkan zuriat, memanjangkan susur galur keturunan. Jikalau bernikah sesama jantan, bagaimana mungkin melahirkan zuriat? Lelaki tidak diciptakan untuk mengandung dan melahirkan anak.

Kedua, seks sesama jantina boleh menjadi faktor punca pelbagai penyakit terutamanya penyakit kelamin. Antara penyakit yang berpunca atau berjangkit melalui hubungan songsang ini adalah HIV.

Ketiga, dan yang paling penting, kerana saya adalah seorang Islam yang percaya dan yakin kepada Allah, Al-Quran, Malaikat, Rasul, Hari Kiamat dan Qada' dan Qadar.

Setiap suruhan dan larangan-Nya tentulah bersebab. Dalam Al-Quran telah tertulis, bagaimana kisah Nabi Luth bersama kaumnya;

"Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu melihat(nya). Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan mendatangi wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak dapat mengetahui (akibat perbuatanmu)." (QS. an-Naml: 54-55)

Dan sesungguhnya balasan Allah itu amat pedih terhadap mereka yang ingkar..

"Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang- orang yang lalim. " (QS. Hud: 82-83)

Selanjutnya, boleh dalami kisah Nabi Luth dalam Al-Quran yang terdapat pada 85 ayat dalam 12 surah diantaranya surah "Al-Anbiyaa" ayat 74 dan 75 , surah "Asy-Syu'ara" ayat 160 sehingga ayat 175 , surah "Hud" ayat 77 sehingga ayat 83 , surah "Al- Qamar" ayat 33 sehingga 39 dan surah "At-Tahrim" ayat 10 yang mengisahkan isteri Nabi Luth yang mengkhianati suaminya.

Dan dalam al quran juga tertulis.. dalam Surah Ar-Ruum, Ayat 21..

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Oleh yang demikian, sekali lagi saya menegaskan, bahawasanya saya tidak mungkin sekali-kali akan menyokong pernikahan sesama sejenis. Amalkan hidup sihat. Say NO To Gay Marriage! Jom!

Monday, October 11, 2010

Bicara Dengan Tuhan

Setiap apa yang Dia ciptakan, tiada apa yang sia-sia. Aku percaya dan benar-benar yakin. Biar sebesar zarah, semuanya akan dihitungkan. Kebaikan dibalas dengan kebaikan. Kejahatan pula dibalas setimpal dengannya. Allahu, sungguh hanya Dia yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Biar setitis airmata mengalir membasahi pipi. Semuanya terjadi hanya dengan keizinan-Nya. Apa yang ada di dalam dada, mahu pun terlafaz oleh bibir, semuanya dalam pengetahuan-Nya. Allahu. Sungguh Engkau Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Berbicara dengan-Mu, tiada batas waktu mahupun sempadan masa. Setiap detik dan saat, Kau sentiasa ada untukku. Biar susah, biar senang, Engkau sentiasa bersamaku. Maha Mengetahui lagi Maha Agung.

Dewasa ini airmataku sering tumpah saat kita berbicara. Atau, apakah aku hanya bicara sendiri? Apakah Kau masih sudi berbicara dengan ku? Mendengar luahan dan rintihanku? Mendengar bisikan dan jeritan batinku. Tuhan, sungguh banyak dosaku pada-Mu. Sungguh banyak khilafku pada-Mu. Terlalu banyak penyesalan yang bersarang di dalam dadaku. Banyak sungguh aku menzalimi diriku sendiri. Betapa besarnya dosa-dosaku pada-Mu.

Apakah masih ada ruang keampunan dan kemaafan buatku?

Airmata ini datang dan pergi semahunya. Tanpa pintaku. Tanpa sempat aku mengusir. Ah..
Airmata ini airmata penyesalan. Airmata dosa. Airmata duka dan sendu seorang hamba yang pernah mengkhianati Tuhannya. Sungguh penyesalan itu terlalu perit untuk aku tempuhi. Terlalu pahit untuk aku telan. Terlalu panas untuk aku genggam. Aku hampir tewas.

Oh Tuhan, aku ingin berbicara dengan-Mu. Kerana aku tahu Kau Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dengarlah suara hatiku ini... Ampunkanlah dosa-dosaku. Pimpinlah aku menuju jalan-Mu yang benar.

‎"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku."

Surah Al-Qasas : Ayat 16