+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Datang

Makin lama blog ini tidak ter-update, makin terserlah kekalutan dan keserabutan dalam kepala saya. Allahu. Sungguh aku malu dengan diri sendiri, malu dengan-Mu Tuhan, baru sedikit cubaan mendatang, betapa terjejasnya diri ini hanya Engkau yang Maha Tahu.

Apapun, hidup harus diteruskan. Penuh makna dan penuh kesyukuran. Alhamdulillah kerana tahun ini kita sekali lagi diberi kesempatan oleh-Nya untuk menikmati bulan yang penuh keberkatan, yakni Ramadhan al-Mubarak. Datang setahun sekali, cuma 30 hari kemudian berlalu pergi meninggalkan kita. Tahun hadapan belum tentu lagi kita dapat bersua dengannya. Mungkin kita sudah meninggalkan bumi ini, atau mungkin juga bumi ini yang telah musnah. Sesungguhnya hanya Dia yang mengetahui segalanya. Apa yang ada di langit dan di bumi. Semuanya dalam kekuasaan-Nya.

Tertunduk malu, merenung diri sendiri. Apakah layak diri ini menjadi ummat Muhammad saw? Mulia pekertinya, kesabaran dan ketabahannya. Kekuatan dan keyakinannya. Keimanan dan ketakwaannya. Kerendahan diri dan keluhuran budinya. Segalanya, ternyata diri ini masih punyai banyak kekurangan.

Baginda pernah dibaling batu dan dihalau namun baginda memaafkan dan menghadiahkan doa. Baginda pernah dicaci dan dikatakan gila oleh sang buta namun baginda menyuapkan makanan ke mulut sang buta itu. Baginda dicaci maki namun bagindalah orang pertama yang menziarah apabila si pemaki jatuh sakit. Allahu. Apakah aku mampu mencontohi baginda? Aku ingin namun sungguh diri ini masih punyai banyak belenggu. Menjerut leher mengikat kaki ini. Bagai meniti bara merah.

Harapan saya, moga dengan kehadiran Ramadhan ini, saya dan kita semua, dapat memperbaiki diri, pertingkatkan amalan. Semoga dosa-dosa kita terampun dan semoga kita benar-benar menghayati bulan yang mulia ini penuh rasa syukur.

Ramadhan menziarah cuma sekejap, mari kita hargai ia sebaik yang mungkin.

Hidup harus diteruskan. Semoga hari-hari mendatang, lebih baik dari sebelumnya. Amin ya rabb.

Wednesday, August 4, 2010

Pesanan Buat Hasniza

Hari ini saya berasa 'kelakar' dengan diri sendiri. Semenjak dua menjak kebelakangan ini, saya seolah-olah sengaja mencipta duka dan rasa sedih dalam diri sendiri. Normalnya, saya suka senyum. Namun sejak peristiwa itu, saya terasa seperti sangat sukar untuk mengukir senyuman. Ah. Bila sendirian, sambil-sambil menyiapkan tugasan, saya suka menyanyi-nyanyi, atau bercakap sendirian. Dan 'penyakit' itu selalu saja hadir, bila jiwa dan mental saya dalam keresahan. Ya. Saya sakit.

Syukur pada Allah kerana akhirnya Dia membuka mata saya, membuka pintu hati saya, menyedarkan saya, bahawasanya, hidup ini tidak selalunya indah. Dalam dunia ini, mustahil semua orang gembira dengan kehadiran kita. Mustahil semuanya serupa, menghargai kita seadanya. Namun begitu, itu sepatutnya tidak menjadi alasan kepada diri ini untuk tidak mensyukuri segala anugerah dan pemberian-Nya. Sakit juga anugerah. Musibah juga pemberian dari-Nya. Jangan hanya bersyukur bila senang dan bahagia, tapi juga bersyukur bila diri ditimpa ujian. Alhamdulillah.

Jangan kerana sedikit luka kita membinasakan diri kita. Jangan kerana secubit sakit kita memusnahkan diri sendiri. Bermuram dan bersedih tidak akan membawa kita ke mana-mana. Malahan ia hanya mampu merosakkan diri. Memenatkan dan merugikan. Tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Sepatutnya, saya haruslah sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif. Saya tidak hidup kerana pujian dan tidak mungkin akan mati kerana kejian. Biarlah apa kata orang, asalkan kita tetap teguh dan yakin dengan apa yang kita laksanakan, tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, biarlah ribut taufan melanda sekalipun, semuanya akan mampu saya redah, walaupun seorang diri.

Bersangka baik itu baik, bersangka buruk itu buruk. Ingat Hasniza, jangan lupa!

Jika selama ini lautan duka telah saya redahi, berkali-kali jatuh saya tetap kembali bangun. Mengapa kini saya perlu menjadi lemah? Apakah wajar saya hari ini lebih buruk dari hari semalam? Bukankah saya berhati waja? Tidak mudah menyerah diri pada cubaan mendatang? Teruslah bertabah. Jangan mengalah.

Positif. Pujuklah diri sendiri, jika bukan kita, siapa lagi mampu? Hanya kita yang lebih memahami diri kita sendiri, selain daripada Allah. Hanya kita yang tahu kelebihan dan kekurangan diri, sisi gelap dan sisi cerah jiwa kita, oleh itu, berhentilah bergantung dan berharap kepada orang lain. Berdirilah di atas kaki sendiri. Berdikari.

Jika seorang membenci, ingatlah, ramai lagi yang mengasihi. Saya punya seorang kakak yang sangat garang namun hatinya baik. Anak-anak saudara yang sangat comel dan sentiasa mengalu-alukan kehadiran saya. Ibu yang sangat memahami. Saya punyai teman-teman yang selalu bersama sejak sepuluh tahun yang lalu. Sangat memahami diri ini. Saya punyai sahabat-sahabat, adik-adik yang sangat menghargai diri ini, yang saya kenali melalui alam maya, iluvislam.com, blog dan facebook. Saya punya Allah yang sentiasa ada bersama saya.

Saya punya banyak alasan untuk berbahagia. Untuk tersenyum dan ketawa. Dan saya percaya, kita sebenarnya sama. Kalian juga punya banyak alasan untuk berasa bahagia.



Pesanan ini buat diri sendiri;


Duhai Hasniza..

Ingatlah Allah sentiasa. Mengadu dan bermohonlah hanya kepada Dia. Dia tidak pernah tidur, tidak pernah lalai. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Hasniza, jaga diri baik-baik. Tiada siapa pun yang akan mampu memusnahkan engkau, melainkan engkau sendiri yang mengizinkannya dengan izin Allah. Kau ibarat sehelai kertas putih, yang begitu mudah untuk dikotori. Kau ibarat sehelai kertas nipis, yang mudah terkoyak. Kau ibarat kertas yang lemah, namun mampu melukakan. Kau ibarat kertas kosong, terserah kepadamu bagaimana mahu mencorakkan dirimu sendiri.

Duhai Hasniza..

Ingatlah, ayah kau sudah tiada. Kau juga tiada suami. Abang-abangmu tiada di sisi. Adik-adik lelakimu pula masih terkapai-kapai mencari diri. Tiada siapa yang dapat membelamu di dunia ini. Maka, lengkapkan dirimu dengan iman dan ilmu. Agar diri kau terbela. Terpelihara. Di dunia dan akhirat.

Jangan jadi lemah, kerana kau bukan dilahirkan semata-mata untuk menangisi hidupmu. Kau harus tabah. Kau harus teguh. Kalau kau jatuh, bangunlah. Kalau kau menangis, kau kesatlah airmatamu. Jangan menunggu tangan-tangan lain menarikmu ke atas. Usah tunggu tangan-tangan lain menyapu airmatamu. Ingat, biarpun seorang diri, hidupmu harus kau teruskan.

Teruskanlah langkahmu. Mara kehadapan. Jangan toleh ke belakang, andai itu hanya mampu menambah luka. Allah sentiasa ada bersama mu. Sunnah nabi dan sabdanya sempurna untuk kau jadikan teladan. Jadikanlah Al-Quran sebagai temanmu.

Kau istimewa. Bukan kerana kau cantik. Bukan kerana kau kaya. Bukan kerana kau bijaksana. Tapi kerana keinginanmu mencari redha Allah.

Hasniza, hargailah dirimu sendiri. Berjuanglah. Senyumlah.


Tuesday, August 3, 2010

Hati yang Terluka

"Psstt.. Kau mahu dengar satu rahsia tak?" Dia merapati aku. Sangat dekat. Dengan wajah seribu satu tanya, aku menoleh ke arahnya. Memberi sepenuh perhatianku, hanya kepada dia.

"Eh, kalau kau dah beritahu aku, dah bukan rahsialah namanya. Apa yang rahsia sangat tu?" Aku menyapa, kadang-kadang bingung juga aku dengan kerenahnya.

Dia tergelak kecil. Geli hati barangkali melihat wajahku yang berkerut, atau sekadar menyembunyikan resah yang bersarang di dalam dada. Entahlah. Aku kurang pasti. Dia seperti selalu, misteri dan sukar untuk dibaca.

"Alah kau macam tak biasa, antara kita mana pernah ada rahsia.. kan?" Begitu dia membalas, aku kembali diam. Memberi ruang kepada dia untuk meneruskan bicara.

"Entahlah.. Aku tahu ini tidak betul. Salah! Kau tahu kan, betapa aku mencuba, melupakan kebaikan aku kepada orang. Dan juga melupakan keburukan orang kepada aku. Aku telah cuba semampu aku. Namun ternyata, aku tidak mampu. Tipu kalau aku kata, aku telah melupakan semuanya. Tipu kalau aku kata luka di hatiku telah sembuh. Benar aku sudah memaafkan, namun untuk melupakan, aku sukar melakukannya. Easy to forgive but hard to forget.. Luka itu masih berdarah. Sakitnya masih ada.." Dia meluahkan rasa, sambil wajahnya tunduk menatap bumi. Aku tahu dia sedang berusaha untuk berlawan dengan perasaannya sendiri. Aku tahu dia sedang sarat terluka, lebih terluka kerana terpaksa menanggung beban sendirian. Aku tahu rasanya sakit.

Aku dan dia diam seketika. Membiarkan detik waktu terus berlalu. Saat demi saat. Tanpa aku atau dia, bumi tetap jua berputar. Siang dan malam bersilih ganti. Itulah ketentuan Ilahi.

"Aku telah cuba memujuk diri. Namun sikap mereka yang berterusan begitu tidak memberi peluang untuk aku mengubat luka. Luka itu kian berdarah, kian menyakitkan. Mustahil mudah untuk aku melupakan segalanya. Pastinya sukar!" Dia masih menyambung bicara. Meluahkan segala rasa yang membengkak di hati.

"Aku cuba untuk mengerti, aku faham derita yang kau tanggung dan aku juga tahu, bahu yang memikul lebih berat daripada mata yang memandang. Aku mungkin tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, tapi ketahuilah bahawa aku sentiasa setia dan sedia di sisi mu, berkongsi segala suka dan dukamu. Luahkanlah segala rasa yang menyesakkan dada, biar menjadi lapang. Biar ringan bebanan yang kau pikul. Aku sentiasa ada untuk kamu." Sambil memandang tepat ke anak matanya, aku menuturkan kata-kata itu. Matanya berkaca-kaca keharuan. Aku menghadiahkan senyuman kepadanya, biar reda sengsara yang dipikul.

"Aku terluka kerana mereka bersangka buruk padaku. Membuat andaian yang sama sekali tidak benar. Memulaukan aku kerana andaian mereka sendiri. Menyisihkan aku dan berbisik-bisik di hadapanku."

"Aku terluka kerana aku menyayangi mereka seperti adik-adikku sendiri. Aku perihatin dan mengambil berat terhadap mereka. Namun akhirnya aku disalah ertikan. Kau tahu, aku pernah menegur mereka kerana khilaf mereka, seperti seorang kakak menasihati sang adik. Dan kau tahu? Mereka lansung memboikot aku. Sungguh hancur hatiku."

"Kau tahu? Aku merendahkan ego aku. Aku dekati mereka. Cuba berlagak biasa. Malahan aku merendah diri, bertanya mereka apa salahku, biar berterus terang, biar selesai masalah, jangan dipendam, jangan sampai memakan diri."

"Dan kau tahu bagaimana reaksi mereka? Wajah mereka mencuka walau semampu aku melunakkan suaraku. Aku ditengking. Seolah-olah aku berniat jahat. Seperti mereka tidak menghargai kasih sayangku kepada mereka. Seperti akulah musuh mereka. Entahlah.. Tapi sungguh aku benar-benar terguris. "

Matanya berkaca-kaca. Menanti masa mahu meluncur laju. Dia diam. Memandang jauh ke depan, merentasi ruang masa. Hanyut dalam khayalannya sendiri membiarkan aku disisinya membisu tanpa kata.

Dia mungkin perlukan ruang waktu untuk memujuk diri, muhasabah dirinya sendiri. Dia mungkin sedang merenung masa depannya sendiri yang kini menjadi kabur. Dia mungkin sedang mencari jawapan kepada seribu satu persoalan yang berselirat di benaknya. Dia mungkin sedang mencari dirinya sendiri.

Oh Tuhan, pandulah hatinya. Jangan biarkan dia sesat. Jangan biarkan dia sakit. Aku mahu dia bahagia, aku mahu dia sentiasa dekat dengan-Mu, kerana aku kasihkan dia... Oh Tuhan, pimpinlah dia. Jangan biar dia jauh, jangan biar dia jatuh. Sesungguhnya, hanya Engkau yang dapat membantunya.. Bantulah dia..

Amin ya rabb..

Monday, August 2, 2010

Marilah Bersatu

Jalannya berliku, bersimpang siur. Kereta pula kian banyak, melambatkan lagi perjalanan. Asalkan semua pemandu punyai matlamat yang sama, insyaAllah dengan izin Allah, semuanya akan selamat. Baik-baik saja. Cuma mungkin lambat atau cepat, bezanya adalah pada masa. Lambat sedikit tidak mengapa, asalkan jangan sampai kemalangan. Bakal terjadi, lansung tidak tiba ke destinasi yang ingin dituju. Naauzubillah.

Seandainya matlamat semua pemandu di jalan raya adalah sama yakni mahu selamat tiba ke destinasi. Maka ketika di jalan raya, mereka semuanya memandu dengan penuh berhati-hati. Mematuhi setiap peraturan jalan raya, bukan memandu mengikut perasaan, mengawasi setiap inci pergerakan kereta dengan baik, jangan sampai terbabas atau menyimpang arah. Tidak cukup dengan itu, keadaan kereta dan pemandu juga hendaklah dipastikan agar sentiasa dalam tahap yang optimum.

Memanglah benar. Malang tidak berbau. Kadang-kadang, kemalangan yang tidak disangka-sangka terjadi dan ia disebabkan oleh pemandu lain yang cuai. Kita hanya mampu merancang, berdoa dan berusaha, selebihnya kita serahkan kepada Allah. Tawakal. Jika itu yang tertulis buat kita, maka kita haruslah redha. Dia penentu segalanya. Apa yang penting, kita telah pun melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan, terbaik dan sehabis mampu.

Makin banyak jumlah kenderaan berasak-asak, makin banyak ragam dan kerenah pemandu yang terpaksa kita hadapi. Ada yang penyabar, ada yang pemarah. Ada yang mementingkan diri dan ada juga yang tidak pernah mahu mengalah. Apapun, selagi matlamat asal semua pemandu adalah sama, insyaAllah, semuanya akan selamat tiba ke destinasi masing-masing.

Di jalan raya, persefahaman sesama pemandu amatlah penting. Pertama, semua pemandu haruslah menggunakan isyarat (signal) yang sama dan difahami oleh semua pemandu yang lain. Contoh, menyalakan lampu isyarat kanan maknanya mahu membelok ke kanan. Bila lampu isyarat berwarna merah maka semua kenderaan tidak kira besar atau kecil wajib berhenti.

Kedua, matlamat semua pemandu hendaklah sama yakni selamat sampai ke destinasi masing-masing. Jika setiap dari kita mahu selamat, kita akan sedaya upaya kita untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, saling menghormati dan tidak pentingkan diri sendiri, serta memastikan pemanduan kita dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan diri sendiri mahupun pengguna jalan raya yang lain. Memandu dengan berhati-hati dan berhemah.

Ketiga, siapa yang tiba dahulu atau kemudian tidak penting. Jalanraya bukanlah trak perlumbaan. Bukan juga tempat untuk pertaruhkan nyawa. Usah berebut-rebut. Jangan berlumba-lumba. Siapa di depan atau di belakang tidak menjadi apa-apa masalah, yang utama, tiba ke destinasi masing-masing. Biar cepat atau lambat, yang penting, selamat.

Keempat, keadaan jalan raya mestilah baik. Selekohnya tidak terlalu tajam. Jika gelap disediakan lampu. Jika jalan berbukit bukau sesuaikanlah dengan keadaanya itu. Jika berlubang dan berlopak hendaklah diperbaiki. Jika terlalu sempit hendaklah diperbesarkan sesuai dengan kuantiti kenderaan yang menggunakannya pada satu-satu masa.

Merancang dan berusaha untuk mengelakkan kemalangan. Kita mahu semuanya selamat dan baik-baik sahaja, selamat tiba ke destinasi yang ingin dituju.

Seandainya ada pemandu yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan, seandainya pemandu mempunyai matlamat yang tidak serupa, tidak kira selamat atau tidak yang penting cepat tiba. Seandainya keadaan jalan raya terlalu daif atau membahayakan. Seandainya semua pemandu mempunyai sikap ingin menang sendiri, maka, ia bukan sahaja membahayakan dirinya sendiri malahan turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Perjalanan di atas jalan raya, dengan peraturannya yang tersendiri, selagi kita menggunakan jalan itu, maka kita hendaklah sentiasa mematuhi undang-undangnya. Andai kita mahu selamat.

Itu undang-undang ciptaan manusia. Namun, sehebat-hebat undang-undang manusia, hebat lagi peraturan yang telah diciptakan oleh Allah swt. Bukankah Dia yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui? Dia yang menciptakan kita bersama akal dan nafsu. Maha suci Allah.

Setiap apa yang ditetapkan oleh-Nya, yang disampaikan melalui rasul-Nya, tercatit dalam Al-Quran semuanya sempurna. Suruhan dan larangan-Nya ada ibrah, hikmah dan sebab yang tersendiri. Andai kita melanggarnya, kita bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah swt, malahan kita turut memudaratkan diri kita sendiri. Serta mereka yang disamping kita. Ummah dan masyarakat.

Naauzubillahiminzalik.

Sebagai hamba ciptaan-Nya, kita sebenarnya punyai banyak sebab untuk bersatu. Kita sujud pada Tuhan yang Satu. Kita menghadap kiblat yang sama. Kita membaca Al-Quran yang sama. Penghulu kita Muhammad saw. Asal keturunan kita dari Adam dan Hawa. Kita pijak bumi yang sama, menjunjung langit yang sama. Tapi mengapa, kita seolah-olah sengaja mencipta alasan, untuk berpecah-belah dan bersengketa?

Biarpun jalan bersimpang siur. Kenderaan bersesak-sesak. Walaupun ujian dan dugaan datang pelbagai. Namun seandainya kita sefahaman, searah, mempunyai matlamat dan impian yang sama, seharusnya perpecahan dan persengketaan dapat dielakkan. Kerana kita mempunyai undang-undang dan peraturan yang paling hebat, yakni segala yang ditetapkan oleh Allah swt.

Tapi mengapa, kita tetap juga memilih untuk berpecah? Kerana fikrah, mazhab, ideologi dan fahaman yang berbeza. Kerana politik, garis sempadan kawasan dan kuasa kita tidak bersatu. Mengapa itu yang kita pilih? Bukankah Allah itu cuma satu. Kenapa begitu sukar untuk kita bersatu? Seolah-olah mustahil untuk kita mencapainya?

Bersatulah, jauhi persengketaan dan elakkanlah perpecahan. Jadilah seperti pohon yang rendang, bukan saja menjadi tempat persinggahan burung-burung, tapi buahnya lebat dan manis, akarnya kuat mencengkam tanah. Teguh tidak tumbang, selagi Allah izinkan.

Gunakan isyarat yang sama, saling memahami dan bertolak ansur. Tanamkan hasrat dan keinginan yang serupa, membentuk kesatuan ummah yang gemilang. Saling membantu dan melengkapi, bergerak seiringan dan bergandingan. Bersama-sama menyediakan wadah yang terbaik bukan hanya untuk diri sendiri tapi juga untuk generasi akan datang. InsyaAllah, dengan izin-Nya, kita semua pasti akan selamat tiba ke destinasi impian masing-masing.

Sebelum berundur, mohon ampun maaf andai ada salah dan silap. Saya cuma menulis, namun Allah yang mengizinkan. Sedikit perkongsian..


Allah berfirman di dalam Surah An-Nahl:

Bismillahirrahmanirrahim...

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [125]

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. [126]

Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. [127]

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. [128]

Selawat dan salam buat Nabi junjungan, Muhammad saw. Terimalah kami sebagai ummatmu, berikanlah kami syafaatmu, wahai kekasih Allah.

Duhai Tuhan. Ampunkanlah dosa-dosa kami. Berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin ya rabb.






Sunday, August 1, 2010

3 Idiots

Alhamdulillah, saya berkesempatan menonton filem 3 Idiots. Suatu kisah biasa namun digarap dengan begitu cemerlang menjadikannya suatu fenomena yang sungguh luar biasa. Terima kasih kepada adik tersayang, Siti Khairunnisa kerana sudi copy filem tersebut untuk saya, jazakillah sis.

Saya enggan menulis secara detail, bagaimana jalan ceritanya, namun suka saya berkongsi di sini, apa ibrah, mesej, pengajaran, (dan sama waktu dengannya) yang dapat saya cedok dari cerita itu..

From my point of view..

1) Love everybody hate nobody. Berbuat baik kepada semua orang, no matter who she/he is. InsyaAllah, berbuat baik akan di balas baik. Niat yang baik dan hati yang ikhlas juga hanya dapat dirasai oleh hati mereka yang ikhlas dan suci juga. Oleh itu, jangan teragak-agak atau berkira-kira untuk berbuat kebaikan. Mungkin bukan sekarang kita menikmati 'pulangannya' tapi insyaAllah, bukankah Allah itu Maha Adil? Suatu hari nanti, ia akan menjadi pasti. Hati yang ikhlas pasti mengenali hati yang ikhlas seperti jauhari mengenal manikam.

2) Appereciate what u have today. Manfaatkan sebaik yang mungkin setiap peluang yang ada. Sentiasa melihat apa jua musibah/ujian dengan cara yang positif. "Kena tendang keluar pun takpaa... Pi masuk kelas lain carik ilmu kat kelas lain pulak". Don't give up. Keep running.

3) Mind set the limits. "Aall iz well. Semuanya baik-baik belaka. Everything is ok." Aaal iz well~!!
Kita adalah apa yang kita fikir. Bersangka baik adalah baik dan bersangka buruk adalah buruk. Jika kita sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif, biar lah taufan sekalipun yang melanda, tidak kira apa jua ujian mendatang, kita tetap jua mampu menghadapinya dengan tenang. Aal iz well. Bila kita telah set dalam minda bahawa semuanya sedang baik-baik belaka, insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka.

4) Be what u want to be. Dengarlah suara hati, ikutlah gerak hati. Jangan lakukan apa pun kerana terpaksa. Biarlah kerana cinta. Pilih jalan hidup molek-molek and once u decided, then go for it. No belok-belok. ^_^

5) Dont give up. No matter what, life must goes on. Lari dari masalah (ie suicide) bukanlah suatu penyelesaian yang terbaik. Sebelum buat keputusan yang 'ntah apa2', ingatlah wajah mereka yang kita sayangi, adakah mereka gembira, bertambah gembira dengan apa yang telah kita lakukan? Fight, kalaupun bukan untuk diri kita sendiri, tapi at least, untuk mereka yang kita sayangi.

6) Don't forget to smile and enjoy your life. Tak kira apa jua masalah atau ujian yang melanda, senyumlah... Have fun. Senyuman kita mungkin dapat membahagiakan orang lain. Happy for others.

7) Jodoh dan ajal maut di tangan Tuhan. Semua yang berlaku hanya dengan izin Allah.

8) Jangan meminta-minta daripada selain Allah. Aplikasikan konsep tawakal yang betul. Doa, usaha, iltizam dan tawakal. Jangan mendua tigakan Allah. He always there for us.

9) Friendship and love that money cannot buy.

10) You want to know more? Jom~!! Apa tunggu lagi, sila tengok sendiri filem tersebut, ambil mana yang baik, buang mana yang buruk, to be a better Muslim, with our own way, insyaAllah..

" Give me some sunshine, give me some rain, give me another chance, i wanna grow up once again"